BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Oktober 04, 2014

the others 015

24 SEPTEMBER 2014: Aku masih dilanda rasa bersalah kerana makan malam semalam. Aku rasa risau jika the others berjaya merampas aku lagi. Namun sekurang-kurangnya, apabila mengingatkan hal itu akan melapangkan hati 'kakak' aku, maka aku rasa agak tenteram. Aku dilanda mimpi ngeri malam tadi, aku melihat ada beberapa budak kecil pelbagai rupa, cuba mengejar aku. Aku menyorok dalam satu ruang di sebalik pintu, tetapi mereka cuba merosakkan pintu itu. Aku percaya, budak-budak itu semuanya adalah the others. Mereka ingin mendapatkan aku. Apabila mereka berjaya mengoyakkan pintu itu sehingga terdapat lubang kecil, mereka mengintai-ngintai dari celah lubang itu untuk mencari aku. Mereka kelihatan sangat geram dan marah kerana aku cuba menjauhkan diri daripada mereka.
Siang tadi, aku memaklumkan satu-persatu kepada budak-budak tingkatan 1 dan tingkatan 2. Pertama, aku maklumkan aku tidak dapat menerima tawaran menjadi jurulatih bola sepak kelab mereka. Kedua, aku maklumkan kepada budak tingkatan 2, aku tidak dapat bersama-sama mereka untuk ke pantai. Budak-budak itu kelihatan agak kecewa dan sedih. Aku beritahu mereka, tunggulah apabila mereka sudah besar dan dewasa, datanglah cari aku, dan ajaklah aku keluar, aku akan ikut mereka. Mereka pun kata, kalau macam itu, tak dapatlah mereka keluar bersama-sama aku lagi sebab masa tu aku mungkin sudah berkahwin dan sibuk bersama anak-anak. Aku terdiam.
Aku ini orang dewasa dan sudah semestinya pada suatu hari nanti aku juga akan berkahwin dan memiliki keluarga dan anak-anak. Namun aku tetap dengan keputusanku, untuk menjauhkan diri daripada budak-budak. Ustaz sudah berpesan, jika aku terus berkawan dengan budak-budak, pemikiranku akan jadi kecil. Berfikiran seperti budak-budak dan mudahlah aku ditakluki oleh the others.
Kesemua the others adalah trauma masa silam aku, penyeksaan, penderitaan, penderaan yang pernah aku alami. Walaupun aku cuba melupakan semua itu, mereka datang lagi dalam bentuk the others dan menghantui jasadku.
Entah kenapa selepas aku memberitahu kesemua budak-budak bahawa aku tidak lagi dapat mengorbankan masa aku bersama-sama mereka, aku berasa semacam satu perasaan tenteram.
Pulang sahaja dari sekolah, ketika aku membuka pintu kereta, aku rasa ada sesuatu bergeser pada pintu kereta. Aku terlihat ada sikat tersepit pada celah lubang pintu keretaku. Ah, sikat ini! Sikat ini mengingatkan aku bagaimana pintu kereta aku nyaris-nyaris dirosakkan oleh sekumpulan budak kerana mereka terkunci kereta aku dari luar. Mereka cuba membuka kereta aku menggunakan sikat itu tetapi sikat itu jatuh dan tenggelam di dalam pintu kereta aku.
Ketika itu aku berada di masjid sekitar setahun dua yang lalu. Apabila mendapat tahu kereta aku terkunci dari dalam, aku pun berdoa. Entah bagaimana, datang seorang ustaz mahu menolong aku. Aku pun meminta bantuan ustaz tersebut untuk ke pasar raya membeli peralatan tertentu untuk membuka semula pintu kereta aku. Dengan ilmu kemahiran hidup yang aku warisi dari guru sekolah aku yang dahulu, aku berjaya membuka pintu kereta tanpa merosakkannya, dan mengambil semula kunci kereta aku. Masalah kereta terkunci dianggap selesai.
Aku memaafkan budak-budak yang tidak matang itu. Mereka kelihatan rasa bersalah tetapi aku memang sedia faham, itulah bebanan yang perlu dipikul apabila berkawan dengan budak-budak. Kesabaran mesti tinggi. Kitalah yang melindungi mereka. Penat memang sangat penat.
Aku ingatkan sikat itu akan tenggelam di dalam kereta aku buat selama-lamanya dan sepanjang tempoh itu, kunci kereta di pintu tersebut sering bermasalah. Kadangkala sukar untuk dikunci. Pada mulanya aku terfikir untuk meminta pomen membuka dan memperbaiki pintu itu tetapi aku kesuntukan masa untuk ke bengkel aksesori. Aku percaya sikat yang panjang di bahagian tangkainya itu telah mengganggu atau menyekat sistem-sistem kunci di dalam pintu kereta utama itu.
Hari ini, apabila aku telah menetapkan pendirian baru, sikat itu dengan sukarela telah keluar dengan sendirinya dari pintu kereta itu. Sikat yang banyak memberi masalah kepada pintu kereta aku, disebabkan oleh perbuatan budak-budak yang tidak matang, akhirnya dengan sendirinya keluar.
Bukankah itu satu petunjuk?
Aku dapat rasakan tak lama lagi aku akan berkeluarga. Aku akan tinggalkan zaman pemikiran seperti budak-budak, dan mula mengikut jejak orang dewasa yang lain. Namun, aku tidak pasti sama ada gigi aku akan bertambah daripada 28 ke 32 seperti orang dewasa yang lain atau pun tidak. Aku memiliki satu rahsia, aku memiliki 28 batang gigi sejak dari dulu lagi, tidak seperti kebanyakan orang dewasa yang memiliki bilangan gigi sebanyak 32 ke atas.
Aku pernah bertanya kepada orang-orang yang sebaya atau lebih muda daripadaku, berapa batang gigi yang mereka miliki. Apabila mereka menjawab 30 atau 32 batang, aku mula berasa rendah diri. Sekali-sekala aku akan mengira bilangan gigiku. Masih sama. Aku pernah pergi bertemu doktor gigi dan bertanya kepadanya bilangan gigiku, dia menjawab 28 batang sahaja.
Aku begitu risau bila memikirkan bagaimana agaknya rupa aku, apabila memiliki 32 batang gigi. Aku teringat bagaimana sakit dan demam datang melanda orang-orang yang tumbuh gigi baru. Aku tidak pernah mengalami keadaan itu.
Ah, tak perlu aku fikirkan tentang hal itu lagi. Bilangan gigi tidak menentukan seseorang itu dewasa atau tidak, tetapi kematangan pemikirannya yang menentukan sama ada dia dewasa atau pun tidak.
Apa pun, sikat yang sekian lama mendiami pintu kereta aku sudah dapat dikeluarkan. Bagiku, itu satu petunjuk. Petunjuk aku sudah membuat keputusan yang bijak. Atau mungkin saja suatu kebetulan.