BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, November 26, 2009

Phobia 2 - Lima Kisah Seram dan Idea Gila-Gila

Ulasan Filem Seram: Phobia 2
A Collection of Horror Films That Asian Should Be Proud Of
Gabungan Lima Filem Seram Pendek Berkualiti Dari Thailand
FILEM SERAM KEBANGGAAN ASIA
Ulasan Filem Seram Oleh Amiene Rev (C) 2009

Kelima-lima filem seram yang dipaparkan dalam Phobia 2 pada pandangan peribadi saya memiliki kualiti yang baik tidak kira dari segi visual atau jalan cerita. Semasa ulasan ini dibuat, saya masih tidak pernah menonton Phobia 1, tetapi berdasarkan kehebatan Phobia 2 (Ha Prang), saya boleh merasakan kenapa filem seram Phobia 1 (4bia atau See Phrang) diteruskan ke bahagian 2. Phobia 2 adalah gabungan lima filem seram pendek iaitu Novice, Ward, Backpackers, Salvage, dan In The End. Selenggaraan filem-filem seram pendek di dalam Phobia 2 adalah baik. Penyelenggara filem pada mulanya menakut-nakutkan para penonton dan apabila ketakutan itu dianggap sampai ke tahap di mana penonton berharap filem seram ini cepat habis, penonton dihiburkan pula dengan filem seram kelakar yang mengundang ketawa di kalangan para penonton pada filem terakhir yang berjudul In The End.

Sinopsis-sinopsis Filem-filem Pendek dalam Phobia 2

Novice
Sebuah filem seram oleh Paween Purijitpanya
Filem ini mengisahkan seorang budak berusia 14 tahun bernama Pey yang telah melakukan jenayah Pa-Hin (membaling batu, kemudian mencuri barang-barang mangsa), dan kemudiannya dihantar oleh ibunya untuk menjadi sami Buddha bagi mengelakkan Pey dari dihukum oleh undang-undang jenayah membunuh. Namun, hukum 'karma' tetap tidak dapat dielakkan, Pey akhirnya menjadi hantu lapar. Semasa menjadi sami, Pey sempat mencuri makanan hantu lapar, dan ini menyebabkan hantu lapar yang umpama raksasa galah memburunya pada waktu malam. Filem pertama ini diakhiri dengan babak yang memaparkan keganasan. Kebanyakan penonton tidak sanggup melihat wajah Pey hancur dibaling batu.

Ward
Sebuah filem seram oleh Visute Poolvoralaks
Seorang budak bernama Arthit telah terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kedua-dua belah kakinya tercedera teruk akibat tertikam kaca. Arthit telah dipindahkan sebuah wad di mana terdapat seorang lelaki tua yang juga merupakan ketua penganut ajaran sesat dan paranormal. Pada hari menjelang kematian lelaki tersebut, para penganutnya membaca doa dan melakukan upacara yang sungguh misteri. Malam itu, Arthit sering diganggu oleh roh lelaki tua itu. Dan sesuatu telah berlaku di mana lelaki tua itu berjaya membunuh Arthit, dan hidup semula di dalam jasad muda yang sebelum ini kepunyaan Arthit. Rupa-rupanya pihak hospital bersekongkol dalam hal ini.

Backpackers
Sebuah filem seram oleh Songyos Sugmakanan
Dua orang remaja Jepun mengembara ke Thailand dan berhajat menumpang kenderaan penduduk tempatan. Nasib mereka agak baik apabila berjaya menumpang sebuah lori. Rupa-rupanya lori tersebut menyimpan beberapa orang penyeludup dadah secara paksa yang kemudiannya berubah menjadi sesuatu yang mengerikan. Saya suka babak-babak dalam filem ini yang ternyata penuh dengan aksi yang mencemaskan. Filem ketiga ini telah mengundang simpati dan rasa seram kepada para penonton. Aksi-aksi zombie seperti dalam filem 28 Days Later dan seumpamanya boleh dilihat menerusi filem pendek ini.

Salvage
Sebuah filem seram oleh Parkpoom Wongpoom
Nuch, seorang ibu dan juga seorang penjual kereta terpakai. Kebanyakan kereta terpakai memiliki sejarah seram yang tersendiri. Ramai orang takut memakai sesuatu kenderaan jika mereka mengetahui bahawa kenderaan tersebut pernah terlibat dalam kemalangan maut. Pada malam itu, Nuch telah melalui satu peristiwa paling menyeramkan dan juga paling menyedihkan. Filem ini adalah kemuncak di mana penonton diseksa dan sudah fobia untuk menonton filem Phobia 2. Saya mendapati ada beberapa orang penonton mengatakan sesuatu seperti ini ketika sampai ke filem Salvage.

"Cukuplah!"
"Bila filem ni nak habis ni. Dah tak sanggup nak tengok dah filem ni!"
"Alamak, ada lagi? Tidak!!!"

Empat filem seram Phobia 2 sudah cukup mendera perasaan takut para penonton. Lalu, menerusi filem kelima dan terakhir, rasa takut dan fobia penonton dikendurkan dengan filem seram kelakar yang berjudul In The End. Saya paling suka filem yang terakhir ini.

In The End
Sebuah filem seram oleh Banjong Pisanthanakun
Filem seram yang terakhir ini amat kelakar walaupun sekali imbas filem ini menilai tahap setiakawan seseorang terhadap individu lain. Filem ini melibatkan banyak 'twist' plot dan setiap 'twist' plot disertakan dengan alasan dan jalan cerita yang kelakar juga. Lebih baik menonton sendiri filem terakhir ini kerana filem ini ternyata berjaya mengendurkan rasa takut dan fobia para penonton apabila menonton filem Phobia 2. Boleh dikatakan filem terakhir ini adalah senaman menyejukkan rasa seram di kalangan penonton. Filem ini juga memaparkan kehebatan penyolek-penyolek wajah filem seram selain menjadikan kehebatan aksi-aksi visual dalam filem ini sebagai sesuatu yang sebenarnya mudah dan ringkas. Tidak perlu fikir susah kerana bendanya mudah.

Bagi saya, saya telah menonton sebuah filem seram hebat dari Thailand. Saya teringin mencari dan menonton filem 4bia atau See Phrang yang merupakan bahagian 1 kepada filem ini. Tontonlah filem Phobia 2, cerita ini karya dengan idea gila-gila dan sememangnya sebuah filem seram yang amat menarik. Nampaknya orang Thailand tidak mudah berbangga dengan filem-filem seram sedia ada mereka, lalu mereka menghasilkan beberapa buah filem yang lebih seram daripada biasa menerusi eksperimentasi berjaya mereka iaitu See Phrang dan Haa Phrang.

Rujukan: