BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Februari 19, 2009

Kini Bergelar Jutawan

Kini, sebagai seorang jutawan, apa yang sering terlintas di dalam hati ini ialah bagaimana wang ini hendak digunakan. Tidak pernah diduga kemenangan ini akhirnya jatuh ke tangan ini. Kata orang, inilah rezeki.
Tidak ada apa lagi yang lebih menggembirakan ketika ini selepas diumumkan sebagai pemenang Pertandingan Projek Khas yang disertai di Negara X baru-baru ini. Memang berbaloi menahan kesejukan udara beku dan salji dingin yang mencengkam ke tulang sumsum.

Kemenangan ini membolehkan wang tunai bernilai 250,000.00 Euro yang bersamaan dengan RM 1,150,000 atau satu juta satu ratus lima puluh ribu ringgit menjadi hak milik sendiri.
Pilihan terbaik, ialah memulakan perniagaan sebagai pelaburan untuk cita-cita masa depan. Apakah cita-cita yang terbaik untuk diri ini? Dahulu, saya menanam impian untuk menubuhkan satu sekolah elit, untuk sistem kurikulum yang direkabentuk sendiri. Kerana saya percaya, sistem kurikulum yang saya bentuk ini adalah sistem yang paling tepat untuk manusia sepanjang dia hidup di dunia dan kemudian, menghadapi hidup kekal di akhirat. Hasrat yang telah terpendam sekian lama, akan direalisasikan.

Saya akan menjadi seorang pedagang, seorang hartawan teragung dunia, yang berjuang mengutip keuntungan untuk perjuangan dunia dan akhirat atas nama Allah. Dengan melabur dan meningkatkan modal insan yang lebih ramai dan berkualiti bagi meneruskan kesinambungan alam fana dan alam akhirat.

Saya juga akan memulakan projek menjana kehidupan bagi keluarga-keluarga setinggan, untuk menumpang di atas medan tanah besar yang akan saya beli untuk tujuan agrokultur. Anak-anak mereka akan dididik untuk menjadi pemimpin berilmu pada masa akan datang.

Kerana nama saya bermaksud pemimpin berilmu, dan dengan nama ini saya akan berusaha mendidik masyarakat dan anak-anak manusia untuk menjadi pemimpin berilmu. Dan dengan kekayaan saya yang akan saya laburkan dalam perniagaan dunia dan akhirat, akan menjadi suntikan modal untuk menanggung segala projek-projek modal insan yang akan dicetuskan. Ini adalah revolusi.

Jika hari ini saya bergelar jutawan, pada masa akan datang saya akan bergelar billionaire. Dan, saya akan berjuang dengan menggunakan harta yang saya miliki untuk perjuangan dunia dan akhirat.

Beg buruk semasa graduasi, dompet buruk yang dikutip dari tong sampah yang digunakan sehingga kini, sentiasa menjadi satu peringatan kepada saya, bahawa harta kekayaan yang dimiliki ini adalah satu bonus perjuangan mencari keredhaan Allah.