Zaman Robot Mula Bersaing Dengan Manusia
Zaman kepintaran buatan dan robot sudah bermula sejak beberapa tahun lepas. Kini, manusia sudah mula bersaing dengan robot dalam merebut pekerjaan. Terdapat beberapa jenis robot yang membantu mempermudahkan kerja manusia. Di Malaysia, perniagaan restoran merupakan antara yang sudah mula menggunakan khidmat pekerja robot yang berupa mesin kiosk bagi membantu mengurangkan pelayan di restoran dan robot yang menghantar makanan. Penggunaan robot paling awal dikesan di kilang-kilang. Kemudian sistem parkir kereta dan juga perkhidmatan bayaran tol.
Penggunaan robot yang lebih berkesan dan menjimatkan kos pembayaran gaji selain meningkatkan keupayaan produktiviti kerja menyebabkan kebanyakan syarikat kini mula membuka ruang yang luas bagi pekerja robot.
Robot tidak perlu pulang ke rumah, tidak perlu rehat dan tidak beremosi. Robot juga tidak perlu dibayar gaji. Di Jepun, terdapat hotel yang memanfaatkan robot sepenuhnya sebagai pekerja. Hotel tersebut cuma memiliki seorang sahaja pekerja manusia, iaitu pengurus hotelnya. Dengan menggunakan robot, hotel itu telah berjaya menjimatkan 70 peratus kos setiap bulan.
Robot adalah pesaing manusia dalam dunia kerjaya. Satu-satu cara untuk mengelakkan daripada perlu bersaing dengan robot ialah dengan melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi. Manusia juga digalakkan untuk memilih bidang pekerjaan yang kurang dapat dipenuhi oleh robot.
Selain menjadi pesaing kepada manusia dalam bidang ekonomi, robot juga turut menguasai bidang ketenteraan. Beberapa tahun lepas, berita pernah melaporkan mengenai pembunuhan seorang pemimpin perang oleh sekawan robot dalam bentuk dron. Robot-robot yang mampu terbang ini mampu mengunci dan memburu sasaran mereka.
Robot-robot yang tahan lasak telah pun dicipta untuk tujuan penerokaan angkasa lepas. Pada masa yang sama, kini, saintis-saintis bidang kepintaran buatan telah mencipta kepintaran buatan yang mampu belajar sendiri perkara-perkara baru. Hal ini turut membimbangkan Elon Musk. Dikhuatiri, kewujudan robot-robot yang boleh berfikir, beremosi dan belajar perkara baru ini akan menjadi permulaan untuk mereka menakluki bumi.
Terdapat robot yang mampu membiak. Robot yang mampu membiak ini boleh mereplikakan diri sendiri menjadi lebih banyak. Robot-robot ini boleh membantu menghantar ubat-ubatan ke dalam salur darah manusia. Robot bersaiz mikro ini dipanggil xenobot.
Di Arab Saudi, terdapat robot yang telah menerima kerakyatan. Robot yang bernama Sophia ini bekerja di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, sebagai jurucakap dan tenaga pengajar dalam bidang sains komputer. Sophia dikatakan unik kerana selain mampu berfikir dan belajar perkara baru dengan sendiri, ia juga mampu mentafsir emosi manusia.
Di China, dilaporkan satu budaya baru muncul di mana ada manusia yang mula jatuh cinta dengan robot kepintaran buatan di dalam telefon pintar. Ini merupakan satu permulaan yang agak membimbangkan. Robot-robot di dalam telefon pintar ini pada asalnya dicipta untuk membantu mengurangkan kesunyian atau sebagai rakan ketika bosan, sudah mampu menggoda manusia untuk jatuh cinta dengannya.
Sekarang sudah wujud robot yang mampu belajar sendiri, memahami emosi manusia dan membiak. Kewujudan robot pada asalnya untuk membantu manusia tidak boleh dilampaui batasnya. Jika manusia masih ghairah untuk mencipta robot yang betul-betul memiliki sifat seperti manusia, impian ini datang dengan harga yang mahal.