BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, November 30, 2009

Swordtails Fish - Ikan Pemain Pedang, Kanser Genetik dan Bahasa Latin

Saya pulang ke kampung dan mendapati adanya spesis ikan Wild Green Swordtail yang sudah dikacukkan dengan spesis ikan Red Swordtail. Nampaknya ikan ini sudah kembali membiak dengan pantas. Spesis ikan ni memakan anaknya sendiri yang baru dilahirkan. Oleh itu, krisis populasi pernah berlaku sebelum ini.

Xiphophorus Helleri adalah nama saintifik bagi ikan Swordtail. Xiphophorus bermaksud ahli pedang, merujuk kepada bentuk pedang yang terdapat pada ekor ikan Swordtail Jantan. Helleri pula merujuk kepada nama Herr Heller, iaitu orang Jerman yang membawa pulang ikan ini ke negaranya untuk dikaji.

Sekali imbas, bahasa Latin yang mewakili nama saintifik bagi spesis hidupan sukar untuk diingati, tetapi maksudnya mengkelaskan hidupan-hidupan ini berdasarkan sifat-sifatnya. Antara istilah-istilah Latin yang popular untuk spesis ikan termasuklah:
auratus = emas
fasciatus / fasciatum = belang / jalur
ocellifer = bintik berbentuk mata
javanicus = berasal Java
belizanus = berasal Belize
mexicanus = berasal dari Mexico
Spesis Swordtail menjana minat saya kerana tahan lasak dan mudah dibiakkan. Seekor ikan Swordtail jantan bersamaan dengan dua atau tiga ekor ikan Swordtail betina. Terdapat satu baka Swordtail yang merbahaya untuk dibiakkan. Ikan Black Swordtail adalah pembawa gen tumor atau kanser. Walaupun warna hitamnya kelihatan cantik, namun sekiranya anak yang dilahirkan menerusi kacukan dengan baka warna lain, maka kemungkinan besar anaknya mudah mati.

Baka Black Swordtail juga lambat matang dan kadangkala mengambil masa sekitar 1 tahun untuk matang sepenuhnya. Ini menjadikan baka Black Swordtail jarang untuk ditemui. Jangka hayat ikan Swordtail ialah 3-5 tahun.