BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Disember 11, 2018

Seorang Hero atau Seorang Legenda?

Adakalanya kita tidak sedar ada semacam seruan memanggil kita. Seruan yang meminta kita untuk membela sesuatu. Kita tidak pernah sedar kerana fokus dan matlamat kita diatur untuk melihat apa yang orang lain lihat.


Seruan itu semakin kuat, memanggil-manggil kita, agar sedar. Kita adalah orang yang dipilih untuk melakukan sesuatu. Ada perkara yang orang tidak mampu lakukan tetapi kita memiliki pakej untuk melaksanakannya. Kita tidak sedar akan itu.

Hentikan beranggapan bahawa semua orang adalah tukang tilik nasib yang boleh menilik masa depan kita lalu menganggap mereka tahu apa yang terbaik untuk kita. Sesetengahnya tidak mahu kita melangkau sempadan menjadi lebih baik dan lebih bagus daripada mereka. Kenaifan, adalah sifat tercela yang mengkhianati diri sendiri.

Bersangka baik kepada orang tidak bermaksud menghalalkan segala cara mereka untuk merampas apa yang menjadi hak dalam kehidupan kita. Sesuatu hak boleh dirampas dengan tiga cara, pertama dengan cara yang kasar, kedua dengan cara yang sopan, dan yang ketiga tanpa disedari atau senyap-senyap.

Cara yang kasar adalah penaklukan, penjajahan secara terang-terangan. Ugutan, serangan, peperangan dan sebagainya. Cara yang sopan adalah dengan cara yang halal, membeli, mengambil alih dan seangkatan dengannya. Cara yang ketiga, kita pun tidak tahu bagaimana ia dilakukan sehinggalah kita sedar ia bukan lagi hak kita, bukan lagi milik kita dan kita sudah hilang kuasa ekslusif, sudah hilang hak istimewa, sudah hilang pemilikan tunggal, sudah tidak bergelar tuan punya hak tersebut.

Terdapat dua jenis manusia sahaja dalam menyatakan tentang hak. Pertama sama ada mereka menentang orang yang mengambil hak kita. Kedua mereka yang tidak menentang orang yang mengambil hak kita. Mereka yang tidak menentang, terdiri daripada orang yang menyokong perbuatan orang yang merampas hak kita dan mereka yang tidak berbuat apa-apa; tidak ambil peduli, tidak masuk campur, tentang hal-hal melibatkan perampasan hak kita kepada orang lain.

Menentang dan tidak menentang. Dua ini sahaja untuk menentukan status seseorang. Cukup!

Jika kamu berfikir ada pilihan lain selain dua di atas, kamu sedang memperbodohkan diri kamu, membenarkan individu lain mencipta peluang untuk memanipulasikan pemikiran kamu, menjajah hak kamu dan membuka ruang dan peluang untuk mempermain-mainkan kamu, tidak menghormati kamu, dan menganggap kamu lemah dan rapuh kerana boleh dipermain-mainkan.

Apabila sesuatu itu melibatkan hak milik kita, kehidupan kita, kamu hanya ada dua status yang boleh dijadikan panduan sebelum kamu dipergunakan atau dipermain-mainkan.

Pertama: Mereka menentang pihak yang cuba merampas atau menjajah hak kamu.

Kedua: Mereka tidak menentang pihak yang cuba merampas atau menjajah hak kamu.

Cukup!

Isnin, Disember 10, 2018

Manuskrip Melayu Lama - Perpustakaan Digital

Manuskrip-manuskrip Melayu lama yang terdapat di luar negara.

http://www.bl.uk/manuscripts/

Konsep Rezeki

Konsep Rezeki. - Amiene Rev

1. Kunci mendapatkan rezeki adalah usaha.

2. Tidak ada makhluk yang mampu menghalang rezeki seseorang jika seseorang itu berusaha.

3. Jika seseorang sangka mereka boleh menyekat rezeki seseorang dia silap sama sekali, kerana Tuhan akan menyalurkan rezeki itu melalui usaha yang lain.

4. Orang yang menyekat rezeki orang lain cuma mendapat dosa dan kerugian besar kerana rezeki orang lain sama sekali tidak dapat disekat.

5. Teruskan berusaha untuk mendapat rezekimu kerana tidak ada sesiapa pun mampu menghalang rezeki yang telah dijanjikan Tuhan kepadamu. Cuma cepat atau lambat, bergantung kepada cara kamu berusaha.

6. Janji Tuhan adalah janji yang paling berkuasa di alam semesta, tidak ada satu kuasa pun mampu memusnahkan janji Tuhan kepadamu.

Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya apabila orang-orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezki di dunia. Sedangkan orang-orang mukmin, pahala kebajikan disimpan Allah Ta'ala untuknya di akhirat kelak serta diberinya rezki di dunia berhubung dengan taatnya".

(Riwayat Muslim)

Galakan mencari rezeki yang halal

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

 “ Sesungguhnya roh al-Qudus telah datang kepada aku memberitahu bahawa seseorang itu tidak akan mati selagi tidak sempurna rezeki Allah S.W.T. kepadanya. Maka takutlah kepada Allah S.W.T. dan berusahalah dengan baik; dan lambatnya datang sesuatu rezeki itu janganlah menjadi pendorong kepada kamu untuk melakukan usaha mencari rezeki berbentuk maksiat kerana sesungguhnya rezeki Allah S.W.T. tidak akan dapat diperolehi melainkan dengan cara ketaatan.”

(Riwayat Ibn Majah dan al- Tabrani)

Daripada Abu Zar r.a , Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya Allah s.w.t mengasihi hambaNya Mukmin yang berusaha (mempunyai pekerjaaan)".

(Hadith Riwayat Imam Ahmad)

Daripada Abu Zar r.a Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya Allah s.w.t suka melihat hambaNya berusaha dengan berpenat lelah mencari rezeki yang halal".

(Hadith Riwayat al-Dailami)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Sesiapa yang sentiasa beristigfar Allah akan memberikan pelepasan daripada setiap kesusahannya, memberikannya jalan penyelesaian kepada setiap kesempitannya dan Dia akan memberikannya rezeki dari punca-punca yang dia tidak pernah menyangkannya."

(Riwayat Abu Dawud, al-Nasa'i, Ibn Majah dan lain-lain)