Formula Filem Menguntungkan VS Formula Filem Berisiko Tidak Untung
Salah satu cabaran bagi penerbit filem tempatan ialah bagaimana menarik penonton ke panggung. Filem yang berjaya menerima anugerah atau memenangi hadiah filem terbaik tidak semestinya akan berjaya menarik penonton di panggung wayang. Ada cara untuk penerbit filem kekal bertahan dalam industri perfileman. Banyak filem yang tidak menang anugerah, tetapi kutipan tiketnya jauh mengatasi filem-filem yang menang anugerah.
Kebanyakan filem tempatan mengalami masalah kurang promosi. Promosi adakalanya cuba berlegar-legar di komuniti artis, penerbit dan pengkarya sahaja. Ini menyebabkan banyak karya tempatan tidak disedari kewujudannya. Golongan ini sebenarnya golongan minoriti, dan jika mereka menonton, jumlah mereka cuma sedikit berbanding bilangan sebenar rakyat Malaysia yang sudah mampu menonton. filem. Sebagai contoh, katakan jumlah artis di Malaysia ialah sekitar 9,000 orang sahaja, maka sudah pasti kutipan filem ialah sekitar 180,000 ringgit sahaja. Dibandingkan dengan modal yang berjuta-juta, sudah pasti tidak ada keuntungan.
Filem yang ditayangkan di panggung biasanya memiliki durasi sekitar 120 minit. Bukan kerja mudah untuk mengimbangi antara pengisian mesej berkualiti dengan pengisian yang menghiburkan. Jika dilihat di sekolah-sekolah pun, apabila pengajaran dan pembelajaran cuba memberatkan unsur hiburan, didapati masa untuk pengisian ilmu semakin hilang. Lebih banyak masa untuk aktiviti hiburan berbanding masa untuk menyampaikan ilmu. Belum dicampur dengan penat lelah seorang guru untuk menghasilkan rancangan pengajaran.
Kebanyakan orang Malaysia sendiri bukan jenis yang sanggup mengeluarkan duit ke panggung jika sesuatu itu tidak diyakini dapat menghiburkan mereka. Cuma golongan karyawan yang merupakan golongan minoriti berbanding seluruh rakyat Malaysia yang berpotensi menjadi penonton filem itu di panggung. Pada ketika ini ternyata kehendak majoriti orang Malaysia terhadap hiburan mengatasi keperluan mereka terhadap pengisian ilmu dan kesedaran tentang isu semasa.
Filem Munafik 2 bijak menyelitkan unsur-unsur tentang hadis dan Al-Quran sebagai pengajaran di samping aksi dan drama yang dicetuskan. Filem francais Zombi Kampung Pisang juga menyuntik persoalan tentang isu-isu semasa dalam beberapa babak filemnya, tetapi lebih ringan untuk mudah dihadam oleh para penonton. Berapa banyak unsur ilmiah atau persoalan isu semasa yang dapat mereka selitkan di dalam filem tersebut?
Dukun meletup di panggung selepas beberapa tahun menanam benih tanda tanya. Ternyata genre seram merupakan elemen hiburan yang paling disukai penonton. Kesedaran ini juga merupakan faktor kenapa sesetengah panggung mula menggunakan teknologi seperti 4D, 5D dan sebagainya. Pemilik panggung wayang sedar penonton akan lebih terhibur apabila mereka berjaya ditakut-takutkan. Penggunaan kerusi yang boleh bergegar, memberi kejutan seiring dengan jalan cerita dianggap sebagai satu unsur hiburan setanding dengan rollercoaster di taman tema.
Hiburan yang berkesan dianggap sebagai jaminan kejayaan untuk menarik pelanggan atau penonton. Didapati filem dan taman tema memegang prinsip yang sama untuk terus hidup, hiburan berasaskan unsur yang dapat menimbulkan rasa panik dan seram.
Kesedihan mendatangkan kemurungan. Rakyat Malaysia sudah berada dalam keadaan stres jadi mereka tidak suka filem sedih. Mereka tidak suka berlama-lama di suatu tempat berkongsi kesedihan yang menyebabkan mereka murung. Oleh itu dalam situasi sekarang, filem drama, filem serius dan filem yang boleh menimbulkan rasa murung bukanlah filem terbaik untuk memenuhi kehendak rakyat Malaysia. Kita mungkin pernah dengar penonton yang keluar panggung berkata, "Aku sudah stres, tengok filem ni serius, sedih semacam lagi stres aku dibuatnya. Rugi duit aku!"
Baca sahaja status rakyat Malaysia di laman-laman sosial, kebanyakannya adalah luahan perasaan stres, sedih, kecewa, bimbang dan murung. Secara logiknya, orang yang sedang stres takkan mahu memberi tekanan dan menambah kemurungan ke dalam diri mereka. Mereka mahu buang tekanan itu. Mereka mahu sesuatu yang melapangkan dada mereka daripada perasaan sedih, murung, tertekan dan sebagainya.
Panik, seram dan mendebarkan akan mencetuskan perasaan terhibur. Mereka tidak stres kerana mereka tahu itu semua lakonan dan fiksyen semata-mata. Mereka tahu semua itu dibuat-buat, oleh itu mereka akan rasa selamat. Rakyat Malaysia tidak ada masalah dengan hantu, malah jika mereka melihat hantu, mereka suka untuk merakamnya dan diviralkan di status mereka. Suatu keseronokan jika dapat melihat hantu yang sebenar sehingga hantu pun sudah menyerah diri dengan manusia. Jika zaman dahulu manusia lari apabila nampak hantu, sekarang manusia akan merakam hantu tersebut dan mengejar untuk merakamnya jika ia lari. Dunia sudah berubah. Barangkali dunia sudah gila.
Filem hiburan yang dapat memainkan perasaan panik, takut, terkejut, melapangkan dada dan membuatkan penonton lupa tentang stres mereka, akan berjaya di panggung.
Mungkin sesebuah penerbitan boleh menggunakan formula 9 filem hiburan berkesan : 1 filem serius supaya dapat bertahan dalam industri perfileman dengan bahagia. Selepas berjaya menghasilkan 9 filem menguntungkan, mereka boleh korbankan sedikit untuk mengambil risiko menerbit 1 filem serius yang padat dengan isi dan ilmu yang biasanya akan gagal menarik ramai penonton di Malaysia.
|