Cara Mengelak Rasa Bosan Semasa Cuti Sekolah Dengan Merancang Percutian Anda
Panduan Merancang Percutian Yang Menyeronokkan
Penulis: Amiene Rev (C) 2009
Penulis: Amiene Rev (C) 2009
Cuti sekolah atau cuti semester akan menjadi sesuatu yang bermakna bagi pelajar sekolah atau pelajar universiti yang pandai menguruskan masa. Jika pelajar kaya, mereka tentu tidak ada masalah untuk bercuti. Namun begitu bagaimana pula dengan pelajar yang tidak berduit?
Setiap tahun, pastikan anda mendapatkan kalendar tahunan persekolahan atau pengkuliahan anda. Kalendar tahunan ini merupakan kunci untuk anda merancang percutian anda.
Teliti jumlah hari atau tempoh cuti bagi setiap cuti sekolah atau cuti semester yang terdapat di dalam kalendar tersebut. Teliti tarikh cuti, dan apa-apa peristiwa penting yang akan anda lalui. Bagi pelajar Tingkatan 3 dan 5 anda mungkin ada kelas tambahan. Anda juga mungkin hendak bekerja sambilan semasa cuti. Oleh itu, susun jadual cuti anda supaya anda dapat melakukan aktiviti-aktiviti yang anda rancang dengan lancar dan bermakna.
Biasanya semasa cuti akan terdapat diskaun atau promosi percutian yang tertentu. Sekiranya anda berminat dengan promosi atau diskaun tersebut, rebutlah lebih awal.
Perlu diingatkan anda memerlukan sejumlah wang yang agak besar untuk bercuti di pusat-pusat peranginan atau sekiranya anda berminat mengikuti pakej-pakej percutian tertentu. Anda boleh menjimatkan kos perbelanjaan untuk percutian apabila anda mengikut pakej percutian berkumpulan. Oleh itu adalah baik sekiranya anda dapat merancang percutian anda bersama sekumpulan pelajar yang lain. Seelok-eloknya anda membuat kaji selidik terlebih dahulu untuk memastikan komitmen setiap peserta percutian dapat diberikan sepenuhnya.
Jika anda inginkan percutian individu, maka apa yang anda perlu lakukan adalah memastikan anda telah menetapkan tarikh percutian anda, dan tempoh masa percutian tersebut. Bermula dari awal tahun lagi, anda hendaklah menabung atau menyimpan duit supaya anda memiliki sumber kewangan yang mencukupi, melainkan anda anak manja emak ayah yang dengan mudahnya mendapat tajaan ibu bapa, atau jika anda bercadang untuk bercuti dengan ibu bapa anda.
Sebaliknya, jika anda ialah bapa atau ibu kepada budak-budak dan anda ingin membawa anak-anak anda bercuti, maka, andalah ketua perancang percutian. Jangan sampai anda menjadi dalang yang merancang percutian yang sungguh tragis, menyakitkan hati dan berterabur, bertindan-tindan isi kandungan tentatifnya.
Perlu diingatkan jadual percutian tidak seharusnya padat. Ini kerana bercuti adalah untuk merehatkan minda, anda tidak perlu memadatkan jadual aktiviti percutian anda. Ambil kira jarak dari satu lokasi ke satu destinasi yang ingin anda kunjungi dalam masa satu hari.
Sekiranya anda tidak mahu memeningkan kepala anda, anda boleh meminta khidmat perunding percutian yang pejabat-pejabatnya boleh ditemui di sekitar stesen-stesen pengangkutan awam seperti di stesen bas atau di stesen kapal terbang, atau di pusat-pusat bandar. Jika anda hendak bercuti ke taman tema seperti Genting Highland, anda digalakkan untuk menghindari hari-hari cuti umum seperti Hari Sabtu dan Ahad. Ini bagi membolehkan anda menikmati kemudahan permainan di taman tema dengan lebih kerap dan juga dapat mengelakkan kesesakan. Contohnya, saya pernah pergi ke Genting Highland pada waktu persekolahan. Dengan bertemankan rakan-rakan dari pelbagai negara seperti Hindustan, Iraq, Jepun, Korea, Finland, Kanada, Brazil dan lain-lain, kami dapat bermain pelbagai permainan di taman tema tersebut tanpa perlu beratur panjang atau menunggu giliran.
Pada kebiasaannya, perunding percutian akan menawarkan pakej individu, pakej berdua atau pakej berkumpulan dengan tawaran harga tertentu. Sesetengah perunding percutian menggalakkan anda menempah lebih awal untuk memudahkan mereka merancang dan menempah penginapan, pengangkutan dan pemandu pelancong sekiranya diperlukan. Pastikan juga anda memiliki passport yang aktif sekiranya anda bercadang melancong ke luar negara.
Percutian yang baik menurut Amiene Rev, memiliki ciri-ciri berikut:
- Keselamatan yang terjamin.
- Penginapan untuk berlindung daripada hujan dan panas.
- Pemakanan yang halal dan dengan gizi yang seimbang.
- Aktiviti harian dapat memberi nilai-nilai positif dalam kehidupan.
- Sumber maklumat yang tepat dan banyak bagi setiap lokasi percutian.
- Kemudahan pengangkutan yang fleksibel sekiranya anda tidak memiliki pengangkutan.
- Percutian yang memiliki tujuan dan matlamat yang berjaya dicapai.
|