BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, April 15, 2012

GEMPA BUMI 2012 - Peta Dunia Mula Berubah

Tanah naik 0.5 meter selepas gempa
Berikutan beberapa gempa bumi yang telah berlaku sejak beberapa hari kebelakangan ini, peta bumi dijangka mengalami perubahan. Terdapat beberapa kawasan tanah naik sekitar 50 sentimeter dan laut mula menjadi daratan. Menurut saintis geologi, peta dunia sudah mengalami perubahan sejak beratus-ratus tahun dahulu. Nampaknya, bermula dari tahun 2004 hingga kini, dan mungkin untuk beberapa tahun lagi, merupakan satu tempoh untuk satu lagi perubahan peta dunia. - Amiene Rev

Tanah naik 0.5 meter selepas gempa
SUMBER: Berita Harian
  • PENDUDUK Aceh berkumpul di Teluk Sibigi untuk melihat air surut selepas gempa melanda Pulau Sumatera.
  • PETUGAS Agensi Meteorologi dan Geofizik memantau aktiviti gempa di Pulau Sumatera.

Ada kawasan pulau Simeule ‘tersembul’ dipercayai selepas gegaran terbaru landa Aceh


BANDA ACEH: Gempa bumi dengan kekuatan 8.5 skala Richter yang melanda Aceh, 11 April lalu menyebabkan sebahagian paras daratan di beberapa bahagian di Pulau Simeulue, satu daripada kawasan di wilayah autonomi itu naik hingga 0.5 meter. Ketua Jabatan Polis Simeulue, Parluatan Siregar, berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kawasan yang dilaporkan ‘tersembul’ dan sedang membuat penyiasatan. “Ia memerlukan pakar untuk membuat kajian lanjut. Namun, tidak dinafikan paras air laut yang biasa sudah berubah sejak gempa bumi landa, cuma sama ada ia berpunca daripada paras air yang menurun atau daratan yang naik belum dapat dipastikan.”

Seorang penduduk di daerah Busung, Simeulue Timur, Ilham, berkata berdasarkan pemerhatiannya, memang ada kesan daratan yang naik di wilayah itu.

“Sebagai contoh, tempat yang biasanya digunakan nelayan tempatan untuk menambat sampan sebelum ini, tiba-tiba sudah berada di daratan.

“Dalam keadaan biasa sampan tidak pernah terkandas jika ditambat di kawasan ini walaupun ketika air surut, tetapi sekarang tidak lagi. Selain itu, paras air laut di beberapa bahagian pulau juga turun dan ini memberi isyarat bahawa bahagian daratan sudah naik,” katanya.

Ilham menganggarkan paras daratan naik kira-kira 0.5 meter atau lebih rendah, manakala kesannya memerlukan penyelidikan lanjut.

Fenomena sama pernah berlaku ketika gempa bumi terkuat melanda Pulau Nias pada 2005 yang mengorbankan lebih 600 nyawa, apabila pantainya menjadi condong, manakala sebahagian kawasan laut berubah menjadi daratan, dipercayai berpunca daripada pergerakan plet bumi.

Kejadian gempa di Simeulue tidak menyebabkan kemalangan jiwa, tetapi merosakkan beberapa bangunan milik kerajaan.

Sementara itu Ketua Pusat Data dan Maklumat Agensi Menangani Bencana Kebangsaan (BNPB) Purwo Nugroho berkata paras air laut didapati meningkat di kawasan Nias Utara dan Meulaboh selepas gempa bumi melanda wilayah itu Rabu lalu tetapi tidak mencetuskan tsunami.

“Data yang diperoleh BNPB menunjukkan kenaikan paras permukaan laut hingga satu meter di Lahewa, Nias Utara dan 1.02 meter di Meulaboh, Banda Aceh,” katanya kepada wartawan.

Beliau berkata, walaupun gempa bumi terbaru dikategorikan sebagai kuat, tsunami yang berlaku tidak besar.

“Maklumat yang diperoleh daripada Agensi Meteorologi dan Geofizik (BMKG) menunjukkan, tsunami berjaya dikesan di wilayah Sabang apabila paras air naik 0.06 meter, manakala di Meulaboh ketinggiannya mencapai 0.8 meter,” katanya.

Nugroho berkata berpuluh ribu penduduk Aceh, di kawasan terjejas yang berpindah ke kawasan lebih tinggi sudah kembali ke rumah masing-masing, manakala aktiviti seharian pulih seperti biasa.

“Bagaimanapun, kami menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada. Pihak kami akan meneruskan pemantauan mengenai kemungkinan gempa bumi berlaku lagi,” katanya. – Agensi


Pakar tak jangka ancaman tsunami bawa kemusnahan seperti gegaran hampir lapan tahun lalu
SUMBER: Berita Harian

BANDA ACEH: Gempa bumi terbaru dengan kekuatan 8.7 skala Richter yang melanda Aceh semalam dijangka tidak disusuli tsunami hingga membawa kematian dan kemusnahan besar seperti yang berlaku pada 2004. Pakar memberi pandangan dengan berkata, kedua-dua gempa yang berlaku berbeza dari aspek geologi. Gempa yang berlaku kali ini adalah secara melintang dengan plat tektonik bergeseran menyebabkan gelombang dalam air meningkat sedikit.

Sejenis lagi gempa membabitkan anjakan besar seperti di Jepun tahun lalu dan pada 2004 menyebabkan dasar laut bergegar dan naik hingga menghasilkan ombak yang menuju pantai. Pakar kaji gempa di Biro Kajian Geologi Britain, Roger Musson, yang mengkaji garisan gempa di Sumatera mengakui gusar apabila gegaran terbaru berlaku.

“Tetapi, apabila saya tahu jenis gegarannya, saya rasa lebih baik kerana tidak sama seperti sebelum ini,” katanya. Biro Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan, gempa berukuran 8.7 magnitud berlaku 435 kilometer dari Banda Aceh.

Pemerhatian terhadap tsunami oleh Pusat Amaran Tsunami di Hawaii kemudian menasihatkan berpuluh-puluh negara di sepanjang lingkaran Lautan Hindi, dari Australia hingga India dan Afrika supaya berjaga-jaga. Bagaimanapun, satu-satunya ombak yang berlaku kurang 80 sentimeter tinggi menghempas pantai Indonesia. Tetapi, ketika banyak pihak menarik nafas lega, satu lagi gegaran berukuran 8.2 magnitud melanda.

“Kami baru saja memberi amaran mengenai satu lagi kemungkinan tsunami berlaku,” kata jurucakap geofizik Indonesia, Prih Harjadi, kepada TVOne.

Penduduk Indonesia dinasihatkan supaya mengelak daripada pergi ke pantai barat. Bagaimanapun, ancaman itu kemudian ditarik balik. Oleh itu, gegaran dan bukan tsunami yang mencetuskan kebimbangan dan panik di beberapa tempat termasuk di negara jiran sperti Singapura, Thailand hingga India apabila bangunan bergoyang. Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) berkata, sistem komunikasi yang dibentuk selepas tsunami 2004 berfungsi dengan baik.

“Rekod kami menunjukkan semua khidmat meteorologi di negara yang menghadapi risiko tsunami menerima amaran tidak lebih daripada lima minit,” kata Ketua Program Pengurangan Risiko Bencana, Maryam Golnaraghi.

Sistem amaran awal itu disiarkan oleh Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika yang mengendali stesen amaran tsunami di Hawaii, katanya. – AP