BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Disember 20, 2012

Cerpen: Penulis Pontianak - Karya Amiene Rev 20.12.2012

Penulis Pontianak
Sebuah Karya Amiene Rev (C) 20.12.2012 12:12AM

Kata orang, pengalaman menulis cerpen ini adalah sesuatu yang menyakitkan. Aku kurang arif. Barangkali, kesakitan yang aku terima tidak jauh lebih menyakitkan sehingga aku begitu sakit untuk menulis. Setiap kali mahu menulis, ada-ada sahaja kepeningan, pitam, lemah, menggigil dan simptom-simptom pelik yang tidak sepatutnya berlaku. Ini barangkali adalah penyakit menulis yang menimpa bukan semua orang tetapi jarang. Barangkali, cuma aku sahaja yang mengalaminya. Perasan!

Adakah ini adalah permulaan menulis bagiku. Menulis dalam keadaan aku sendiri tidak pasti apa pengakhirannya. Ketika aku menulis teks ini, pelbagai pemikiran pengkritik muncul dan menghalang setiap satu abjad yang hendak aku taip.

Kini, fahamlah aku. Gara-gara terlalu banyak teori yang menyerang enjin kenderaan menulisku, maka aku sering gagal dalam memulakan perjalanan sesuatu penulisan. Selama ini, aku  sekadar menghidupkan enjin, memanasnya seketika sebelum enjin itu tersedut-sedut dan mati.  Dalam set minda penulisanku sudah ada teknik penulisan dan gaya penulisanku yang tersendiri tetapi dimatikan dengan satu bentuk beban teori-teori penulisan yang gagal diterima semangat penulisanku.

Asalkan aku mampu kembali ke corak penulisan asalku, maka nadi penulisanku akan pulih semula denyutannya. Selama ini, terlalu banyak teori yang meresap ke nadi-nadi penulisanku, dan bertentangan dengan cara dan kaedah penulisanku yang asal.

Tidak semua orang sanggup mengikut teori penulisan ciptaan orang lain. Aku juga begitu. Jika dahulu, aku begitu lancar menaip satu demi satu cerita, tetapi kini sejak setengah dekad yang lalu, corak penulisanku mula hilang rentak. Teori-teori penulisan yang kuterima tidak dapat menyerap dan bersatu dengan semangat penulisanku. Semuanya hancur. Semuanya berkecai. Lalu selepas itu, langsung tidak ada satu manuskrip pun kuhantar ke syarikat penerbitan tersebut.

Benar sekali, pemikiran kreatif dan pemikiran pengkritik adalah dua perkara yang berlainan. Teori penulisan baru yang disarankan oleh penerbit telah menjana pemikiran-pemikiran pengkritik yang tidak sepatutnya ada, dan menyerang pemikiran-pemikiran kreatifku. Ketika itu, aku mula sedar kenapa ada penulis-penulis yang memberontak, tidak mahu menerima teori penulisan itu. Teori penulisan yang bertentangan dan mewujudkan satu keadaan yang desktruktif terhadap semangat penulis.

Bertahun-tahun lamanya aku mula mencari di manakah kelemahanku sehingga aku gagal terus untuk menulis. Aku kini jelas akan puncanya. Pemikiran pengkritik. Pemikiran pengkritik yang cenderung ke arah teori penulisan baru itu dan melawan, menentang, mengkritik serta membantah teknik penulisanku yang lahiriah, yang asal, yang wujud sebelum aku didedahkan dengan teori penulisan tersebut.

Kini, aku seolah-olah tersedar. Namun, bisa dan toksik yang merupakan kesan sampingan pertembungan kedua-dua pemikiran itu menyebabkan aku kini menjadi seorang penulis pontianak. Aku cenderung menyedut darah dari karya-karya penulis lain untuk membentuk karya-karya baru. Aku haus dan semakin haus. Untuk memperoleh tenaga menulis, aku perlu mencari mangsa. Setiap kali pun, aku mencari mangsa.

Kerjaku kini memburu karya-karya penulis. Aku tidak perlu mengumpan wanita-wanita cantik sebagaimana pontianak-pontianak orang putih mencari mangsanya. Aku tidak perlu berkata-kata romantis dan berpakaian kemas serta bermantel sebagaimana Count Drakula. Aku tidak perlu menyebut perkataan ‘pulangkan’ beberapa kali seperti Pontianak Harum Sundal Malam. Aku juga tidak perlu memakai losen anti sinaran ultra-violet kerana aku tidak ada penyakit alahan terhadap sinar sang suria. Aku cuma perlu memburu buku-buku, majalah, artikel dan apa-apa sahaja karya penulisan yang aku kira menarik pada pembacaanku.

Oh, Tuhan, halalkan setiap darah yang aku hisap! Aku kecewa kerana nadi penulisan asalku telah terbunuh. Terbunuh kerana alergik yang aku hadapi terhadap teori penulisan baru itu. Malang sekali diriku ini. Malang sekali kerana aku langsung tidak berpeluang untuk memulihkan diriku. Kata peribahasa, nasi sudah menjadi bubur.

Diminta Encik Pontianak untuk menerima Anugerah Sasterawan Negara. Oh, tidak, maaf. Sasterawan Antarabangsa! Ya, ini dia Hadiah Nobel untuk tuan. Lalu, aku pun menyeringai dan taring-taring penghisap darahku mula kelihatan. Para hadirin ketakutan. Para hadirin lari lintang pukang. Pengacara majlis terketar-ketar melihat penulis pontianak yang sering diperkatakan itu kini telah muncul. Bukan lagi khabar angin, bukan lagi mitos!

Trofi Anugerah jatuh dan pecah berderai di atas lantai. Dari seorang penulis yang disanjung, aku kini menjadi penulis yang paling ditakuti. Setiap kali hasil penulisanku siap dan disiarkan, maka begitu ramai penulis dan sasterawan berdegup-degup kencang jantungnya. Takut. Takut sampai begitu sekali jika karya-karya mereka menjadi mangsaku yang terbaru.

Aku ini penulis pontianak. Siapa berani menghapuskan aku? Setiap malam, selepas jam 12 malam, aku pun mula terbang seperti kelawar dan adakalanya dengan rambut yang mengerbang, aku menghilai di tengah malam. Karya! Karya! Karya! Aku kehausan karya! Aku ini penulis pontianak! Aku mula mendapat ilham baru. Bersajak. Ya, bersajak:
Aku ini penulis pontianak
Kerjaku menghisap karya
Penulis-penulis mapan menjadi mangsa
Tanpa karya mereka
Aku kehausan dan kelaparan
Aku ini penulis pontianak
Kerjaku menghisap karya
Penulis dan sasterawan
Ha! Ha! Ha! Hi! Hi! Hi!
Aku mengilai sepuas-puasnya. Aku ini penulis pontianak. Mendengar namaku, meremang bulu romamu. Menyebut namaku, berdegup kencang jantungmu. Guruh mula menghembus bunyi. Kilat mencakar tunggul-tunggul besi. Dalam kegelapan malam dan langit mendung itu, kelihatan aku Sang Penulis Pontianak, dengan mata merah tersembul, dan seular bibir tersenyum pahit sedang menanti karya-karya baru untuk dihisap.

Adakah hayatku di dunia ini begitu lama? Adakah aku akan kekal abadi dengan cara ini? Aku mula menyebarkan falsafahku. Aku mula menabur benih-benih idealogiku. Aku mengatakan, bahawa asalkan masih ada penulis-penulis baru mengikut jejakku, maka aku akan sentiasa hidup sebagai Penulis Pontianak. Penulis Pontianak bukan lagi satu nama individu, tetapi satu jenama yang paling ditakuti. Aku mewujudkan ketakutan dalam diri para penulis yang menjadi mangsaku dan karya-karya mereka merupakan gelen-gelen darah yang bakal aku hirup dengan nikmatnya.

Jika pontianak menyebar virusnya menerusi gigitannya, aku pula menyebar virusku menerusi idealogiku. Falsafah-falsafah penulis pontianak mula menggigit penulis-penulis yang kehausan dan ketandusan karya, yang terdesak untuk terus hidup dengan berkarya. Jika mereka tidak berkarya, maka mereka akan kelaparan, menggigil, kurus keding dan pucat tak berdarah. Untuk terus hidup, mereka mesti berkarya, dan untuk berkarya, mereka mesti menagih karya-karya penulis-penulis lain. Semakin hebat karya yang berjaya dihisap, semakin hebatlah penulis pontianak itu.

Setiap malam, aku membelek-belek karya-karya baru yang jatuh ke tanganku. Aku seolah-olah seorang bibliomania, yang membeli dan membaca buku-buku tanpa sebab yang wajar. Ratusan buku-buku disusun di keranda-keranda tegak di ruang-ruang kediamanku. Semuanya seolah-olah berbisik, menangis, meraung, dan mungkin ada yang berdoa agar diselamatkan dari menjadi mangsaku. Buku-buku adalah anak para penulis, dan aku telah menculiknya dari kedai-kedai dan perpustakaan awam. Aku bayarlah! Jangan kata aku curi. Jika aku tidak mengeluarkan wang sekali pun, aku meminjamnya dengan kad keahlian perpustakaan awamku.

Setiap kali aku ke kedai-kedai buku dan perpustakaan, aku pasti pulang dengan memeluk di kiri dan kananku berjudul-judul buku. Sambil ketawa mengilai, dan taring yang terserigai, aku keluar dari pintu toko-toko buku sambil diperhatikan oleh pengawal kedai buku yang pelik dan seram dengan tingkah lakuku. Peduli apa aku, kerana aku inikan penulis pontianak?

Sambil menyanyi dengan nada “Hmmmm.....” aku menyusun buku-buku baru yang kaku tidak bernyawa di keranda-keranda buku. Aku merenung satu demi satu mangsa-mangsa baruku, dengan ibu jari dan jari telunjuk di bawah daguku. Aku tersenyum dengan mata merah menyalaku, lalu kusambar sebuah buku.

Buku itu menjerit, mengetahui nasibnya. Malang. Isinya akan kuhirup dan kemudian satu karya baru bakal kutulis lagi. Setiap kali pun, aku ketawa mengilai. Peduli apa aku, kerana aku inikan penulis pontianak?

Tidak lama kemudian, datang sang pemberita lalu bertanya kepadaku beberapa soalan yang sukar aku jawab. Kenapa memilih menjadi penulis pontianak? Kenapa gagal berkreatif menghasilkan idea penulisan sendiri. Aku tidak sukar menjawab persoalan-persoalan ini. Aku cuma jawab, “Tidak ada komen.”

Tidak lama selepas itu, begitu ramai pemberita membuat liputan tentang diriku. Ada juga papparazi yang curi-curi mengambil gambarku. Di medan-medan akhbar dan juga saluran berita elektronik, aku dapati namaku sering disebut-sebut. Terdapat kata-kata yang menghinaku, yang mengutuk aku, dan menyumpah-nyumpah aku. Aku tidak gentar langsung dengan semua itu. Aku cuma memenuhi kehendakku sebagai seorang penulis pontianak. Aku kehausan karya. Aku perlu berkarya untuk terus hidup.

Kemudian, tidak lama selepas itu, muncul pula gejala-gejala sosial yang baru. Telah wujud satu kumpulan ajaran sesat yang mendewa-dewakan aku setaraf Lucifer. Penulis Pontianak sanjungan kami. Kami minum darah kambing dalam upacara kami. Datanglah kepada kami roh penulis pontianak. Diseru-serunya aku. Aku belum mati lagilah! Aku, kekal abadi.

Kini, aku telah terkenal satu dunia. Aku tetap alami satu bentuk penderitaan. Aku kesunyian. Aku tidak ada teman. Rakan-rakan, kawan-kawan, kekasih, keluarga dan malah haiwan peliharaan kesayanganku juga tidak rela lagi berjuang bersama-samaku. Kata mereka, mereka telah hilang nyawa apabila bersama-sama meneruskan kehidupan ini dengan diriku. Demi maruah dan nama baik, mereka mula menjauhkan diri daripadaku. Tempiasku penulis pontianakku begitu kuat mengena pada mereka.

Aku ini penulis pontianak. Aku kini disisihkan. Populariti datang bersama kutukan. Semua karyaku dibakar begitu sahaja. Aku terkedu. Senyuman pahit pun begitu sukar untuk kubentuk, kini.

“Bakar karya penulis pontianak! Bakar! Siapa setuju, pusing tangan macam ini!”

Sehingga satu hari, ketika itu malam hari. Kelihatan begitu ramai orang di depan rumahku. Semuanya memegang sepanduk dan obor. Semuanya mahu mengerjakan aku biar lenyap terus dari muka bumi ini.

Sememangnya penulis pontianak seperti aku ini tidak ada tempat dalam dunia penulisan. Kerjaku memangsai karya-karya penulis mapan dan penulis-penulis terkenal. Malah, sesekali aku mengubah seleraku dengan meratah karya-karya penulis baru setahun jagung mahu berkarya. Memusnahkan impian mereka. Mencemari kedaulatan karya-karya sulung dan agung bagi mereka pada ketika itu dengan ketakutan terhadap penulis pontianak.

Lalu, aku pun menghilangkan diri. Falsafah dan idealogi penulis pontianak mula hapus dan lenyap. Akta-akta baru yang mengharamkan kewujudan penulis pontianak kini berkuatkuasa. Aku hilang dan lenyap begitu sahaja.

Aku ini penulis pontianak. Ini karyaku yang terakhir. Inginkah kalian tahu bagaimana kesudahanku? Jadilah pewarisku. Jadilah legasiku. Jadilah penulis pontianak. Ha! Ha! Ha! Hi! Hi! Hi!

PENAFIAN: Karya adalah sebuah karya kreatif dan apa-apa isi karya ini tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu yang masih hidup atau telah meninggal dunia. Jika ada kesamaan, maka itu adalah secara kebetulan.