BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, April 03, 2016

Pokok Keembung dan Ulat Beluncas Hitam

3 APRIL 2016: Sejak Januari 2016, aku telah menanam pokok-pokok keembung untuk kegunaan projek Sains. Pokok-pokok keembungku telah berkembang dengan cukup baik.  Aku mula menabur benih pokok-pokok keembungku ke dalam tua tapak semaian. Tapak semaian yang pertama, aku tabur satu demi satu butir benihnya, manakala yang satu lagi, aku tabur sekali dengan kulit buah pokok keembung. Kira-kira seminggu kemudian, biji benih pokok keembung mula bercambah. Didapati, biji benih yang ditabur dengan kulit buah pokok keembung itulah yang tumbuh lebih subur.

Pada suatu hari, cuaca sangat panas, dan hujan tidak turun selama beberapa hari. Pokok-pokok mula kelihatan layu dan ada yang hampir mati. Aku mula menabur campuran air dengan sodium bikarbonat untuk memulihkan pokok-pokok tersebut. Cubaan itu berjaya, dan pada waktu malamnya ketika aku ingin keluar mengambil angin malam, aku melihat pokok-pokok tersebut tumbuh segar. Nota: Sodium bikarbonat juga dikenali sebagai baking soda / sodium bicarbonate merupakan bahan yang digunakan untuk membuat kek.

Cuaca semakin panas sejak akhir-akhir ini. Menjaga tanaman pada musim panas melampau sebegini memang sangat mencabar. Namun tidak cukup dengan cabaran yang pertama, pagi tadi, aku menerima beberapa tetamu berwarna hitam sedang merayap-rayap memamah daun-daun pokok keembungku. Aku mencabut ulat-ulat beluncas hitam ini dan membuangnya ke tempat yang lebih jauh daripada pokok-pokok keembungku. Ulat-ulat beluncas kelihatan sangat comel dan aku rasa bukan salah mereka memakan pokok-pokok keembungku. Bukan juga salah pokok-pokok liar yang aku biarkan tumbuh di sekitar bekas semaian pokok-pokok keembungku.

Cuma aku mula rasa pelik, kenapa biarpun terdapat banyak pokok hijau dan rumput liar di luar tapak semaian, ulat-ulat beluncas hitam ini masih memilih daun-daun pokok keembungku berbanding tumbuhan-tumbuhan liar itu semua.

ULAT BELUNCAS HITAM: Ha! Ha! Ha! Kami tahu manusia sangat menyayangi pokok keembung.

TUMBUHAN LIAR: Betul-betul, oleh itu janganlah kalian memakan aku dan spesiesku yang lain. Makanlah pokok-pokok keembung itu. Mereka mendapat layanan yang sungguh istimewa, dan kami tidak.

Jadi aku percaya, ulat-ulat beluncas tersebut mungkin telah dihasut atau diupah oleh tumbuh-tumbuhan liar untuk membuli pokok-pokok keembung. Benarkah begitu kepercayaanku?

Sudah pasti, tidak.