BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, September 05, 2011

Hantu Bonceng - Astro First VS Panggung Wayang

Jumlah kutipan Hantu Bonceng pada hari pembukaan iaitu pada raya kedua RM700,000 dan dijangka mencecah RM3.5 juta hingga semalam.


Ahmad Idham ketika dihubungi Jumaat lalu, meluahkan rasa gembiranya dengan sambutan terhadap karya terbarunya ini hingga ada yang mengatakan dirinya sudah kembali ke dunia box office selepas beberapa filemnya sebelum ini sekadar boleh tahan saja.


Senjakala sekadar RM1.1 juta manakala Damping Malam lebih RM2 juta tetapi itu dikatakan ada kaitan dengan tayangan eksklusif di rumah terus dari panggung melalui Astro First. Damping Malam menjadi filem Melayu pertama ditayangkan di Astro First menyebabkan minat orang untuk menonton Astro First mengatasi sambutan di panggung.


Bagaimanapun, kali ini Ahmad Idham berbincang dengan Astro First bahawa sambutan penonton terhadap Astro First bergantung kepada sambutan penonton di panggung. Kalau sambutan di panggung laris, bermakna akan diteruskan di Astro First dan begitulah sebaliknya.


Apapun, agak sedih juga kerana kali ini tiada filem yang ada mood raya ditayangkan di pawagam, sebaliknya filem yang ada kena mengena dengan raya, Raya Tak Jadi Terbitan LineClear Motion Pictures ditayangkan pada 15 September nanti.


Ada yang berpendapat, tidak perlu ada filem berkaitan raya ditayangkan di panggung pada musim raya kerana risikonya tinggi. Sebabnya, stesen televisyen sudah menyiarkan program menarik mengenai raya beberapa hari sebelum raya hingga seminggu raya. Begitu juga dengan juadah pada hari raya penuh dengan rendang dan ketupat.


Jadi, lebih baik filem di panggung lari daripada mood raya kerana sudah menjadi adat, orang suka berubah selera. Malah Hantu Bonceng juga bukanlah filem seram tetapi lebih banyak komedi dan seramnya hanya 20 peratus saja.

PETIKAN DARI: HMETRO