BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Jun 21, 2007

Anak-anak Murid Suka Mendengar Ceritaku

Memandangkan aku bertanggungjawab sebagai salah seorang warden di sekolah ini, tugas aku adalah untuk memastikan keselamatan dan kedamaian di asrama sekolah ini. Pada waktu malam minggu, aku suka meluangkan masa bersama anak-anak muridku.

Anak-anak murid aku suka mendengar aku bercerita. Kadangkala dalam satu malam, aku bercerita lebih daripada 10 buah cerita kepada anak-anak muridku. Mereka tidak berhenti-henti meminta aku bercerita. Selepas tamat satu cerita, mereka meminta aku bercerita lagi. Kata mereka, mereka seronok mendengar ceritaku.

Setiap kali mereka meminta, maka setiap kali itulah juga secara spontan, aku menulis cerita-ceritaku di dalam otak, menyusun plot-plot dengan pantas, lalu bercerita kepada anak-anak muridku. Hentam sajalah. Lalu terjadilah cerita dengan permulaan dan penamatnya.

Keesokan harinya, aku mendapati cerita-cerita yang aku lisankan kepada mereka, telah tersebar kepada anak-anak muridku yang lain. Mereka mengulangi cerita-cerita yang kusampaikan malam tadi kepada kawan-kawan mereka yang lain pula.

Seronok benar. Aku semakin yakin untuk menulis cerita, cerita-ceritaku menarik perhatian anak-anak ini. Menarik sekali, cerita-cerita ini disampaikan secara lisan dan spontan.

Alhamdulillah.

Pada malam seterusnya, mereka meminta aku bercerita lagi dan lagi. Namun aku meminta mereka menunggu pada malam minggu yang seterusnya.

"Ketuk-ketuk!" Seorang murid berbangsa Cina datang ke bilikku.

"Assalamualaikum." Murid Cina beragama Buddha ini memberi salam kepadaku.

Ah, nampaknya aku harus menamatkan penulisan aku di blog ini pada hari ini. Anak muridku sudah datang dan mengajakku makan malam di Dewan Makan.

Aku mengamalkan polisi dan prinsip tertentu di sekolah ini. Di asrama, aku bagaikan ayah atau penjaga mereka, di sekolah, aku adalah seorang guru yang tegas dan boleh menjadi garang sekiranya keadaan memerlukan aku bertindak sedemikian.

Awal-awal lagi aku telah jelaskan, jangan kecil hati kalau dimarahi semasa di dalam kelas, sebab ini adalah tanggungjawab aku sebagai seorang guru.