BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, September 06, 2013

Kisah Manusia Yang Menjadi Buaya

Di Bunohan, ada banyak kisah berkenaan manusia menjadi buaya. Buaya menjadi manusia, jarang-jarang. Ada pun, kisah manusia yang bertukar menjadi buaya ini, adalah kerana amalan ilmu hitam. Ilmu yang tidak diterima langit, dan setiap pengamalnya akan menerima azab dan seksa di akhirat kelak.

Salah satu kisah cinta unik mengenai manusia yang menjadi buaya, salah satunya adalah kerana mahu mengekalkan cinta terhadap pasangannya. Si pengamal ilmu hitam enggan berpisah dengan pasangannya, boleh jadi kekasihnya, suaminya atau isterinya. Buaya jadian ini juga akan melindungi anak cucunya daripada sebarang ancaman. Adalah tidak dapat dipastikan sama ada buaya jadian ini mampu menyelamatkan umat manusia daripada ancaman bom nuklear atau fitnah Dajjal.

Kisah buaya, sering berkait rapat dengan sungai atau paya. Jarang ada kisah buaya di tasik atau di padang golf. Namun ada kisah buaya yang menarik pernah berlaku di Malaysia seperti di Tasik Puchong dan Padang Golf A Famosa di Melaka.

Kisah buaya yang paling terkenal selalunya berasal dari Sarawak. Nama gelaran yang sering dilekatkan dengan nama buaya biasanya 'Bujang'.  Sesetengahnya berkait rapat dengan kepahlawanan. Pahlawan mati menjelma menjadi buaya. Ada juga satu kisah di mana dua beradik kembar, satunya manusia dan satunya buaya juga datang dari satu etnik yang ada di Sabah.

Aku pernah membaca satu kisah buaya, tentang dua beradik yang menjadi pemimpin. Si abang seorang pemimpin yang terbilang dan adil, manakala adiknya sering berlaku zalim kepada pengikut-pengkutnya. Satu hari si abang memerangkap si adik lalu mengurungnya di dalam satu keranda yang cantik. Si adik akhirnya menjelma menjadi buaya. Kedua-dua beradik ini masih ada seorang adik perempuan. Si adik yang telah menjelma menjadi buaya menetapkan satu hari khusus untuk menemui adik perempuannya yang dirinduinya. Namun salah seorang pengikut si abang telah tersalah kira bilangan hari lalu mengatur satu upacara sehari lebih awal dan mendatangkan marah kepada si adik yang telah menjelma menjadi buaya. Selepas itu, si adik berdendam dengan manusia yang memungkiri janji, lalu berjanji akan memakan mana-mana manusia yang mengganggu hidupnya.

Kisah manusia menjadi buaya selalunya berakhir dengan tragis. Kehidupan buaya itu sendiri kita lihat seolah-olah penuh dengan kesunyian dan keseraman. Hidup sebagai buaya sudah pasti membosankan, bagi setiap manusia yang ada cita-cita dan matlamat. Hidup tanpa matlamat, umpama hidup seperti buaya. Lebih tepat lagi, seorang manusia yang degil, panas baran dan pendiam jika ia hidup tanpa matlamat, maka kehidupannya adalah sama sahaja seperti seekor buaya.