Ulasan Filem - Dendam Orang Mati - Movie Review
Hari ini aku tergerak hati menonton filem Dendam Orang Mati terbitan KRU Production dan diarahkan oleh Jason Chong. Tiga watak utama dalam filem ini adalah Lisa Surihani selaku Lena, Fizz Fairuz selaku Shahrul dan Miera Leyana selaku Min.
SINOPSIS FILEM DENDAM ORANG MATI
Filem psiko-thriller untuk tontonan P13 ini mengisahkan tentang Lena yang telah tersedar dari koma selepas peristiwa kematian anaknya, Afiq. Lena hilang ingatan. Lena kemudiannya dibawa oleh suaminya, Shahrul pulang ke rumahnya. Rumah itu sangat kotor, sunyi dan menyeramkan. Shahrul berat sebelah dan lebih mengutamakan isteri pertamanya, Min, kerana menganggap Lena sakit mental. Min banyak kali menghasut Shahrul supaya mengabaikan Lena. Pertemuan Lena dengan pengasuh anaknya, dan pemandu peribadi kereta keluarganya, Zali menyebabkan Lena teringat semula kewujudan anaknya, Afiq, yang kini telah meninggal dunia. Dengan bantuan Zali, Lena mula menyedari dirinya dianiayai oleh orang yang cuba merampas harta keluarganya.
ULASAN FILEM DENDAM ORANG MATI
Terdapat sedikit twist-plot dalam filem ini yang akan membuatkan penonton perlu bijak mentafsir apa yang bakal berlaku selepas satu-satu peristiwa yang telah dilalui watak utamanya.
Lakonan Lisa Surihani sememangnya mantap dan berkesan dalam filem ini. Gaya rambut pendek menyerlahkan lagi wataknya. Penggunaan anak patung yang bernama Mimi turut membantu memantapkan lagi watak utama yang psiko.
Penggunaan teknologi CGI (computer generated image / imej yang dihasilkan oleh komputer) turut membantu meningkatkan tahap cemas dan aksi dalam filem ini. Kebanyakan watak hantu atau makhluk halus membantu memberi rasa cemas kepada penonton.
Secara keseluruhannya filem ini berjaya menyentuh emosi penonton. Kematian Afiq yang tragis, kewujudan pak cik tua yang sebenarnya hantu, sokongan daripada jiran yang bersimpati, masyarakat sekitar yang kuat mengumpat, watak suami yang bermuka dua dan isteri keduanya yang kuat cemburu, watak ayah yang tegas serta motif pemandu kereta peribadi keluarga yang terpendam membantu menghidupkan cerita ini ke tahap yang memerlukan penonton berfikir. Ia bukan sebuah cerita yang sekadar menyuapkan sesuatu kepada penonton sebaliknya penonton perlu menganalisis semula plot-plot yang sebelumnya untuk menjangkakan kesudahan yang mungkin berlaku dan seterusnya memenuhi sebab kenapa judul filem ini ialah "Dendam Orang Mati".
Adakah kemungkinan filem ini ada sambungannya? Dari pengakhiran cerita, saya mendapati wujudnya potensi untuk kesinambungan bagi cerita ini. Pada akhirnya, suami yang berniat jahat dan isteri keduanya seperti telah berjaya merampas harta isteri pertamanya. Namun, daripada reaksi muka pemandu kereta peribadi keluarganya, ada kemungkinan dia akan cuba membela anak tuannya itu.
|