BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Julai 21, 2012

Korek Hidung Telinga - Batal Puasa Atau Tidak?

Korek Hidung Membatalkan Puasa?

Soalan:
Batal kah puasa kalau kita korek hidung atau buang tahi telinga. Kalau masukkan air dlm hidung adalah sunat semasa mengambil wuduk, membuang najis dalam rongga pun dikira batal ke tidak? Ada tak dalilnya?

Jawapan:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Mengeluarkan kotoran daripada hidung dan telinga tidak membatalkan puasa. Kerana ia bukan dikira makan dan minum, dan tidak boleh disamakan makna dengan makan dan minum.

Memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu’ juga tidak membatalkan puasa, tetapi janganlah berlebihan. Dalam hadis Laqit bin Shabirah:

Maksudnya: Berlebih-lebihlah dalam istinsyaq kecuali jika kamu berpuasa.
Direkod oleh Abu Daud (no: 142), Tirmizi (no: 788), Nasaie (no: 87) dan Ibn Majah (no: 407).

Sumber: Al-Ahkam.Net


Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

Sumber: http://zaharuddin.net