Kombinasi warna untuk kulit buku Aku Mahu Buli, karya Ain Maisarah memaparkan penggunaan warna merah dan kuning (emas) yang menarik perhatian. Lapisan tebal hitam yang menjadi garis luaran untuk memisahkan warna putih untuk objek dan tulisan daripada warna latar (merah) menambahkan lagi daya tarikan pada buku ini.
Sementara kombinasi warna untuk kulit buku Namun Kupunya Hati mencetus emosi yang merudum, sepadan dengan judul buku tersebut. Serakan cahaya pada baju yang berwarna merah di dalam kegelapan hitam serta pemilihan warna kuning kelam melapisi latar merah (baju) dan hitam memang tampak bergaya. Nama penulis yang berwarna putih menggenapkan kombinasi empat elemen warna yang digunakan untuk rekabentuk buku ini.
Kombinasi warna kulit buku Chef, memukau mata memandang. Hijau sayuran segar dan warna perak, putih baju tukang masak dan latar hitam mempamerkan sifat yang profesional. Seperti rekabentuk buku Namun Kupunya Hati, rekabentuk buku Chef juga memanfaatkan penggunaan cahaya dengan baik untuk imej foto yang digunakan.
Dari Kepala Batas ke New Haven pula menggunakan elemen warna kuning, putih dan hitam untuk watak si pejalan kaki. Kesemua warna ini digabungkan dengan cara yang harmonis dan menampakkan sifat kematangannya.

Saya berpendapat, kombinasi warna yang digunakan dalam buku-buku di atas sangat cemerlang dan profesional. Semua rekaan di atas adalah bekas tangan pasukan grafik PTS yang diketuai oleh Hisham Salmin.
NOTA: Siri Rekabentuk Buku-buku PTS adalah entri-entri yang berkaitan dengan rekabentuk-rekabentuk buku dan novel PTS yang menarik perhatian saya. Nantikan siri seterusnya.
Blog PTS Graphic Team:
ptsgraphic.wordpress.com
Pasukan Grafik PTS:
ptsgraphic.wordpress.com/pts-graphic-team
Tiada ulasan:
Catat Ulasan