Cerpen: Monolog Tong Sampah - Karya Amiene Rev 21.12.2012
Monolog Tong Sampah
Penulis: Amiene Rev (C) 21.12.2012 : 1.20AM
Penulis: Amiene Rev (C) 21.12.2012 : 1.20AM
Malam. Malam yang dingin ini lagi. Seolah-olah, tidak ada lagi malam yang hangat. Oh, langsung tidak bersyukur aku ini. Kalau benar malam dingin ini ada gunanya, kenapa pak cik tua itu keseorangan di situ? Tidak sejukkah dia? Ini, satu soalan pembohongan yang paling teruk pernah aku utarakan jika aku katakan pak cik tua itu tidak pernah kesejukan. Di luar rumah, di tepi jalan berdebu, dengan serbuk-serbuk pasir menemani benang-benang kain yang dipakainya, serta degungan nyamuk yang sesekali bermain di telinganya, menggigit kulit lengannya dan betisnya hingga gatal-gatal bukanlah satu pengalaman yang indah. Itu semua sengsara!
Pak cik Tua, andainya pak cik tahu, betapa sayunya hati aku ini melihat pak cik sendirian di jalanan. Di mana rumah pak cik? Boleh aku hantarkan. Aduh. Bagaimana mampu aku berjalan sedangkan aku ini cuma seunit tong sampah hitam di tepi jalan.
Pak cik, kita senasib. Barangkali, kita ditakdirkan untuk berteman. Tetapi pak cik, tahukah pak cik, tong sampah seperti aku ini tetap ada nasib malangnya. Pak cik lihat bekas-bekas calar balar pada badan aku ini. Aku dilayan begitu kasar oleh lelaki-lelaki berpakaian seragam dengan lori busuknya itu. Pak cik, sehingga kini, parut-parut calar itu kelihatan di badanku. Bagaimana pula dengan pak cik?
Oh, ya. Pak cik juga ada parut. Parut luka yang dalam. Tak nampak dengan mata kasar. Cuma boleh dilihat dengan mata batin. Mata batin yang rabun.
Pak cik, aku ini boleh dikatakan beruntung kerana memiliki jiwa. Namun, jangan pula pak cik berbicara dengan aku kerana nanti pak cik dianggap gila. Sudah pasti reputasi pak cik sebagai orang tua semakin jatuh dan orang-orang akan mula memandang hina kepada pak cik.
Pak cik, kenapa termenung begini. Pandanglah aku. Oh, aku lupa lagi. Aku ini cuma seunit tong sampah. Aku tidak dipandang sangat oleh manusia. Kadangkala manusia yang lalu-lalang di jalan ini langsung tidak pedulikan aku. Mereka menghina aku. Mereka menjatuhkan maruah aku sebagai tong sampah. Mereka jadikan muka-muka jalanan ini sebagai medan pembuangan sampah mereka. Aku ada di tepi jalan ini! Mereka tidak menghargai aku. Barangkali mereka rasa terhina untuk membuka tudung di kepalaku. Mereka tahu tangan mereka akan tercemar apabila mereka memegang tudungku.
Aduh, kenapalah aku bertudung? Ah, yang mencipta aku pun manusia juga. Manusia ini cukup tidak adil. Sesetengah kaumku dicipta tanpa tudung dan sesetengahnya bertudung. Ada pula yang mempunyai ruang berpasir untuk memadamkan api rokok. Kasihan, kawanku di hujung sana itu. Badannya penuh dengan parut-parut terbakar. Manusia yang menjadikan aku, tetapi manusia juga yang mendera aku. Mereka mencucuh puntung rokok yang masih membara ke badan kawan aku itu. Apa gunanya tempat berpasir itu?
Namun, aku pernah terdengar seorang manusia yang mengemis. Ya, dia dipanggil pengemis, berdoa dan membaca sesuatu yang sangat indah. Kemudian apabila ada manusia lain yang dermawan menitip syiling atau wang kertas ke dalam bekas kecil yang diperbuat daripada plastik itu, dia akan berkata sesuatu seperti, “Terima kasih. Semoga Tuhan berkati tuan.”
Aku percaya, manusia ini ada penciptanya. Sama seperti aku. Aku dicipta oleh manusia. Manusia pula dicipta oleh siapa? Aku pasti Tuhan itulah yang mencipta manusia.
Apabila bercakap tentang manusia yang sering menjadikan aku sebagai mangsa buli, aku mula teringat bahawa bukan manusia sahaja yang sering menyakiti aku. Sesekali, ada juga seekor dua kucing nakal dan ada juga anjing-anjing. Kadangkala, anjing-anjing yang membuli aku itu bukan anjing yang comel, tetapi anjing kurap yang menjijikkan.
Ah! Aku pun menjijikkan juga. Bau badanku busuk. Sama sahaja aku dengan anjing. Oh, ya. Manusia ada pencipta. Aku ada pencipta. Anjing dan kucing pun pasti ada pencipta juga. Siapakah pencipta anjing dan kucing? Adakah tuhan anjing dan tuhan kucing sama seperti tuhan manusia?
Aku tidak pernah mendengar anjing berbicara seperti manusia. Seingat aku, begitulah keadaan anjing dan kucing. Kadang-kadang aku melihat anjing dan kucing bergaduh. Sang kucing yang kecil, kadangkala berani melawan sang anjing. Sama juga seperti manusia. Aku pernah lihat sekumpulan anak-anak manusia yang masih agak kecil membuli pak cik tua itu. Oh, tetapi aku tak boleh samakan anjing yang lebih besar itu sebagai pak cik tua itu, dan kucing itu sebagai budak-budak itu. Jika budak-budak itu anak manusia, pasti pakcik pun mungkin ada anak-anak juga. Di mana anak-anak pakcik?
Pakcik, sudikah pakcik bertukar tempat dengan aku ini. Biar aku menjadi manusia dan pakcik menjadi tong sampah. Sekurang-kurangnya dapat juga aku menghayati perasaan pak cik sebagai manusia terbuang. Oh, terbuang. Terbuang. Kalau begitu, pak cik ini sampah dan aku ini tong sampah. Takkanlah pak cik ini lebih hina berbanding aku.
Tiba-tiba aku teringat lagi. Aku pernah melihat seorang manusia dewasa, seorang manusia yang sudah berusia dan dua kanak-kanak yang sering lalu-lalang di sini. Aku ingat lagi si anak itu memanggil manusia dewasa itu sebagai ayah, dan lelaki yang sudah berusia itu sebagai atuk. Jadi, dengan usia pakcik yang sudah tua ini, pakcik sudah pasti bergelar atuk. Dan pakcik pasti memiliki anak yang sudah bergelar ayah dan kanak-kanak yang dipanggil apa itu? Oh, ya, “Cucu.”
Pakcik, aku ingin tanya pakcik satu soalan yang aku tidak pasti apa reaksi pakcik apabila aku mengemukakannya. Boleh tak pakcik? Bolehkah aku tahu di mana anak-anak pakcik? Di mana cucu-cucu pakcik? Kenapa, pakcik berada di sini? Kenapa pakcik bagaikan manusia terbuang di sini? Kenapa pakcik seolah-olah lebih hina dari aku ini yang cuma seunit tong sampah?
Ya, pakcik. Aku ini belum boleh dianggap sehina pakcik. Aku ini tidak dibuang. Aku ini diletakkan di sini. Kemudian, akan ada orang-orang lelaki yang akan mengangkat aku, mencurahkan kotoran dan sampah di dalam badanku ke dalam lori busuk itu. Aku kira lori itu adalah tong sampah beroda. Raja segala tong sampah. Setiap sampah yang masuk ke dalamnya akan lumat. Ngeri sekali aku meneliti ke dalamnya.
Sehingga kini, jika aku melihat sampah-sampah yang lumat di dalamnya, aku akan dilanda mimpi ngeri pada malamnya. Akan lebih ngeri jika pak cik yang dimasukkan ke dalam mulut yang besar itu. Atau, apa akan berlaku jika lelaki-lelaki yang sering memperlakukan aku dengan kasar itu, menghentak-hentak aku ke mulut besar yang berbau busuk itu, agar terkeluar semua isi di dalam badanku, dan kemudian terlepas tangannya sehingga aku terjatuh ke dalam mulut besar itu. Oh, tidak!!! Ngeri sekali.
Ya, pakcik. Aku ini masih ada nilai. Aku ini masih ada peranan. Pak cik pula? Apa peranan pakcik? Apa peranan pakcik berada di tepi-tepi jalan ini? Setiap hari pakcik tidur di sini. Sesekali, pakcik menghilang dan merayau entah ke mana dan pada waktu malam hari, pakcik akan kembali ke sini.
Pernah sekali, aku melihat pakcik berlumuran darah. Kenapa sampai begitu sekali pakcik? Pernah sekali, aku melihat wajah pakcik lebam-lebam. Kenapa boleh jadi begini, pakcik? Ketika itu, aku masih ingat, pakcik mengalirkan air mata. Pakcik cuba menahan sedih, dengan muka yang mencebik, menampakkan bibir pakcik yang kering, pecah dan mengelupas. Air mata pakcik yang mengalir, membasahi pipi pakcik yang kering dan mencuci debu di wajah pakcik. Sesekali, keluar hingus yang menjijikkan dari lubang hidung pakcik. Mata pakcik merah, ada urat-urat yang tegang pada leher pakcik yang berkedut, dan kulit pakcik yang bergelebeh tanpa lemak. Kurus keding badan pakcik. Seksa aku melihat pakcik sebegitu rupa.
Diam.
“Diam!”
Ya? Aku terdengar sesuatu. Suara, pakcikkah itu?
“Diam!”
“Diam!!!”
Pakcik?
“Jangan bercakap!”
Wah? Pakcikkah yang bersuara itu?
“Aku kata jangan bercakap. Tolonglah!”
Wah, pakcik dapat dengar suara aku? Akhirnya?
Bam!!! Tiba-tiba aku melayang. Aku melihat pakcik sekejap kepalanya di atas dan sekejap kakinya di atas. Tanah tar pun begitu. Langit pun begitu, sekejap di atas dan sekejap di bawah.
Aku melihat sepasang manusia, lelaki dan perempuan bergaduh tidak jauh dari tempat yang sepatutnya aku diletakkan.
“Abang! Itu ayah Abang!”
“Bukan! Itu bukan ayah aku!”
Aku ini tong sampah. Bukan senang aku mahu melihat ke sekitarku. Juga, bukan senang untuk aku menangkap suara-suara manusia. Rupa-rupanya semasa aku sedang sibuk memberi perhatian kepada pakcik itu, ada sepasang manusia yang bergaduh. Jerit suara lelaki yang kuat itu, menyebabkan aku dapat mendengar. Kenapa? Kenapa?
Selama ini, cuma sampah sahaja yang mampu berbicara sedemikian rupa. Aku tidak pernah mendengar suara pakcik itu. Kali ini, buat pertama kali, seorang lelaki yang aku tidak pernah kenal, suaranya terakam. Dan, suara perempuan itu juga, buat pertama kali aku dengar.
“Dia ayah Abang, jangan Abang tinggalkan dia lagi. Kita mesti bawa dia pulang, Bang.” Begitulah suara teriakan perempuan tersebut. Aku dapat mengesan nada sedih dan kecewa dalam intonasi suara perempuan itu.
“Kau datang ke sini, kau bawa aku ke mari, semata-mata nak bawa jumpa dengan orang tua ni. Kau dah lupa, apa orang tua ni buat dekat aku?” Aku melihat lelaki itu begitu marah sekali terhadap pasangannya.
“Aku ini anak pungut, kau tahu tak? Anak pungut!!!” Lelaki itu menjerit semahu-mahunya.
Aku ini tong sampah. Aku tidak faham masalah manusia. Aku sendiri tidak faham kenapa manusia ini pelbagai jenis peranannya. Apa yang aku tahu, aku ini tong sampah, dan perananku cuma menunggu badanku diisi penuh dengan sampah, kemudian lelaki-lelaki berpakaian seragam akan mengasariku, menghentak-hentak badan aku ke bibir mulut lori sampah itu, sebelum meletakkan aku ke tempat aku selalu diletakkan sehingga kini. Aku juga tahu, kucing, kerjanya membuli aku sama seperti anjing. Kadang-kadang kucing dan anjing akan memanjat badan aku sehingga aku terbalik, sehingga tercabut tudungku dan berselerak sampah di dalam badanku.
Namun, aku belum pernah melihat manusia menendang aku. Apakah salah satu peranan lelaki ini ialah menendang aku? Sesungguhnya lelaki ini lebih kasar daripada lelaki-lelaki berpakaian seragam yang sering datang mencari aku beberapa kali dalam seminggu. Aku tahu perkataan seminggu ini daripada lelaki-lelaki berpakaian seragam itu juga. Mereka ada tentang menyebutnya.
Lelaki ini betul-betul buat aku bingung.
“Letakkan aku balik ke tempat aku!” Aku menengking.
Selalunya, akan ada lelaki yang memegang penyapu atau perempuan yang memegang penyapu, bertopi besar yang bersimpati denganku. Jika aku didapati terlentang atau tergolek, dia akan mengangkatku kembali. Sungguh mulia lelaki dan perempuan yang memegang penyapu itu. Aku rasa, antara banyak-banyak manusia, lelaki dan perempuan yang dipanggil tukang sapu itulah yang paling mulia dan bijak kerana tahu menghargai perananku.
“Abang, walaupun siapa pun dia, dia tetap ayah Abang.” Suara perempuan itu seakan-akan merayu lagi.
Aku ini cuma seunit tong sampah. Sejujurnya, aku langsung tidak faham apa yang sedang berlaku antara manusia-manusia di depan mata aku ini.
“Kau tahu tak, dahulu, orang yang dipanggil Ayah ini, layan aku macam sampah! Aku dibuang macam sampah! Sekarang, biar dia rasa, apa yang dia pernah buat kepada aku dulu!” Lelaki itu bercakap dalam nada suara yang berat dan marah.
“Abang, tak baik Abang.” Perempuan itu menangis teresak-esak.
Pakcik tua itu pula aku lihat terpinga-pinga dalam sugul. Oh, pakcik. Jika pakcik boleh bercerita kepada aku apa yang sedang berlaku sekarang, alangkah baiknya.
“Tak baik apa? Orang ini bukan kenal aku lagi pun. Dah nyanyuk!” Jerit lelaki itu lagi.
Agaknya ini yang dipanggil drama. Sebagai seunit tong sampah, aku bukannya faham kehidupan manusia. Aku tidak faham kehidupan pencipta aku ini. Aku rasa mungkin manusia juga tidak faham akan kehidupan Penciptanya. Setahu aku, aku dijadikan manusia sebagai tempat untuk menyimpan sampah daripada dibuang di merata-rata tempat.
Habis, apa pula peranan manusia sehingga manusia ini dicipta oleh Penciptanya? Apakah peranan pakcik ini sebagai seorang ayah? Apakah peranan lelaki yang garang di depan aku ini sebagai seorang anak? Apakah pula peranan perempuan yang sedang menangis dan memujuk rayu itu sebagai seorang, seorang apa ya? Oh, pakcik, aku tidak tahu langsung jawapannya. Aku ini cuma seunit tong sampah. Apakan dayaku?
* * *
Malam. Dingin. Sesekali angin bertiup menerbangkan debu-debu pasir ke arahku. Kering. Kering sekali udara malam ini. Aku kini sudah berada semula di tempat asalku. Di tepi tiang lampu itu. Bersebelahan tempat menunggu bas itu. Tempat pakcik tua selalu mendiamkan diri.
Tempat itu kini gelap gelita. Lampu malap berwarna jingga tidak mampu menembusi atap tempat menunggu bas itu. Pakcik tua itu tidak ada lagi. Seingat aku, siang tadi, tiba-tiba datang satu van putih berhenti di sebelahku. Seorang. Kemudian seorang lagi lelaki berkopiah putih, berpakaian kemas dan bersih memimpin pakcik tua itu ke dalam van. Sebelum itu, aku lihat pakcik tua itu menunjuk ke arahku dan menggerakkan bibirnya sambil memandang ke arah salah seorang lelaki berkopiah putih itu.
Lelaki berkopiah itu itu mengangkat aku. Entah kenapa, tiba-tiba aku terkenangkan lelaki dan perempuan tukang sapu yang bertopi besar. Bertopi mengkuang itu.
Pada mulanya aku ingat, aku juga akan dibawa masuk ke van itu, tetapi tidak. Oh, ya. Siapalah aku ini selain cuma seunit tong sampah. Namun, dulu, bertahun-tahun dahulu, aku masih ingat aku pernah dibawa berjalan-jalan dengan sebuah lori sebelum ditinggalkan di sini. Sebelum pakcik tua itu datang dan menjadi penemanku.
Lelaki itu meletakkan aku dengan sopan ke tempat asalku. Di bawah tiang lampu. Bersebelahan tempat menunggu bas. Kemudian, lelaki itu mengambil barang-barang pakcik tua itu. Tikar buruk. Beg lusuh berwarna hitam yang agak kotor dan sedikit kain. Kemudian, lelaki itu naik semula ke dalam van.
Van itu dihidupkan enjinnya. Van itu bergegar-gegar sedikit. Aku lihat pakcik tua menjenguk dari tingkap van. Pakcik itu memandang tempat menunggu bas itu. Agak hiba wajahnya. Kemudian lelaki berkopiah yang berada di sebelahnya seperti memujuknya, berbicara sesuatu.
Van itu berlalu pergi.
Aku tiba-tiba diserang seakan-akan satu perasaan sunyi. Aku rasa seperti telah ditinggalkan. Aku teringat dahulu, aku pun pernah berada bersama-sama dengan saudara-saudara yang serupa dengan aku. Entah bagaimana, aku tiba-tiba ada di muka bumi ini. Kemudian, aku dibawa berjalan-jalan dan ditinggalkan di sini.
Itulah kali pertama aku berasa ditinggalkan. Kini, aku merasainya sekali lagi.
Sehari. Dua hari. Seminggu. Dua minggu. Sebulan. Dua bulan. Tidak ada lagi kelibat pakcik tua itu. Adakah van putih itu sama seperti lori sampah itu? Jika lori sampah itu mengutip sampah, dan lelaki-lelaki berseragam itu pengutip sampah, maka adakah van putih itu mengutip pakcik tua dan lelaki-lelaki berkopiah itu pengutip pakcik tua? Siapalah aku ini, sekadar seunit tong sampah yang tidak tahu apa-apa tentang kehidupan manusia.
Bezanya, sampah-sampah itu dilumatkan, tetapi pakcik itu seolah-olah diberi layanan istimewa sepanjang dia menaiki van putih itu. Adakah ini perbezaan antara manusia dengan sampah?
Pakcik, andai pakcik masih mengingati aku. Sesungguhnya, aku ini sangat sunyi kini. Aku tidak tahu apa yang telah berlaku ke atas pakcik. Aku juga tidak tahu, apa yang akan berlaku ke atas aku selepas ini. Aku cuma tahu, sebagaimana aku, pakcik juga ada pencipta.
Apa yang aku terfikir kini, pernahkah pakcik berbicara dengan pencipta? Kini, setelah pakcik tidak ada lagi di sini. Aku betul-betul ingin berbicara dengan penciptaku. Aku rasa di dunia ini ada sesuatu yang mampu melindungi aku. Aku tidak tahu siapa dia, tetapi aku rasa di dunia ini pasti ada sesuatu yang mencipta aku dan pakcik. Siapa dia? Dan apa tujuan dia mencipta kita?
Pakcik, andainya kau masih mendengar.
Malam terus berlalu. Embun sulung mula menitik pada tudung dan badanku. Tiba-tiba guruh berdentum. Aku lihat ada cahaya memancar. Titis air berjatuhan dari langit. Makin lama, makin banyak. Hujan. Sejuk. Hujan turun dan jatuh ke tanah, blok simen dan jalan tar kelabu, dan kemudian menakung di atasnya. Membentuk lopak-lopak air. Makin lama, makin berkembang lopak air itu. Makin lama air pun makin naik. Naik memenuhi jalan. Melimpah. Di bawah pancaran lampu jingga itu, aku lihat sampah-sampah mula dibawa oleh arus air hujan melalui longkang-longkang. Tidak ada lagi sampah-sampah. Jalan-jalan menjadi bersih.
Hujan yang membawa sampah-sampah pergi. Selepas bertahun-tahun, kini baru aku tersedar, selain lori sampah, masih ada kuasa lain yang dapat membawa sampah-sampah itu pergi. Bukan manusia sahaja yang mampu mengutip sampah. Mungkin, bukan manusia sahaja yang mampu mengutip pakcik tua.
Satu soalan terpacul di fikiranku. Siapa yang menjadikan hujan? Aku pasti suatu hari nanti, aku akan dapat jawapannya. Jawapan untuk semua persoalan ini. Kenapa manusia dijadikan? Aku menunggu. Aku pasti setia menunggu.
Entah bagaimana, tiba-tiba aku rasa ada satu kuasa yang selalu memerhatikan aku. Aku tersenyum. Aku tersenyum kerana aku rasa lapang hati. Aku sudah tidak sunyi lagi. Barangkali, pencipta sedang memerhatikan aku. Pencipta manusia. Pencipta kucing. Pencipta anjing, dan pasti juga, pencipta Pakcik Tua itu.
PENAFIAN: Karya ini merupakan karya kreatif. Karya ini tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Jika ada persamaan, maka itu cuma kebetulan.
|