Petikan NOVEL GERBANG FANTASIA 2015
SEDUTAN Novel GERBANG FANTASIA (AKAN BERADA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA KL, APRIL 2015) - Terbitan K Publishing (anak syarikat Cerdik Publication).
Antara jenis-jenis haiwan yang dicadangkan termasuklah rubah, memerang laut, burung kondor California, penyu loggerhead dan kucing liar Iberia. Tiba-tiba ada seorang pelajar bercadang untuk menjadikan harimau Siberia sebagai haiwan kajiannya. Dr. Ilmi pun mengusik pelajar tersebut, sama ada dia bersedia untuk dimakan oleh harimau itu atau tidak. Pelajar tersebut hanya tersengih.
“Sekarang, saya akan panggil beberapa orang pelajar lagi. Kali ini saya mahu Umar untuk mengemukakan haiwan yang bakal dikajinya. Sila tampil ke hadapan, Umar.”
“Nama saya Umar. Saya ingin mengkaji tentang gajah. Saya sudah lama berminat dengan haiwan yang dipanggil gajah ini.” Dengan secara selamba, Umar mengemukakan haiwan kajiannya.
Tiba-tiba, seorang pelajar mengangkat tangan. Pelajar itu pun menyoal Umar, “Maafkan saya. Saya sedar tadi Dr. Ilmi meminta kita mengkaji tentang haiwan yang masih wujud di dunia. Saya pasti awak tidak peka dengan isu semasa. Untuk makluman awak, gajah sudah pupus.”
Kemudian kedengaran seorang pelajar lagi menyindir Umar, “Eloklah budak ini kaji sahaja hantu-hantu gajah di hutan sana. Itu pun kalau dia tidak takut hantu. Tak sangka, ada pelajar yang tak peka dengan isu haiwan liar seperti ini boleh layak masuk ke sini.”
Para pelajar di dalam dewan itu mula mengetawakan Umar. Sesetengah pelajar pula menggeleng-gelengkan kepala. Kebanyakan pelajar yang terpilih ke Sekolah Zoologis Antarabangsa ini sangat sensitif apabila ada orang yang tidak peka akan masalah kepupusan haiwan liar.
Wajah Dr. Ilmi berubah menjadi serius. Dr. Ilmi merenung para pelajar yang bercakap-cakap itu. Para pelajar pun terdiam.
Dr. Ilmi pun mula bersuara, “Minta bertenang. Saya ingin bertanya sekali lagi kepada Umar. Adakah Umar faham atau tidak faham arahan yang telah saya berikan itu tadi. Umar faham maksud pupus?”
“Saya faham, tuan.” Umar menjawab sambil menunduk malu. Dia beranggapan sekiranya dia bercerita tentang gajah yang ditemuinya malam tadi, mungkin ramai yang akan mengetawakannya. Mungkin ramai yang menganggap dia bermimpi.
“Jadi, kenapa Umar masih mahu mengkaji spesies haiwan yang sudah pupus? Gajah sudah pupus lima tahun lepas.”
“Betul, tuan. Namun, saya berhasrat untuk mengkaji punca kepupusan gajah-gajah tersebut. Itu impian saya sebelum datang ke sini.” Umar menegaskan impiannya.
Dr. Ilmi tersenyum. Dr. Ilmi merapati Umar. Dia berbisik sesuatu, “Kamu mungkin budak yang terpilih itu. Kamu lain dari yang lain, dan kamu harus menghargai keunikan ini. Sekarang, balik ke tempat duduk kamu.”
Umar berjalan perlahan-lahan, kembali ke tempat duduknya.
“Boooo!” Sekumpulan pelajar di dalam dewan itu mula melakukan provokasi terhadap Umar.
“Budak seperti ini tidak sepatutnya ada di sini. Dia tak layak jadi zoologis!” Begitu lantang suara itu melaung.
“Tak peka langsung dengan isu semasa!” Jerit seorang pelajar yang lain pula.
Panas telinga Umar mendengar baris-baris ayat provokasi yang dilontarkan kepadanya. Mana mungkin seorang bakal zoologis boleh tidak peka dengan isu semasa. Muka Umar merah padam menahan malu.
Umar menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri. Pelajar-pelajar semakin kuat mengecam Umar. Hati Umar membara. Tiba-tiba, Umar pun berpatah balik. Dia turun semula ke bawah, bertemu Dr. Ilmi.
“Dr. Ilmi, maafkan saya. Saya harus menyampaikan sesuatu kepada pelajar-pelajar yang biadab itu. Ini demi maruah saya. Tolong, tuan. Tolong benarkan saya berucap dan berhujah kepada para pelajar tersebut.” Mata Umar memancarkan cahaya yang begitu mengharap. Tersembunyi api kemarahan dan kesedihan.
Terbeliak mata Dr. Ilmi mendengar permintaan itu. Dia walau bagaimana pun cuba tersenyum.
“Tunggu di sini sekejap.” Dr. Ilmi pun berdepan dengan para pelajar di dalam dewan itu.
“Tolong diam semua, saya percaya, ada tokoh akan menjelaskan sesuatu kepada kalian semua. Tolong dengar apa yang disampaikannya.” Dr. Ilmi pun mempersilakan Umar.
“Kamu boleh gunakan mikrofon itu. Biar satu dewan dengar kata-kata kamu. Saya berharap, kamu dapat apa yang kamu mahu,” kata Dr. Ilmi lagi.
Umar pun mengambil mikrofon itu. Dia pun memulakan ucapannya.
“Terima kasih, kepada Dr. Ilmi kerana memberi peluang kepada saya untuk membela maruah saya. Saya yakin saya layak untuk menjadi seorang zoologis. Tidak ada manusia pun yang tidak pernah melakukan kesilapan.” Umar menarik nafas seketika.
“Kesilapan yang kamu buat itu adalah besar! Mana ada zoologis yang tidak peka isu haiwan liar?” Seorang pelajar lain menghentam Umar.
“Baiklah. Kamu mendakwa diri kamu seorang yang peka dengan isu haiwan liar. Biar saya tanya kamu, dan kamu jawab. Sanggup?” Terang-terangan Umar mencabar pelajar tersebut.
“Baiklah, saya sanggup.” Dengan angkuhnya, pelajar tersebut menyahut cabaran Umar.
“Jelaskan kepada saya, apa yang berlaku pada 32 tahun yang lepas. Februari 2013.” Umar merenung pelajar tersebut dengan pandangan mata yang tajam.
Pelajar tersebut kelihatan menggelabah. Para pelajar yang lain pun mendiamkan diri. Mereka menanti jawapan dari pelajar tersebut. Melihat pelajar tersebut masih belum dapat menjawab soalan yang dikemukakan Umar, Umar pun mengukir satu senyuman pahit.
“Belasan ekor gajah Pygmy Borneo mati akibat diracun oleh manusia.” Umar mengungkap setiap satu perkataan itu dengan keras.
“Isu lama, bolehlah. Cuba bagi isu baru,” tiba-tiba seorang pelajar lain cuba membela pelajar yang gagal menjawab soalan Umar tadi. Umar tidak mempedulikan kata-kata pelajar tersebut. Dia terus berhadapan dengan semua pelajar.
“Pada tahun tersebut, ada sekitar 1,000 ekor gajah di hutan Borneo. Kini? Ya, kini kesemua gajah itu hilang tanpa satu bangkai pun dikesan. Cuba kamu semua fikir, jika belasan ekor gajah sahaja yang mati, bangkainya boleh dikesan dengan pantas, kenapa pada zaman berteknologi canggih ini, beribu-ribu ekor gajah hilang, tidak ada satu pun laporan mengatakan bangkai-bangkai gajah itu ditemui? Kamu tak rasa pelik, wahai insan-insan yang peka dan sensitif dengan isu-isu semasa?” Kali ini Umar berjaya membidas para pelajar tersebut. Para pelajar mula bisik-membisik antara satu sama lain.
Dr. Ilmi pun bertepuk tangan. Nampaknya Dr. Ilmi berpihak kepada Umar sekarang.
“Saya rasa, ramai di kalangan kamu tidak tahu apa yang menyebabkan Sekolah Zoologis Antarabangsa ini ditubuhkan. Salah satu sebabnya adalah berkaitan dengan isu kepupusan gajah tersebut. Sebab itu, saya percaya, bila saya hadir ke sini, saya akan dapat tahu sesuatu yang penting mengenai kepupusan gajah tersebut. Kamu mungkin sibuk dengan harimau kamu, penyu kamu, burung kondor kamu, atau tapir kamu tetapi adakah kamu tahu asal-usul penubuhan sekolah ini? Saya rasa kamu semua tidak tahu.” Kali ini giliran Umar pula mengenakan mereka.
“Saya telah melakukan siasatan awal sebelum datang ke mari. Saya dapati, Bukit Gajah yang berada di belakang sekolah ini, merupakan lokasi terakhir gajah-gajah itu dikesan. Selepas itu terus tidak ada apa-apa berita tentang gajah lagi. Berita terakhir yang saya dengar, gajah sudah pupus. Sedarkah kamu semua, kita sekarang sudah berada begitu dekat dengan lokasi terakhir gajah pernah ditemui? Tidak ada satu pun bangkai dilaporkan ditemui.” Umar semakin bersemangat mengemukakan hujahnya.
Para pelajar mula terbahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan menyokong Umar, satu lagi masih membantah dengan tindakan Umar.
“Jika benar kamu semua bakal zoologis yang peka dan sensitif dengan isu semasa, maka kamu sepatutnya dapat menerima sejarah sebagai satu pengajaran atau teladan buat kita pada masa kini. Sudah banyak haiwan liar pupus kerana dahulu kerana sifat tidak prihatin manusia. Prihatin, adalah salah satu sifat yang wajib dimiliki oleh zoologis. Sebagai zoologis, kita bukan sekadar mengambil tahu sahaja, tetapi kita juga mesti prihatin dan ada rasa bertanggungjawab. Sesiapa yang tidak prihatin terhadap punca-punca kehilangan haiwan ini, maka layakkah dia digelar zoologis? Layakkah kamu?” Pedas sekali hujah yang disampaikan Umar. Umar merenung wajah-wajah pelajar yang sedang memerhatikannya.
“Saya rasa, kita semua sudah pun mendengar hujah yang sangat bernas daripada bakal zoologis kita, iaitu Umar. Umar, adakah maruah kamu sudah terbela sekarang?” Dr. Ilmi merenung Umar.
|