BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Februari 27, 2008

Mengira Detik-detik Terakhir - Makin Hampir

Hari ini aku lihat, dia sudah semakin tenat. RS bakal menamatkan kehidupannya tidak lama lagi. Lebam di bawah matanya semakin tebal, kulitnya semakin pucat dan barangkali detik-detik terakhir itu sudah dekat benar.

"Kenapa tidak ingin, biar sebutir nasi pun untuk kau telan?"

Tidak ada sebarang jawapan. Terlalu lemah untuk insan ini berkata-kata. Dia hanya merenung jauh, jauh ke luar jendela, menyaksikan suria di balik tabir petang itu perlahan-lahan menyembunyikan dirinya.

"Kenapa begitu mudah untuk kau tinggalkan cita-citamu?"

Diam lagi. Senyap lagi. Tidak ada sebarang bicara pun. Perlahan-lahan dia mengunjukkan sebuah buku. Tertulis di atasnya, Kau Laksana Bulan.

"Aku terhutang budi kepada orang ini..."

dan kemudian dia mencapai sebuah buku lagi. Sebuah buku keluaran PTS.

"Juga penerbit buku ini. Dia menelefonku, tanpa kujangka."

RS sudah berminat untuk memulakan bicara.

"Aku masih ingat suatu ketika dahulu, dengan kedua-dua orang ini, sering kami bertukar-tukar SMS, dan... aku rasa cita-citaku bertambah cerah. Kemudian, aku membawa kamu kepada mereka berdua."

Ya. Kenangan itu pasti sangat manis bagi seorang yang terlalu teruja untuk bergelar penulis. Sayang sekali, pengalaman dan kisah silam tidak berpihak kepadanya.

Aku bersuara pula, "Ya. Semasa Kak Aina Emir memilih aku untuk menghadiri bengkel penulisan remaja untuk fiksyen sains, fantasi dan thriller, aku cukup gembira."

Kemudian aku membelek buku Kau Laksana Bulan. Tertera nama Romantis Selatan di bahagian penghargaan.

"Sayangnya, aku tidak dapat pergi. Seorang sepupuku, rumahnya sepatutnya aku tumpang, dan pak cikku sepatutnya menjadi penghantarku ke bengkel, tiba-tiba keluarga mereka dilanda misteri. Sepupuku itu diserang penyakit, dan penyakit itu telah meragut dua orang ibu saudaraku sebelum ini. Aku, tidak dapat hadir dan sampai sekarang aku rasa bersalah kepada Kak Aina."

Kak Aina Emir dan Puan Ainon, dua orang ini benar-benar berjasa. Kamu juga, Romantis Selatan, juga orang yang berjasa. Menerusi kamu, aku mengenali kedua-duanya.

"Sayangnya... aku barangkali ditakdirkan untuk tidak dapat bertemu mereka berdua."

BERSAMBUNG...

Hakcipta (C) Amiene Rev 2008