BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, April 03, 2015

SURAT PEMBACA: Kekalkan Persahabatan Ini?


Kali ini saya pilih satu lagi e-mel daripada pembaca Blog Duke Amiene Rev untuk ruangan Pos Masalah anda. Penghantar e-mel ini nampaknya risau akan hubungan persahabatannya disebabkan faktor yang tersebut di dalam tulisannya.

Masalah Anda: Perbezaan Cara Pemakaian Pengaruhi  Persahabatan?
Assalamualaikum. Tahun lepas saya berkawan dengan salah seorang rakan sekelas saya. Kami pun jadi kawan baik. Tapi walaupun hubungan kami sangat baik, saya berasa janggal kerana perbezaan kami adalah saya bertudung labuh dan dia biasa-biasa. Masalahnya, kakak dia berpakaian ketat. Dan dia pasti pelik kerana orang yang bertudung labuh merupakan kawan baik adiknya. Sebab itu saya rasa janggal. Adakah persahabatan ini akan terus kekal?

Lili

JAWAPAN AMIENE REV: Waalaikum salam. Persahabatan itu akan kekal bergantung pada niat dan tujuan kita memulakannya. Pernah dengar mengenai 7 jenis persahabatan dan hanya 1 yang akan kekal. Di sini, biarlah saya kongsikan dengan Cik Lili. Semoga berguna dijadikan panduan mencari sahabat.

1. TA'ARUFFAN
Persahabatan yang terjalin secara kebetulan, seperti pernah bertemu di stesyen kereta api, hotel, hospital, pejabat pos, ATM, dan lainnya.

2. TAARIIHAN
Persahabatan yang terjalin kerana faktor sejarah, misalnya teman sekampung, satu kelas, satu sekolah, satu asrama, dan sebagainya.

3. AHAMMIYYATAN
Persahabatan yang terjalin karana faktor kepentingan tertentu seperti rakan bisnes, politik dan sebagainya.

4. FAARIHAN
Persahabatan yang terjalin kerana faktor hobi, seperti teman futsal, badminton, memancing, dan sebagainya.

5. AMALAN
Persahabatan yang terjalin kerana kerjaya, misalnya sama-sama guru, doktor, arkitek dan sebagainya.

6. ADUWWAN
Sahabat tetapi musuh: di depan kita bukan main dia baik lagi tetapi apabila belakang kita ... Allah! Pijak semut pun tak mati! Talam dua muka. Seperti firman Allah SWT : "Kalau kamu mendapat kebaikan atau kesenangan, ia menyakitkan hati mereka, bila kamu ditimpa musibah, mereka senang hati ..." (Surah Ali Imran : 120)

Rasulullah SAW mengajarkan doa : "Allahumma Ya Allah ... selamatkanlah aku daripada sahabat yang bila melihat kebaikanku dia sembunyikan tetapi apabila dia melihat keburukanku dia sebarkan."

7. HUBBAN LIMAANAN
Sebuah ikatan persahabatan yang lahir batin, tulus saling cinta dan sayang kerana ALLAH Azza wa jalla, saling menolong, menasihati, menutupi aib sahabatnya, memberi hadiah, bahkan diam-diam pada penghujung malam, dia mendoakan sahabatnya. Boleh jadi dia tidak bertemu tetapi dia cinta sahabatnya kerana Allah Ta'ala.

Daripada 7  jenis persahabatan di atas, 1 hingga 6 akan LENYAP di akhirat. Yang tinggal hanya 1 ikatan persahabatan iaitu persahabatan yang ke-7. Persahabatan yang terjalin kerana Allah Taala seperti firman Allah SWT : "Pada hari itu (Kiamat) sahabat - sahabat karib akan menjadi musuh bagi yang lain kecuali persahabatan kerana ketaqwaan" (Surah Az-Zukhruf :67)