BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Jun 19, 2017

Ada Cara Hidup Yang Mudah, Kamu Pilih Cara Susah?

Kamu rasa hidup kamu tidak bahagia. Kamu murung. Kamu bersedih. Kamu susah hati. Ada banyak sebab yang kamu rasa kamu patut rasa susah hati. Kamu rasa orang asyik mengumpat kamu, bercakap benda-benda yang buruk tentang kamu, menghasut kawan-kawan kamu membenci kamu. Hakikatnya, kamu syok sendiri. Mereka tak pedulikan sangat tentang kamu. Cuma, kamu terlalu banyak berfikir; kamu rasa mereka semua sedang bercakap tentang kamu. Wow! Mudahnya kamu jadi perhatian ramai. Kadangkala, rasa susah hati kamu datang daripada fantasi kamu sendiri. Hentikan! Balik ke dunia nyata.

Kamu kena ingat, kamu takkan selamanya muda. Dulu kamu budak-budak. Kemudian kamu jadi remaja. Esok lusa, kamu sudah jadi orang dewasa. Minat kamu mungkin berubah. Pemikiran kamu akan jadi lebih matang. Kalau kamu rasa kamu akan kekal begini seumur hidup kamu, kamu silap. Dulu orang tak hormat kamu sebab kamu muda, kamu budak-budak, sekarang orang tak pandang kamu macam dulu. Kawan kamu, masa kamu budak-budak dulu bukan main bermusuh dengan kamu, tapi bila dah dewasa dia dah matang dan sudah berfikiran terbuka. Kematangan akan mengubah persepsi orang terhadap kamu. Kamu sendiri tu, bila nak berubah? Dah makin tua, patutnya tahu nak berubah.

Kamu selalu rasa orang lain lebih baik, lebih beruntung, lebih bagus daripada kamu. Betulkah? Mungkin sebab kamu tu yang penakut sangat nak rebut peluang, maka kamu sering tak ada peluang, kemudian kamu katalah yang kamu tu tak ada tuah. Apa nak jadi dengan kamu ni. Orang tu nak, dia buat, dia usaha, dia dapatlah. Kamu tu, yang dari dulu masih tak nak bergerak-gerak. Pemalas namanya tu. Tak ada motivasi langsung. Cuba bergerak, pergi ke tempat kamu nak pergi. Kamu diam-diam sahaja tak buat apa-apa, pasif, macam mana nak maju? Maju maksudnya ada pergerakan. Buang sikap kaku kamu tu. Jangan asyik nak banding-bandingkan diri kamu dengan orang. Kamu buat macam itu, kamu biadab dengan Tuhan. Orang biadab, tak bersyukur, kamu nak kekal jadi macam itu?

Kamu ada kawan, kamu ada orang yang kamu sayang. Dia buat masalah, kamu masuk campur. Kamu beri nasihat dia tak mahu dengar. Kamu susah hati orang tu tak mahu dengar nasihat kamu. Hidayah tu di tangan Tuhan. Apa kamu ni dah jadi penjajah pemikiran orang, nak kongkong orang supaya dengar nasihat kamu sahaja? Lepas itu kamu termenung, susah hati. Sejak bila kamu dah jadi Tuhan ni? Orang tu dah tak nak dengar cakap kamu, buat apa kamu susah-susah? Doakan saja agar dia berubah. Kamu teruskan dengan hidup kamu. Rezeki setiap orang di dunia ini tak sama, ada yang cepat, ada yang lambat dapat. Kamu asyik sibuk dengan hal orang lain, hal kamu tu bila nak selesaikan? Tenung hal kamu sendiri dulu, banyak lagi benda kamu perlu perbaiki tentang diri kamu.

Kamu sering menyalahkan orang lain, menyalahkan keadaan bila kamu ditimpa masalah. Sempurna benarkah kamu ni? Setiap tindak balas yang kamu berikan terhadap masalah yang datang kepada kamu, adalah tanggungjawab kamu sendiri. Selesaikan masalah kamu. Tak perlu cari salah orang. Orang nak tikam kamu, kamu biarkan. Cuba kamu elak dan tepis. Hidup ini, tak semuanya bergantung kepada orang lain. Kamu sendiri yang tentukan hidup kamu, keputusan kamu.

Minda kena kuat, jangan asyik fikirkan tentang masalah. Fikirkan tentang penyelesaian dan keuntungan atau peluang yang boleh kamu cipta daripada masalah tersebut. Kamu nak contoh situasi? Pada hari yang panas terik, kamu boleh pilih sama ada nak sama-sama merungut dengan orang lain bahawa cuaca pada hari ini panas dan kamu haus teruk atau kamu buka gerai air minuman yang sejuk dan menyegarkan. Setiap masalah boleh beri keuntungan kepada kamu jika kamu tahu membuat keputusan yang bijak, dan merancang penyelesaian yang tepat.

Sekian dahulu, kata-kata teguran daripada Amiene Rev.