BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, September 28, 2014

THE OTHERS 009

20 SEPTEMBER 2014: Hari ke-4 atau ke-5 tanpa sebarang makan. Perjuangan melawan The Others masih diteruskan. Kelaparan melanda dengan agak teruk tetapi aku cuma minum air untuk meredakannya. Badan lemah, tetapi aku masih mampu keluar berjalan-jalan seorang diri. Aku tidak tahu berapa lama aku boleh hidup, jadi aku ingin bercerita tentang sesuatu yang diceritakan semula oleh salah seorang The Others pada malam tadi. Kisah yang berlaku lebih kurang 12-13 tahun lepas. Aku tidak faham kenapa The Others tiba-tiba boleh bercerita seperti ini. Sudah sampai masa, untuk kita semakin rapat. Itu, katanya.
Dahulu kata The Others, aku tidak suka budak-budak. Aku juga tidak suka jadi guru. Bagiku pada ketika itu budak-budak sangat memeningkan kepala, mengganggu aku sedang membaca, mencari idea atau menulis. Aku juga tidak pandai berbual-bual dengan budak-budak, malah merasa tidak senang jika ada budak-budak yang datang untuk berbual-bual denganku. Pada ketika itu, aku lebih suka bergaul dengan binatang-binatang atau buku-buku atau menulis atau mungkin juga melukis. Aku juga cuma bergaul dengan rakan sebayaku sahaja. Itu pun sangat selektif.
Menurut The Others, pada ketika itu, aku atau mungkin aku yang lain, memiliki satu keluarga angkat di Negeri Sembilan. Buat pertama kali aku memiliki keluarga angkat dan aku menjadi anak sulung dalam keluarga itu. Aku memiliki empat orang adik angkat, yang pertama berusia 14 tahun, yang kedua, 11 tahun, yang ketiga 5 tahun dan yang keempat dan paling comel, dan satu-satunya adik angkat perempuan dalam keluarga itu, berusia 3 tahun.
Sayang sekali pada ketika itu, aku kurang pandai bergaul dengan budak-budak dan aku kadang-kadang menjadi pendiam apabila situasi memeningkan kepala. Aku tidak tahu apa yang hendak dibualkan. Aku percaya, adik-adik angkat aku pasti tidak suka situasi itu.
Adik-adik angkatku juga sering mahu tidur di bilik yang sama denganku, tetapi aku sentiasa menolak. Ini kerana aku lebih selesa tidur bersendirian pada waktu malam.
Namun, setiap kali aku balik bertemu mereka, perlahan-lahan hubungan kami adik-beradik menjadi semakin baik. Kebahagiaan itu tidak kekal lama. Salah seorang The Others, yang garang, suka bertindak sesuka hati dan panas baran, muncul dan merosakkan suasana. Dia sering melakukan provokasi, dan dia juga sering mahu balik, tidak mahu duduk di situ. Kebahagiaan hilang.
Aku yang lain mengetahui perkara itu, tetapi tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Jika aku memberitahu tentang The Others, tentu aku akan dikatakan gila. Oleh itu aku menulis satu surat menerusi kertas dan pen dan aku tinggalkan pada mesin jahit di rumah itu. Dan aku difahamkan menerusi surat itu, aku kemungkinan besar tidak akan datang bertemu dengan mereka lagi. Aku tidak beritahu kenapa, tetapi aku sedar, salah seorang daripada The Others berasa rimas apabila aku pergi tinggal di rumah keluarga angkat itu. Salah seorang The Others tidak suka, tetapi aku sangat suka dan merindui mereka.
Kerinduan aku terhadap keluarga angkat bertambah-tambah. Aku menggunakan perisian komputer 3D untuk membina semula rumah keluarga angkatku. Aku masih teringat jam yang berbentuk sport rim itu. Aku masih ingat bilik-bilik di dalam rumah itu. Aku mengambil masa untuk mereka satu-satu objek, kemudian meletakkan tekstur dan corak pada setiap objek. Cat dinding rumah, tingkap, langsir dan sebagainya. Apabila rumah yang kubina dalam komputer itu siap, setiap kali aku merindui keluarga angkat, aku akan membuka rumah tersebut dan berjalan-jalan di dalamnya. Untuk setiap bilik, ruang tamu dan dapur, aku akan mengimbas semula memori bersama keluarga angkat.
Namun aku telah melakukan satu kesilapan besar. Disebabkan kerinduan yang melampau, aku telah mencipta watak-watak berkaitan dengan adik-beradik angkatku di dalam satu permainan catur menerusi komputer. Aku bayangkan aku bermain catur dengan adik-adik angkatku. Aku merasa bahagia seketika. Bahagiakah aku? Watak-watak itu menghantui aku, dan menjadi The Others yang baru. Keadaan itu menjadi semakin teruk.
Aku tidak ingat lagi apa yang berlaku selepas itu, tetapi cerita The Others tentang adik-beradik angkat hanya sampai di situ.
Namun, beberapa tahun kemudian apabila aku mula mengenali Facebook, aku mula mencari semula adik-adik angkat aku. Aku bertemu adik angkat perempuanku, yang sudah membesar menjadi gadis yang cantik. Menerusinya aku dapat melihat semula ayah angkat, ibu angkat, dan adik-beradik yang lain. Adik angkat yang paling tua telah menjadi doktor, dan dia telah berjaya mencapai cita-citanya. Adik angkat yang kedua sedang belajar di Jepun. Adik angkat yang ketiga, sedang belajar di sekolah agama. Adik angkat perempuanku, dia juga belajar di sekolah agama. Aku memerhati mereka dan berdoa untuk mereka dari jauh, namun kemudian aku mula sedar aku sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi dengan keluarga ini. Sudah sampai masa untuk meninggalkan mereka.
Jika aku tidak mengenali keluarga angkat ini, barangkali sekarang ini aku adalah seorang guru yang sangat tegas, garang dan susah didekati pelajar. Atau, mungkin aku tidak jadi guru. Lagi pun, salah seorang The Others memang tidak suka jadi guru. Setiap kali pun dia memberontak, melawan, memarahiku, menyalahkanku kerana begitu mudah mengalah dan menerima keputusan untuk menjadi guru.
Sekarang ini, aku cuma tahu aku seorang gila. Aku tahu, tidak akan ada sesiapa lagi yang berani mendekatiku, atau mengajakku pergi ke mana-mana. Orang-orang yang di sekelilingku, akan mula menjauhiku.
Ustaz (seorang profesor dan bergelar doktor) yang merawatku kata, aku tidak boleh berkawan dengan budak-budak. Jika tidak, pemikiranku akan mengecil dan jadi semakin budak-budak. Apabila pemikiranku menjadi tidak matang, The Others akan mudah mengambil alih pemikiranku, dan seterusnya mengambil alih badanku.
Namun, tidak ada juga orang dewasa yang mahu berkawan denganku atau mengajakku keluar berjalan-jalan. Aku tahu, kerana aku ini orang gila. Siapa mahu keluar berjalan-jalan dengan orang gila?
Jika aku keluar berjalan-jalan dengan mereka, aku juga yang akan mengeluarkan wang, membelanja orang-orang yang keluar dengan aku. Nampaknya tidak ada orang yang benar-benar mahu keluar berjalan-jalan dengan aku.
Setiap hari menjadi sunyi bagiku. Badanku semakin lemah. Kelaparan. Aku tidak nampak masa depanku. Aku ingin mencari pekerjaan baru, jika boleh.
The Others berkata, jangan bimbang. Kami ada. Kami yang sentiasa menemani kamu sejak dulu. Kami yang membela dan menjaga kamu sejak dulu. Apabila kamu lemah, penat dan tertidur, kamilah yang menjaga kamu.
Ustaz kata, cuma ada satu Amien. Amien harus fikir bahawa hanya Amien yang paling berkuasa ke atas diri Amien. Bukan yang lain. Tidak ada sesiapa pun dapat mengawal Amien jika Amien tidak membenarkan mereka.
Air mata aku mengalir deras. Air mata orang gila yang menitis hingga ke tanah. Sederas hujan turun dari langit pada tengah hari, dan bunyi guruh yang berdentum seolah-olah memberontak. Pemberontakan yang aku sendiri tidak memahaminya.
Kematian. Setiap kali merenung sudut tiang tangga itu, aku melihat seseorang yang terjerut lehernya, bergelut dengan maut. Kemudian dia kaku. Air matanya menitis hingga ke lantai. Dia menjadi mayat tergantung. Dan mukanya, mukanya serupa aku.