BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Mac 30, 2010

Hari Ini Tanpamu Lagi, Namun Hidup Ini Tetapku Teruskan

Musim hujan sudah turun. Setiap kali hujan turun, akan ada satu kenangan silam datang berbisik ketika aku merenung tanah. Apabila aku mengingati hari ini hujan turun, aku akan terkenangkan kisah silam, yang telah berlalu, diiringi doa dan harapan. Sekali lagi, aku paparkan sajak ini, dan berkongsi apa yang berlaku pada hari ini. Kejayaan. Demi kejayaan. Kebahagiaan yang mekar selepas berlalunya kisah lalu. Aku percaya, hadiah yang paling baik daripadaku untuknya, adalah kebahagiaan hidupku kini. Kerana dia di alam sana, pasti bersedih, jika aku bersedih. Maka aku ciptakan kebahagiaan dalam hidupku kini, untuknya.


Pusara Adinda
Hakcipta: Amiene Rev (C) 2006


Menjelang hari lebaran
Tidak mampu kulebarkan senyumku
Mengingati pusara adinda
Kian hari ditumbuhi mawar dan herba

Terkenangkan hari itu mendung langitnya hujan membasahimu adinda
lumpur mencalit wajahmu adinda
kesejukan mendinginkan sumsummu adinda
rintik-rintik hujan berbunyi menghilangkan sunyi, mengusik jiwa kanda.

Terkenangkan hari itu panas terik mentarinya
tanah kontang terma mengewapkan pusaramu adinda
semut dan serangga singgah merayap ditubuhmu adinda
kain putih bertukar kuning diliputi debu, mengharukan hati kanda.

Sudah terkilan silam kita
Berlalu sudah manis-manis madu hidup kita
Namun hubungan dinda dan kanda
terus bertaut tidak mudah dicarik-carik
dan pada hari lebaran ini nanti
tunggu hadirnya jasad yang bernyawa ini
merinduimu...
mendoakanmu...
mengubati hati yang hiba
memohon rahmat akhirat
Syawal tanpa hadirmu...
tanpamu di sisi...

Ahad, Mac 28, 2010

Anjing-Anjing Berkeliaran - Hukum Memelihara Anjing

Anjing terkenal sebagai binatang yang setia. Saya masih ingat suatu ketika dahulu, saya terpaksa berdepan dengan beberapa ekor anjing garang yang cuba menyerang saya. Sejak itu, saya dan anjing seperti musuh. Namun, setiap kali saya melihat anjing, khususnya anjing liar yang kelaparan, perasaan simpati tetap akan terdetik. Sejak itu saya menyedari perasaan bermusuhan yang saya alami selama ini dengan anjing sebenarnya adalah sejenis trauma. Saya juga menyedari, saya bukanlah seorang yang anti-anjing, walaupun saya tidak suka melihat anjing berhampiran dengan saya. Saya juga menyedari, semakin takut saya kepada anjing, semakin kuat perasaan saya untuk mendekati, mengetahui dan memahami tentang anjing.

Saya menemui hal ini:
Sesiapa mengambil anjing (sebagai peliharaan) kecuali anjing menjaga tanaman atau anjing menjaga ternakan atau anjing berburu maka setiap hari pahalanya berkurang satu qiraat.[12] [Shahih Muslim – no: 1574]

Terhadap hadis di atas para fuqaha berbeza pendapat adakah haram atau makruh untuk memelihara anjing atas sebab-sebab selain menjaga kemaslahatan dan menolak kemudaratan. Pendapat yang rajih (kuat) adalah makruh hukumnya, sebagaimana ulas al-Syaukani: [13]

Ini menjadi dalil atas kebolehan memelihara anjing atas sebab-sebab selain daripada apa yang disebut (dalam hadis di atas). Sesungguhnya ia tidak haram kerana sesuatu yang jika penggunaannya adalah haram ia tidak boleh digunakan dalam semua keadaan tak kira sama ada ia mengakibatkan pengurangan pahala atau tidak. Maka ini menunjukkan bahawa penggunaannya (memelihara anjing selain daripada tujuan menjaga tanaman, ternakan dan berburu) adalah makruh dan bukan haram.

Kesimpulannya, makruh hukumnya untuk memelihara anjing kecuali jika memiliki sebab-sebab yang tertentu demi menjaga kemaslahatan dan menolak kemudaratan. Adapun hikmah hukum makruh ini antara lain adalah kerana memelihara anjing akan menyebabkan malaikat rahmat menjauhi rumah kita, menimbulkan rasa takut kepada tetamu dan salakannya mengganggu ketenteraman jiran.

PETIKAN SUMBER:
Hassan Al-Basri r.a mengatakan bahwa pada anjing ada sifat mulia yang perlu diteladani oleh setiap orang mukmin.

Pertama : Anjing itu sentiasa lapar,dia jarang makan sampai kenyang. Sifat ini adalah sifat orang-orang soleh.

Kedua : Anjing tidak mempunyai tempat yang tetap. Dia selalu berpindah randah mengikut keperluannya. Sifat ini adalah sifat orang-orang yang bertawakal kepada Allah.

Ketiga : Anjing tidak tidur pada waktu malam,melainkan sedikit sahaja. Dia selalu berjaga-jaga. Sifat ini sama seperti sifat orang-orang yang cintakan Allah, sentiasa renggang punggungnya dari tempat tidur kerana bermunajat kepada Allah.

Keempat : Jika anjing mati, dia tiada barang yang diwariskan dan tidak ada pula yang mewaris. Sifat ini adalah sifat hamba-hamba Allah yang zuhud.

Kelima : Anjing tidak suka meninggalkan tuannya, tidak merajuk atau melarikan dirinya daripada tuannya sekalipun dipukul dan dimarah. Sifat inilah tanda-tanda yang dimiliki oleh para murid yang siddiqin yang sedang belajar dengan Gurunya. Tidak marah dan tidak merajuk walaupun dia diuji dengan berbagai-bagai ujian.

Keenam : Dia lebih redha dan lebih suka bertempat di tanah, tidur di tanah atau tempat-tempat yang lebih rendah daripada tempat manusia. Ini adalah tanda-tanda orang yang tawadu’, orang-orang yang suka merendah diri dan tidak menyombong.

Ketujuh : Jika tempatnya diambil alih oleh orang lain atau ditempati oleh benda lain, dia pindah ke tempat lain tanpa merasa marah atau berdendam. Inilah tanda-tanda hamba Allah yang redha akan bahagiannya.

Kelapan : Jika ia dipukul, dihalau atau dibaling dengan benda-benda yang menyakitkan, dia menerimanya.Tidak ada perasaan dendam kesumat terhadap perkara-perkara yang lepas. Inilah tanda-tanda hamba Allah yang kusyuk.

Kesembilan : Jika anjing melihat orang makan,dia melihat saja dari jauh, tidak meminta-minta atau menganggu. Jika diberi makan atau tidak diberi, dia diam sahaja. Inilah sifat orang miskin yang redha akan pemberian Allah s.w.t.

Kesepuluh : Jika dia berjalan atau pergi dari tempat asalnya, tidak menoleh-noleh ke belakang. Inilah tanda-tanda orang yang susah.

Sabtu, Mac 27, 2010

Kebahagiaan Yang Berterusan

Tuhan, sejujurnya aku bersyukur kepada-Mu,
kerana selepas aku melalui zaman sedih dan pilu,
kerana selepas aku dianiayai dan digigit oleh anjing tersepit,
kau berikan pula aku kemudahan, kelebihan, kekuatan dan kesenangan.

Hari ini aku melihat lagi,
rahmat-Mu datang kepadaku.
Alhamdulillah.

Tuhanku,
aku akan terus berjuang,
berkatilah aku, rahmatilah aku,
lipat gandakan saham akhirat guru-guruku
dan pensyarah-pensyarahku
biarpun satu huruf yang mereka ajarkan kepadaku.
Berikan kesenangan kepada ibu bapaku,
di dunia dan di akhirat.

Semoga hidupku akan terus didampingi,
orang-orang yang baik hati,
berbudi bahasa dan bijaksana,
yang menyenangkan hatiku.

Amin.

Khamis, Mac 25, 2010

Dialog 2 - Gagak dan Anak Kucing

Gagak dan Anak Kucing
Malam tadi, aku bermimpi melihat gagak dan anak kucing. Anak kucing cuba menangkap dan menerkam si gagak, tetapi akhirnya dikalahkan si gagak. Anak kucing cedera dan terkulai layu, sementara si gagak cuba memberi buah penamatnya kepada si anak kucing. Aku pun segera menyelamatkan si anak kucing yang tercedera. Namun, aku rasa si anak kucing telah pun menemui ajalnya.

Anjing Lapar
Malam ini, sebentar tadi, seekor anjing hitam berkeliaran di depan pintu kaca sebuah bangunan. Dan ada dua ekor anjing lagi. Anjing-anjing itu melihat sesuatu di dalam jeriji penutup longkang.

Kereta Hitam Bertanda Gagak dan Hello Kitty
Malam ini sebentar tadi, aku perlahan-lahan melalui satu kawasan perumahan. Terdengar bunyi riuh di depan. Aku melihat ada sebuah kereta, terdapat simbol gagak dan Hello Kitty. Aku terdengar teriakan budak. Aku terdengar jeritan budak dan seorang perempuan dewasa. Aku memandu perlahan, merapati kereta bertanda Gagak dan Hello Kitty. Sebaik-baik sahaja cermin tingkap keretaku bertentangan dengan cermin kereta tersebut, kereta itu terus memecut laju, dalam keadaan tergesa-gesa membelok ke simpang dan terus hilang. Aku melihat seorang wanita bergegas keluar dari rumah, keadaannya kelam kabut, resah gelisah.

Selepas meninjau seketika, aku memandu ke hadapan perlahan-lahan. Aku dapati ada seorang lelaki berbaju merah, menggunakan walkie-talkie.

Lalu aku tahu, tugasan baru sebagai seorang intelligent officer sudah pun bermula.

Rabu, Mac 24, 2010

Dialog 1 - Cleo

Langit tiba-tiba gelap. Angin hangat menghembus, dan dingin perlahan-lahan terasa. Cuaca panas sudah diam. Musim sejuk telah datang. Perlahan-lahan, dari langit, titisan hujan berjatuhan. Bunyi berderap-derap berkompang di bumbung bangunan.

"Kalau kau tidak takut akan hujan, kau seharusnya sudah keluar mengejar Cleopatra."

Andy tidak bergerak. Cahaya panas telah mematikannya. Dahulu, Andy suka menggigit wayar RJ 45 yang menghubung dua buah komputer. Tidak, salah satu adalah komputer riba.

"Kenapa harus mengejar Cleo, ketika aku masih ada Lucy?"

Dahulu, ada seekor ibu ayam sedang mengeram telur. Kemudian mati dimakan musang. Lalu, tidak ada telur yang dapat menetas.

"Kenapa mesti tinggalkan Cleo, ketika Andy belum tahu hidup matinya?"

Kemudian, telur itu dimakan tikus. Dan tikus itu mati.
Dan, ini adalah kisah si kambing, Cleo, si musang, Lucy dan si tikus, Andy

Jumaat, Mac 12, 2010

Pelajar Kelas Corot Yang Mendapat A Dalam Peperiksaan

Kadang-kala di dunia ini, boleh berlaku perkara yang dianggap mustahil. Tidak ada siapa pun yang tahu pintu rezeki manusia. Ada manusia yang berjaya dan cemerlang tetapi hidup susah pada kemudiannya dan tidak mendapat kebahagiaan kerana dosa-dosa mereka kepada guru-guru mereka. Kisah kali ini berkenaan pelajar kelas corot yang mendapat keputusan yang cemerlang.

Pelajar Kelas Corot Yang Mendapat A Dalam Matematik
Kisah Guru Matematik dan Guru Tingkatan
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Tahun ini aku melalui detik yang penuh mencabar apabila aku ditugaskan untuk mengajar bukan sahaja subjek Matematik malah Matematik Tambahan kepada pelajar yang boleh dikategorikan sebagai lemah Matematik dan Matematik Tambahan.

Pada masa yang sama aku ditugaskan sebagai guru tingkatan. Masa-masa yang ada perlu aku bahagi-bahagikan untuk mengendalikan kesemua tugasan sekolah yang diamanatkan. Sememangnya sebagai guru, aku memerlukan 32 jam sehari.

Pada waktu malam dan awal pagi, ketika embun sedang menitik turun ke atas dedaun hijau, aku menulis modul Matematik dan Matematik Tambahan untuk anak-anak muridku. Di dalam hatiku tetap ada sinar harapan kepada para pelajarku. Kadang-kadang hati ini sayu melihat pelajar-pelajar kelas corot yang mempelajari Matematik Tingkatan 4 tanpa asas yang kukuh. Sikap dan minda pelajar-pelajar ini seperti kanak-kanak kecil, dan kebanyakan mereka tidak tahu berdikari dan mengurus dan mengawal diri. Kekuatan suara dan nafas seorang guru memainkan peranan.

Namun aku terus mengajar mereka. Jauh di sudut hati, aku mengetahui dengan asas yang sangat lemah, pelajar-pelajar ini mustahil boleh memahami konsep-konsep Matematik yang bertaraf tinggi. Semasa kelas Matematik Tambahan berlangsung, rata-rata pelajar yang lemah Matematik akan bertanya, dan pertanyaan mereka berkaitan dengan konsep Matematik yang sepatutnya sudah mereka kuasai semasa di peringkat UPSR dan PMR dahulu. Oleh sebab itu, masa pengajaranku umpama emas. Aku perlu menerangkan kembali konsep-konsep Matematik semasa di peringkat UPSR dan PMR, semasa aku sedang mengajar subjek Matematik dan Matematik Tambahan.

Baru-baru ini, ujian Matematik berlangsung. Ada beberapa orang pelajar di kelas kedua tercorot yang aku ajar mendapat keputusan yang baik dalam Matematik. Aku begitu bersyukur apabila mendapati ada pelajar yang belajar di kelas corot, di mana pelajar-pelajarnya amat lemah dalam Matematik, mendapat A dalam ujian tersebut.

Kalau dulu mendapat E atau Gagal dalam Matematik merupakan perkara biasa bagi pelajar kelas corot, kini, dan pada masa akan datang, tidak mustahil semua pelajar kelas corot pun boleh dapat A atau B sekiranya mereka betul-betul rajin belajar dan berusaha untuk memahami ilmu yang diajar.

Di dalam kelas corot yang aku ajar, ada pelajar yang mendapat A untuk subjek Matematik. Sebagai guru Matematik, aku anggap ini petunjuk daripada Tuhan untuk memberitahu aku tentang kekuasaan Tuhan. Sekali lagi aku bersyukur kepada Allah kerana memakbulkan doaku, dengan memberiku petunjuk mengenai dilema yang aku hadapi sebagai seorang guru Matematik dan Matematik Tambahan. Allah telah memberi petunjuk ini kepadaku untuk memberitahuku supaya jangan risau, teruskan berusaha dan pasti, aku akan menuju ke kejayaan hakiki.

Ya Allah, terima kasih di atas petunjuk-Mu.

Ahad, Mac 07, 2010

Origin Of Nahil - Asal-Usul Nahil

Waktu malam, horizontal. Gelap. Satu lembaga, jasadnya tegap berdiri menghampiri pembaringan. Menghadap mangsa yang sedang tidur lena. Dari wajahnya yang jauh sayup dari jasadnya yang umpama menara, dia merenung dalam ke wajah mangsanya.

Nahil, adalah pengacau mimpi. Menghadirkan diri pada malam hari. Dingin tidak terasa. Peredaran udara terasa hangat, lemas dengan ruam-ruam panas memenuhi badan mangsa. Nahil terus berdiri, dengan udara panas yang membelai rambut-rambutnya yang panjang mengurai, mencecah ke ibu kaki.

NOST - Pemburu Memori
akan datang

Jumaat, Mac 05, 2010

Di Kaca TV2 - Mei 2010

Setelah sekian lama menanti...
khabar berita itu akhirnya sampai juga.
Nantikan sesuatu di kaca televisyen,
saluran RTM2.
MEI 2010

Rabu, Mac 03, 2010

Peguam Peribadi dan Jijik Menerima Hadiah Pelajar Tertentu

Peguam peribadi boleh membantu memudahkan urusan keluarga. Justeru, apabila ada apa-apa perkara yang saya berasa curiga tidak kira berkaitan urusan pejabat, tingkah laku individu atau isu-isu tertentu yang membuatkan saya berasa tidak senang hati, maka saya akan merujuk kepada peguam peribadi keluarga kami dan tindakan susulan akan dibuat berdasarkan perbincangan keluarga.

Tugas sebagai seorang guru bukan bermakna kita mengharapkan hadiah daripada pelajar. Kali ini kisah saya mengenai pendirian seorang guru sebagai seorang guru.

Jijik Menerima Hadiah Pelajar Tertentu
Penulis: Amiene Rev (C) 2009
Mungkin ada sesetengah orang ingat, guru suka menerima hadiah daripada pelajar-pelajarnya. Pendapat ini mungkin silap. Sebagai seorang guru, aku cuma suka untuk menerima hadiah daripada pelajar-pelajar tertentu sahaja. Mungkin benar hati ini akan terharu apabila melihat pelajar memberi hadiah, tetapi harus juga melihat kepada personaliti pelajar tersebut.

Jika pelajar itu seorang yang biadab, aku langsung tidah berkenan untuk menerima apa-apa hadiah daripadanya. Bagiku, hadiah atau material yang diberikannya kepada aku itu umpama najis daripada seekor keldai yang degil. Aku tidak berhajat menerima apa-apa hadiah daripada pelajar seperti ini.

Hadiah untuk seorang guru tidak boleh dinilai dengan material. Bagi seorang guru, hadiah yang paling baik itu ialah pelajar itu menjadi seperti acuan yang dikehendaki oleh guru tersebut. Itu sudah cukup, kerana itulah hadiah yang paling mahal yang pernah diterima oleh seorang guru. Bukan mudah untuk seseorang pelajar itu menjadi seperti hasil acuan yang dikehendaki guru.

Apa yang dikehendaki oleh seorang guru? Seorang pelajar yang dapat menjadi manusia yang berkemahiran, memiliki sifat menghormati guru, ikhlas, mampu memberi sumbangan, merendah diri, bersemangat tinggi dan mengamalkan ajaran guru sepenuhnya.

Isnin, Mac 01, 2010

Kebangkitan Semula Guru Tingkatan

Kali ini saya ingin mengisahkan bagaimana seorang guru tingkatan bangkit semula setelah melalui rintangan yang berliku-liku dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang guru tingkatan dan juga seorang guru Matematik.


Kebangkitan Semula Guru Tingkatan dan Guru Matematik
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Mungkin ramai yang tidak tahu, tugas sebagai seorang guru sebenarnya amat memerlukan pengorbanan masa, emosi dan mungkin juga wang. Guru tidak dibayar kerana bekerja lebih masa. Mungkin benar seorang guru balik ke sekolah sekitar jam 2 petang, tetapi rata-rata perlu menyiapkan tugasan selepas pukul 2 petang. Guru-guru harus berdiri dan bersuara lantang di depan kelas, supaya mesej mereka dapat sampai ke belakang kelas. Guru-guru ada yang perlu menanda sebanyak 840 buah buku latihan dan nota dalam masa satu minggu, di mana semua itu memungkinkan masa yang diperlukan untuk menanda sebuah buku adalah sekitar 150 jam seminggu, bersamaan enam hari seminggu.

Bagaimana pula jika guru tersebut menjadi guru tingkatan? Ya, inilah cabaran aku sebagai seorang guru tingkatan. Terlibat sebagai pengurus sukan tenpin boling dan juga sebagai penolong ketua rumah sukan merangkap penolong pengurus rumah sukan memerlukan aku menguruskan masa dengan bijak walaupun aku memerlukan 32 jam satu hari untuk membolehkan pergerakan kerja lebih selesa.

Kini, aku dalam melaksanakan satu proses untuk mencipta sistem baru peribadi untuk menyelaraskan kerja-kerja penandaan buku latihan dan nota, dan juga urusan pengurusan serta pengkeranian kerja-kerja guru tingkatan bagi membolehkan aku memiliki lebih masa untuk merancang dan mengatur strategi pengajaran kelas-kelas Matematik dan Matematik Tambahan di sekolahku.

Sejak beberapa minggu lepas, aku seolah-olah memacu seekor kuda liar di jambatan bertali yang dihujani dengan ratusan anak panah dari langit. Bukan mudah untuk mengendalikan seekor kuda liar yang ketakutan dalam keadaan permukaan jambatan yang tidak rata. Aku rasa aku berjaya melalui rintangan tersebut.

Rintangan tersebut adalah penuh dengan kenangan. Kenangan yang berisi keringat, darah dan air mata. Kadangkala aku kesal dengan mana-mana ketidak-sempurnaan kerja yang aku lalui dalam tempoh tersebut, namun, apa yang berlalu akan terus berlalu, dan aku tahu, Tuhan pun tahu, aku telah berniat untuk cuba melakukan kerja-kerja aku seberapa baik yang mungkin. Kerana aku, cuma memiliki 24 jam dalam ketika aku memerlukan 32 jam sehari.

Ini adalah permulaan, untuk aku bangkit semula sebagai seorang Guru Tingkatan, dan seterusnya menjadi Pendidik Matematik Terunggul dalam sejarah pendidikan, dan seterusnya menyumbang sedekah pahala dan saham akhirat untuk diriku dan juga untuk guru-guru yang telah mendidik aku sebelum ini, dengan ilmu-ilmu yang aku tuntut daripada mereka.

Kerana aku memilih untuk menjadi guru Matematik, dan guru tingkatanku dahulu, semuanya juga adalah Guru Matematik, dan doa aku ketika itu seolah-olah sedang direstui Tuhan. Aku dijadikan sebagai guru tingkatan, ketika aku juga seorang Guru Matematik dan Matematik Tambahan. Aku kini dapat menghayati perasaan guruku sepenuhnya, dan seterusnya mewujudkan rasa cinta, kasih dan penghargaan serta sanjungan tertinggi untuk Guru Matematik aku yang sehingga kini masih berhubung denganku.

Konsep Matematik adalah keadilan, kata guru Matematikku pada suatu ketika dahulu. Kalau di sebelah kiri kamu tambah suatu nilai, maka di sebelah kanan persamaan itu juga kamu perlu tambah suatu nombor yang sama nilainya dengan nombor di sebelah kiri. Kini, aku mengulang kata-kata ini kepada anak-anak muridku pula.

Dan aku masih ingat, ketika aku mendapat 100% markah, markah penuh dalam ujian Matematik ketika aku di tingkatan satu, aku tidak menoleh ke belakang lagi, aku terus mara, apabila aku mengingati Guru Matematikku semasa di tingkatan satu yang juga merupakan guru tingkatanku semasa di sekolah menengah, yang terus memberikan kepercayaan dan inspirasi kepadaku. Tidak kira semasa di tingkatan satu, dua atau di tingkatan empat atau lima, guru tingkatanku adalah guru Matematik.

Semua kenangan ini memberi inspirasi kepadaku untuk cuba menjadi guru tingkatan yang lebih baik dalam pada masa yang sama aku menjadi guru Matematik. Kadangkala aku bertanya di dalam hati:

Cikgu, bagaimana cikgu dahulu menjadi guru tingkatan?
Cikgu, bagaimana cikgu rasa semasa mengajar saya ilmu Matematik?

Konsep Matematik ialah keadilan
Matematik Tambahan dahulu dianggap sebagai subjek dewa-dewi
Nombor, angka, cara cikgu menyebut perkataan-perkataan tersebut sangat sedap didengar,
dan kerana itu saya jatuh cinta terhadap Matematik
Bagaimana cikgu lakukan semua ini?

Cikgu, Cikgu buat saya bersemangat dan berminat dengan Matematik
Pernahkah cikgu berasa susah hati semasa mengajar saya?

Cikgu, sampai sekarang bila saya pergi ke sekolah,
Cikgu sering menyebut nama saya,
Sehingga guru-guru baru pun mengenali saya,
walaupun sudah lebih 10 tahun berlalu,

Cikgu, semasa di universiti dahulu,
saya mohon kepada cikgu,
agar restui segala ilmu saya,
yang akan saya perturunkan kepada anak-anak murid saya.

Sebab dengan ilmu cikgu,
saya akan wariskan kepada anak-anak murid saya.

Cikgu, saya akan sentiasa ingat cikgu sampai mati,
dan saya telah melalui pelbagai rintangan dan air mata,
sebelum bergelar Cikgu Matematik,
tetapi semua itu saya tidak peduli,
kerana saya mengejar bayang-bayang Cikgu,
Jadinya saya sebagai Guru Matematik pada hari ini,
adalah kerana pada suatu ketika dahulu,
saya memiliki suatu inspirasi,

dan inspirasi itu adalah Cikgu-Cikgu semua,
guru-guru saya.

Ilmu cikgu mengalir dalam darah daging saya,
tidak kira sama ada saya menjadi guru atau pun tidak,
segala makan minum saya pada hari ini,
bersumberkan daripada ilmu-ilmu yang Cikgu-Cikgu semua
berikan kepada saya.

Saya akan terus menyebar saham akhirat Cikgu-Cikgu semua
dengan ilmu yang saya warisi ini.

Suatu hari nanti saya akan menjadi
seorang murabbi berjiwa pendidik
melaksanakan perjuangan yang suci
dan diredhai Allah