Kembali ke Tanah Tumpah Darah
Apakah perkara yang paling membosankan dalam hidup? Cuti sekolah. Barangkali ini perkataan yang baik bagi seorang guru seperti aku. Cuti sekolah pada minggu terakhir boleh jadi perkara yang paling menyeronokkan, tetapi cuti pada pertengahan tahun kurang memuaskan.
Mungkin aku adalah manusia dari jenis workaholic yang suka bekerja. Bukan. Sebenarnya kebimbangan aku mengatasi kepenatan aku sebagai seorang guru. Banyak perkara yang belum memuaskan hati aku sebagai seorang guru.
Barangkali perkataan seangkatan dengan perfectionist juga sesuai dengan diri aku. Di sini aku berkenalan dengan seorang pendidik bernama Imtiaz. Kami berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris kerana sudah semestinya Imtiaz tidak boleh berbahasa Melayu. Imtiaz, usianya sekitar 40 tahun.
Imtiaz suka berbual dengan aku. Setiap kali kami makan di kafe, dia akan mengajak aku berbual-bual dengannya. Topik-topik utama selalunya berkisar mengenai pelajar-pelajar, mengenai kemanusiaan. Imtiaz suka dengan prinsip dan falsafah kemanusiaanku.
Dua minggu lepas, Imtiaz ada membuka Google Earth, untuk menunjukkan lokasi kediamannya. Bangunan di situ bumbungnya rata-rata, seperti deretan papan kekunci.
Ya, ada seorang pelajar bermasalah di sekolah ini. Namanya Bob. Dia sepatutnya dibuang sekolah tetapi pihak sekolah tidak dapat berbuat demikian. Walau kehadiran Bob kadangkala boleh menjadi ancaman terhadap pelajar-pelajar lain, namun, aku rasa, apa perkara yang penting ialah mengubah dirinya. Ini, perkara yang sukar. Sebab, cuma Bob yang boleh mengubah Bob. Bob cuma berusia 13 tahun. Biarpun badannya besar dan tinggi, tetapi Tragedi Virginia Tech tidak sepatutnya diungkit di sini.
Ah, tidak elok aku bercerita mengenai keburukan anak murid di sekolah aku. Biar pun aku bukan mengajar di kelasnya setakat ini.
Bulan Ogos ini ramai warga sekolah akan berangkat ke Thailand. Kebetulan, ketika itu musim panas. Namun, apa yang aku mahu, ialah melihat salji turun pada bulan Disember.
Aku akan pulang ke rumah tidak lama lagi, untuk bertemu dengan keluarga aku, pada pertengahan tahun ini. Sementara waktu sebelum berangkat semula ke tempat yang jauh dari keluarga aku ini.
Semoga Tuhan menetapkan hati aku, agar terus kekal ikhlas untuk berbakti sebagai seorang guru. Oh, ya. Tidak lama lagi menu makanan di sekolah akan berubah. Akan ada menu baru kegemaran aku. Aku sangat menyukai stew biri-biri muda.
|