BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, November 03, 2007

Lahirnya Amiene Rev Yang Baru - Bermulanya REV (REVOLUSI)

Minatku untuk menulis di blog sudah meluntur sejak akhir-akhir ini. Aku tidak tahu berapa lama aku akan meninggalkan dunia blog. Mungkin ini cuma perasaan bipolar. Untuk sementara waktu sahaja. Mungkin selepas ini aku akan menulis lagi.

Sebenarnya, sebab peperiksaan itu sudah hampir. Oleh sebab itu rasa untuk menulis itu sekarang sudah mula pudar. Mungkin apabila selepas tamat peperiksaan aku akan menulis lagi. Mungkin juga aku tidak akan menulis lagi. Aku tidak tahu.

Aku tidak tahu kenapa, tiba-tiba aku rasa, lebih baik aku menulis di laptop sahaja. Sejak akhir-akhir ini aku sering dikacau dengan pemikiran orang politik. Aku rasa politik itu sungguh durjana. Apabila manusia menjatuhkan antara satu sama lain, bercakap buruk dan mengaibkan orang lain. Seolah-olah dunia demokrasi itu tidak bermakna untuk kehidupan manusia. Seolah-olah siapa kaya, berduit, maka dialah yang memerintah. Siapa yang dapat memberikan kesenangan dialah yang menguasai rakyat.

Ada pula yang suka mengutuk dan mencari kesalahan orang lain. Pihak lawan. Sedangkan, bukankah bagus jika mereka mendoakan lawan mereka yang menang itu supaya terbuka hatinya untuk menerima kebenaran? Kenapa mesti memburuk-burukkan orang? Kenapa mesti mengaibkan orang? Aku tidak suka dunia politik yang semacam ini.

Aku ingin menutup laptop hari ini. Mencabut wayar LAN. Melipatnya. Aku ingin kembali menulis dengan cara lama. Sebelum aku mengenali dunia internet. Saban hari, aku didedahkan dengan fitnah, umpatan dan kata-kata yang memburuk-burukkan orang dan mengaibkan orang. Mereka menghantar e-mel, forward e-mail dan sebagainya.

Manusia, biarpun ada kebenaran di depan mata, mereka masih tertarik dengan khabar angin. Menyiasatnya. Menyiasat keburukan. Ada juga blog yang memburuk-burukkan orang lain. Ada pula pengunjung yang datang ke blog orang lain dan menyebarkan keburukan. Meracau-racau di blog orang, meracau-racau di laman web orang. Menyebarkan gosip, dusta, provokasi dan konflik tanpa ada kaitannya dengan topik atau entri yang dibicarakan.

Dunia siber penuh dengan ruang keburukan. Namun di sebalik ruang-ruang keburukan yang bermaharajalela, aku bersyukur kerana masih ada ruang untuk aku mencari ilmu.

Aku akan berhenti menulis di blog, barangkali. Aku akan menyimpan catatanku di suatu tempat yang selamat. Mengkaji dan terus mengkaji. Suatu masa nanti, nama aku akan dilupakan dalam dunia blogger.

Ramai blogger akan menanggalkan namaku dari senarai blogger yang terdapat pada blog masing-masing. Menamatkan jaringan.

Ketika itu semua orang akan melupakan aku. Melupakan Amiene Rev. Melupakan segala-galanya. Lupa untuk mengunjungiku. Dan, kemudian, lama selepas itu aku akan kembali semula secara senyap-senyap. Churi churi, chupke chupke.

Aku akan melihat siapa yang pada ketika itu masih setia menungguku kembali. Semua ini penting untuk aku menghayati sesuatu. Aku sedang mencari satu jawapan. Satu jawapan sahaja.

Satu jawapan yang akan menjelaskan segala-galanya. Persoalan. Misteri. Kekeliruan.

Dengan ini, aku meninggalkan dunia blog. Memutuskan segala-gala hubungan yang telah aku wujudkan atau diwujudkan. Aku akan kembali semula, mewujudkan ikatan baru.

Ikatan yang membawa maksud, masa depan. Kegemilangan. Kebenaran. Kejayaan.

Aku telah mengaktifkan jam randik. Bererti, aku sudah bersedia memikul tanggungjawab yang sebelum ini aku belum sanggup memikulnya. Sejak saat pertama jam randik itu bergerak, minda aku pun turut sama berubah. Serius. Tidak sekadar retorik.

Memutuskan segala hubungan blogger dan penulisan siber. Mengunci semua hak cipta. Mula melihat dunia dari satu perspektif yang belum pernah dilihat. Melihat realiti dari aspek yang baru. Mencari kesedaran dalam kebenaran. Mencari jawapan dalam titik cahaya di kegelapan.

Aku tidak lagi terikat dengan sebarang budi. Sebarang janji. Sebarang tanggungjawab sosial. Manusia, apabila dia menjadi pemimpin, maka akan hilanglah peluangnya... hilanglah peluangnya...

Aku ada satu tanggungjawab. Tanggungjawab itu, sering bertanya:

"Amiene Rev. Selalunya engkau memikul bebanan orang lain. Engkau memiliki satu kuasa yang mampu mempengaruhi dan mengubah orang yang mahu engkau ubah. Engkau menjadikan sesuatu yang mustahil itu tidak mustahil. Mewujudkan kejutan demi kejutan.

Amiene Rev. Engkau selalu menolong orang lain. Mengorbankan masa dan peluang yang engkau ada semata-mata untuk orang lain. Kini aku ada satu persoalan, bagaimana tanggungjawab engkau untuk diri engkau.

Amiene Rev. Jika engkau mahu membantu orang lain. Tingkatkan lagi ilmumu. Untuk itu engkau harus seketika, atau untuk satu jangka masa yang panjang, meluangkan masamu untuk memajukan lagi dirimu.

Amiene Rev. Tinggalkan dunia ini. Carilah jalan untuk bersunyi-sunyian. Mencari jawapan alam. Lupakan seketika masalah orang lain. Dulu, engkau memikul masalah orang lain. Hari ini engkau tinggalkan semua itu, cuma masalah engkau.

Amiene Rev. Selepas ini. Cuma ada masalah engkau untuk engkau atasi. Biarkan manusia-manusia yang sengsara itu menyelesaikan masalah mereka sendiri. Mereka memiliki Tuhan, engkau juga memiliki Tuhan. Jika mereka meminta tolong kepada engkau, maka engkau pula hendak meminta tolong kepada siapa?

Amiene Rev. Manusia-manusia itu patut diajar bagaimana menyelesaikan masalah mereka. Jangan engkau manjakan mereka. Jangan pula engkau terkongkong dengan soal budi. Budi tidak akan terbalas. Jangan jadikan itu sebagai alasan untuk membebankan tanggungjawabmu.

Amiene Rev. Apabila kamu memasuki dunia manusia. Maka banyak kerenah manusia yang akan engkau temui. Apabila engkau mencampuri urusan mereka, maka akan ada sokongan dan tentangan. Janganlah engkau mencampuri urusan dunia lagi, untuk seketika.

Amiene Rev. Ikatan kita cuma satu. Engkau dan Tuhanmu. Apabila engkau menulis, hanya satu, urusan kau dengan Tuhanmu. Kau memikul perkataan-perkataan yang diredhai Tuhanmu. Segala penentangan itu adalah seperti sinaran suria. Segala cemuhan dan kejian itu adalah seperti bayu pagi. Segala pujian itu, adalah seperti tanah yang dipijak. Kau terus berjalan mara ke hadapan tanpa mempedulikan sesiapa lagi.

Amiene Rev. Revolusi sudah bermula. Jam randik sudah digerakkan. Cuma Engkau dan Tuhanmu. Apabila engkau menulis adalah antara Engkau dan Tuhanmu."

Dan tulisan-tulisanku nanti cuma akan tersiar di dalam laptopku. Tidak perlu risau lagi mengenai capaian internet, sekatan blogger dan sebagainya. Dan tulisanku nanti juga pada dakwat dan kertas. Darah dan dinding, dan tanah, dan jiwa.

Apabila tiba masanya, tulisan-tulisan itu akan menjadi sesuatu yang sangat berharga untuk dikenang kembali. Betapa damainya hidup, apabila aku mengasingkan dunia yang kacau bilau daripada hidupku.

"Aku ingin menjadi pertapa,
di sebuah gunung yang hijau,
dengan awan yang permai,
Mengisi masa dengan menulis,
puisi dan sajak, ceritera dan kisah..."

Tiba-tiba aku mengingati baris-baris ini, yang pernah aku tulis beberapa tahun dahulu. Aku tidak sepatutnya mencampuri kehidupan orang lain. Biarlah mereka yang membuat keputusan untuk diri mereka sendiri. Campur tangan aku cuma mendatangkan kesedihan DAN kekesalan, apabila mereka masih tidak dapat membuat keputusan yang wajar. Apabila aku menolongmu, dan kamu tidak bersyukur, sedangkan pertolonganku terhadapmu adalah dengan izin Tuhanmu dan Tuhanku, tetapi kamu tidak pernah bersyukur dan sedar, tidak pernah insaf dan mahu mengubah dirimu... sesungguhnya kamu adalah orang yang rugi.

Cuma aku dan Tuhanku. Tuhanku yang memberikan aku rezeki.

cuma aku dan Tuhanku...

cuma aku dan Tuhanku...

cuma aku dan Tuhanku...

-TAMAT-