BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Mei 27, 2019

Apabila Usia Semakin Meningkat

Apabila usia semakin meningkat, cita-cita kita semakin berkurangan. Tanggungjawab kita semakin bertambah. Pemikiran kita semakin realistik. Kita mula memilih sesuatu berdasarkan keperluan.

Setiap hari kita melihat dunia tidak lagi seperti usia muda kita. Tidak lagi seperti semasa usia remaja kita. Sudah pasti tidak lagi seperti semasa usia kanak-kanak kita. Kita tidak lagi melihat esok sebagai cita-cita, tetapi kita melihat esok sebagai harapan dan amanah.

Kita melihat masa lalu dengan pelbagai maksud dan emosi. Ada rasa puas hati, mungkin. Bercampur dengan rasa kesal, mungkin. Tidak kurang kecewa, sayu dan rindu. Tidak mustahil terselit kebanggaan, legasi yang mahu diwariskan.

Semakin nipis garis usia kita, semakin kita pasrah dan redha. Tidak ada lagi rasa ghairah mengejar cita-cita dunia. Segala kemajuan dan pencapaian yang mengatasi generasi terdahulu, tidak pula mengagumkan kita kerana adanya rasa sedar tentang kebenaran pada penghujung usia.

Apabila usia semakin meningkat, kita semakin sedar apa yang perlu dan apa yang tidak perlu. Kita mula sedar, mencari teras berbanding hias. Tidak banyak perkara lagi yang mampu menarik perhatian kita.