BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Julai 22, 2012

Pertanyaan Soal Puasa Ramadhan - Batal Atau Tidak?

Berikut adalah beberapa soal jawab berkenaan dengan batal atau sah puasa dalam beberapa situasi. Jawapan untuk soalan-soalan ini telah ditemui, tetapi saya berharap agar dapat mengemukakan soalan-soalan ini ke pihak yang lebih arif kerana jawapan-jawapan yang dinyatakan untuk soalan-soalan ini tidak ada sumber rujukan. Soalan-soalan dan jawapan-jawapan ini dikutip dari sebuah pos berjudul "43 SOAL JAWAB MUDAH BERKAITAN PUASA YANG SEMUA KENA TAHU" dari laman web yang dinyatakan di bawah pos ini.

1) Soalan: Adakah wajib imsak bagi orang musafir yang berbuka puasa apabila sampai ke tempat tinggalnya (bermastautin/bermukim)?
Jawapan: Mengikut pendapat yang lebih rajih tidak wajib berimsak. Imsak ialah menahan diri dari makan dan minum.

2) Soalan: Adakah sah puasa bagi mereka yang tertidur semasa sahur sehingga waktu maghrib?
Jawapan: Sah puasa.

3) Soalan: Adakah perempuan yang haid wajib berimsak?
Jawapan: Perempuan yang haid haram berimsak sebagaimana dia haram bersembahyang.

4) Soalan: Adakah batal puasa seseorang yang terkeluar mani dengan sebab khayalan?
Jawapan: Sekiranya bila dia berkhayal biasa keluar mani maka batal puasanya, kalau biasanya dia berkhayal tidak keluar mani maka tidak batal puasanya.

5) Soalan: Kanak-kanak yang belum baligh adakah wajib berimsak dan qada puasanya?
Jawapan: Tidak wajib berimsak dan tidak wajib qada.

6) Soalan: Orang yang tidak berpuasa kerana tidak berniat malam dan orang yang membatalkan puasanya, adakah boleh makan/minum dan lainnya?
Jawapan: Wajib mereka berimsak iaitu menahan diri dari makan minum dan perbuatan yang membatal puasa, walaupun mereka tidak berpuasa.

7) Soalan: Seseorang yang keluar dari kampungnya setelah fajar kerana musafir, adakah harus bagi mereka berbuka puasa?
Jawapan: Tidak harus berbuka bahkan wajib disempurnakan puasanya.

8) Soalan: Apakah hukum yang dikenakan kerana berzina pada bulan puasa?
Jawapan: Hukumnya batal puasa dan dikenakan kifarat ke atas kedua-duanya sekali (lelaki dan perempuan).

9) Soalan: Seseorang yang telah menyediakan makanan untuk makan sahur, kemudian dia terjaga selepas fajar, adakah sah puasanya pada hari itu?
Jawapan: Sah puasa dengan penyediaan sahurnya kerana penyediaan sahur itu dianggap sebagai telah berniat.

10) Soalan: Seorang perempuan putus haid di siang hari adakah wajib dia berimsak?
Jawapan: Sunat berimsak.

11) Soalan: Adakah sah puasa orang yang bersahur yang berat sangkanya (syak), masuk waktu subuh? Jawapan: Sah puasanya selagi dia tidak yakin masuk waktu subuh dan sekiranya yakin, tidak sah puasanya dan diwajibkan qada.

12) Soalan: Adakah wajib qada' puasa yang ditinggalkan semasa dia gila?
Jawapan: Tidak wajib qada' puasa tersebut.

13)Soalan: Adakah sah puasa seseorang yang biasanya apabila melihat bangkai dia muntah, tetapi sengaja dilihatnya?
Jawapan: Tidak sah puasanya tetapi sekiranya tidak sengaja, maka tidak batal puasanya.

14) Soalan: Adakah sah puasa orang yang berbuka dengan syak masuk waktu maghrib?
Jawapan: Tidak sah puasanya.

15) Soalan: Apakah hukum menggosok gigi pada bulan puasa?
Jawapan: Hukumnya sunat dia menggosok gigi sebelum gelincir matahari dan makruh selepas gelincir matahari.

16) Soalan: Adakah batal puasa termuntah dengan sebab menggosok gigi?
Jawapan: Tidak batal kecuali mereka yang biasanya muntah apabila menggosok gigi dan sengaja dia menggosoknya.

17) Soalan: Apakah hukum meneruskan puasa dua hari berturut-turut atau lebih dengan tidak berbuka?
Jawapan: Haram berpuasa dengan tidak berbuka.

18) Soalan: Apakah hukum cabut gigi dan berbekam ketika berpuasa?
Jawapan: Hukumnya makruh.

19) Soalan: Apakah hukumnya seseorang yang tidak dapat berpuasa pada ramadan kerana sakit yang berkekalan dan mati selepasnya?
Jawapan: Tiada hukum ke atasnya dan begitu juga warisnya.

Soalan: Seseorang yang meninggal dunia, puasanya sudah diqada, tetapi fidyahnya belum dibayar lagi. Adakah fidyahnya bertambah?
Jawapan: Fidyahnya tidak bertambah.

21)Soalan: Seseorang yang terdengar azan subuh ketika bersahur, adakah sah puasanya?
Jawapan: Sah puasanya dan hendaklah berhenti makan serta merta dan terus buang makanan yang ada dalam mulutnya.

22) Soalan: Seseorang yang terkeluar sesuatu dari tekaknya kemudian dia menelannya, adakah batal puasanya?
Jawapan: Batal puasanya.

23)Soalan: Air liur yang terkumpul dalam mulutnya kemudian ditelan, adakah batal puasanya?
Jawapan: Tidak batal puasanya kerana air liur datang dari mulut tidak datang dari rongganya.

24) Soalan: air liur yang bercampur dengan sesuatu yang lain seperti darah atau makanan kemudian ditelan, adakah batal puasa?
Jawapan: batal puasanya.

25) Soalan: Apakah hukum orang yang berpuasa yang makan dengan terlupa kemudian teringat kembali yang dia berpuasa?
Jawapan: Sah puasanya kerana itu adalah rezeki daripada allah. Sabda rasulullah bermaksud: “sesiapa yang makan atau minum dengan keadaan terlupa, maka jangan berbuka puasa maka sesungguhnya itu adalah rezeki yang diberi oleh allah kepadanya."

26) Soalan: Adakah boleh orang yang berpuasa menggunakan kanta lekap?
Jawapan: Boleh.

27)Soalan: Orang yang berpuasa yang melakukan dua kali persetubuhan dalam satu hari. Adakah dikenakan dua kifarat?
Jawapan: Dikenakan satu kifarat saja.

28) Soalan: Apakah hukumnya bagi perempuan yang mengandung atau perempuan yang menyusukan anak membatalkan puasanya?
Jawapan: Harus membatalkan puasa tersebut itu dua sebab:
  • Kerana keuzuran dirinya sendiri.
  • Kerana menjaga kesihatan anak.
Keterangan:
  • Jika berbuka puasa kerana menjaga kesihatan dirinya wajib qada saja.
  • Kalau berbuka puasa kerana mahu menjaga kesihatan anak bukan dirinya, wajib qada dan fidyah sekadar satu cupak beras sehari.
  • Kalau berbuka puasa kerana menjaga diri dan anak wajib qada saja.

29) Soalan: adakah wajib qada puasa yang ditinggalkan ketika dia gila?
Jawapan: tidak wajib qada puasa itu.

30) Soalan: apakah hukum orang tua yang tidak boleh berpuasa kerana tua atau orang tidak terdaya berpuasa kerana sakit berpanjangan?

Jawapan: boleh berbuka puasa dan hendaklah memberi fidyah secupak beras (675 gram); bagi setiap hari yang ditinggalkan dan tidak dikena qada' ke atasnya.

31) Soalan: Adakah harus qada puasa kepada si mati yang meninggalkan puasanya sebulan dengan diqadakan puasanya oleh 30 orang selama satu hari?
Jawapan: Harus dan sah.

32) Soalan: Orang yang tidak berdaya puasa bolehkah diqadakan puasa untuknya?
Jawapan: Tidak boleh diqadakan puasa kepada orang yang masih hidup.

33) Soalan: bolehkah dibayar fidyah 10 cupak kepada seorang atau mesti diberi secupak seorang untuk 10 orang?
Jawapan: boleh diberi kepada satu orang atau 10 orang.

34) Soalan: Adakah sah puasa seorang yang dalam haid dan nifas berniat puasa Ramadhan pada malam hari pada kebiasaannya haid dan nifasnya suci sebelum subuh pada hari tersebut?
Jawapan: Sah niatnya sekiranya suci/nifasnya sebelum fajar.

35) Soalan: Adakah sah puasa bagi orang yang tidak mandi hadas besar?
Jawapan: Sah puasa.

36) Soalan: Adakah batal puasa bagi orang yang berpuasa memasukkan ubat ke dalam matanya?
Jawapan: Sah puasanya kerana mata itu bukan anggota rongga walaupun terasa di tekak

37) Soalan: Adakah batal puasa seseorang yang berpuasa menyuntik dengan ubat yang mengenyangkan?
Jawapan: Batal puasa


38) Soalan: adakah batal puasa apabila termasuk air ke dalam rongga ketika berkumur-kumur di masa wuduk?
Jawapan: tidak batal puasa kecuali melampaui batas ataupun melebihi tiga kali (kali ke empat).

39) Soalan: Adakah sah puasa bagi orang yang pitam?
Jawapan: Sah puasa kecuali pitam yang sepanjang hari iaitu terbit fajar hingga terbenam matahari.

40) Soalan: Adakah pahala membaca Ai-Quran dan bersedekah di bulan ramadhan berganda dari bulan-bulan yang lain?
jawapan: Pahala membaca ai-quran dan bersedekah dibulan ramadhan adalah berganda.

41) Soalan: Hukum puasa orang yang terkentut dalam air?
Jawapan: Puasanya sah kerana terkentut dalam air tidak membatalkan puasa.

42) Soalan: Hukum mencantumkan puasa qadha' dengan puasa sunat?
Jawapan: Hukumnya harus bahkan setengah ulama' mengatakan sunat.

43) Soalan: Adakah fidyah puasa boleh diberi kepada anak yatim?
Jawapan: Tidak boleh diberi kepada anak yatim. Yang berhak menerima fidyah puasa ialah kepada fakir miskin.

Sumber: Laman Web Pusat Islam An-Nur, Politeknik Merlimau.