BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, September 01, 2009

Budaya Hedonis Di Malaysia - Lebih Berbahaya Berbanding Wabak H1N1

Budaya Hedonis Menjajah Generasi Muda:
Kemerdekaan Disambut Dengan Jiwa Yang Dijajah
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Negara kita sudah merdeka melebihi separuh abad kini. Generasi muda hari ini barangkali tidak akan dapat memahami pengorbanan orang-orang dahulu. Perjuangan sudah bertukar menjadi permainan. Berjuang kini sudah bertukar menjadi berhibur. Perspektif anak-anak muda Malaysia pada hari ini terhadap konsep perjuangan, secara umumnya lebih kepada berjuang mengutamakan kepentingan sendiri.
Melaunglah kerajaan, melaunglah
Bahaya! Bahaya! Bahaya!
Angkara hedonisme menguasai diri
anak-anak muda mana mungkin
takutkan H1N1
fikiran sudah singkat
lebih singkat daripada usia manusia
hedonisme lebih berbahaya
lebih kuat meracuni manusia
meniduri minda generasi muda
Saya tidak pasti, berapa ramai anak muda pada hari ini, ada meluangkan masa untuk merenung dan berfikir secara mendalam mengenai anak-anak bangsa mereka. Bilangan remaja atau belia yang mampu untuk berfikir terhadap masalah bangsa dan isu kebajikan dan pembangunan bangsa semakin kurang. Bilangan remaja berkesedaran terhadap kemanusiaan dan kebajikan sangat kurang. Jika saya sebagai seorang mentor, saya suka mencari mentee-mentee sebegini. Jika saya sebagai seorang guru, saya suka mencari dan rapat dengan anak-anak murid yang mampu berfikir seperti ini. Jika saya seorang bapa, maka sudah pasti saya akan mewajibkan anak-anak saya untuk mempunyai kesedaran berfikir seperti ini.

Bagi saya, kewujudan golongan yang berkesedaran terhadap kebajikan dan keperluan manusia adalah penyumbang kepada pembangunan rohani, intelektual, jasmani dan emosi yang amat baik. Golongan berkesedaran tinggi seperti ini mudah rapat dan menjalinkan hubungan baik dengan saya. Dalam hati mereka tidak ada iri hati, hasad dengki, tamak, prejudis, pembenci dan seumpamanya. Mereka lebih suka bersenang hati melihat pencapaian, kejayaan dan kebahagiaan orang lain. Golongan berkesedaran seperti ini memiliki haluan yang sama, dan mudah mencapai kesefahaman apabila bergaul dengan saya.

Sayang sekali, bilangan manusia seperti ini mungkin cuma 1 dalam 100, atau 1 dalam 1000. Katakan terdapat sekitar 2500 orang manusia. Mungkin cuma 3 hingga ke 25 orang sahaja yang memiliki kesedaran seperti ini. Saya berasa sunyi melihat betapa kurangnya bilangan manusia seperti ini. Seharusnya, apabila saya menemui golongan ini, maka adalah sesuatu yang sangat bermakna apabila mereka menjadi kawan karib, saudara atau sesuatu yang rapat dengan kita. Mewujudkan satu perjuangan yang sama. Tidak kira sebagai sahabat seperjuangan, perantis atau sebahagian daripada legasi sendiri.

Apabila Islam itu mengatakan semua umat Islam adalah bersaudara, pada pandangan saya, itu sebenarnya merujuk kepada matlamat perjuangan yang sama. Konsep perjuangan yang sama bermaksud, pemikiran, sikap dan perbuatan yang mendorong ke arah mencapai matlamat tersebut. Jadi, apabila seorang individu itu mempunyai percanggahan matlamat dengan seorang individu yang lain, maka adakah mereka bersaudara?

Pernyataan seperti "Musuh kepada sahabat saya ialah musuh saya. Musuh kepada musuh saya ialah sahabat saya." boleh dianggap ada kebenarannya.

Apa yang saya lihat, kebanyakan manusia pada hari ini lebih suka membuat perbandingan antara kekurangan dalam diri mereka dengan kelebihan yang ada pada orang lain. Hal ini mencetus rasa keperluan diri, dan mendorong ke arah kepentingan diri yang ada di dalamnya rasa iri hati, benci dan tamak.

Memalukan: Generasi Muda Kini Kurang Aktif Menonjolkan Diri
Satu perkataan yang semakin popular pada hari ini, iaitu 'poyo' umpama racun yang menyekat kebanyakan generasi muda daripada menonjolkan diri. Mana-mana generasi muda yang cuba melontarkan buah pemikiran secara terbuka dan memberi sumbangan secara terbuka dilabelkan sebagai 'poyo'. Saya sendiri tidak pasti betapa banyak ' dosa' yang dihimpun oleh pencipta perkataan 'poyo' kerana perkataan yang diciptanya ini telah banyak membantutkan usaha remaja untuk memberi sumbangan secara kebajikan. Justeru, generasi muda hari ini lebih gemar mengutamakan pencapaian dan kejayaan untuk diri sendiri, berbanding pencapaian untuk membantu masyarakat. Justeru takut dilabel atau dianggap sebagai 'poyo', kebanyakan generasi muda lebih cenderung melakukan sesuatu secara diam-diam untuk keperluan diri sendiri sahaja.

Cuba kita lihat pada hari ini, berapa ramaikah anak muda yang sanggup tampil ke hadapan menonjol diri, untuk membimbing masyarakat, atau sekurang-kurangnya golongan muda yang lain untuk melakukan sesuatu. Kita ambil satu contoh yang mudah, sebelum melakukan satu-satu aktiviti sukan, seorang pengacara meminta seorang wakil dari kalangan kelompok ahli sukan itu untuk tampil ke hadapan untuk menguasai aktiviti memanaskan badan dan meregangkan otot dan urat saraf badan, adakah ada sesiapa yang akan bersikap aktif, untuk tampil ke hadapan, dan mengetuai ahli-ahli sukan tersebut?

Contoh yang lain pula, di dalam satu perhimpunan besar, seorang pengerusi meminta beberapa orang wakil untuk tampil ke hadapan untuk memberi ucapan dan idea mengenai sesuatu perkara, berapa ramaikah yang akan tampil untuk mengemukakan pandangan? Mungkin daripada satu ribu orang, cuma 1, 2 atau 5 orang sahaja.

Apa yang dapat dilihat pada hari ini, generasi muda lebih cenderung untuk bertanya tanpa berfikir atau berusaha memberi pandangan sendiri. Mereka lebih cenderung untuk meminta-minta berbanding berdikari untuk mencari penyelesaian bagi sesuatu perkara. Mereka menganggap yang lebih tua atau yang lebih dewasa patut menyediakan keperluan untuk diri mereka. Mereka menganggap jika orang dewasa tidak menyediakan keperluan tersebut, maka orang dewasalah yang bersalah. Hal seperti ini telah berlaku di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan.

Saya dapati kebanyakan mahasiswa dan mahasiswi hari ini kurang berkesedaran untuk menjaga kebajikan masyarakat. Mereka membuang sampah di merata-rata tempat. Memijak tempat duduk di tempat menunggu bas awam. Menconteng dinding lif. Mengoyak dan membakar surat pekeliling yang ditampal di papan informasi.

Bala Bencana: Generasi Muda Kini Memilih Pemimpin Berlandaskan Rupa Paras dan Bukan Lagi Faktor Kebolehan Memimpin
Dalam soal memilih pemimpin juga, saya dapati kebanyakan mahasiswa pada hari ini tidak peka akan tujuan pemilihan ketua. Sebagai contoh, saya bertanya kepada sekumpulan siswi, apakah yang menjadi kriteria utama yang mereka tetapkan untuk mengundi wakil pelajar di universiti? Siswi-siswi ini menjawab, mereka akan melihat rupa paras terlebih dahulu. Mana-mana calon yang memiliki rupa paras yang menarik, menjadi pilihan mereka. Saya menggeleng kepala.

Saya ingin menegur pihak penasihatan yang bertugas memantau pergerakan persatuan atau organisasi pelajar, tidak kira di sekolah atau pun di institusi pengajian tinggi. Anak-anak muda sepatutnya diberi peluang dan diajar untuk berkempen dan menyatakan idea sebelum mereka boleh dilantik sebagai pemimpin. Contohnya dalam pemilihan pemimpin pelajar, barisan majlis tertinggi dan jawatankuasa, sewajarnya pihak penasihat membiasakan pelajar-pelajar untuk mengenali calon-calon pemimpin mereka. Seharusnya calon-calon pemimpin ini disyaratkan supaya tampil di khalayak ramai dan menyatakan pandangan mereka, visi dan malamat mereka sebagai pemimpin. Pelajar-pelajar pula harus ditekankan untuk memilih pemimpin berdasarkan lontaran pemikiran, matlamat, penampilan kendiri dan sahsiah diri calon pemimpin tersebut. Sayang sekali, saya tidak nampak dengan jelas usaha-usaha untuk mendidik generasi muda supaya memiliki kesedaran dalam memilih ketua dibuat di kebanyakan sekolah atau institusi pengajian tinggi.

Budaya hedonis, seperti yang pernah digambarkan oleh saudara Faisal Tehrani di dalam bukunya Advencer Si Peniup Ney kini semakin jelas bertapak di negara ini. Generasi muda merupakan bilangan majoriti di Malaysia. Setiap tahun, ada bayi dilahirkan. Setiap tahun, ada kanak-kanak mencapai usia baligh dan menjadi remaja. Setiap tahun, golongan remaja akan meningkat usianya menjadi belia dan dewasa. Jika budaya hedonis sudah menyaluti usia mereka hingga ke usia dewasa, maka adalah menjadi satu mimpi ngeri apabila golongan dewasa ini memimpin generasi-generasi seterusnya dengan menerapkan budaya hedonis sebagai asasnya.

Bahaya: Budaya Hedonis Membantutkan Pemikiran dan Kesedaran Manusia
Pada pandangan peribadi saya, kesan-kesan budaya hedonis yang paling ditakuti ialah bagaimana budaya hedonis ini mempengaruhi mentaliti manusia supaya berfikir secara singkat. Manusia mula menganggap hidup ini untuk berseronok, oleh itu minda manusia tidak perlu dibebankan untuk berfikir pelbagai masalah.

Apabila minda manusia sudah mula berfikir secara mudah, sudah tidak sensitif dengan isu-isu semasa, maka manusia akan mula tertumpu terhadap keperluan diri, khususnya kemahuan dan nafsu. Mereka mula membelakangi hal-hal kebajikan. Menjaga kebersihan sudah tidak menjadi satu perkara wajib. Vandalisme berleluasa. Manusia mula merasakan mereka wajar melakukan pemberontakan secara fizikal. Menconteng dinding, merosakkan harta benda awam dan sebagainya. Sebarang usaha untuk membolehkan manusia menggunakan akalnya secara mendalam, dan tingkah laku pemikiran ke arah mengutamakan kebajikan dan sumbangan mereka terhadap masyarakat dianggap sebagai satu bebanan.

Usaha menyuburkan budaya hedonis kini semakin rancak diadakan di Malaysia. Segelintir warga Malaysia sudah mula menyedari kesan buruk budaya ini terhadap mentaliti masyarakat Malaysia dan mula menentang pergerakan budaya hedonis ini. Ganjaran-ganjaran seperti wang tunai dah hadiah yang mewah disalurkan kepada pemenang-pemenang pertandingan dan peraduan berteraskan budaya hedonis. Tidak cukup dengan itu, elemen emosi seperti simpati, kasihan, perasaan kehilangan, cinta, benci, geram, sayang dan seumpamanya diterapkan dalam setiap pertandingan dan peraduan yang diadakan. Sesungguhnya umat manusia begitu mudah dilemahkan apabila emosi dan nafsu mereka diperalatkan. Maka dengan adanya permainan emosi, nafsu dan ganjaran yang lumayan, budaya hedonis semakin subur, bercambah dan berbuah. Buah inilah yang disajikan kepada generasi muda hari ini.

Kelahiran generasi yang mementingkan keseronokan berbanding kebajikan merupakan bala yang lebih serius berbanding wabak H1N1. Wabak H1N1 gelombang pertama dahulu telah mengorbankan puluhan umat manusia di negara kita. Tidak lama lagi gelombang kedua wabak H1N1 akan melanda negara. Ribuan manusia diramalkan menjadi korban. Virus H1N1 berupaya mengubah dirinya menerusi proses mutasi dan menjadi semakin kebal terhadap sebarang bentuk vaksin yang digunakan untuk mencegahnya.

Jika wabak H1N1 tidak mempunyai penyokong atau pengikut, budaya hedonis pula telah dianggap sebagai satu cara hidup, perjuangan, permainan, diikuti dan disokong oleh beribu-ribu warga Malaysia. Malah, ramai pula warga tempatan yang sanggup menyumbang wang, tenaga dan pemikiran untuk mengembangkan lagi budaya hedonis di negara ini. Ketika gelombang kedua wabak H1N1 melanda dan menyerang beribu-ribu manusia, pada masa yang sama berjuta-juta manusia sudah diracuni pemikiran hedonisme.

Budaya hedonis, yang menggalakkan manusia untuk berfikir secara singkat, membantu penularan wabak H1N1 dengan semakin mudah. Apabila manusia sudah tidak lagi sensitif dan peka terhadap persekitaran mereka, maka segala seruan dan saranan pihak kerajaan sudah pasti tidak mudah untuk mereka ikuti. Melaunglah kerajaan menyatakan bahayanya H1N1 tetapi sekiranya budaya hedonisme tidak terbendung, maka segala usaha itu akan sia-sia. Budaya hedonis tampak lebih berbahaya berbanding H1N1 dan mampu membantu penularan pelbagai jenis penyakit berbahaya yang lain pula.

Selagi hedonisme terus menjajah mentaliti anak-anak muda, maka zaman mundur, proses kemunduran dari segi rohaniah dan seterusnya intelektual akan terus berlaku. Selepas emosi, rohani dan intelektual masyarakat Malaysia musnah diracuni hedonisme, seterusnya aspek terakhir dalam ciri-ciri insan kamil akan terjejas. Aspek terakhir, iaitu jasmani akan perlahan-lahan menjadi rapuh pertahanannya. Pelbagai jenis penyakit berbahaya akan meratah jasmani manusia dan seterusnya mengancam tamadun manusia.