Amiene Rev Dalam Mencari Erti Tanggungjawab - Bahagian 1
Seumur hidup aku, aku tidak pernah jatuh tangga. Namun, pada suatu petang, aku terjatuh dari tangga. Beberapa anak tangga. Sekitar dua ke tiga minit, aku terus dalam keadaan terduduk, memikirkan bagaimana aku boleh terjatuh. Seolah-olah Tuhan sedang menegurku. Jatuh mewakili banyak perkara. Boleh jadi jatuh maruah, kegagalan, hilang reputasi, jatuh miskin, hilang kemegahan dan sebagainya.
Tuhan sedang menegurku. Kehadiran aku di tempat ini, bukan atas restu Bonda. Oleh itu Tuhan menghukumku di sini. Kejatuhan. Tuhan menjatuhkan hukuman dunia kepadaku. Sekurang-kurangnya Tuhan memberikan kesedaran kepadaku semasa di dunia lagi. Aku memikirkan kenapa kecelakaan itu boleh berlaku di tempat ini. Adakah ini suatu ujian atau suatu hukuman? Barangkali kedua-duanya adalah betul.
Aku masih teringat kisah bagaimana seorang Anak ingin pergi menuntut ilmu di tempat jauh, tanpa mendapat restu Ibunya. Anak itu berkesudahan dengan nasib malang, kedua tangan dan kakinya kudung kerana dituduh mencuri. Menuntut ilmu itu suatu perkara yang baik, namun niat si Anak itu tidak mendapat restu Ibunya yang sudah tua dan lemah. Namun Anak itu bernasib baik kerana pada akhirnya dia mendapat keampunan Bondanya. Syurga itu bukankah di bawah tapak kaki ibu?
Tiba-tiba aku terfikir, apakah yang dimaksudkan dengan tanggungjawab pada erti yang sebenar-benarnya. Apakah kebenaran yang paling sesuai untuk mendefinisikan perkataan tanggungjawab? Tanggungjawab hanya boleh dilaksanakan dengan pengorbanan.
Aku sendiri belum boleh mengakui diri aku ini seorang yang bertanggungjawab, kerana tidak semua pengorbanan berjaya aku lakukan. Pengorbanan diri untuk keluarga, masyarakat, negara dan agama. Aku bukan seorang yang boleh dikatakan benar-benar bertanggungjawab.
Setelah beberapa lama aku berada di tempat ini, akhirnya aku mendapati bahawa untuk melaksanakan tanggungjawab, seorang itu perlu melakukan pengorbanan yang boleh jadi dari segi masa, pertalian atau hubungan, tenaga, material dan emosi. Mungkin ada banyak lagi elemen-elemen yang kurang jelas di sini.
Hari ini aku telah kembali ke tempat yang sepatutnya, sebagai seorang pelajar. Aku memiliki tanggungjawab di sini. Barangkali pada hari itu, aku sudah mendapat sesuatu.
Yang paling berharga itu bukan kepakaran atau pengalaman, tetapi kesedaran mengenai tanggungjawab. Antara tanggungjawab dengan pengorbanan, manakah paling utama? Tanggungjawab itu adalah matlamat kita, manakala untuk menyempurnakan tanggungjawab itu, pengorbanan kita adalah perlu.
Hal ini menyebabkan aku seakan-akan mahu menitiskan air mata. Tuhan Maha Pengasih, Tuhan Maha Penyayang, Tuhan Maha Mengetahui dan Tuhan juga Maha Pengampun.
Maafkan aku, Bonda, kerana tanpa izinmu, aku telah pergi ke tempat ini. Biarpun niatku adalah baik, namun, restu Bonda adalah lebih penting. Aku bersyukur kepadamu Tuhan, kerana tidak berkesudahan seperti Anak itu.
Juga, catatan ini pasti akan bersambung lagi...
|