BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Mac 25, 2015

Surat Pembaca Amiene Rev - Keliru Dengan Pilihan

Salam terima kasih kerana sudi mendengar masalah saya. Saya berkenalan dengan seorang lelaki pada tahun 2010 hubungan kami banyak kali terputus dan sambung balik. Dia bukan seorang lelaki yang caring sehingga membuat saya merana sehingga saya diserang migrain berhari lamanya.  Sehingga kesabaran saya hilang saya membuka pintu hati kepada orang lain pada tahun 2012 dia boleh dikatakan baik dan banyak mendengar masalah saya, tetapi dia tinggal jauh di utara sedangkan saya di kuala lumpur. Kami hanya berjumpa sekali sekala apabila saya pulang ke kampung di perak. Namun berlaku gaduh besar dalam hubungan kami dan saya memberikan syarat jika dia tidak melamar saya, saya mintak dia lupakan saya. Kerana takut kehilangan saya kami bertunang pada hari merdeka yang lepas. Dan menetapkan tarikh perkahwinan pada bulan 5. 

Masa kami bertunang bekas teman lelaki yang banyak menyeksa saya dahulu kembali dan mengatakan dia telah putus tunang dan tidak boleh melupakan saya dan sanggup menunggu sehingga saya berkahwin kerana dia menyesal dengan apa yang telah dia lakukan pada saya dahulu. Dia dah bayak berubah rajin ke masjid. Tidak tinggal solat. Saya ada rasa ingin kembali kepadanya dengan perubahan yang berlaku tetapi saya buang perasaan itu kerana saya telah bertunang. Pada suatu hari hidup saya diuji saya benar-benar tertekan. Dengan kerja yang terpaksa saya berhenti walaupun belum mendapat pekerjaan lain. Dengan hubungan dengan tunang saya yang ada masalah berpunca dari dia. Saya telah menghubungi bekas teman lelaki untuk menghilangkan rasa tertekan. Bila hubungan saya dan tunang telah kembali pulih saya masih teringatkan bekas teman lelaki saya. 

Apa yang harus saya lakukan? Pernah saya terfikir untuk memutuskan hubungan tunang saya untuk kembali kepada bekas kekasih saya. Sejak kami berjumpa kembali saya tidak boleh melupakannya. Saya tidak mahu menghancurkan perasaan tunang saya dengan alasan bekas kekasih saya lebih sayang saya, dengan jarak kami yang dekat dan saya tidak perlu pindah ke Penang setelah berkahwin. Apa jalan terbaik yang boleh saya lakukan. Perlukah saya menyerahkan semuanya pada takdir.

Keliru dengan pilihan

MAKLUM BALAS AMIENE REV: Salam kembali. Dua perkara yang boleh saya katakan kepada saudari ialah:

Pertama, lakukan solat istikharah dan minta kepada Allah petunjuk yang terbaik tentang keputusan saudari.

Kedua, tunggu keputusan solat istikharah tersebut. Jika pihak yang lain mendesak, katakan saudari sedang berikhtiar, dan sedang menanti keputusan solat istikharah tersebut.

Apa pun keputusan yang saudari perolehi, maka yakin dan percayalah, bahawa Allah sedang mengatur jodoh yang terbaik untuk saudari.

Semoga saudari sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera, dan dapat menghadapi kehidupan ini dengan tenang dan bahagia.

Salam hormat daripada Amiene Rev.

Isnin, Mac 09, 2015

Petikan Novel IBRIM DAN TOWA - Ular Raksasa Tasik Raga

Petikan novel fantasi sains fiksyen Kisah Dua Beradik IBRIM & TOWA - Ular Gergasi Tasik Raga

SEDUTAN Novel IBRIM & TOWA (DI PESTA BUKU ANTARABANGSA KL, APRIL 2015) - Terbitan Pekan Ilmu.

Kancil putih seolah-olah mengetahui niat budak-budak tersebut, lalu kancil putih itu pun berjalan ke satu arah. Ibrim tidak lupa untuk menanda pokok-pokok setiap kali berjalan.
Pada mulanya kancil putih itu berjalan seolah-olah tidak menyedari kehadiran mereka, namun tidak lama selepas itu, kancil itu pun mula melompat-lompat ke sana dan ke sini.
“Alamak, kancil itu sudah semakin pantas menjauhi kita, kita mesti mengejarnya!” kata Alad.
“Jangan, nanti kancil itu fikir kita mahu memburunya,” tegah Ibrim. “Kita berjalan dengan pantas sahaja.”
Maka, sekalian budak-budak itu pun berjalan dengan pantas mengekori kancil putih tersebut. Tidak lama kemudian, mereka pun mendengar bunyi yang menakutkan. Rupa-rupanya itulah bunyi beruang merah.
Badan beruang merah itu besar. Jika berdiri, ketinggiannya hampir sekali ganda ketinggian orang dewasa. Hampir tiga meter tingginya.
“Sekarang, kita berpura-pura mati,” arah Ibrim kepada rakan-rakannya.
“Apa? Kenapa mesti mahu berpura-pura mati, lebih baik kita lari!” kata Towa pula. Jantungnya berdegup-degup pantas. Kebimbangan mula menguasai dirinya.
“Jangan! Cepat, mari kita berbaring dan menahan nafas!” arah Ibrim sambil terus berbaring di atas tanah.
Beruang merah menyedari ada sesuatu berhampiran dengannya, lalu meronda di sekitar kawasan itu. Beruang merah mendapati sekumpulan budak sedang berbaring di atas tanah.
Dengan rasa curiga, beruang merah pun mendekati budak-budak yang sedang berbaring itu. Beruang merah pun merapati seorang demi seorang. Towa semakin berdebar-debar. Jantungnya berdegup semakin kencang. Peluh mula merembes keluar dari liang-liang romanya. Towa tidak yakin dia akan dapat menahan nafas dengan begitu lama.
Towa tidak berani mengambil risiko, Towa pun terus bangkit dari pembaringannya dan berlari menuju ke sebatang pokok berdekatan.
Beruang merah terkejut apabila mendapati Towa yang telah bangkit dan berlari meninggalkan tapak pembaringannya. Beruang merah pun mengejar Towa. Dengan sepantas kilat, Towa memanjat pokok dan terus berpaut pada sebatang dahan yang agak besar di atas pokok tersebut.
Beruang merah pun berpusing-pusing di bawah pokok tersebut. Sekali-sekala beruang merah mendengus. Sekali-sekala beruang merah itu berdiri dengan dua kakinya sambil memandang ke arah Towa.
Towa menarik nafas lega. Kedua-dua belah tangan dan kakinya masih menggeletar, tetapi Towa tetap menguatkan semangatnya untuk memaut dahan pokok tersebut.
Belum sempat Towa menarik nafas lega, tiba-tiba Towa terdengar bunyi berdesir. Bunyi itu semakin lama semakin menghampiri Towa. Towa berpaling ke kiri dan ke kanan, ke depan dan ke belakang. Alangkah terkejutnya Towa, apabila didapatinya ada seekor ular sawa batik sedang merenungnya sambil menjulur-julurkan lidah bercabangnya. Badan ular itu begitu kemas membelit dahan pokok tersebut. Mata ular itu berwarna jingga, kelihatan ganas dan seolah-olah mahu membahamnya. Ular sawa batik itu perlahan-lahan menjalar ke arah Towa, sambil melilit dahan pokok tersebut.
Towa tergamam. Dia hanya mampu menelan air liur. Kepantasan degup jantungnya yang baru hendak reda kembali meningkat. Towa hilang akal. Jika dia turun dari pokok itu, beruang merah di bawah akan menyerangnya. Jika Towa kekal di atas pokok itu, ular sawa batik itu pula yang beruntung mendapat makanan baru. Badan budak lelaki berusia 13 tahun seperti Towa, sudah tentu dapat mengenyangkan ular sawa tersebut selama sebulan, selepas menelannya.
Nafas Towa tidak keruan lagi. Badannya kuat menggigil. Sudah meremang bulu tengkuknya memikirkan bahawa dia bakal menjadi makanan ular sawa batik itu. Towa pun menjerit sekuat-kuat hatinya, “Ibrim, di atas pokok ini ada ular!!!!”
Hutan tebal itu yang sentiasa sunyi, kini mula dibingitkan dengan hiruk-pikuk kicauan burung-burung yang berterbangan. Kalut! Burung-burung itu terkejut mendengar jeritan seorang budak lelaki, yang telah menceroboh masuk ke dalam hutan tebal itu dengan lima lagi rakannya.

Petikan NOVEL GERBANG FANTASIA 2015


SEDUTAN Novel GERBANG FANTASIA (AKAN BERADA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA KL, APRIL 2015) - Terbitan K Publishing (anak syarikat Cerdik Publication).
Antara jenis-jenis haiwan yang dicadangkan termasuklah rubah, memerang laut, burung kondor California, penyu loggerhead dan kucing liar Iberia. Tiba-tiba ada seorang pelajar bercadang untuk menjadikan harimau Siberia sebagai haiwan kajiannya. Dr. Ilmi pun mengusik pelajar tersebut, sama ada dia bersedia untuk dimakan oleh harimau itu atau tidak. Pelajar tersebut hanya tersengih.
“Sekarang, saya akan panggil beberapa orang pelajar lagi. Kali ini saya mahu Umar untuk mengemukakan haiwan yang bakal dikajinya. Sila tampil ke hadapan, Umar.”
“Nama saya Umar. Saya ingin mengkaji tentang gajah. Saya sudah lama berminat dengan haiwan yang dipanggil gajah ini.” Dengan secara selamba, Umar mengemukakan haiwan kajiannya.

Tiba-tiba, seorang pelajar mengangkat tangan. Pelajar itu pun menyoal Umar, “Maafkan saya. Saya sedar tadi Dr. Ilmi meminta kita mengkaji tentang haiwan yang masih wujud di dunia. Saya pasti awak tidak peka dengan isu semasa. Untuk makluman awak, gajah sudah pupus.”
Kemudian kedengaran seorang pelajar lagi menyindir Umar, “Eloklah budak ini kaji sahaja hantu-hantu gajah di hutan sana. Itu pun kalau dia tidak takut hantu. Tak sangka, ada pelajar yang tak peka dengan isu haiwan liar seperti ini boleh layak masuk ke sini.”
Para pelajar di dalam dewan itu mula mengetawakan Umar. Sesetengah pelajar pula menggeleng-gelengkan kepala. Kebanyakan pelajar yang terpilih ke Sekolah Zoologis Antarabangsa ini sangat sensitif apabila ada orang yang tidak peka akan masalah kepupusan haiwan liar. 
Wajah Dr. Ilmi berubah menjadi serius. Dr. Ilmi merenung para pelajar yang bercakap-cakap itu. Para pelajar pun terdiam.
Dr. Ilmi pun mula bersuara, “Minta bertenang. Saya ingin bertanya sekali lagi kepada Umar. Adakah Umar faham atau tidak faham arahan yang telah saya berikan itu tadi. Umar faham maksud pupus?”
“Saya faham, tuan.” Umar menjawab sambil menunduk malu. Dia beranggapan sekiranya dia bercerita tentang gajah yang ditemuinya malam tadi, mungkin ramai yang akan mengetawakannya. Mungkin ramai yang menganggap dia bermimpi.

“Jadi, kenapa Umar masih mahu mengkaji spesies haiwan yang sudah pupus? Gajah sudah pupus lima tahun lepas.”
“Betul, tuan. Namun, saya berhasrat untuk mengkaji punca kepupusan gajah-gajah tersebut. Itu impian saya sebelum datang ke sini.” Umar menegaskan impiannya.
Dr. Ilmi tersenyum. Dr. Ilmi merapati Umar. Dia berbisik sesuatu, “Kamu mungkin budak yang terpilih itu. Kamu lain dari yang lain, dan kamu harus menghargai keunikan ini. Sekarang, balik ke tempat duduk kamu.”
Umar berjalan perlahan-lahan, kembali ke tempat duduknya.
“Boooo!” Sekumpulan pelajar di dalam dewan itu mula melakukan provokasi terhadap Umar.
“Budak seperti ini tidak sepatutnya ada di sini. Dia tak layak jadi zoologis!” Begitu lantang suara itu melaung.
“Tak peka langsung dengan isu semasa!” Jerit seorang pelajar yang lain pula.
Panas telinga Umar mendengar baris-baris ayat provokasi yang dilontarkan kepadanya. Mana mungkin seorang bakal zoologis boleh tidak peka dengan isu semasa. Muka Umar merah padam menahan malu.
Umar menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri. Pelajar-pelajar semakin kuat mengecam Umar. Hati Umar membara. Tiba-tiba, Umar pun berpatah balik. Dia turun semula ke bawah, bertemu Dr. Ilmi.
“Dr. Ilmi, maafkan saya. Saya harus menyampaikan sesuatu kepada pelajar-pelajar yang biadab itu. Ini demi maruah saya. Tolong, tuan. Tolong benarkan saya berucap dan berhujah kepada para pelajar tersebut.” Mata Umar memancarkan cahaya yang begitu mengharap. Tersembunyi api kemarahan dan kesedihan.
Terbeliak mata Dr. Ilmi mendengar permintaan itu. Dia walau bagaimana pun cuba tersenyum.

“Tunggu di sini sekejap.” Dr. Ilmi pun berdepan dengan para pelajar di dalam dewan itu.
“Tolong diam semua, saya percaya, ada tokoh akan menjelaskan sesuatu kepada kalian semua. Tolong dengar apa yang disampaikannya.” Dr. Ilmi pun mempersilakan Umar.
“Kamu boleh gunakan mikrofon itu. Biar satu dewan dengar kata-kata kamu. Saya berharap, kamu dapat apa yang kamu mahu,” kata Dr. Ilmi lagi.
Umar pun mengambil mikrofon itu. Dia pun memulakan ucapannya.
“Terima kasih, kepada Dr. Ilmi kerana memberi peluang kepada saya untuk membela maruah saya. Saya yakin saya layak untuk menjadi seorang zoologis. Tidak ada manusia pun yang tidak pernah melakukan kesilapan.” Umar menarik nafas seketika.
“Kesilapan yang kamu buat itu adalah besar! Mana ada zoologis yang tidak peka isu haiwan liar?” Seorang pelajar lain menghentam Umar.

“Baiklah. Kamu mendakwa diri kamu seorang yang peka dengan isu haiwan liar. Biar saya tanya kamu, dan kamu jawab. Sanggup?” Terang-terangan Umar mencabar pelajar tersebut.

“Baiklah, saya sanggup.” Dengan angkuhnya, pelajar tersebut menyahut cabaran Umar.
“Jelaskan kepada saya, apa yang berlaku pada 32 tahun yang lepas. Februari 2013.” Umar merenung pelajar tersebut dengan pandangan mata yang tajam.

Pelajar tersebut kelihatan menggelabah. Para pelajar yang lain pun mendiamkan diri. Mereka menanti jawapan dari pelajar tersebut. Melihat pelajar tersebut masih belum dapat menjawab soalan yang dikemukakan Umar, Umar pun mengukir satu senyuman pahit.
“Belasan ekor gajah Pygmy Borneo mati akibat diracun oleh manusia.” Umar mengungkap setiap satu perkataan itu dengan keras.
“Isu lama, bolehlah. Cuba bagi isu baru,” tiba-tiba seorang pelajar lain cuba membela pelajar yang gagal menjawab soalan Umar tadi. Umar tidak mempedulikan kata-kata pelajar tersebut. Dia terus berhadapan dengan semua pelajar.

“Pada tahun tersebut, ada sekitar 1,000 ekor gajah di hutan Borneo. Kini? Ya, kini kesemua gajah itu hilang tanpa satu bangkai pun dikesan. Cuba kamu semua fikir, jika belasan ekor gajah sahaja yang mati, bangkainya boleh dikesan dengan pantas, kenapa pada zaman berteknologi canggih ini, beribu-ribu ekor gajah hilang, tidak ada satu pun laporan mengatakan bangkai-bangkai gajah itu ditemui? Kamu tak rasa pelik, wahai insan-insan yang peka dan sensitif dengan isu-isu semasa?” Kali ini Umar berjaya membidas para pelajar tersebut. Para pelajar mula bisik-membisik antara satu sama lain.
Dr. Ilmi pun bertepuk tangan. Nampaknya Dr. Ilmi berpihak kepada Umar sekarang.
“Saya rasa, ramai di kalangan kamu tidak tahu apa yang menyebabkan Sekolah Zoologis Antarabangsa ini ditubuhkan. Salah satu sebabnya adalah berkaitan dengan isu kepupusan gajah tersebut. Sebab itu, saya percaya, bila saya hadir ke sini, saya akan dapat tahu sesuatu yang penting mengenai kepupusan gajah tersebut. Kamu mungkin sibuk dengan harimau kamu, penyu kamu, burung kondor kamu, atau tapir kamu tetapi adakah kamu tahu asal-usul penubuhan sekolah ini? Saya rasa kamu semua tidak tahu.” Kali ini giliran Umar pula mengenakan mereka.
“Saya telah melakukan siasatan awal sebelum datang ke mari. Saya dapati, Bukit Gajah yang berada di belakang sekolah ini, merupakan lokasi terakhir gajah-gajah itu dikesan. Selepas itu terus tidak ada apa-apa berita tentang gajah lagi. Berita terakhir yang saya dengar, gajah sudah pupus. Sedarkah kamu semua, kita sekarang sudah berada begitu dekat dengan lokasi terakhir gajah pernah ditemui? Tidak ada satu pun bangkai dilaporkan ditemui.” Umar semakin bersemangat mengemukakan hujahnya.
Para pelajar mula terbahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan menyokong Umar, satu lagi masih membantah dengan tindakan Umar.

“Jika benar kamu semua bakal zoologis yang peka dan sensitif dengan isu semasa, maka kamu sepatutnya dapat menerima sejarah sebagai satu pengajaran atau teladan buat kita pada masa kini. Sudah banyak haiwan liar pupus kerana dahulu kerana sifat tidak prihatin manusia. Prihatin, adalah salah satu sifat yang wajib dimiliki oleh zoologis. Sebagai zoologis, kita bukan sekadar mengambil tahu sahaja, tetapi kita juga mesti prihatin dan ada rasa bertanggungjawab. Sesiapa yang tidak prihatin terhadap punca-punca kehilangan haiwan ini, maka layakkah dia digelar zoologis? Layakkah kamu?” Pedas sekali hujah yang disampaikan Umar. Umar merenung wajah-wajah pelajar yang sedang memerhatikannya.
“Saya rasa, kita semua sudah pun mendengar hujah yang sangat bernas daripada bakal zoologis kita, iaitu Umar. Umar, adakah maruah kamu sudah terbela sekarang?” Dr. Ilmi merenung Umar.


Ahad, Mac 01, 2015

Pelajar Adalah Petani, Ilmu Itu Tanaman Yang Dikerjakannya

"Pelajar itulah petani, ilmu itu sayur manakala guru itu cuma perigi, pembekal benih tanaman, baja, nutrien, air dan sinar sang suria." - Amiene Rev

1 MAC 2015: Kebanyakan masyarakat hari ini beranggapan guru itu petani dan pelajar itu umpama tanam-tanaman, sayur atau mungkin juga ternakan. Oleh itu segala beban dan tanggungjawab digalaskan kepada orang yang dipanggil cikgu. Begitulah doktrin yang memanjakan rakyat Malaysia sehingga merapuhkan negara. Bagiku, pelajar itulah petani yang sebenar, dan ilmu itulah tanaman, ternakan atau sayur-sayuran. Mereka bertani dan mendapat manfaat daripada tanaman dan ternakan yang mereka cari dan kerjakan. Negara yang ingin maju tidak akan menganggap pelajar-pelajar sebagai sayur, tetapi sebagai petani. Atau lebih canggih, usahawan. Usahawan tidak boleh dimanjakan, petani juga tidak boleh dimanjakan.