Isnin, September 25, 2006
Perkataan-perkataan Dalam Teknik Acuan Ayat Amiene Rev
Ditulis oleh Amiene Rev pada 11:57 PTG |
Label: Bahasa, Karangan dan Esei, Pendidikan
Contoh Penggunaan Peribahasa dan Kiasan Dalam Menulis Karangan
Ditulis oleh Amiene Rev pada 11:55 PTG |
Label: Bahasa, Karangan dan Esei
Ahad, September 24, 2006
Petua Masakan - Daging dan Ikan
Cara Memilih Daging
- Daging yang disembelih (secara Islam) adalah pilihan yang terbaik. Ini kerana daging yang disembelih, sudah dikeluarkan semua darah yang mengangkut pelbagai bahan-bahan yang boleh memudaratkan pemakan daging. Darah yang terpendam di dalam daging akan membiakkan kuman dan bakteria pada kadar yang lebih pantas, oleh itu daging akan lebih cepat busuk.
- Jika membeli daging import, jangan terus simpan dalam peti sejuk, sila gantung daging itu untuk tujuan melembutkan serat-serat ototnya terlebih dahulu. Kemudian simpan dalam bahagian paling sejuk di dalam peti sejuk. Pastikan daging dimasak, tidak lebih tiga hari daripada tarikh membeli.
- Daging digantung terlebih dahulu untuk tujuan melembutkannya. Contohnya, perhatikan daging-daging bagi tujuan eksport khasnya di luar negara. Daging akan digantung dalam bilik khas dalam jangka masa tertentu. Ia bertujuan meredakan kembali ketegangan serat otot lembu yang kejang akibat "ketakutan" ketika disembelih. Bagaimanapun mengikut hukum Islam, terdapat bacaan dan cara penyembelihan tertentu yang mencegah daging menjadi liat.
- Sekiranya membeli daging beku, pengguna tidak dapat menikmati kesegaran dan perisa semula jadi daging. Sebaliknya daging menjadi kering dan liat. Ini disebabkan kehilangan air pada daging apabila proses melembutkannya dijalankan. Justeru itu, anda dinasihatkan mendapatkan daging segar yang baru disembelih untuk menjamin keenakannya apabila dimasak.
Cara Melembutkan Daging
Bagaimanapun daging yang liat masih bolih dilembutkan dengan pelbagai cara. Tetapi ingat, sebelum diperap atau direbus, biarkan daging setongkol untuk mengekalkan kandungan air didalamnya. Jangan dipotong-potong atau dikerat kebahagian yang lebih kecil kerana daging akan kecut dan hilang air dalam jumlah yang banyak.
Cara tradisional melembutkan daging - kaedah zaman dulu-dulu
- Mengikut secara tradisi, sediakan sebiji betik atau nenas muda untuk daging lebih kurang 3 kilo. Kisar nenas atau betik. Perapkan bahan tersebut dengan daging tadi dan simpan selama sejam. Selepas itu, bersihkan daging dan bolehlah dipotong mengikut citarasa masing-masing.
- Cara kedua, potong buah betik atau nenas. Kemudian rebus bersama dengan daging hingga mendidih. Angkat dan asingkan kedua-dua bahan tersebut. Setelah sejuk bolehlah dipotong mengikut kegemaran masing-masing.
- Ada orang kata apabila merebus daging, letakkan sudu ke dalam daging yang direbus tu. Kaedah ini biasanya berkesan untuk daging yang segar atau baru dibeli.
Cara moden melembutkan daging - kaedah zaman sekarang
- Rebus daging bersama-sama pati santan kelapa hingga mendidih. Untuk sekilo daging, gunakan sebiji kelapa. Selain mengempuk, daging juga lebih berasa lemak dan enak kerana telah diserap santan ke dalamnya.
- Terdapat cara lain melembut daging, kini menggunakan serbuk yang diperbuat daripada betik dan nenas yang boleh didapati disesetengah pasar raya.
Hilangkan Bau Daging
- Cara pertama, dengan menggunakan tepung gandum, ataupun dengan perahan air asam limau nipis atau asam jawa. Selepas daging dipotong, masukkan sesenduk tepung dan gaul rata-rata. Biarkan 10 minit dan bersihkan daging semula.
- Cara kedua, jika menggunakan teknik melembutkan daging dengan buah betik atau buah nenas, anda bukan sahaja mengempukkannya tetapi bau hanyir daging turut hilang.
- Cara lain: Untuk menghilangkan bau ayam yang baru di beli di pasar, anda hendaklah mengambil sedikit gandum dan merendam ayam atau pun daging.
- Selepas itu basuhkan ayam/daging ini bersih. Sekiranya masih lagi berbau maka sila ulangi process rendaman ini ke dalam air gandum.
Tambahan: Petua Masakan Berkaitan Ayam dan Ikan
Bagaimana pula petua yang berkaitan dengan daging ayam dan ikan? Sudah tentu suri rumah akan merasakan kesukaran setiap kali menggoreng ayam jika ayam yang digoreng itu melekat pada kuali. Cuba petua ini. Ambil beberapa ulas bawang merah (bergantung pada ayam), belah dua bawang tersebut bersama ayam. Anda akan dapat hasilnya ayam yang digoreng tadi tidak akan melekat pada kuali.
Ikan Air Tawar
Ikan puyu, keli dan haruan yang dimasak akan berbau hanyir jika tidak kena dengan cara membersihnya. Untuk hilangkan baunya, ambil secekak daun pisang, ramas bersama ikan-ikan tersebut dan bilas bersih-bersih. Cara ini akan dapat membersihkan dan menghilangkan bau hanyir ikan darat tersebut selain menambahkan kelazatannya. Kalau tak orang tak makan atas daun pisangkan? Nasi lemak terasa lebih enak dan harum apabila dimakan di atas daun pisang.
Ditulis oleh Amiene Rev pada 11:05 PTG |
Label: Resipi dan Petua Masakan
Isnin, September 18, 2006
Mesej Daripada Amiene Rev
Nampaknya sejak beberapa minggu yang lepas, sistem di tempat saya terus menerus menyekat laluan ke mana-mana blog atau friendster. Antara laman yang telah disekat ialah blogspot, blogdrive dan beberapa laman blog yang lain. Friendster dan myspace juga disekat kecuali pada masa-masa tertentu, selepas waktu pejabat. Namun laman blog disekat terus!
Bak kata, ada orang tidak senang melihat pencapaian orang lain sama ada secara sengaja atau pun tidak. Oleh itu pelbagai cara boleh dibuatnya. Tindakan yang tidak matang. Perbuatan menyekat laluan ke blog adalah suatu perkara yang merugikan pihak, sebab ada banyak pandangan tokoh-tokoh tempatan dan luar negara yang turut sama menulis blog tidak dapat dibaca lagi.
Agak mengecewakan sebab saya tidak boleh lagi meneliti rekabentuk, mengkaji kod dan skrip, mempelajari sistem jaringan dan memberi pandangan saya terhadap blog-blog di Malaysia ini.
Jadual harian saya terlalu padat untuk membolehkan saya keluar ke pusat-pusat siber berdekatan. Buat masa ini saya tidak dapat memenuhi permintaan blogger-blogger untuk mengulas dan mengkritik blog mereka, haraf maaf.
Kajian terhadap potensi blog sebagai penyampai ilmu pengetahuan juga terpaksa ditangguhkan disebabkan masa tidak mengizinkan untuk saya keluar ke kafe-kafe siber berdekatan. Namun itu bukan alasan untuk saya berhenti begitu sahaja, bahagian-bahagian lain dalam kajian ini masih boleh diteruskan. Saya akan meneruskan projek penulisan saya berkaitan dengan grafik dengan metodologi berdasarkan prinsip andragogi. Juga meneruskan kerja-kerja penulisan saya dalam bidang-bidang lain. Masa yang digunakan sebelum ini untuk meneliti, mempelajari, memahami dan mengulas blog orang lain telah digantikan dengan penulisan akademik saya secara tetap. Doakan semoga saya berjaya menghasilkan penulisan akademik dan intelektual yang berkualiti untuk kegunaan ramai, khususnya pelajar-pelajar saya.
Tidak lupa kepada anak-anak murid saya, teruskan belajar. Percutian saya telah tamat. Sudah tidak dapat mengajar mereka lagi. Orang bercuti balik kampung, saya bercuti balik ke sekolah untuk mengajar. Tak apa, mak ayah, raya nanti saya jenguk-jenguk ke kampung. Anak lelaki tidak sah kalau tidak merantau. Hobi saya merantau. Sambil merantau, sambil belajar dan sambil mengajar. Biar beratus-ratus kilometer sekali pun, duit yang saya gunakan adalah duit hasil karya-karya saya. Pada suatu hari nanti saya akan kembali ke tempat asal saya juga.
Kepada pembaca-pembaca blog ini, sekiranya anda mendapat sesuatu yang berguna dalam blog ini, terima kasih kerana mempraktik dan menyebarkannya. Ada juga keberkatan saya menulis dalam blog ini selama ini. Ramai orang tidak tahu potensi sebenar blog, namun, suatu ketika nanti mereka akan tahu juga.
Saya harap para blogger akan sedar kenapa saya menggalakkan penulis blog supaya menyampaikan isi kandungan mereka dengan menggunakan Bahasa Melayu yang rasmi... suatu hari nanti mereka akan tahu dan memahaminya.
Salam hormat... sampai berjumpa lagi pada masa akan datang.
Ditulis oleh Amiene Rev pada 10:01 PG |
Label: Pengkritik Blog
Sabtu, September 09, 2006
KESIHATAN KAKI - Petua Penyakit Kaki
Sayangilah kaki-kaki anda
MUNGKIN kerana kedudukannya yang paling bawah, ia adalah anggota tubuh terakhir atau langsung tidak mendapat perhatian sebahagian besar daripada kita.
Tetapi, kita terlupa. Pada bahagian paling bawah inilah, dilengkapi dengan kejuruteraan berstruktur yang amat menakjubkan - kaki.
Tugas dan tanggungjawabnya juga bukan calang-calang. Seluruh `berat badan' dibebankan kepadanya. Ia juga umpama `kenderaan' paling selamat yang membawa kita ke mana saja.
Sebab itulah, ada pendapat yang mengatakan, jika kaki anda sihat, maka kesihatan tubuh secara keseluruhan juga terjamin.
Malangnya, berapa ramai yang mengambil berat tentang kesihatan kaki, seperti kita `menjaga' lain-lain anggota tubuh?
Sebaliknya, saban hari, kita telah dan terus `menindas' kaki dengan banyak cara. Antaranya, menyarung kaki dengan kasut yang tidak begitu sesuai, berdiri berjam-jam dan sebagainya.
"Lama-kelamaan, jika keadaan ini dibiarkan, kaki akan mengalami tekanan berlebihan."
"Kesannya, ia boleh menjejaskan kesihatan tubuh secara keseluruhan seperti sakit leher, lutut dan belakang," kata Pakar Runding Podiatri, Pusat Penjagaan Kesihatan Komplementari Datuk Paduka Saleha, Petaling Jaya, Selangor, Dr. Mark Reyneker.
Menurut beliau, sebilangan besar kesakitan yang dirasai pada anggota tubuh tersebut berpunca daripada fungsi kaki yang terjejas. Bagaimanapun, berita baiknya, ia ada penawar.
Tetapi, tidak ramai yang benar-benar faham atau ambil peduli apabila fungsi kaki mereka terjejas. "Sebab itulah, mereka terus memilih untuk hidup dalam ketidakselesaan atau membiarkan diri dalam kesakitan," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran butik kasut terkemuka, di sebuah pusat membeli-belah baru-baru ini.
Menurut Reyneker, sebilangan orang tidak menghidap penyakit yang serius, tetapi mereka berasa tidak selesa setiap kali berjalan atau berdiri terlalu lama.
Malah, pada masa yang sama, tidak kurang yang merungut kerana gagal mendapat kasut yang sesuai dengan pelbagai alasan.
Sehubungan itu, selain rawatan perubatan, hanya kasut yang dilengkapi dengan alat sokongan dan kusyen yang sesuai dapat membantu merawat masalah kaki.
ANTARA JENIS MASALAH KAKI:
- Rengsa pada otot-otot labu betis kaki
Individu yang menderita masalah ini biasanya mengadu rasa sakit teramat sangat apabila mereka mula memijak lantai selepas bangun tidur.
Atau, beberapa langkah pertama selepas duduk dalam jangka masa yang lama. Rasa sakit ini berkurangan apabila melakukan aktiviti.
Otot-otot labu betis terletak pada bahagian belakang kaki hingga ke tumit. Masalah ini boleh menjadi semakin serius dengan pelbagai aktiviti yang menyebabkan tekanan pada tendon.
Biasanya ia dihadapi oleh atlet terutama pelari jarak jauh. Antara sebab berlakunya masalah ini ialah pemilihan kasut yang salah, kecederaan pada tendon dan kecacatan tulang tumit.
- Bunion
Bengkak pada sendi antara ibu jari kaki dan tulang metatarsal pertama. Benjolan yang timbul ini menyebabkan ibu jari kaki tertolak ke jari kaki yang lain.
Bagaimanapun, masalah yang paling kerap dialami oleh hampir kebanyakan wanita ini disebabkan pemakaian kasut yang ketat.
Selain itu, ia juga disebabkan radang sendi dan kelainan pada fungsi kaki.
Antara gejalanya ialah radang, pembengkakan dan kesakitan pada sisi permukaan ibu jari.
- Kematu
Pembentukan sel-sel kulit mati yang mengeras dan menebal pada tapak kaki. Ia berlaku sebagai satu tindak balas bagi melindungi kaki akibat tekanan yang berlebihan dan geselan.
Kematu, biasanya terbentuk pada tumit, benjolan tapak kaki atau bahagian bawah ibu jari kaki.
Masalah ini biasanya disebabkan pemakaian kasut bertumit tinggi, kasut terlalu kecil, obesiti dan cara seseorang itu berjalan.
Selain itu, tapak kaki yang rata, atau lengkungan tapak kaki terlalu dalam dan kehilangan lemak-lemak pada bawah tapak kaki juga punca seseorang itu menghidap kematu.
- Belulang
Seperti kematu, belulang terjadi akibat pengumpulan sel-sel kulit mati pada kaki. Ia akan menebal dan lama-kelamaan menjadi keras.
Ia terbentuk pada bahagian atas sisi dan hujung jari. Amat menyakitkan dan boleh menjadi radang jika ia sering tergesel dengan kasut yang dipakai.
Belulang disebabkan oleh pemakaian kasut yang ketat, kasut tumit tinggi, sarung kaki dan stoking yang terlalu ketat atau kecacatan pada jari kaki.
- Tapak kaki rata
Ia merupakan masalah biomekanikal yang berlaku semasa seseorang berjalan.
Pergerakan semasa berjalan boleh menyebabkan tekanan yang ekstrem atau radang pada tapak kaki.
Mereka yang mengalami masalah ini tidak merasai ketidakselesaannya pada masa yang sama atau langsung tidak merasainya. Tetapi, apabila gejalanya mula timbul dan rasa sakit, cara berjalannya pelik.
- Sakit tumit
Gejalanya dialami pada awal pagi atau selepas berehat dalam jangka masa yang lama.
Ia juga antara masalah yang paling kerap ditemui. Ini kerana seluruh berat badan terpaksa diampu pada tumit. Lama-kelamaan, keadaan ini menyebabkan tekanan pada bahagian tersebut dan ketidakselesaan yang amat sangat.
Dua jenis masalah tumit ini ialah, sindrom sakit tumit dan plantar fasciitis. Sindrom sakit tumit berpunca daripada tumit kasut yang terlalu rendah, pelapik pada tumit kasut yang rosak atau peningkatan aktiviti secara tiba-tiba.
Manakala, plantar fasciitis disebabkan oleh tapak kaki rata. Apabila ia rata, kaki akan meregang dan menyebabkan timbulnya rasa sakit pada tapak kaki dan lengkungan tapak kaki.
- Metatarsalgia
Kesakitan nyeri yang dirasai pada tulang-tulang metatarsal iaitu pada bahagian bawah tapak kaki berhampiran jari kaki.
Masalah yang juga paling kerap ditemui ini boleh menjejaskan sendi-sendi dan tulang-tulang pada bahagian tersebut.
Kasut yang tidak sesuai atau kasut yang ketat menyebabkan bahagian ini tertekan. Ia menyebabkan seseorang tidak boleh berjalan dengan normal. Sekali gus, menyebabkan kesukaran ketika berjalan kerana rasa tidak selesa pada bahagian tersebut.
Selain itu, pemakaian kasut tumit terlalu tinggi, atau mereka yang menyertai aktiviti lasak tanpa menggunakan kasut yang sesuai juga boleh menekan bahagian ini.
Peningkatan usia yang menyebabkan lapisan lemak pada bahagian tapak kaki menipis, juga menyebabkan kita lebih mudah rasa sakit pada bahagian tersebut.
- Plantar fasciitis
Radang yang disebabkan regangan pada bahagian bawah tapak kaki. Regangan secara keterlaluan, menyebabkan rasa sakit pada tumit, lengkungan tapak kaki dan tumit.
Biasanya, regangan yang boleh menyebabkan radang dan rasa tidak selesa ini berlaku kerana:
- Tapak kaki rata
- Lengkungan tengah tapak kaki yang dalam
- Peningkatan aktiviti fizikal secara tiba-tiba
- Kehamilan atau berat badan berlebihan hingga membebankan kaki
- Pemakaian kasut yang tidak begitu sesuai.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA
Ditulis oleh Amiene Rev pada 2:37 PTG |
Label: Kaki, Kesihatan, Penyakit Kaki
Cerita Seram Suami dan Isteri Di Tepi Jalan
Lama sungguh! Si isteri terus sabar menanti. Tuk! Tuk! Tuk! Seperti ada sesuatu mengetuk-ngetuk di atas bumbung kereta. Kemudian, datang seorang penunggang motosikal, memandu perlahan, mendongak ke atas bumbung kereta. Kemudian dia terus memecut laju motosikalnya.
Bunyi ketuk mengetuk makin kuat di atas bumbung kereta. Apa yang sudah berlaku? Kenapa… penunggang motosikal itu melarikan diri?
Malam terus membangkitkan kesunyiannya. Tanpa bunyi cengkerik. Cukup sunyi. Sesekali terdengar bunyi ketukan di atas bumbung kereta. Si isteri tetap tabah menanti kepulangan suaminya…
Ya… si suami sudah lama pulang, tetapi tanpa badan. Kepalanya… berada di atas bumbung kereta itu.
Ditulis oleh Amiene Rev pada 11:47 PG |
Label: Cerita Seram, Pelik dan Seram
Rahsia Blog dan Web Popular
Faktor-faktor utama adalah disebabkan perkara berikut:
- Isi kandungan dan hasil tulisannya yang menarik perhatian atau kena dengan peristiwa semasa.
- Blogger atau pemilik laman web tersebut merupakan seorang yang sememangnya popular, dihormati, dipercayai dan memiliki tarikan atau kepentingannya terhadap pengunjung.
- Berbalas kunjungan antara satu blogger dengan blogger yang lain.
- Rekaan blog yang cantik, optimum dengan kelajuan internet secara umum.
Ditulis oleh Amiene Rev pada 10:09 PG |
Label: Pengkritik Blog
Jumaat, September 08, 2006
Gambar Kucing Comel Yang Boleh Berdiri
Adakah anda rasa gambar-gambar kucing pelik atau ganjil atau kucing ini adalah foto kucing hantu yang sungguh menyeramkan?
Ditulis oleh Amiene Rev pada 11:04 PG |
Label: Pelik dan Seram
Ahad, September 03, 2006
Pengkritik Blog Bercuti
Ditulis oleh Amiene Rev pada 11:09 PTG |
Label: Pengkritik Blog
BLOG: Amanitium - Logika Logam Psikotik
Sebenarnya menerusi permintaan. Amanitium telah mengisi borang untuk diulas yang ada disediakan dalam blog ini. Jika anda mahu berkunjung ke blog saudara Amanitium, bolehlah klik pada gambar bendera yang bertangan ni.
Paparan skrin blognya tidak sesuai untuk komputer yang menggunakan skrin 1024 x 768 dan ke bawah.
Saya tidak tahu bagaimana pandangan orang lain, tapi bagi saya blog ini perlukan perubahan dari segi rekabentuk. Saya rasa mungkin kerana saiz bendera Malaysia menyebabkan rekabentuknya lari sedikit. Sebenarnya saiz imej bendera Malaysia itu boleh dikecilkan, tetapi saya beranggapan saudara Amanitium mempunyai semangat kenegaraan yang cukup tinggi.
Ini boleh dilihat secara simbolik. Pertama, bersembunyi di belakang bendera sambil menunjukkan simbol V yang mewakili Victory (kejayaan). Ini membawa maksud, Kejayaan Malaysia lebih penting daripada kejayaan peribadi. Manakala saiz bendera Malaysia yang tidak dikecilkan sehingga mengorbankan rekabentuk blog saudara Amanitium pula membawa maksud, saudara Amanitium rela berkorban demi negara. Ngeh heh hee... Tepuk! Tepuk tangan! Saya tiba-tiba rasa insaf sebab bendera dalam blog saya dah dikecilkan saiznya.
REKABENTUK BLOG: Boleh tahan
Untuk resolusi paparan blog, kebanyakan orang masih menggunakan resolusi 1024 x 768 dan 800 x 600. Resolusi yang Amanitium gunakan sekarang boleh dikatakan terbaik bagi pengguna yang mempunyai Skrin Lebar atau paparan resolusi yang lebih tinggi atau lebar daripada 1024x768. Adakah Amanitium memiliki 'notebook' jenis skrin lebar?
Walau bagaimana pun, rekabentuk blog yang diasaskan daripada rekaan Isnani ini telah dipadankan dengan sedikit pengubahsuaian warna yang sesuai. Pemilihan warna putih yang merupakan warna kegemaran orang Asia turut memudahkan elemen-elemen baru dimasukkan ke dalam blog ini. Saya tak ada masalah dari segi ini.
BAHASA DAN PENULISAN: Sangat Bagus!
Saya suka dengan ayat-ayat yang digunakan dalam blog ini. Penulisannya menggunakan bahasa dan ejaan yang betul. Gaya penulisannya juga cukup baik. Saya rasa jika ada aplikasi penterjemahan untuk menukar isi kandungan blog Amanitium ke bahasa asing, maka penterjemahan itu boleh berlaku dengan sangat baik! Ini kekuatan dan kelebihan blog yang menggunakan bahasa dan ejaan yang betul. Blog Amanitium layak untuk dicalonkan dalam kategori Bahasa Penulisan terbaik, selain blog Kassim Selamat dan beberapa buah blog lain yang telah saya ulas jika saya ingin mewujudkan anugerah peribadi bagi kategori ini.
Anda betulkah seorang guru? Maka anda memiliki etika seorang guru. Namun, penggunaan huruf kecil pada ayat pertama dalam blog anda telah mencacatkan imej anda sebagai seorang guru. Namun jika anda betulkan, blog anda adalah salah satu blog terbaik dari segi penulisan yang pernah saya ulas!
ISI KANDUNGAN: Bagus
Secara keseluruhannya, isi kandungan Amanitium ini lebih kepada mengajak para pembaca berfikir apa yang sedang budak Amanitium ni fikirkan. Berkongsi pendapat.
Isu kandungannya lebih kepada isu-isu semasa berdasarkan entri-entri yang dapat saya lihat dan baca. Juga terdapat beberapa aktiviti yang melibatkan blogger-blogger lain secara sihat dan menguji minda.
Amanitium, lambang saya dalam blog ini adalah labah-labah yang dipadamkan dengan pengkritik blog. Jaring labah-labah itu adalah blog, manakala lalat itu pula adalah siapa? Ngeh heh hee... Bukan sebarang lalat, tapi cuma simbolik mengenai bagaimana saya memburu dan menyambar blog-blog untuk diulas. Perenggan ini merujuk kepada aktiviti slogan yang saya baca dalam blog Amanitium.
TAHAP KEMASKINI: Mingguan
Entri baru kelihatan setiap dua atau tiga hari sekali. Boleh katakan secara mingguan.
JARINGAN UMUM: Ada dan terfokus <-- menyindir secara halus!
Jaringan umumnya adalah manga dan anime. Nasib baik saya juga peminat manga dan anime. Dah baca Team Medical Dragon? Salah satu manga terbaik bagi saya.
JARINGAN BLOGGER: Banyak
Amanitium mempunyai jaringan sosial yang baik dengan blogger-blogger lain.
KOMEN PEMBACA: Banyak
Kawan-kawan budak Amanitium ni ramai yang mengisi ruangan komen. Meriah juga.
Dengan ini sekian sahajalah ulasan blog kali ini. Jumpa lagi pada lain masa, pada lain hari. Amanitium, saya harap anda berpuas hati dengan ulasan saya kali ini dan selamat bermain layang-layang. Sekian, terima kasih.
Ditulis oleh Amiene Rev pada 11:35 PG |
Label: Pengkritik Blog
Sabtu, September 02, 2006
Ulasan Laman Web Kerja Kosong
Kamus English - Melayu
- full time - sepenuh masa
- part time - separuh masa
- freelance - orang yang menjual perkhidmatannya kepada pelbagai majikan.
- post, appointment, job - jawatan
- employment, work - pekerjaan
- salary, basic salary - gaji, gaji asas
- allowance - elaun
- vacancy, job vacancy - kekosongan, jawatan kosong
- marketing - pasaran
1. kerjakosong.info
Laman web ini mengandungi senarai pekerjaan dan jawatan kosong di semua negeri: Johor, Kedah, Kelantan, Kuala Lumpur, Labuan, Melaka, Nationwide, Negeri Sembilan, Pahang,Penang, Perak,Perlis, Putrajaya, Sabah, Sarawak, Selangor, Singapore, dan Terengganu. Jika anda menjadi ahli, senarai jawatan kosong akan dihantar kepada anda menerusi e-mel. Terdapat panduan dan artikel berkaitan dengan kerjaya. Satu usaha baik daripada pihak MyUiTM.
2. jawatan-kosong.darulmakmur.com
Portal senarai jawatan kosong syarikat swasta dan kerajaan di Malaysia. Juga terdapat artikel dan panduan temuduga. Rekaan blog ini cukup kemas dan menarik.
3. www.project4hire.com
Pasaran freelance seluruh dunia. Laman web ini menyediakan peluang untuk sesiapa yang suka bekerja secara bebas dan memiliki kepakaran dalam bidang grafik, pengaturcaraan, penulis, kejuruteraan, perkhidmatan dan sebagainya untuk mencari tugasan-tugasan berbayar.
4. jobstreet.com
Salah satu laman web yang berprestij dalam menyediakan informasi berkaitan peluang pekerjaan di Malaysia. Khidmat SMS juga disediakan.
Setakat ini dulu. Semoga senarai laman web yang disediakan dalam entri ini berguna untuk anda yang ingin mencari pekerjaan baru.
Jumaat, September 01, 2006
BLOG LEGENDA: Sera Honeybiru
Ramai orang ada menulis sesuatu dalam blog mereka. Honeybiru. Sera. Sera bagus. Siapakah Sera? Maka saya menjadi pemburu blog. Mencari dan mencari blog ini.
Ini adalah blog dalam legenda. Kerana orang ramai sering menyebut-nyebut mengenainya. Saya tertanya-tanya adakah Sera juga mempunyai sejarah silam yang sama seperti saya? Atau... apakah masalah sebenarnya?
Saya terus mencari dan mencari blog ini. Saya menemui beberapa nukilan Sera dalam beberapa enjin pencari laman web. Namun itu tidak dapat membongkar sepenuhnya kisah Sera.
Akhirnya saya memutuskan. Sera mempunyai satu kisah, yang mendera jiwanya. Kisah yang perlu dicari penyelesaiannya. Penyelesaian.
Maka saya terus memburu blog ini.
Hari ini saya telah menemuinya. Pemburuan blog ditamatkan serta merta.
Sera...
Sera telah kembali... ada sesuatu... lupakan... itu terlalu peribadi...
Ini adala blog kedua yang tidak dapat saya ulas dengan lebih lanjut. Saya tahu blogger-blogger senior tentu mengenali Sera dan Honeybiru.
Sayang sekali, saya tidak dapat mengetahui kisah silam Sera.
Namun kisah silam adalah untuk dilupai... walaupun berat. Walau pun sakit hati itu tidak mungkin dapat dihilangkan. Walau pun luka dan kepedihan terus menyerang mental dan fizikal. Cabaran hidup itu harus diteruskan...
... hingga ke saat terakhir. Hingga tidak bernafas lagi.
Masa semakin singkat. Allah akan menentukan segalanya. Keajaiban. Kita nantikan.
Ditulis oleh Amiene Rev pada 12:03 PTG |
Label: Pengkritik Blog