BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, September 20, 2021

Netflix, Youtube dan Revolusi Industri Keempat

Netflix, YouTube dan Revolusi Industri Keempat
Penulis: Amiene Rev (C) 2021

Wabak Covid-19 yang melanda sekitar 2019 mengubah strategi pasaran filem di dunia. Netflix menjadi saluran hangat untuk filem-filem meneruskan kelangsungannya dalam menemui para penonton. Penerimaan penerbit filem, drama dan animasi terhadap Netflix sebagai premis digital untuk memasarkan karya-karya terbitan mereka memberi peluang untuk berlakunya globalilasi dalam pengkaryaan.

Kini Netflix semakin giat memaparkan karya-karya dari Malaysia. Netflix mempunyai keupayaan untuk mengkaji selera pengguna secara individu. Setiap kali penonton menonton dan menyukai sesuatu karya, maka Netflix akan mencari dan mencadangkan karya-karya yang mempunyai ciri-ciri yang sama dari aspek tema, pelakon dan kategori kepada pengguna tersebut.

Bukan mudah untuk sesebuah karya menembusi Netflix. Netflix sangat mengutamakan pemilihan karya-karya yang berkualiti yang hendak disiarkan di perpustakaannya. Boleh dikatakan, karya yang diterima untuk disiarkan di Netflix, adalah karya yang berkualiti. Hal ini menjadikan Netflix sebagai salah satu tanda ukur darjat sesebuah karya. Netflix menaikkan imej para penerbit, pengarah, pelakon dan penulis skrip.

Selain Netflix, YouTube juga kini menjadi pilihan penerbit-penerbit bebas. Dengan hanya berbekalkan kamera telefon bimbit, seseorang itu mampu menjadi selebriti internet. Ada juga yang telah menjadi jutawan. Pendapatan menerusi pelantar digital kini mengatasi pendapatan fizikal.

Revolusi Industri Keempat merupakan gelombang baru yang mewujudkan pekerjaan baru dan mematikan beberapa pekerjaan lama. Ini menjadikan beberapa bidang pengajian dan kemahiran lepasan sekolah tidak lagi menjamin peluang kerjaya yang baik.

Perebutan mendapat tempat di saluran televisyen juga semakin berkurangan. Kini, para pelakon dan penerbit tidak lagi perlu bergantung kepada stesen-stesen televisyen semata-mata. Mereka sudah boleh meningkatkan kepakaran dalam pengendalian karya digital untuk mencari pendapatan berterusan.

Buku fizikal dan perpustakaan buku fizikal juga menerima tempias daripada revolusi ini. Manusia kini lebih suka mencari maklumat yang bersifat multimedia. Budaya membaca kini bukan satu-satunya budaya yang baik. Kebolehan mencari maklumat melalui internet turut menyumbang kepada peningkatan ilmu. Melayari internet kini merupakan budaya pembelajaran global.

Pertukaran ilmu, idea, kemahiran dan budaya berlaku dengan pantas sejak kewujudan laman-laman sosial yang memanfaatkan fungsi siaran video. Manusia sudah mampu mencari kawan  dan kenalan pelbagai bangsa dari serata dunia.

Peningkatan keperluan terhadap kemudahan yang mampu disediakan menerusi dunia internet dan digital ini mencetuskan pembangunan pesat dalam industri teknologi elektronik. Dunia yang bakal dipenuhi robot bakal bermula. Saingan manusia kini bukan sahaja manusia, tetapi juga perisian, apllikasi, mesin dan robot.

Revolusi membolehkan sesuatu entiti itu bertahan lama. Tiada benda yang kekal. Keengganan untuk berubah bermaksud akan ditinggalkan kemudian dilupai. Zaman Batu cuma tinggal nama, setelah digantikan dengan Zaman Logam. Kemudian tamadun berganti tamadun. Manusia harus sedar, tamadun digital bakal bermula. Bersiap sedialah untuk menyambut dunia baru dan bernafas di dalamnya.