BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, September 29, 2014

THE OTHERS 010

21 SEPTEMBER 2014: Aku mula memahami, ada ramai orang menyayangi aku dalam diam. Yang sanggup menangis dan mengalir air matanya demi aku. Hari ini aku ada satu cerita menarik.

Tadi aku singgah ke sebuah pasar raya. Aku meneliti satu-satu barang-barang di situ, dan juga jenis-jenis barang makanan. Aku tiba-tiba merasa kasihan melihat ikan-ikan, daging-daging dan makanan-makanan yang ada di situ. Jika tidak ada orang membelinya, sudah tentu semua itu menjadi bangkai atau basi. Kasihan nyawa-nyawa yang sudah tidak ada itu, mengharapkan jasad mereka berguna, tetapi akhirnya menjadi sampah.

Entah bagaimana, tiba-tiba datang seorang makcik berbangsa Cina datang kepadaku dan bertanya mengenai susu apa yang terbaik untuknya. Aku menerang satu persatu jenis-jenis susu kotak yang ada di situ.

Selepas menerangkan tentang susu-susu itu, makcik itu pun membuat pilihannya. Dia kemudian memberitahu aku sesuatu dengan yang comel dan menarik berkenaan dengan tarikh luput. Terdapat jenama yang sama, tetapi tarikh luputnya berbeza. Aku tersenyum. Entah kenapa, hari itu makcik itu berjaya menggembirakan aku.

Akhirnya aku berkata kepada diri aku sendiri, "Memandangkan hari ini engkau telah berjaya bercakap dengan seseorang, dan memberi kebaikan kepadanya, maka hari ini engkau boleh memiliki mana-mana air kotak susu yang kau mahu."

Lalu, aku pun mengangkat dua kotak susu itu. Kemudian aku mengangkat lagi sekotak yogurt. Kemudian aku terfikir, makcik Cina yang sudah tua itu pun masih mahu menjaga kesihatannya, kenapa tidak aku yang masih muda. Makcik Cina itu pun tahu menghargai kehidupannya, kenapa tidak aku? Lalu aku pergi menimbang berat badan, dan aku dapati, berat badanku telah turun sekitar 9-10 kilogram!

Pulang sahaja ke rumah, seorang guru yang telah aku anggap sebagai kakak kandungku, menghantar SMS kepadaku. Lalu aku pun menelefonnya. Lebih 37 minit dia menasihati aku dan berbual-bual denganku. Sebelum ini pun dia rajin menelefonku sehingga bilnya melambung. Dialah Cikgu Rstt yang paling aku percayai. Beliau marah apabila tahu aku tidak makan selama beberapa hari dan meminta aku menghentikan semua perkara yang tidak masuk akal ini. Dia meminta aku jaga solat dan jaga makan.

Oleh kerana di dunia ini masih ada orang mempercayai aku dan menyayangi aku, aku rasa aku perlu mula berubah. Terima kasih kepada rakan-rakan di Facebook, rakan-rakan semasa di sekolah, tak kira sekolah tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, rakan di universiti, rakan sekerja, rakan penulis, rakan pengkarya yang telah banyak membantu memberi sokongan moral.

Aku tidak mahu kalian bimbang lagi. Aku akan berusaha untuk berubah menjadi lebih baik. Cikgu Rstt akan menelefonku esok untuk memastikan aku melakukan apa yang telah dimintanya. Nampaknya, Allah telah menghantar ramai orang untuk membantu aku. Kenapa mesti aku mensia-siakan bantuan mereka?

Aku akan berubah. Aku akan balas kebahagiaan yang kalian berikan kepadaku, dengan kebahagiaan juga. Aku akan berusaha untuk terus menyembuhkan penyakitku.

SINOPSIS: Cikgu Amien memiliki impian yang tinggi dalam hidupnya tetapi dia telah mengorbankan keperluan, kehendak dan cita-cita peribadinya demi memberi masa depan kepada anak-anak orang lain. Akhirnya kesemua keperluan, kehendak dan impian yang diabaikannya itu datang kembali kepadanya dalam bentuk The Others, dan menentangnya. Tekanan demi tekanan wujud dan memerangi jiwa Cikgu Amien sehingga dia menjadi gila. Akhirnya, Cikgu Amien berjaya memberi masa depan dan kejayaan kepada anak-anak orang lain (anak-anak muridnya) tetapi dia sendiri kehilangan masa depan, tenggelam dalam gaung dan kesesatan mental. Dia akhirnya dicemuh, dihina, diejek, dikeji, diusir, dihalau, dipinggirkan dan dipersendakan oleh orang lain, termasuk sesetengah orang yang pernah ditolongnya. Kemudian, Allah menghantar beberapa orang yang baik hati untuk memberi sokongan moral dan menolongnya. Ketika itu Cikgu Amien bukan sahaja mengenali siapa sahabat/saudara dan lawan, tetapi bahawa setiap kebaikan itu pasti akan dibalas dengan kebaikan juga.

PENGAJARAN: Setiap pengorbanan yang kita lakukan, pasti akan dibalas dengan kembali dengan kebaikan.

Semoga kisah-kisah yang diceritakan di sini akan memberi pengajaran kepada para pembaca, bahawa tidak rugi berbuat baik. Lambat-laun, Allah akan balas juga.

Semoga tulisan ini akan menjadi penamatan yang menggembirakan untuk semua individu yang telah menyokongku selama ini.