BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, September 30, 2010

Seminggu Untukmu - Siri 4

Gambar Hiasan: The Descent 2 - 18 SG

Seminggu Untukmu - Siri 4
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Ini sebuah karya eksperimentasi

Gelap! Bau busuk mayat reput! Makhluk aneh yang menggigit. Semua ini bukan perkara yang menyenangkan. Ketiga-tiga lelaki itu kini terperangkap dalam keadaan yang sungguh tidak menyenangkan.

"Pedulikan bau mayat, cepat kita keluar dari sini!" Tegas Taib.

Ketiga-tiga mereka menyuluh ke arah pintu yang masih terbuka.

"Cabut!" Jerit Taib. Mereka bertiga pun berlari keluar dari rumah besar yang penuh dengan misteri itu. Harun cepat-cepat membuka pintu kereta di bahagian pemandu, diikuti dengan Taib di pintu belakang dan Sulaiman di pintu depan.

Harun menghidupkan enjin dengan tergesa-gesa, sebelum bumbung kereta mereka tiba-tiba dihempap sesuatu dengan kuat.

"Apa tu..." belum sempat Harun menghabiskan ayatnya, seekor makhluk melompat ke bahagian depan kereta dan duduk dalam keadaan mencangkung sambil menyerigai ke arah mereka yang berada di dalam kereta.

"Cepat! Hidupkan enjin!" Jerit Taib.

Harun memutarkan kunci kereta, lalu enjin kereta dihidupkan. Lampu dipasangkan, pedal kereta ditekan sekuat-kuatnya. Harun membuat pusingan 270 darjah, lalu makhluk aneh itu pun tercampak ke samping.

Harun memecut laju kereta, merentasi padang rumput dan terus ke jalan besar. Taib menoleh ke belakang. Seekor makhluk aneh kelihatan berpegang kuat di belakang bonet kereta, berusaha sedaya-upaya untuk menstabilkan dirinya.

"Harun, pecut laju lagi! Ada seekor lagi di belakang ni!"

"Bukan seekor, banyak lagi di belakang tu," ujar Sulaiman dengan nada yang agak bersahaja.

Dia dapat melihat menerusi cermin sisi, terdapat beberapa ekor lagi makhluk kelihatan berlari dengan pantas mengejar kereta mereka. Nampaknya makhluk-makhluk tersebut bersungguh-sungguh mahu menangkap mereka bertiga.

"Harun!!!"

"Ya, ya! Aku tahu!" Harun menekan pedal minyak sekuat-kuatnya. Enjin kereta mengaum dengan garau dan kuat. Kereta tersebut terus memecut laju, dan makhluk yang berada di belakang kereta tadi jatuh berguling-guling di atas jalan raya.

Kereta itu semakin menjauhi makhluk-makhluk itu. Di belakang kereta, Taib dapat melihat jelas makhluk-makhluk itu semakin jauh ke belakang, meninggalkan kesan pasangan-pasangan mata berwarna hijau di dalam kegelapan.

-o-

Kereta itu terus meluncur laju di jalan raya. Ketiga-tiga mereka masih dalam keadaan terkejut. Sulaiman walau bagaimana pun kelihatan cuba mengingati sesuatu.

Tiba-tiba dia teringatkan suasana di sebuah paya. Kabus cukup tebal. Bunyi binatang-binatang hutan, cengkerik, katak dan bermacam-macam jenis serangga mencelarukan pemikiran.

Di dalam paya itu, kelihatan berbelas-belas ekor makhluk berbentuk manusia, timbul. Bermula dengan kepala, kemudian mata hijau yang membonjol keluar, dan badan yang kurus kering. Kesemua makhluk itu berjalan perlahan-lahan merentasi paya dan terus naik ke daratan.

"Teruk!" bisik Sulaiman.

"Kenapa?" tanya Taib.

"Kau sudah kena gigitkah?" tanya Sulaiman secara mendadak.

"Err... aku rasa tak. Cuma dicakar sahaja." Taib membelek-belek kesan luka pada lengannya.

"Teruk!" ujar Sulaiman.

"Kenapa?" tanya Taib lagi.

"Cuma ada seminggu untukmu, untuk kekal sebagai manusia!" jawab Sulaiman, serius.

Taib tercengang. Jantungnya berdegup pantas. Dia tidak mahu percaya, tetapi riak muka Sulaiman memberitahunya, bahawa Sulaiman tidak berniat untuk bergurau.


Bersambung

Seminggu Untukmu - Siri 4
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010

Rabu, September 29, 2010

Poster Filem Paling Kelakar 2009 - The Men Who Stare at Goats

The Men Who Stare at Goats (2009)
POSTER FILEM PILIHAN AMIENE REV 2009
Apabila wajah-wajah hero dibariskan dengan seekor kambing berjanggut, keseriusan dan ketenangan watak-watak hero telah berubah kepada sesuatu yang kelakar.

Isnin, September 27, 2010

Lidah Matahari Menjilat Bumi - Kiamat Alam Siber 2013?

Kredit Imej: NASA

Bilakah kiamat akan berlaku? 2012? Peristiwa 'solar flare' yang pernah berlaku sekitar tahun 1859, 1989 dan 1921 dijangka akan berlaku lagi pada tahun 2013. Kali ini dijangka lebih hebat.

Setiap kali solar flare berlaku, banyak perkakasan elektrik akan mengalami kerosakan. Pada zaman siber, sudah pasti, solar flare ini akan memberi kesan kepada dunia teknologi maklumat. Kerosakan data pada tahap yang tidak dapat dibayangkan lagi, akan berlaku. Saya memanggil peristiwa ini sebagai kiamat alam siber.

Sabtu, September 25, 2010

Surat Pembaca - Apa Kesudahannya?

Surat kiriman daripada Abadiey: Apa Kesudahannya?
Sy pernah mnjalin hub cinta dgn A.Selps 4 thun hub kami terputus krn ibunya tidak menerima sy atas alasan 'harta'. Kini telah 4 tahun hub kami putus namun dlm ms tu jua adakala km tetp cuba utk menyambung kmbali tetapi tewas stlah hubungan km dapat dihidu oleh ibu A. Sy redha krn menganggap sgalanya sbg tkdir wlupun amat perit utk menerimanya...kini A telah berumah tangga dgn wanita pilihan ibunya.Namun A masih menghubungi sy...Katanya dia tidak mampu untuk menyayangi isterinya apatah lagi setelah diketahui bahawa dia telah di guna-gunakan oleh ibu serta keluarga mertunya untuk bersetuju dengan rancangan mereka.Hubungan sy dan A juga dipisahkan dengan pelbagai cara termasuklah dengan menggunakan khidmat bomoh.Sy terlalu menyayangi A.hingga kini sy x dapat menerima cinta dari lelaki lain.Sy dah cuba tapi tetap x dapat melupakan A.A pula masih mengharapkan cinta dari sy.A belum dikurniakan cahaya mata...Sy memikirkan apakah kesudahan cerita antara sy dan A???

Jawapan daripada Amiene Rev:
Lakukan Solat Istikharah dan petunjuk yang paling tepat, iaitu daripada Allah S.W.T, akan memberikan anda jawapan yang paling tepat.

oOo

Surat daripada Fahmi: Jadi responden dalam kajian saya tentang realiti TV
Salam.nk minta tlg jd responden dlm kajian sy ttg realiti tv. leh x? jika berminat, sy akan hantar maklumat lebih lanjut...

Jawapan daripada Amiene Rev:
Salam kembali. Maaf, saya berminat, tetapi sayangnya saya tidak dapat meluangkan masa saya untuk membantu anda pada ketika ini.

Jumaat, September 24, 2010

Seminggu Untukmu - Siri 3

Gambar Hiasan: The Descent 2 - 18 SG

Seminggu Untukmu - Siri 3
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Ini sebuah karya eksperimentasi

Kegelapan yang tiba-tiba menerpa ruang di dalam rumah besar itu menyebabkan jantung ketiga-tiga orang pegawai polis itu hampir tercabut kerana terkejut. Taib yang berada di tingkat atas menyalakan lampu suluhnya. Dia memegang lampu suluh itu dengan tangan kirinya, manakala tangan kanannya memegang sepucuk pistol dengan erat.

"Sulaiman! Harun! Kamu berdua bagaimana?" Laung Taib dari tingkat atas rumah. Dengan berhati-hati dia menyusun langkah untuk keluar dari rumah itu. Dia mesti turun ke tingkat bawah dengan segera untuk menemui kedua-dua orang rakannya.

Perlahan-lahan dia menyuluh ke tangga, lalu menuruni tangga dengan berhati-hati. Tiba-tiba, kedengaran salah satu pintu di bahagian atas dibuka, dan ditutup kembali dengan pantas.

Taib menghentikan langkahnya, dia menyuluh ke bahagian atas. Tanpa disedarinya, satu bunyi nafas yang mendengus ganjil kedengaran semakin menghampirinya. Taib semakin berdebar-debar. Perasaan cemas kuat mengatakan dirinya dalam bahaya.

-o-

Sementara itu Harun yang berada di bilik bacaan di bahagian bawah, telah menemui sesuatu di atas meja. Bilik bacaan itu kelihatan berselerak. Buku-buku bertaburan di atas lantai. Namun kini kerana kegelapan, dia terpaksa menggunakan lampu suluh, dan bergegas kembali ke ruang tamu.

Lorong dari bilik bacaan ke ruang tamu agak sempit. Bilik bacaan itu terletak di tengah-tengah antara tiga buah bilik. Masih ada satu bilik yang belum diperiksa. Kegelapan membantutkan niat Harun untuk memeriksa bilik yang terakhir. Dia terus melangkah dengan berhati-hati ke ruang tamu.

Tanpa disedarinya, ada satu lembaga kecil mengekorinya perlahan-lahan, secara merangkak dari belakang.

Harun terdengar laungan Sulaiman, meminta mereka semua kembali ke ruang tamu.

-o-

Sulaiman yang berada di dapur, sebelum ini telah ternampak kelibat lembaga hitam memerhatinya dari celah-celah tingkap dapur yang berpaku. Dia pantas mencapai pisau. Keadaan yang gelap-gelita menyebabkan Sulaiman perlu pergi ke ruang tamu.

Hatinya kuat mengatakan rumah ini berbahaya. Musibah akan berlaku jika mereka bertiga tidak bergabung kembali.

"Harun! Taib! Cepat ke ruang tamu semula!" Laung Sulaiman.

Sulaiman dan Harun terus bergegas ke ruang tamu. Apa yang terlintas di fikiran Sulaiman kini adalah suis utama bekalan elektrik rumah di ruang tamu. Pasti ada seseorang telah menutupnya, fikir Sulaiman.

Belum pun sampai mereka di ruang tamu, bunyi tembakan telah kedengaran dilepaskan dari tingkat atas rumah besar itu. Satu demi satu das tembakan dilepaskan. Cahaya terang menyinari ruang tangga rumah besar buat beberapa kali bagi setiap kali tembakan dilepaskan.

"Taib!" Laung Sulaiman. Senyap. Kemudian terdengar bunyi sesuatu sedang jatuh berguling-guling dari atas tangga.

Sulaiman cepat-cepat pergi ke tangga rumah. Harun ternampak cahaya lampu suluh Sulaiman, lalu dia pun membuka langkah-langkahnya dengan luas, lalu meluru ke arah cahaya tersebut.

Dia masih belum sedar, ada satu lembaga sedang mengintipnya dari belakang.

-o-

Sulaiman menyuluh ke arah lantai berhampiran tangga. Kelihatan ada kesan cecair hitam di lantai. Kemudian dia terdengar bunyi seseorang sedang menuruni tangga dengan perlahan-lahan. Sulaiman pantas menyuluh ke arah tangga.

"Taib?"

Hatinya lega kerana mendapat Taib tidak apa-apa. Pada ketika itu juga, Harun sudah berada di situ. Mereka berdua berasa lega.

"Apa yang berlaku?" Tanya Harun.

"Ada sesuatu benda, macam manusia, tapi bukan manusia. Mungkin monyet?" Jelas Taib. Dia kelihatan agak lelah dan terkejut.

"Apa yang benda tu cuba buat?" Tanya Sulaiman pula.

"Dia cuba gigit aku!" Taib menunjukkan kesan koyak pada lengan bajunya. Ada kesan darah pada kain lengan bajunya. Nampaknya, Taib sudah dicederakan oleh sesuatu yang mereka tidak pasti.

Monyet liar? Adakah monyet liar yang memadamkan lampu rumah besar tersebut? Mereka masih tertanya-tanya.

"Mari, kita cari suis bekalan elektrik dahulu." Cadang Sulaiman.

Belum pun sempat mereka melangkah, bau busuk yang amat kuat tiba-tiba menusuk ke lubang hidung mereka. Ini bau mayat reput!

Bersambung

Seminggu Untukmu
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010

Khamis, September 23, 2010

Surat Pembaca: Sukar mempelajari subjek Sains

Surat daripada Kami: Sukar mempelajari subjek Sains
Sejak diperkenalkan subjek ini dalam bahasa inggeris, susah untuk kami faham berbanding ketika subjek ini dalam bahasa melayu. .Ketika cikgu mengajar cikgu selalu menggunakan bahasa ROJAK....DAN SPEAKING PUN TAK BETUL,Kami juga selalu dipinggirkan sewaktu belajar, Cikgu lebih memilih untuk mengajar budak-budak yang pandai..APA YANG PATUT KAMI BUAT???

Jawapan daripada Amiene Rev:
Perlu dimaklumkan kepada Kami, bahawa tidak ada guru yang sempurna di dunia ini. Mana-mana guru pun akan melakukan kesilapan juga. Tidak semestinya semua orang yang berjaya pandai dalam semua subjek. Contohnya jurutera, pernah dilihat kebanyakan pelajar yang mengambil jurusan kejuruteraan, termasuk mekanikal dan elektrikal, yang lemah dalam Bahasa Inggerisnya. Contohnya, pelajar-pelajar ini masuk ke universiti dengan keputusan 9A dan 1D, di Gred D itu mewakili Bahasa Inggeris. Tentang guru sekolah adik yang lebih memilih untuk mengajar pelajar yang pandai, adik boleh cuba mengubahnya dengan menunjukkan minat dan kesungguhan yang mendalam terhadap subjek tersebut. Dengan cara ini, guru Adik mungkin akan berubah fikiran. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Jika Adik mahu berjaya dalam subjek Sains, pastikan Adik mempunyai minat dan kesungguhan untuk berusaha.

oOo

Surat kiriman daripada Amir Ashraf: Pemilihan Jurusan Tingkatan 4
As'kum, saye nak minta pendapat abg....saya bersekolah di SMK JALAN EMPAT Bandar Baru Bangi saya mendapat 8 A straight dlm PMR 2009 pada tahun 2009, saya pening nak pilih jurusan apa, abang boleh tlg bg cadangan kpd saya.....

Jawapan daripada Amiene Rev:
Waalaikumussalam. Memandangkan Amir berjaya mendapat 8A dalam PMR, adalah digalakkan Amir mengambil aliran Sains Tulen. Kelebihan aliran ini ialah, Amir boleh masuk ke mana-mana bidang di peringkat pengajian tinggi dengan lebih mudah kerana aliran Sains Tulen adalah aliran yang fleksibel.

oOo

Surat kiriman daripada Hajar: Aliran apa yang perlu saya ambil di tingkatan 4?
Keputusan pmr saya adalah seperti ini:
english-B
matematik-A
sains-B
kemahiran hidup-A
b.melayu-A
b.arab-A
p.islam-A
sejarah-A
geografi-B

masalah saya ialah saya tak tahu nak pilih aliran same ada aliran sains tulen ataupun akaun. saya orang yang bercita-cita ingin menjadi akauntan. memang saya tahu saya perlu ambik aliran akaun tetapi pada saya aliran sains tulen juga panting kerana aliran sains boleh masuk dalam apa jua bidang yang boleh saya ceburi selepas spm berbanding aliran akaun. ramai orang kata aliran sains susah... sebab itu saya sukar hendak membuat keputusan.

Jawapan daripada Amiene Rev:
Jika Hajar berminat untuk menjadi akauntan, ambil sajalah aliran yang berkaitan dengan perakaunan. Semoga mudah mencapai cita-cita menjadi akauntan.

Surat Pembaca - Tekanan Menghadapi PMR

Surat kiriman daripada Naz: Tekanan Menghadapi PMR
Saya seorang pelajar tingkatan tiga yang akan menduduki PMR tapi saya msih tidak dapat menguasai semua mata pelajaran terutamanya Matematik.

Jawapan daripada Amiene Rev:
Untuk menguasai Matematik, Naz memerlukan latihan yang berterusan. Pastikan setiap hari Naz melakukan latihan sekurang-kurang satu soalan untuk satu bab. Dapatkan rakan-rakan yang boleh dijadikan kawan belajar. Belajar secara berkumpulan.

oOo

Surat kiriman daripada Frodo: Susah Memahami Soalan
kadang kala saya bingung, mcm mna nak menjawaB soalan terutama sekali soalan sains dgn sejarah dan bahasa english lain soalan minta lain pula yg saya buat kadang2 tu saat2 terakhir baru dapat idea baru terfikir apa yg patut d buat. jadi d sini saya amat sangat berharap agar pihak Duke Amiene Rev boleh memberikan pandangan dan pendapat yg boleh membantu saya. segala kerjasama yg d berikan saya dahului dgn ucapan ribuan terima kasih.

Jawapan daripada Amiene Rev:
Mana-mana soalan biasanya akan meminta Frodo melakukan sesuatu. Cuba gariskan arahan yang ada dalam soalan. Cubalah bertanya kepada guru atau rujuk kepada Kamus Dewan atau kamus Bahasa Inggeris untuk memahami maksud satu-satu istilah yang digunakan dalam soalan. Biasakan diri dengan istilah-istilah atau arahan-arahan soalan.

oOo

Surat kiriman daripada Salma: Lemah Dalam Pelajaran
SAYA LEMAH DLM MATA PELAJARAN MATEMATICS DAN SAINS.SAYA JUGA TIDAK TAHU,MUNGKIN BOLEH DIKATAKAN LEMBAB DALAM PEMBELAJARAN. TETAPI SAYA JUGA INGIN CEMERLANG DALAM UPSR SEPERTI ORANG LAIN DAN DAPAT MEMBANGGAKAN IBUBAPA SAYA.

Jawapan daripada Amiene Rev:
Masalah lemah dalam pelajaran Matematik dan Sains yang dihadapi oleh Adik Salma boleh diatasi sekiranya Adik Salma melakukan perkara-perkara berikut:
  1. Mencari rakan belajar.
  2. Mengikuti kelas tuisyen secara peribadi.
  3. Sentiasa bertanya soalan kepada guru.
  4. Berdoa, berusaha dan bertawakal.
  5. Menjaga pemakanan dengan memakan makanan berkhasiat.
  6. Rajin melakukan latihan, khususnya untuk soalan-soalan Matematik.
  7. Berkemahiran membuat peta minda (boleh belajar dengan guru di sekolah).
Semoga senarai usaha di atas dapat dilakukan oleh Adik Salma. Selamat berusaha dan semoga berjaya dalam UPSR.

Rabu, September 22, 2010

Poster Paling Menarik Perhatian 2009 - UP 2009

Movie Poster: UP
POSTER FILEM PILIHAN AMIENE REV 2009

Sebuah poster yang amat ringkas dan cantik. Belon gas yang membawa rumah kelihatan kecil, seterusnya menarik perhatian orang ramai untuk mengetahui misteri di sebalik rumah yang diterbangkan belon itu dengan lebih mendalam.

Selasa, September 21, 2010

Surat Pembaca - Cinta Yang Pergi

Surat kiriman daripada Muhd Zahid:
Salam sejahtera, saya ingin menyata dan meluahkan hati yang selama ini saya pendam; saya ada seseorang wanita saya sayangi tetapi sudah lama kami terpisah..kerana perkara yang tak dapat dielakkan.

Saya cuba untuk melupakan dia tetapi hati ini tidak boleh menipu. Dan setelah berberapa tahun saya ingin mencari mencari dia semula.saya cuba untuk mencarinya di dalam "laman web sosial", dan kini saya telah menjumpai dia semula tetapi.. kata orang "nasi sudah jadi bubur" dan kini dia sudah menjadi kekasih orang... tapi perasaan sayang saya terhadap dia sehingga kini masih tidak terhakis.. dan saya cuba untuk menerangkan pada dia tetapi ia tidak berhasil.. bagaimana saya hendak menerangkan padanya tentang cinta dan rasa sayang saya kepada si dia...

Jawapan daripada Amiene Rev:
Cinta yang terbaik adalah cinta yang mendapat keredhaan Allah. Saudara Zahid akan bahagia dunia dan akhirat. Letakkan keredhaan Allah sebagai keutamaan dalam bercinta, jangan sampai nafsu dan emosi menguasai cinta. Saya cadangkan saudara melakukan solat istikharah untuk mengetahui sama ada cinta saudara ini patut diteruskan atau tidak. Di dunia ini, tidak ada petunjuk yang lebih baik selain daripada memohon daripada-Nya. Dari jauh, sebagai saudara seagama, saya doakan semoga saudara menemui kebahagiaan untuk diri saudara dalam mencari cinta yang mendapat keredhaan Allah.

Ahad, September 19, 2010

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 3

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 3
Penulis: Amiene Rev (c) 2010

Entah sudah berapa lama masa berlalu. Keko tidak sedar. Keko kepenatan. Keko keliru. Kereta itu berhenti di sebuah rumah besar. Sememangnya semua rumah manusia adalah besar. Keko pernah lihat rumah manusia yang besarnya seperti gunung. Ada ramai manusia berjalan masuk ke keluar. Ada lagu-lagu yang kadangkala rancak dan kadangkala syahdu. Dan, ada manusia, selalunya wanita berjalan keluar dengan membawa begitu banyak beg plastik dan kertas yang sendat-sendat. Manusia memang aneh.

Ada pula rumah manusia yang terdapat banyak lampu berwarna-warni. Berputar-putar. Menyuluh ke lantai dan ke dinding. Terdapat dua orang lelaki berbadan besar, ada lukisan hitam di lengannya, memakai rantai leher, berambut ekor kuda menunggu di luar pintu. Kemudian, ada lelaki dan perempuan muda keluar dari rumah itu, berjalan terhuyung-hayang. Ada juga lelaki tua, rambutnya putih, berjalan keluar dengan bertemankan wanita muda, berkulit putih mulus, bermekap tebal dan bergincu merah. Pakaiannya singkat-singkat sahaja. Manusia memang pelik. Patutlah Ibu Keko tidak suka manusia.

Namun begitu, rumah yang berada di hadapan Keko ini tidak seperti rumah-rumah yang dibayangkan tadi. Rumah budak lelaki ini sunyi sepi. Seperti rumah yang telah ditinggalkan orang.

Ayah Afiq membuka pintu rumah, lalu Afiq pun berlari membawa Keko ke dalam rumah.

"Ibu! Ibu!" Afiq berlari-lari mencari ibunya.

Ayah Afiq tidak begitu menghiraukan Afiq. Dia pergi ke dapur dengan membawa beberapa barang ke satu bilik.

Tiba-tiba Afiq berhenti di satu penjuru. Afiq mendongak, memandang ke arah gambar foto di dinding. Di situ terdapat gambar seorang wanita. Terdapat juga gambar Afiq di dalam pelukan ibunya. Juga ayah Afiq.

"Ibu, Afiq sudah ada kawan. Ini kawan Afiq." Afiq mengangkat Keko tinggi-tinggi.

Keko berasa sangat takut. Keko takut kalau-kalau Afiq akan melakukan sesuatu yang di luar dugaan. Keko mula bertindak mencakar tangan Afiq. Afiq tidak memberi apa-apa respon. Afiq menurunkan Keko. Afiq mendukung Keko dan mengusap-usap Keko.

"Ibu. Anak kucing ini macam Afiq. Tak ada ibu."

Keko terkedu. Rupa-rupanya Afiq, adalah seperti dirinya. Tidak ada ibu. Sama-sama telah kematian ibu.

"Afiq dah ada kawan. Afiq tak sunyi lagi."

Bersambung...

Keko - Kisah Anak Kucing Yang Menjadi Guru
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010

Sabtu, September 18, 2010

Surat Pembaca - Cinta Budak-Budak dan Mencari Kolej Kulinari

Surat kiriman daripada INTAN1997:
SAYA SUKE SANGAT SEORANG LELAKI KAT KELAS SAYA TAPI DIA TAK SUKE SAYA KADANG2 SAYA CEMBURU SANGAT MELIHAT ORANG LAIN SUKA SAMA SUKA SAYA HARAP ADA YANG TOLONG SAYA.

Jawapan daripada Amiene Rev:
Eloklah sekiranya, Adik Intan agar menumpukan terhadap pelajaran terlebih dahulu. Usia Adik terlalu muda untuk bercinta, banyak perkara di dunia ini yang belum pernah Adik alami dan ketahui. Sekian.


Surat kiriman daripada Sylves:
Salam...hai..saya pelajar lepasan spm 2009 dan saya meminati dalam bidang seni kulinari tetapi keputusan spm saya kurang baik iaitu dalam BM-B,SNS-C+,PM-C+,PSV-C+,GEO-C,SASTERA-C+,BI-D,PD-D,SEJARAH-E,MATEMATIK-G.... saya berasal dari Sabah dan ingin meneruskan pelajaran ke college terdekat..ke mana college yang harus saya pergi untuk pengambilan sesi jun atau Julai 2010 yang mempunyai aliran seni kulinari yang sesuai dengan keputusan spm saya ini?.. saya bingung memikirkannya...tolong jawab secepatnya...terima kasih.....

Jawapan daripada Amiene Rev:
Salam kembali. Harap maaf kerana lambat membalas e-mel ini kerana terdapat banyak e-mel yang belum berbalas. Apa pun saya berharap agar Sylves sudah pun menemui kaunselor di sekolah untuk berbincangkan soal ini. Kaunselor di sekolah Sylves tentu boleh membantu. Namun, saya seolah-olah dapat merasakan bahawa Syvles kini tentu sudah dapat tawaran atau sudah menyambung pelajaran di mana-mana universiti. Kalau benar begitu, selamat berusaha dan belajar!

Jumaat, September 17, 2010

Seminggu Untukmu - Siri 2

Gambar Hiasan: The Descent 2 - 18 SG

Seminggu Untukmu - Siri 2
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Ini sebuah karya eksperimentasi

Dengan dahi yang sudah mula berpeluh, ketiga-tiga mereka meneruskan usaha untuk membuka pintu hadapan rumah. Papan-papan yang menjadi penghalang sudah pun ditanggalkan, kini cuma tinggal pintu sahaja.

Sulaiman memutar tombol pintu. Ternyata, rumah itu telah dikunci. Dengan menggunakan pengumpil besi, mereka akhirnya berjaya membuka pintu itu.

Ketiga-tiga mereka berjalan masuk ke dalam rumah.

"Patutkah kita nyalakan lampu rumah ini?" tanya Harun, rakan setiawan Sulaiman. Selalunya, Harun akan meminta pandangan Sulaiman terlebih dahulu sebelum berbuat apa-apa. Ini menjadikan Harun sebagai rakan sekerja Sulaiman yang paling rapat.

Taib membuka suis lampu. Lampu rumah menyala. Nampaknya bekalan elektrik di rumah ini tidak dipotong. Ini memudahkan kerja mereka.

"Mulakan penyiasatan," Sulaiman memberi arahan.

Mereka memeriksa sekitar ruang tamu, tetapi tidak bertemu apa-apa yang mencurigakan.

"Masanya untuk kita berpecah," tambah Taib.

Ketiga-tiga mereka pun berpecah. Sulaiman berjalan ke bahagian dapur. Harun pula memeriksa salah sebuah bilik di aras bawah, manakala Taib ke bahagian atas rumah. Dia membuka lampu satu demi satu. Rumah semakin terang.

-o-

Taib kini berada di bahagian atas rumah besar itu. Terdapat lima buah bilik. Salah satu daripada pintu bilik itu terbuka luas. Taib melangkah berhati-hati ke arah bilik itu. Hatinya tiba-tiba dilanda rasa berdebar.

Degupan jantungnya bertambah pantas. Taib membuat keputusan untuk mengeluarkan pistolnya. Dia memegang kemas pistol tersebut lalu apabila dia sampai ke depan pintu bilik yang terbuka luas itu, dia pun menghala ke dalam bilik, mengacu ke depan, ke bawah, ke kiri dan ke kanan. Debaran jantungnya kali ini sangat luar biasa, seolah-olah malaikat maut kini sudah berada di sampingnya.

Taib melangkah masuk ke dalam bilik itu perlahan-lahan. Terdapat sebuah katil dengan selimut dan cadarnya berselerak. Tingkap bilik itu nampaknya telah terbuka. Ada beberapa kesan pijakan tapak kaki di atas cadar, menunjukkan ada sesuatu yang mungkin telah keluar atau masuk dari rumah itu.

Taib mendekati katil itu, memeriksa kesan tapak kaki di atas cadar itu dengan lebih lanjut. Ternyata, kesan-kesan tapak kaki itu menghala ke luar tingkap.

Ada sesuatu telah keluar dari rumah itu, tetapi apakah ia?

Lampu bilik itu tiba-tiba terpadam. Tidak! Bukan hanya lampu di dalam rumah itu, tetapi kesemua lampu di rumah itu telah terpadam. Bekalan elektrik telah terputus!

Bersambung

Seminggu Untukmu - Siri 2
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010

Khamis, September 16, 2010

Seminggu Untukmu - Siri 1

Gambar Hiasan: The Descent 2 - 18 SG

Seminggu Untukmu - Siri 1
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Ini sebuah karya eksperimentasi

Malam itu, bintang menghiasi siling bumi. Jika sesiapa bertanya, apakah siling bumi, maka pasti jawapannya ringkas - langit. Dan di atas bumi itu, ada sebuah rumah besar di tengah-tengah padang rumput. Suasananya cukup hening. Rumah itu diam membisu, dengan kesemua tingkap dan pintunya telah dipaku, supaya tidak ada sesiapa mampu keluar atau masuk ke dalamnya.

Tatkala itu, lampu sebuah kereta berwarna putih mula menerangi malam yang berbintang. Kereta itu berhenti betul-betul di hadapan rumah besar itu. Dari kereta itu, keluar tiga orang lelaki. Ketiga-tiga mereka menyalakan lampu suluh masing-masing lalu melangkah ke arah rumah besar itu.

"Sejak bila rumah ini ditinggalkan?" Tanya salah seorang daripada mereka.

Sulaiman Khalid, seorang pegawai polis berusia mencecah 40-an, menghampiri pintu utama rumah tersebut. Dia mengetuk pintu rumah itu beberapa kali. Kemudian dia menjenguk ke dalam rumah, dan menyuluh ke bahagian dalam beberapa kali.

"Agaknya dalam seminggu yang lalu," Sulaiman membuat andaian tersebut berdasarkan debu dan persekitaran rumah itu.

Perabot di dalam rumah itu kelihatan agak tersusun, seolah tak ada apa-apa yang berlaku. Seolah-olah rumah itu ditinggalkan dalam keadaan aman. Namun, jika diperhatikan dari luar, papan-papan yang dipaku pada setiap tingkap dan pintu rumah sudah semestinya akan menimbulkan tanda tanya kepada semua yang memerhati.

Seorang lagi lelaki, berbadan agak gempal, meronda di bahagian depan tingkap rumah. Dia menyuluh-nyuluh ke dalam rumah. Namun, papan-papan yang menutup tingkap rumah tersebut menghalang cahaya lampu daripada menerangi dengan jelas ke dalam rumah.

"Apa kita nak buat sekarang?" Tanya lelaki berbadan gempal itu.

Sulaiman Khalid memandang seorang lagi rakannya. Rakannya itu mengangguk seolah-olah memahami apa yang terlintas di fikiran Sulaiman Khalid.

"Taib, kita akan pecah masuk ke dalam rumah ini."

"Bagus juga idea tu. Harap duit kita cukup untuk bayar ganti rugi kepada tuan rumah nanti," lelaki yang berbadan gempal itu bersetuju.

Sulaiman kembali semula ke kereta dan membuka bonet kereta. Di dalam bonet itu terdapat sebatang tukul dan besi pengumpil. Dia dan seorang lagi rakannya membawa alat-alat itu ke pintu rumah.

-o-

Sulaiman dan rakan-rakannya bertungkus-lumus menanggalkan papan-papan di pintu rumah besar tersebut. Tanpa mereka sedari bunyi bising yang mereka lakukan itu telah menarik sesuatu yang menghuni di dalam rumah besar itu.

Di dalam rumah, satu lembaga turun dengan pantas dari tingkat atas rumah itu, tanpa meninggalkan jejak. Lembaga itu mengetap gigi seolah-olah marah dengan perbuatan ketiga-tiga orang lelaki itu. Lembaga itu terbongkok-bongkok meninjau-ninjau dari tangga tingkat atas ke pintu utama rumah itu.

"Berhenti sekejap," arah Sulaiman.

Sulaiman Khalid yang mempunyai intuisi hati yang luar biasa, mula menyedari kewujudan lembaga itu. Dia mencapai lampu suluh dan menyuluh. Lembaga itu pantas mengelak suluhan cahaya lampu lalu berlari naik ke atas.

"Ada apa-apa?" Tanya Taib.

"Aku nampak sesuatu tadi," jawab Sulaiman.

Ketiga-tiga mereka mula berasa seram sejuk. Cengkerik makin kuat berbunyi, seolah-olah memberi amaran kepada mereka bertiga. Cahaya bulan walau bagaimana pun, terus menyinari perut bumi.

Bersambung

Seminggu Untukmu
- Siri 1
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010

Rabu, September 15, 2010

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 2

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 2
Penulis: Amiene Rev (c) 2010

Kanak-kanak lelaki itu membuka pintu. Lalu, tanpa menghiraukan rintik-rintik hujan yang turun membasahi badannya, kanak-kanak kecil itu terus merangkul tubuh Keko dan berlari semula, masuk ke dalam keretanya. Pintu ditutup kemas.

Keko meronta-ronta untuk melihat ibunya. Keko mengiau-ngiau nyaring. Keko mencakar-cakar cermin tingkap kereta itu. Ia enggan berpisah dengan ibunya.

"Ayah, Afiq mahu pelihara kucing ini." Halus sekali suara anak kecil itu.

Keko tidak peduli semua itu. Keko tidak peduli apa pun niat budak lelaki yang bernama Afiq itu. Keko cuma mahu diletakkan kembali ke sisi ibunya. Keko mahu jaga ibunya. Keko masih menaruh harapan yang ibunya akan sedar kembali. Ibunya cuma pengsan. Ibunya tidak mati!

"Ayah, boleh tak? Kasihan anak kucing ini, ibunya sudah mati."

Mati? Hampir luruh jantung Keko mendengar perkataan itu. Terguris hati Keko mendengar perkataan itu. Ibunya belum mati! Ibunya cuma pengsan! Lalu, makin kuat Keko meronta-ronta. Afiq mengusap-usap lembut badan dan kepala Keko. Entah kenapa, tiba-tiba, Keko merasa tenteram seketika.

Ayah Afiq terus menekan pedal minyak. Perjalanan diteruskan lagi.

Perlahan-lahan, kereta itu bergerak meninggalkan bangkai Ibu Keko. Keko mengiau sekuat-kuat hatinya. Air matanya mengalir. Keko melihat bangkai ibunya yang terbaring di tepi jalan perlahan-lahan hilang dari pandangan matanya. Keko menyumpah-nyumpah air hujan yang mengaburi cermin tingkap. Keko meronta-ronta minta dilepaskan, tetapi ia tidak berdaya lagi.

Dan Afiq, terus mengusap-usap badan dan kepala Keko. Menenangkan Keko. Tidak menghiraukan badan Keko yang sudah basah kuyup. Tidak menghiraukan kuku Keko yang belum cukup tajam untuk melukakan kulitnya. Keko masih anak kucing yang kecil.

-o-

"Suatu ketika dahulu, Ibu pernah dipelihara manusia. Bila Ibu sudah besar, manusia buang Ibu," kata Ibu Keko pada suatu hari.

"Ibu tidak tahu apa salah Ibu. Ibu sayang manusia itu. Ibu tolong tangkapkan tikus yang merosakkan barang-barang di rumah mereka, tapi ini balasan yang ibu dapat."

"Semata-mata kerana kelemahan Ibu. Ibu terpecahkan pasu mahal milik manusia itu. Ibu dihalau dari rumah itu. Semua jasa ibu padam begitu sahaja."

Keko menangis lagi. Keko menangis mengenangkan nasib ibunya. Kini, Keko sendiri telah diambil oleh seorang anak manusia. Anak manusia itu mahu memeliharanya.

Bersambung...

Keko - Kisah Anak Kucing Yang Menjadi Guru
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010

Selasa, September 14, 2010

Kesialan Sosial - Apabila Akhlak Disama-ratakan Dengan Kejayaan Akademik, Ko-Kurikulum dan Sukan

"Walau dalam apa cara sekali pun Akhlak lebih penting berbanding Akademik, Ko-Kurikulum dan Sukan. Akhlak tidak boleh diletakkan sebaris dengan ketiga-tiga bidang tersebut, kerana Akhlak seharusnya menjadi tunjang atau tulang belakang untuk ketiga-tiga bidang tersebut. Jika Akhlak disamakan dengan ketiga-tiga bidang tersebut, maka selagi itulah punca permasalahan kesialan sosial masyarakat hari ni tidak dapat diselesaikan kerana salah formulanya." - Amiene Rev, 2010.
Gejala sosial, sikap biadab dan keruntuhan akhlak di kalangan pelajar terutama pada peringkat pertengahan atau kolej bukan sesuatu yang baru. Malah semakin teruk kerana masyarakat seolah-olah menerima tanpa mahu mengambil tindakan membendungnya daripada terus merebak. Sebahagian besar krisis dicetuskan masyarakat miskin dan terpinggir disebabkan terpaksa bersesak di sekolah awam.

Tambahan:

CONTOH-CONTOH Petikan Di Atas:

  • Ada ibu bapa, guru atau orang tua melihat anak-anak atau pelajar berkata-kata dengan biadab (biarpun niat asal pelajar itu untuk bergurau). Ibu bapa, guru atau orang tua cuma bersikap "alah budak-budak, malas aku nak layan". Akibatnya anak-anak atau pelajar semakin berani untuk bertindak sedemikian rupa (biadab) kerana tidak ada sesiapa pun bersungguh-sungguh menghalang mereka.
  • Ada ibu bapa, guru atau orang tua melihat anak-anak atau pelajar berlaku biadab, tetapi mereka pula menyertainya dengan melakukan perkara yang sama, dan menganggap itu sekadar satu cara untuk berkomunikasi atau bergaul dengan anak-anak atau pelajar. Akibatnya pelajar atau anak-anak merasakan mereka tidak bersalah jika berlaku biadab dan meneruskannya.
  • Ada pelajar atau anak-anak yang berlaku biadab di luar sana, tetapi tidak ada sesiapa pun mahu menegurnya. Maka kerana tidak ada orang yang menegur atau menghalang, maka pelajar atau anak-anak merasakan berlaku biadab itu merupakan perkara biasa, tak ada sesiapa nak menghalang pun.
  • Golongan tua dan ibu bapa pada hari ini lebih suka mengambil sikap tidak suka menjaga tepi kain orang, (padahal sesetengah orang, bab mengumpat dan bergosip tentang orang yang tak ada kena-mengena dengan diri mereka, rajin pula), dan mengamalkan budaya "kau-kau" dan "aku-aku" sehinggakan apa pun yang dilakukan oleh budak-budak pada hari ini, langsung tidak ada yang peduli.

KESAN-KESAN YANG KITA LIHAT:

  • Budak-budak sudah berani bersentuhan, bergambar, bergaul sesama bukan muhrim (pergaulan bebas lelaki dan perempuan) tetapi tidak ada orang tua, ibu bapa atau guru-guru (sesetengah daripada mereka) yang merasakan itu salah, dan langsung tidak berminat untuk memberi teguran.
  • Kebanyakan ibu bapa dan orang tua tidak mahu masuk campur hal-hal tegur-menegur kesalahan pelajar dan anak-anak, mereka ambil mudah dengan menganggap "alah, kalau dah besar nanti budak-budak tu tahu fikir sendiri", akibatnya kerana jarang yang hendak menegur, maka anak-anak itu membesar dengan konsep bahawa apa yang melakukan itu tidak salah padahal ianya bertentangan dengan agama. Kerana itulah, ramai pelajar dan anak-anak kini berani melakukan kesialan sosial secara terbuka di depan mata orang ramai, malah ada yang tidak kisah dan berani memaparkan gambar-gambar kesialan sosial mereka di dalam dunia siber.
  • Kebanyakan ibu bapa, sesetengah guru dan orang tua tidak mahu menanggung risiko dibenci, dihentam, dikutuk, dimaki oleh anak-anak muda atau pelajar-pelajar. Oleh itu mereka lebih suka 'play safe" dalam bab-bab seperti ini. Ini kerana undang-undang dunia hari ini tidak adil dan berat sebelah di mana, pembelaan yang tidak sewajarnya telah diberikan kepada golongan pelajar. Hukuman yang dibenarkan pula masih ringan, termasuk hukuman rotan, kerana itu ada pelajar yang telah dirotan, bukan sahaja tidak insaf, malah berasa bangga dan besar diri kerana menganggap hukuman rotan itu perkara biasa dan mereka tidak takut dirotan berulang-ulangkali.
  • Sesetengah guru pula menganggap hubungan guru dengan pelajar perlulah 'profesional', mereka langsung tidak peduli apa yang anak murid mereka lakukan di luar sana. Mereka tidak mahu memberi masalah kepada diri sendiri, lalu berpendapat lebih baik menjaga hal diri sendiri daripada menjaga hal-hal anak murid di luar sana. Akibatnya, para pelajar bebas melakukan apa sahaja gejala sosial di luar sana tanpa rasa segan silu atau takut. Ini kerana para pelajar beranggapan guru tidak akan berani mengambil tahu hal-hal mereka di luar sekolah, kerana 'batas profesional'. Tambahan pula kini, kebanyakan orang tua dan golongan dewasa berpendapat, jika mereka masuk campur dalam hal anak-anak orang lain tidak kena pada tempatnya, maka berkemungkinan besar mereka akan 'diserang' atau dikritik atau 'dihentam' kerana dianggap mengganggu atau masuk campur dalam kehidupan orang lain biarpun teguran yang diberikan mereka adalah kepada pelajar mereka sendiri.
Cuba perhatikan gambar anak-anak, adik-adik atau pelajar-pelajar anda di internet. Berapa ramai pelajar yang berani berpakaian ketat hingga menampakkan bentuk buah dada (biarpun bertudung)? Berapa ramai pelajar lelaki yang berani memakai lantai leher, subang dan gelang di khalayak ramai? Berapa ramai pelajar lelaki dan perempuan yang berani bersentuhan kulit atau bergesel-gesel anggota badan untuk bergambar di khalayak ramai? Mereka berani melakukannya di khalayak ramai! Mereka berani menyebarkan gambar mereka untuk ditonton oleh orang ramai. Anak siapalah itu? Adik siapalah itu? Cucu siapalah itu? Anak murid siapakah itu? Pelajar sekolah manakah itu? Pelajar universiti manakah itu? Bekas pelajar siapakah itu?

ADAKAH INI YANG KITA MAHUKAN UNTUK GENERASI KITA? ANAK-ANAK KITA DALAM BAHAYA! KITA MESTI BERANI BERTINDAK MENGHALANG GEJALA SOSIAL DAN SIKAP BIADAB ANAK-ANAK MUDA PADA HARI INI!

Isnin, September 13, 2010

Surat Pembaca - Sampai bila saya perlu bersendirian?

Surat kiriman daripada Puteri Sepi:
Saya baru sahaja menjumpai laman ini, tetapi teringin berkongsi masalah dengan Duke Amiene Rev. Saya telah berusia 28 tahun, mempunyai kerjaya tetap tetapi masih hidup sendirian, belum berkahwin. Saya bukan tidak mahu berkahwin, tetapi entah mengapa sampai ke hari ini saya masih tidak menjumpai lelaki yang saya suka. Saya akui, sejak di bangku sekolah, saya memang seorang yang pemalu dan tidak ramai kawan lelaki. Tambahan saya lahir dalam keluarga yang susah, lantaran kesibukan belajar saya tidak pernah cuba-cuba bercinta ketika di sekolah menengah atau pun di universiti.

Saya pernah jatuh cinta beberapa kali tetapi tidak pernah mempunyai kekuatan untuk meluahkan. Saya mencintai mereka di alam diam sahaja. Sehinggalah mereka semua mempunyai teman sendiri. Disebabkan bentuk fizikal yang agak gempal, saya merasa rendah diri untuk berkawan dengan lelaki dan saya rasa tiada lelaki yang akan sukakan saya. Semakin lanjut usia, saya makin tertekan apabila ramai yang bertanya bila saya ingin berkahwin, sampai bila ingin begini.

Saya tahu,ibu bapa saya risau jika anak sulung mereka menjadi andartu hingga ke tua. Ada juga lelaki-lelaki yang diperkenalkan kepada saya, tetapi entah mengapa tidak seorang pun dapat menarik hati saya. Ramai antaranya yang saya rasa tidak sesuai dengan saya. Sampai ke saat ini, saya masih membantu ibu bapa menyekolahkan adik-adik kerana saya rasa itu adalah tanggungjawab saya dan saya gembira berbakti kepada mereka. Saya bukan memilih, tetapi saya amat berharap agar saya mendapat suami yang menyayangi saya dan keluarga saya. Yang paling penting, saya inginkan lelaki yang mempunyai ekonomi yang mantap memberi kebebasan kepada saya berbakti kepada ibu bapa dan adik-adik meskipun saya telah berkahwin.

Saya amat takut jika saya mendapat lelaki yang tidak memahami saya. Saya juga ingin sambung belajar dan berharap mendapat lelaki yang tidak menghalang cita-cita saya. Bagi orang, mungkin saya terlalu diman, tetapi itulah yang jodoh yang saya harapkan. Tetapi setakat ini, jodoh yang diperkenalkan, sikap dan sifat mereka tidak memungkinkan mereka menerima kekurangan dan impian saya. Saya semakin terasa sedih dan sepi apabila majoriti kawan telah berkahwin. Sampai bila saya perlu bersendirian? Kadang-kadang saya terfikir, adakah saya akan hidup keseorangan sampai ke akhir hayat?


Jawapan daripada Amiene Rev:
Saudari Puteri Sepi, jalan terbaik yang boleh saya cadangkan ialah setiap kali saudari bertemu atau diperkenalkan dengan mana-mana lelaki, lakukan solat istikharah agar saudari dapat membuat keputusan yang lebih baik.

Sememangnya apa yang saya nampak di sini ialah mungkin saudari tidak sedar yang saudari sebenarnya sangat memilih dalam soal mencari jodoh. Maafkan saya kerana pertentangan pendapat saya dengan pendapat saudari terhadap diri saudari. Saya cadangkan saudari banyak mendekati aktiviti berunsur keagamaan dan kebajikan, kerana di sana, saudari berpeluang mencari jodoh yang dikehendaki.

Jika saudari terlalu bimbang, saudari fikirkan ini. Cuba saudari pergi ke padang rumput dan carilah rumput yang paling cantik di padang itu, dan saudari tidak dibenarkan melangkah ke belakang untuk mengutip mana-mana rumput yang telah saudari tolak. Pasti, saudari akan bertanya kepada diri sendiri, setiap kali ada jejaka yang baik saudari temui, saudari tolak kerana mengharapkan lelaki yang paling memahami saudari.

Seperkara lagi, saya dapati saudari adalah jenis yang mengutamakan cita-cita sendiri berbanding cinta. Kebanyakan insan seperti ini pasti sering bersendirian, kerana kesunyian tanpa teman hidup adalah teman bagi kebanyakan insan yang mengutamakan cita-cita berbanding cinta. Ingatlah, ada wanita yang belajar tinggi-tinggi tetapi selepas bersuami, dia tidak dibenarkan bekerja, tetapi menjadi suri rumah.

Saya cadangkan saudari cepat-cepat sambung belajar, kemudian barulah fikirkan soal perkahwinan. Jika saudari bernasib baik, saudari mungkin dapat bertemu pasangan hidup saudari semasa belajar atau selepas tamat pengajian nanti. Insya-Allah.

Ahad, September 12, 2010

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 1

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 1
Penulis: Amiene Rev (c) 2010

Ketika itu hujan turun rintik-rintik. Awan mendung berwarna ungu sesekali disimbah cahaya kekuningan. Angin dingin bertiup sekali-sekala.

"Ibu..."

Keko menggerakkan badan Ibunya. Ibunya kaku tidak bergerak. Keko lalu duduk diam di sisi ibunya. Keko termenung. Keko tidak tahu apa nasibnya selepas ini.

Darah terus mengalir lesu dari sisi bibir ibunya. Darah ibunya terus mengalir mengikut rentak aliran air lalu menyapa lopak-lopak berhampiran. Keko tidak dapat menerima hakikat, ibunya sudah mati. Mati dilanggar kereta beberapa jam yang lalu.

-o-

"Nanti!" Jerit Ibu Keko. Keko tersentak.

"Jika mahu menangkap tikus. Bukan begitu caranya. Lihat Ibu!" Ibu Keko duduk diam memerhatikan seekor tikus kecil yang leka mencari makanan di timbunan sampah.

"Tunggu sehingga tikus itu leka." Si Ibu kian merapat ke arah tikus itu. Mata Ibu Keko membulat. Ternyata Ibu Keko memberi tumpuan penuh terhadap tikus tersebut.

"Bergerak perlahan-lahan," bisik Ibu Keko.

Ibu Keko merapat lagi. Dia menggoyang-goyangkan ekornya. Bersedia untuk menerkam.

"Apabila tikus itu mula makan, itu tandanya dia sudah mula leka," bisik Ibu Keko.

Satu, dua, terkam. Sepantas kilat, Ibu Keko menerkam ke arah tikus kecil. Tikus kecil tersedak, terbatuk-batuk seketika sebelum mencicit lari.

Skrath! Kuku tajam Ibu Keko berjaya menangkap ekor tikus kecil. Sepantas itu juga sebelah lagi cakar Ibu Keko hinggap ke badan tikus kecil. Tanpa belas kasihan, Ibu Keko menggigit tengkuk tikus kecil. Kedua-dua cakarnya kemas membelenggu badan sang tikus.

Menurut Ibu Keko, taring kucing mempunyai bisa yang mampu melumpuhkan mangsanya. Ini adalah anugerah Tuhan kepada sekalian bangsa kucing, supaya mereka mampu meratah daging, sebagai makanan asasi mereka.

-o-

Simbahan air hujan yang dingin mengenai tubuh Keko. Sinar cahaya yang terang membuatkan Keko tersedar dari lamunannya. Sinar lampu bulat berkembar tiba-tiba berhenti menyuluh jalan. Sebuah kereta kecil berhenti betul-betul di sisi mayat Ibu Keko. Keko memberanikan diri melihat ke tingkap kereta. Kelihatan seorang budak lelaki menjenguk dari arah kereta.

"Ayah, kasihan anak kucing ini!"

Suara anak kecil itu bernada simpati. Dan, dalam simpati itu ada niat keikhlasan.

Bersambung...

Keko - Kisah Anak Kucing Yang Menjadi Guru
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010

Jumaat, September 10, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI - Maaf Zahir & Batin

Khamis, September 09, 2010

Surat Pembaca - Lambat Tangkap Apa Yang Guru Ajar

Surat kiriman daripada Capricorn_gurlz93:
sya ssah nk tngkap ape yg ckgu ajr kdg2..especially dlm mta plajran math...sya x prnh llus n spm brape bln je lgi..prob lain..sya ialh sya asyk dpt marks bwh 60 x mcm dlu..always ats 60...tlg bntu sya...


Jawapan daripada Amiene Rev:
Sekiranya saudari ingin memudahkan pemahaman saudari terhadap apa yang guru saudari ajar di dalam kelas. Saudari perlu semak sama ada saudari telah melakukan beberapa perkara seperti di bawah:

Pertama, adakah saudari memberi tumpuan penuh semasa guru mengajar di dalam kelas? Jika ya, maka seharusnya ilmu pertama yang masih segar itu mudah diterima. Kebanyakan pelajar mengabaikan peri pentingnya ajaran pertama. Ajaran pertama guru memiliki kesegaran. Jika saudari gagal memberi tumpuan pada saat ini, maka itu satu kerugian buat saudari. Kosongkan fikiran, betulkan niat belajar, pasti ilmu mudah diterima.

Kedua, adakah saudari tidur secukupnya. Jika saudari sentiasa dalam kepenatan, maka saudari hendaklah cuba mengubah jadual harian saudari. Tidur tidak cukup, otak kurang rehat, saudari mudah penat.

Ketiga, pemakanan. Elakkan makan benda-benda yang haram. Elakkan makan benda-benda yang masam. Elakkan jeruk. Elakkan memakan organ dalaman. Elakkan makan kepala ikan. Pastikan saudari memakan makanan yang baik-baik seperti kismis, kurma dan madu yang terkenal baik untuk otak.

Keempat, ulangkaji pelajaran. Adakah saudari mengulangkaji pelajaran selepas tamat kelas? Adakah saudari melakukan tugasan latihan atau kerja rumah yang diberikan oleh guru? Tugasan latihan atau kerja rumah yang diberikan oleh guru, bertujuan membantu meningkatkan kefahaman saudari secara praktis.

Kelima, bertanyakan soalan. Jika ada apa-apa yang saudari tidak faham, bertanyalah kepada guru. Jangan pula menyampuk semasa guru sedang mengajar. Tunggu masa yang sesuai, atau apabila guru membuka ruang untuk para pelajar bertanyakan soalan.

Keenam, restu guru dan doa. Hendaklah sentiasa menghormati guru, dan sentiasa berdoa agar diberi kebahagiaan dan rahmat kepada guru dan juga memohon kejayaan untuk apa yang saudari pelajari.

Ketujuh, sentiasa membuat penilaian kendiri. Buat latihan untuk setiap soalan dan kenalpasti kesalahan saudari. Di mana silapnya? Bagaimana kesilapan itu boleh berlaku? Apakah cara yang betul? Sekiranya saudari buntu, saudari boleh merujuk permasalahan saudari itu kepada guru atau rakan-rakan yang lebih pandai dalam satu-satu subjek.

Kelapan, sentiasa praktikkan ilmu. Contohnya, untuk Bahasa Melayu. Elakkan penggunaan Bahasa Melayu SMS seperti yang tertulis dalam e-mel saudari. Seharusnya saudari menjadikan lapangan siber ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan penguasaan saudari dari segi aspek bahasa.

Sekian sahaja jawapan saya untuk saudari. Selamat menghadapi Peperiksaan SPM 2010.

Rabu, September 08, 2010

Surat Pembaca - Dilupakan Kekasih

KALIMAH ALLAH ... Mohd Hafizan Mohd Hisham, 7, dari Kampung Batu 8, Jalan Alor Star-Sungai Petani menunjukkan katak puru yang mempunyai corak badan seolah-olah kalimah "Allah" di bawah perutnya di rumahnya di sini. -foto BERNAMA

Surat kiriman daripada Romy:
Salam,

Saya pernah memiliki seorang kekasih yang sangat saya cintai. Saya sanggup mengorbankan segalanya demi dia. Namun, percintaan kami dihalang oleh keluarga kekasih saya. Mereka mencuba sedaya upaya untuk memisahkan kami hingga menggunakan khidmat bomoh agar kekasih saya melupakan saya. Sekarang kekasih saya itu sudah pun melupakan saya. Tapi jauh di sudut hati saya, saya dapat merasakan dia masih mengingati saya. Saya hilang arah tuju sejak kehilangan dia. Saya tidak tahu nak buat apa. Saya tidak berdaya melupakan dia walaupun saya dah mencuba berkali-kali. Bagaimana saya hendak mengetahui adakah kekasih saya itu masih mengingati saya? Apakah nasihat saudara untuk saya? Bagaimana caranya untuk saya menerima semua ini.

Jawapan daripada Amiene Rev:
Salam kembali,

Pertama, saya harus menegur saudara tentang satu perkara berkenaan dengan jodoh. Jika ada jodoh saudara dengan si dia, maka walau betapa hebat pun halangannya tetap tidak akan dapat menghalang saudara daripada berkahwin dengan si dia. Saudara harus belajar untuk pasrah, dan bertawakal kepada Allah.

Jangan cinta mendahului keredhaan-Nya. Saudara harus mengadakan solat istikharah untuk memastikan sama ada si dia benar-benar yang terbaik untuk saudara. Jika petunjuknya baik, maka teruskan hubungan tersebut.

Ilmu bomoh adalah ilmu sihir, ilmu Allah jauh lebih hebat daripada ilmu sihir. Jika si dia adalah jodoh untuk saudara yang ditentukan Allah, maka pasti dia akan menjadi milik saudara. Tunaikan solat istikharah dahulu sebelum bertindak ke atas si dia.

Selasa, September 07, 2010

Surat Pembaca - Kena Tipu

Surat daripada Haslan:

Saya ni peminat baru blog Duke Amiene Rev. Saya selalu jugalah jenguk-jenguk ke mari. baru sekarang saya nak ceritakan masalah saya ni. Saya sebenarnya banyak masalah. Saya pun tak tahu kenapalah saya ni selalu bermasalah. Kadang-kadang saya ingat dah buat benda yang betul, tapi tak juga.

Saya ni berkerja sendiri, pelbagai dugaan saya hadapi... terutama sekali dengan kawan-kawan, bila senang semua orang datang dekat dengan saya, tapi bila susah semuanya tiada....semua gara-gara duit. Saya ni seorang marketing, alhamdulillah selalunya apa yang saya nak selalunya dapat terutama sekali pasal projek kerajaan, bila dapat saya rajin berkongsi dengan kawan-kawan, maklumlah modal tak cukup.....

Yang jadi masalahnya sekarang bila kerja dah siap, saya selalu kena tinggal, duit tak dapat, semuanya tak dapat, macam mana saya nak selesaikan masalah saya ni tuan....selalu sangat ditipu oleh kawan-kawan saya.


Jawapan daripada Amiene Rev:
Berdasarkan masalah yang dihadapi oleh En. Haslan ini, saya cuma cadangkan satu perkara. Bagi setiap projek yang disertai, pastikan ada hitam putihnya. Pastikan ada surat kontrak dan dokumen-dokumen yang sah. Semoga selepas ini, En. Haslan tidak lagi ditipu oleh orang lain.

Ahad, September 05, 2010

Surat Pembaca - Badan Kawan Berbau Masam

Surat kiriman daripada Sally:

Kawan saye bername X. saye bukan nak mengutuk die tapi saye mahu die berbau wangi ke sekolah. kerana apabila die datang ke sekolah badannya bau sgt... sampai kawan2 lari & tdk mahu kawan dengan die... so, ape perlu saye buat untuk saye jadikannya sempurne mcm orang lain... kadang2 baru dtg ke sekolah bajunye sudah lecun basah.. berbau sangat... saye tdk berani menegur die takut kalaw die kecik hati dengan saye... saye kesian tengok die... apakah yang harus saya buat untuk tangani masalah ini????

Jawapan daripada Amiene Rev:
Apa kata jika Cik Sally mencadangkan kepada dia agar menggunakan deodorant yang banyak terdapat di pasaran. Mungkin juga Cik Sally boleh memberikan deodorant tersebut sebagai hadiah untuknya dan apabila dia datang ke sekolah dengan memakai deodorant, Cik Sally berilah pujian atau komen positif untuknya berkenaan bau badannya yang sudah hilang.

Sebenarnya, adalah lebih baik jika Cik Sally menegur dia. Ingatlah, kawan yang baik akan menegur biarpun teguran itu pahit sama sekali, demi kebaikan seorang kawan.