BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, September 25, 2014

THE OTHERS 006

15 SEPTEMBER 2014: Dengan ditemani oleh bekas anak murid yang diajar 11 tahun lepas, aku akhirnya berjaya menjalani rawatan pertama dengan Ustaz Dr. Ism Ms di Pusat Islam, UT. Sesi rawatan kedua akan dibuat kemudian. Bekas anak murid aku, Shm Hr meluangkan masanya untuk menemani aku biarpun sibuk dengan hal-hal akademik. Aku rasa aku seumpama seorang ayah yang sudah tua nyanyuk yang dibalas jasanya oleh seorang anak yang telah berjaya. Suatu ketika dahulu, aku mendidiknya sebagai anak murid. Kini, apabila aku sudah musnah dan 'gila', anak muridku ini pula yang membantu dan menjaga aku. Sebagai bekas guru yang pernah mendidiknya, apakah yang aku rasa? Aku sangat terharu... aku juga sangat terharu kerana ada seorang guru, Cikgu Rstt yang bagaikan kakak kandungku, sanggup menerima kekuranganku, dan membantuku, pada ketika aku sangat lemah. Begitu juga kepada anak-anak muridku yang lain yang turut membantu, seperti Ftr Hs, Azh Syf dan Rzq. Aku mendidik mereka seperti anak sendiri sehingga mereka mendapat banyak kejayaan dan anugerah, kini mereka pula yang menjaga aku. Ia sungguh menyentuh hati. Pada ketika ramai yang memandang hina aku, mempersendakan aku, masih ada anak murid dan bekas anak murid yang masih mahu menjaga aku ketika aku sedang tenat dan musnah. Begitu juga dengan sahabat-sahabat pertama di dunia seperti Hafizul dan Edis yang sudah kuanggap sebagai saudara kandung sejak dari tadika lagi yang turut memberi sokongan moral dari jauh.

Sinopsis: Cikgu Amien mengorbankan banyak kehendak dan keperluan dirinya sehingga menjadi 'gila', semata-mata mahu memberi kejayaan dan masa depan kepada anak-anak muridnya dan, sekolahnya. Pada saat-saat kehidupannya telah musnah, anak muridnya yang pernah dibantunya dahulu, datang semula membela dan menyelamatkannya dari terus musnah. Dia juga mendapat sokongan daripada seorang rakan sekerjanya di sekolah dan anak-anak murid yang pernah dibantunya.

Huraian: Demi memberi masa depan kepada anak-anak muridnya dan sekolahnya serta ibu bapanya, Cikgu Amien banyak menahan diri daripada memenuhi kehendak, impian dan keperluan peribadinya. Hal ini menyebabkan dirinya mengalami tekanan kerana rasa ketidakpuasan hati wujud secara tidak sedar dan mula bertentangan dengan dirinya sendiri. Disebabkan tekanan-tekanan tersebut semakin kuat bertentangan, Cikgu Amien akhirnya menjadi 'gila'.

Pada saat anak-anak muridnya berjaya, Cikgu Amien pula jatuh terjunam ke gaung yang paling gelap dan dalam. Cikgu Amien telah memusnahkan kehidupannya dan masa depannya sendiri demi memberi kejayaan kepada kehidupan dan masa depan anak-anak orang lain. Tekanan demi tekanan menjadikannya 'gila'. Pada masa yang sama dia mula dibenci dan dipandang hina serta diejek oleh orang lain.

Pada ketika hidupnya sudah musnah, anak-anak muridnya dan ibu bapa yang tertentu kembali datang menolongnya. Cikgu Amien yang pada mulanya merasakan dirinya kesunyian dan dipinggirkan orang, kini mula sedar... masih ada orang yang menyayangi dirinya, dan masih ada orang yang mahu membantunya. Terima kasih... sesi rawatan seterusnya akan dihadiri tidak lama lagi.

Ustaz berpesan, "Cuma ada satu Amien. Jangan benarkan yang lain mempengaruhi dan merampas Amien. Cuma ada satu Amien yang berkuasa untuk mengawal diri Amien."

Pada ketika ini Cikgu Amien masih berada dalam keadaan lemah dan perlu dijaga oleh seorang dewasa. Ustaz mencadangkan bekas anak muridnya untuk sentiasa datang menjenguk Cikgu Amien.
Cikgu Amien juga perlu didekatkan dengan orang-orang dewasa supaya dia dapat berubah menjadi orang dewasa dan menjauhkan diri daripada pemikiran kebudak-budakkan. Pemikiran kebudak-budakkan memberi peluang kepada The Others untuk mempengaruhi pemikiran Cikgu Amien lalu mengambil alih badan Cikgu Amien.

The Others mewakili diri-diri Cikgu Amien yang tidak berpuas hati dengan setiap kehendak, keperluan dan impian yang tidak dapat dipenuhi. Walaupun Cikgu Amien cuba menahan diri atau mengabaikan keperluan, kehendak dan impian tersebut, masih ada suara hati yang tidak puas hati. Ini kerana Cikgu Amien dahulunya seorang yang bercita-cita tinggi. Cita-cita dan kehendak yang tidak kesampaian itu akhirnya membentuk pemikiran-pemikiran yang masih mahu mendapatkannya walaupun Cikgu Amien menolaknya.

Sesekali The Others menakluki diri Cikgu Amien, terutama pada ketika mental Cikgu Amien dalam keadaan lemah atau tidak matang. Buat sementara waktu, Cikgu Amien memerlukan bimbingan daripada seorang dewasa yang kuat ilmu agamanya. Antara yang dicadangkan adalah bekas anak murid yang pernah diajar oleh Cikgu Amien pada 11 tahun yang lalu atau seseorang di sekolah yang tinggi ilmu agamanya. Ini bagi membolehkan Cikgu Amien mempelajari cara-cara menjadi orang dewasa, dan seterusnya memiliki pemikiran matang dan pemikiran yang matang ini tidak akan dapat dipengaruhi oleh The Others.

The Others akan sentiasa mencari peluang untuk menakluki pemikiran dan badan Cikgu Amien. Sesi rawatan yang kedua bertujuan untuk berdepan dengan semua The Others yang menghuni di dalam tubuh Cikgu Amien. Ia kedengaran agak menakutkan. Ustaz juga tidak menggalakkan Cikgu Amien bertemu dengan pakar psikiatri kerana hal tersebut akan memberi rekod tidak baik kepada profesionnya. Cikgu Amien ingin berhenti menjadi guru, tetapi ustaz berkata, "Pekerjaan guru sangat mulia."

Cikgu Amien tidak perlu berhenti menjadi guru, kerana penyakitnya masih boleh dirawat.

Apabila Cikgu Amien berkata dia ingin menjadi penulis sepenuh masa, ustaz memberitahu, konsep menulis mesti diperbetulkan. Menulis bukan kerana mencari duit tetapi kerana memberi ilmu kepada orang ramai. Cikgu Amien tiba-tiba teringatkan sesuatu... dia bersetuju dengan pandangan tersebut.

-BERSAMBUNG-