BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Disember 22, 2019

Honduras 2004

Nun jauh di atas langit mendung, enjin kapal terbang bergema. Umpama helang yang sedang mengibarkan sayapnya, dan kipas-kipas yang mirip cakar seekor garuda, kapal terbang yang kuat berbau enjin diesel itu mendarat. Tanah-tanah lumpur berwarna merah, berbekas dengan jaluran roda kecil kapal terbang itu. Kipas berputar, memecahkan percikan air hujan yang jatuh dari langit ke samping.

Stesen menara komunikasi kelihatan kosong. Kapal terbang mendarat dan beberapa orang bersenjata rifel mengiringi kami. Ini misi penting, demi keamanan dua benua. Tugasan rahsia, itulah yang terbayang di mataku sebaik-baik sahaja kakiku menjejak ke tanah merah itu.

Sebuah jip berwarna hitam gelap menghampiri kami, aku dan beberapa ejen yang lain dijemput menaiki jip tersebut. Tidak banyak yang kami bawa, selain identiti pengenalan diri yang berlesen universal dan beberapa dokumen penting dua benua yang hendak diselesaikan.

Kebakaran besar di San Pedro telah membunuh sekitar 100 orang dan kes pembunuhan melibatkan penumpang bas di Chamelecon menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang tidak selamat. Lebih 1000 kanak-kanak dan remaja telah dibunuh oleh skuad maut yang terkenal pada ketika itu.

Zaman itu Ricardo masih berkuasa, kecelakaan udara yang menimpanya kemudian pada tahun 2005 membuka peluang kepada Zelaya untuk mengambil alih tampuk kepimpinan Honduras.

Zelaya menyatakan niatnya untuk membantu warga miskin, dan pada masa yang sama mempersoalkan kehadiran tentera Amerika di rantau itu. Zelaya berjaya memperkenalkan pendidikan percuma untuk anak-anak Honduras. Para petani juga telah diberikan bantuan. Gaji-gaji dinaikkan.

Politik itu kotor. Untuk mengelakkan lebih banyak kematian, pertolongan kami diperlukan. Rakyat tidak berdosa tidak sepatutnya dijadikan mangsa.

Dan pengalaman berdarah pun bermula. Beribu nyawa manusia di hujung jari kami dan satu kesilapan boleh memberi maut. Andai kau tahu betapa berat tanggungjawab kami ketika itu.