BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Jun 22, 2007

Pendapat: 10 asas menyemarakkan kokurikulum di sekolah

Entri ini mengandungi pendapat ringkas berdasarkan artikel yang dipetik dari www.utusan.com.my. Pendapat oleh Amiene Rev (C) 2007.

PENGURUSAN sekolah disaran melaksanakan beberapa inisiatif sendiri untuk menggalakkan penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum.

Sehubungan dengan itu, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran, P. Komala Devi, pihaknya menggariskan 10 pendekatan yang boleh dijadikan asas iaitu:

1. Memberi wajaran yang sesuai kepada kegiatan kokurikulum supaya kurikulum dan aktiviti kokurikulum boleh saling melengkapi dalam proses pendidikan di sekolah.

Pendapat: Kokurikulum dan kurikulum harus saling berkaitan dari segi komitmen masa, jadual dan aktiviti. Memadankan elemen-elemen tertentu dalam akademik dengan aktiviti kokurikulum adalah salah satu cara meningkatkan kefahaman konsep secara praktik.

2. Menambahkan bilangan pasukan badan beruniform, persatuan/kelab dan sukan serta mempelbagaikan aktiviti tersebut, dengan tujuan memberi peluang kepada semua murid melibatkan diri dengan aktif secara individu, kumpulan dan beramai-ramai.


Pendapat: Idea menambahkan bilangan pasukan badan beruniform adalah bagus. Saya juga mencadangkan agar pihak sekolah memperbgaikan struktur organisasi kepimpinan pelajar bagi memberi peluang dan pendedahan kepada lebih ramai pelajar untuk mempelajari dan meningkatkan daya kepimpinan masing-masing. Contohnya Kelab Pengakap 1 dengan ahli-ahli majlis tertingginya, Kelab Pengakap 2 dengan ahli-ahlinya dan sebagainya.


3. Melibatkan pelajar daripada semua kaum dalam semua aktiviti kokurikulum di mana-mana yang sesuai, untuk tujuan pemupukan perpaduan.

Pendapat: Secara umumnya, kaum-kaum di negara kita dilihat dapat hidup dalam satu tanah yang sama, namun dengan adanya penglibatan atau integrasi kaum, masyarakat kita akan lebih dapat mengenali antara satu sama lain.


4. Melibatkan Jawatankuasa Bimbingan Pelajar Sekolah (JBPS), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru dan pelajar dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti kokurikulum.

Pendapat: Penglibatan ibu bapa dalam aktiviti sekolah merupakan salah satu ciri penting dalam pembentukan Sekolah Penyayang.


5. Melibatkan murid dan pihak sekolah dalam aktiviti khidmat masyarakat.

Pendapat: Pelajar tidak seharusnya dibiarkan terlalu fokus atau taksub terhadap pencapaian kendiri sahaja. Nilai-nilai murni seperti prihatin terhadap masyarakat, suka memberi sumbangan dan rasa bertanggungjawab terhadap masyarakat setempat perlu dipupuk sedari alam sekolah.

6. Merancang dengan teliti aktiviti kokurikulum bagi menetapkan matlamat yang dikehendaki.

Pendapat: Perancangan aktiviti kokurikulum haruslah selari dengan jadual persekolahan, pengurusan kewangan dan peristiwa-peristiwa penting tahunan untuk memastikan kelancaran dan keberkesanan dalam mencapai matlamat yang dikehendaki.


7. Merekod dan menilai kemajuan aktiviti kokurikulum yang dijalankan.

Pendapat: Kokurikulum yang dilaksanakan haruslah direkod dan dinilai dari semasa ke semasa supaya strategi dapat ditingkatkan.

8. Mengadakan pertandingan dengan melibatkan semua pelajar,

9. Mengadakan penyeliaan dan penilaian yang sistematik secara berterusan.

10. Memberi penghargaan kepada murid dan pihak lain, dari semasa ke semasa.