BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Disember 29, 2014

INI UNTUK KAMU - Kisah Tentang Cara-cara Mencari Kegembiraan dan Kebahagiaan Dalam Kehidupan


Buku Bergambar Kanak-kanak
INI UNTUK KAMU
Terbitan Karangkraf (Buku Prima)

Sudah Terbit! Bakal membimbing anak-anak anda dalam usaha 
mencapai kehidupan yang lebih bahagia pada penghujung 2014!

Jika kita inginkan kegembiraan hidup, kita harus tahu bagaimana cara mencapainya. Kegembiraan adalah milik semua orang. Anak-anak kita yang diajar cara-cara mencari kebahagiaan dalam hidup pasti akan dapat mengembalikan semula kegembiraan itu kepada kita. Adakalanya, memberi itu lebih baik daripada menerima. Jika kita membahagiakan orang lain, kebahagiaan itu akan turut kita kecapi.

GERBANG FANTASIA - Kisah Zoologis Remaja dan Anak Gajah

Bakal Menyeru Kasih Sayang Terhadap Haiwan Liar pada Tahun 2015!


SINOPSIS & WATAK-WATAK DALAM GERBANG FANTASIA

Umar, Zoologis Remaja
Gerbang Fantasia adalah sebuah novel fantasi sains fiksyen remaja. Kisahnya bermula dengan kejayaan seorang remaja, Umar untuk melanjutkan pengajiannya di Sekolah Zoologis Antarabangsa. Sekolah yang bertujuan untuk membela nasib haiwan-haiwan liar di dunia ini telah menugaskan setiap pelajarnya untuk mencari sejenis haiwan liar sebagai subjek kajian. Umar memilih seekor anak gajah.

Anak Gajah
Anak Gajah hadir ke Sekolah Zoologis Antarabangsa dengan misi yang tertentu. Perkenalannya dengan Umar telah mengubah tanggapannya terhadap manusia. Adakah Anak Gajah akan meneruskan misinya? Temui Lufa, spesies gajah berbadan ramping yang hanya dapat ditemui di Alam Ghaib Mergastua.

Gerbang Gading
Gerbang Gading, yang merupakan pintu masuk ke Alam Ghaib Mergastua hanya boleh dibuka dengan cara-cara yang tertentu. Utusan Siamang dan Hering Raksasa yang berasal dari Alam Ghaib Mergastua menggunakan Gerbang Gading untuk berhubung dengan haiwan-haiwan liar dari Alam Manusia.

Rwanga, Raja Alam Ghaib Mergastua
Rwanga, Raja Alam Ghaib Mergastua berniat untuk menakluki dunia manusia dan menghapuskan umat manusia. Pada masa yang sama, tindakannya itu tidak dipersetujui oleh Rwanggala, seekor kucing gergasi yang membela kewujudan manusia. Sejarah silam kedua-dua makhluk istimewa itu menyebabkan mereka mempunyai persepsi yang berbeza terhadap manusia. Adakah Rwanga akan meneruskan niat jahatnya?

Utusan Siamang dan Hering Raksasa
Handal dalam pertarungan, memiliki kesaktian dan berkaliber. Siapakah Utusan Siamang yang sebenarnya? Sambil menunggang Hering Raksasa, Utusan Siamang menguasai angkasa raya. Orang kanan Rwanga yang sangat berkuasa. Baikkah dia atau jahatkah dia? Kenapa dia memutuskan untuk menjadi pengikut Rwanga?

Abul, Pahlawan Kongkang Kilat & Ghor, Singa Berbulu Emas
Semasa di Alam Ghaib Mergastua, Umar didampingi oleh pahlawan-pahlawan yang comel dan perkasa. Rupa-rupanya di dunia Alam Ghaib Mergastua masih ada haiwan-haiwan liar yang menyokong dan menghargai manusia!

Rwanggala, Ratu Kucing Gergasi
Kucing gergasi yang memiliki kesaktian yang tidak bersetuju dengan niat jahat Rwanga untuk memusnahkan manusia di Alam Manusia. Adakah Rwanggala akan menyokong perjuangan Umar untuk menghalang Rwanga?

Puak Anak-anak Langit
Sekumpulan burung hantu gergasi yang menggelar diri mereka sebagai Puak Anak-anak Langit. Mereka menjauhi bahaya dunia dan memencilkan diri di sebuah kawasan yang penuh dengan pokok-pokok kelapa sawit yang besar-besar, setinggi Menara Berkembar Petronas! Adakah mereka makhluk yang ganas atau bijaksana seperti yang sering dikisahkan dalam buku-buku cerita dongeng manusia?

Sekuel Gerbang Fantasia akan muncul tidak lama lagi.

Khamis, Disember 04, 2014

4 DISEMBER 2014: MAJLIS PELANCARAN JUALAN GERAI PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2015

MAJLIS PELANCARAN JUALAN GERAI PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2015

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 (PBAKL 2015) kali ke 34 akan diadakan pada 24hb April – 3hb Mei 2015 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Malaysia. 

Para pempamer adalah dijemput untuk menghadiri Majlis Pelancaran Jualan Gerai PBAKL 2015 yang akan diadakan seperti berikut :

Tarikh: 4hb Disember 2014 (Khamis)
Masa: 2.30 petang
Tempat: Bilik Kuala Lumpur (Aras 5), Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)

Sumber: Facebook Malaysian Book Publishers Association (MABOPA)

Isnin, Disember 01, 2014

Sajak Amiene Rev: Kesunyian adalah temanku yang paling rapat 2

Kesunyian adalah temanku yang paling rapat 2
Hakcipta Terpelihara (C) Amiene Rev
1 Disember 2014

Aku tidak peduli
aku ini kelikir di pinggiran
Aku tidak peduli
aku ini debu di buangan
Aku tidak peduli
aku ini kuman persinggahan
Aku langsung tidak peduli
bila aku tidak dipedulikan
kerana aku tinggal di langit tinggi
seorang diri memandang ke tanah sempadan
melihat segala hamba berurusan niaga
dosa dan pahala
Bingkai awan mendaulatkan bulan
senja mengundang keemasan
malam menampilkan kerlipan bintang
di situ aku berdoa
mencari jalan bahagia
meratapi dosa-dosa lama
menginginkan keberkatan pahala
Lama aku termenung
mengingatkan Kau di mana-mana
tidak terlihat dari mata kuyuku
cuma perasaan mendalam di hati
aku ingin beritahu-Mu
kesunyian itu menjadi hartaku
yang entah patut kusyukuri
atau tidak.
Berkati aku dengan rahmat-Mu
aku cuma hamba-Mu
Wahai Yang Maha Perkasa

Sajak Amiene Rev - Kesunyian Adalah Temanku Yang Paling Rapat

"Kesunyian adalah temanku yang paling rapat," 
Hakcipta Terpelihara (C) Amiene Rev 
1 Disember 2014

Saat ini, tidak ada teman nyata untuk berbicara.
Adakah ini dipanggil kesunyian?
Sensitiviti seorang jurnalis, bisa membunuh! 
Aku seorang diri ini, terpinggir di jalan sepi.
Tidak ada ribut, tidak ada debu atau embun yang sejuk.
Namun, aku tetap terasa disapa kedinginan, dalam makna tersendiri.
Saat ini tidak ada lagi teman buat berbicara.
Kesunyian adalah temanku yang paling rapat.
Tanah Selatan ini, selalu saja meninggalkan kesayuan.
Di mana teman-temanmu?
Di mana suara-suara tawa itu?
Di mana sendu-sendu tangisan itu?
Aku menemani diriku, tanpa sepasang sayap buat menyelimuti diri, memanaskan diri dari dingin sunyi itu.
Kedengaran suara anak-anak kecil bergurau senda.
Dan jeritan ibu memanggil pulang.
Padang rumput menghijau, dan sebiji bola biru, terbiar begitu.
Lalu badai pun menyambar, memutuskan simpulan.
Lalang-lalang terbiar memanjang.
Ranting-ranting reput kepatahan.
Daun-daun kering, rapuh, hancur dilanggar taufan.
Jiwa pun bergelora, memberontak.
Api mula marak membara.
Jantung merebut darah.
Paru menghembuskan nafas.
Roma memercikkan peluh.
Urat menggetarkan jasad.
Lalu bangkit azam baru.
Lalu retak tembok itu.
Lalu kutendang pintu itu.
Lalu kurempuh pagar waja, mara, terus mara!
Langkahku laju, menuntut kemeriahan,
mengatur damai itu,
menguliti kesedihan
yang terukir oleh kesunyian.