BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Julai 16, 2018

Ulasan Filem Escape Plan 2 - Hades (2018)


Filem Escape Plan 2 - Hades tidak lagi memaparkan Stallone sebagai watak utama. Walau bagaimana pun ego Stallone seperti kebanyakan filemnya tetap wujud. Dalam Escape Plan 2 - Hades ini, seorang hero yang kelihatan tewas pada mulanya tetapi bangkit semula dengan kejutan dan perancangan rapi yang dipersiapkan secara diam-diam untuk memerangkap lawan atau musuhnya.

Watak utama adalah Shu, yang merupakan salah seorang anggota dalam kumpulan Breslin. Kumpulan Breslin ini percaya bahawa algoritma komputer dalam merancang dan meramal hasil keputusan sebagai satu pendapat ahli pasukan. Ya, komputer adalah anggota pasukan dalam filem Escape Plan 2 - Hades. Salah seorang rakan sepasukan tidak percaya tentang komputer dan mula bertindak sendiri. Konsep yang sama dalam filem Expendables yang juga merupakan salah sebuah filem Stallone. Di situ kita boleh nampak identiti dan corak filem-filem Stallone. Seorang aktor tua yang memegang watak seorang mentor dan mempunyai mentee-mentee atau pelapis yang dilakonkan oleh pelakon-pelakon muda yang memberontak, degil atau suka melawan sehingga menjerat diri sendiri atau menimbulkan masalah. Kemudian mentor akan bergabung tenaga dengan sahabat atau rakan-rakan seperjuangan yang senior untuk menyelesaikan masalah tersebut seperti kelapa tua yang makin tua makin berminyak. Pengalaman dan usia menewaskan orang muda yang masih mentah.

Shu dan sepupunya dijerat dan dibawa ke sebuah penjara serba canggih bernama Hades yang dikawal oleh komputer. Breslin akan menentang idealoginya sendiri. Komputer yang dianggap mampu memberi jawapan tepat berbanding ego manusia kini menjadi lawan kepada Breslin dan anak-anak buahnya. Breslin seperti biasa suka bertindak dari dalam ke luar.

Mengapa Hades? Hades adalah nama bagi salah satu dewa terkuat, adinda Zeus yang menguasai alam kematian. Hades menguasai orang mati. Manusia akan hilang dan takkan kembali ke dunia. Dikatakan tidak ada seorang pun mampu melarikan diri dari penjara Hades. Musuh di sebalik tabir yang membangunkan Hades dalam filem Escape Plan 2 ini mempunyai kaitan dengan filem Escape Plan yang pertama.

Breslin akan membongkarkan rahsia kekebalan Hades dan seperti biasa, Breslin akan mencabar musuhnya pada akhir cerita, memberi mimpi ngeri di siang hari kepada orang-orang yang memberi masalah kepadanya. Ini ego yang biasa kita lihat dalam kebanyakan filem Stallone.

Adakah filem Breslin menarik? Bagi orang-orang yang suka berfikir, filem Escape Plan 2 - Hades mungkin boleh membuatkan mereka terjaga sepanjang masa tetapi bagi yang tidak begitu menyukai konsep filem Escape Plan ini, mereka mungkin akan rasa bosan.

Hero dan rakan-rakannya akan dibelasah teruk oleh pihak musuh sebelum bangkit semula dengan kejutan adalah apa yang para penonton akan saksikan dalam filem ini. Ini adalah filem aksi P18 yang dipenuhi dengan babak membelasah orang, dibelasah, dibunuh dan dizalimi.

Jika anda meminati filem-filem lakonan Stallone dan kata-kata semangat, filem Stallone yang berjudul Escape Plan 2 - Hades ini juga seperti biasa ada mengajar anda tentang cara-cara menyelesaikan masalah dalam kehidupan dan menghadapi cabaran. Sekurang-kurangnya filem ini memiliki sesuatu untuk disampaikan. Kata-kata hikmah yang boleh memberi motivasi dan inspirasi kepada anda untuk mengharungi cabaran kehidupan.

Filem Escape Plan 2 - Hades adalah sebuah filem yang memanfaatkan kata-kata hikmah yang berkait rapat dengan seni mempertahankan diri dan meneruskan perjuangan menghadapi cabaran. Ketika kita berdepan dengan situasi yang tidak ada rutin, tidak ada pola, tidak ada sokongan atau orang yang boleh kita percayai, maka bertabahlah kerana pasti akan ada Pelan B. Apakah itu Pelan B? Ia adalah pelan yang sangat berguna dan jawapannya akan ditemui dalam filem Escape Plan 2 - Hades.

Ulasan Filem Skyscraper (2018)


Dalam filem Skyscraper ini, Dwayne Johnson memegang watak Will Sawyer, seorang bekas FBI yang telah kudung kakinya tetapi hikmah di sebaliknya, dia bertemu isteri, mendapat dua orang anak dan hubungan keluarga yang bahagia. Skyscraper adalah kisah seorang suami dan seorang ayah yang menjadi wira dan topik yang digunakan oleh filem Skyscraper ini bukan lagi topik baru dalam filem-filem Hollywood. Kita boleh namakan pelbagai tajuk yang menggunakan tema yang serupa dengan filem Skyscraper ini. Die Hard dan Fast & Furious pernah adalah contoh terbaik. Will Sawyer seperti dalam dianggap sebagai bersubahat dengan penjahat secara paksa kerana keluarganya dijadikan tebusan sebelum dia berjaya memerangkap semula penjahat dan menyelamatkan keluarganya. Jadi jika bercakap tentang plot, filem Skyscraper cuma sebuah filem kitar semula plot yang boleh dianggap popular dan diminati penonton.

Adakah filem Skyscraper menarik? Lakonan Dwayne Johnson dalam filem ini memang antara punca tarikan utama filem ini. Perwatakan aktor yang pernah mengagumkan ramai peminatnya menerusi nyanyiannya dalam filem animasi Moana memang dinanti-nantikan oleh para penonton Skyscraper. Dwayne Johnson memang seorang pelakon yang berpengaruh. Bekas bintang ahli gusti yang tidak gentar menghiburkan ribuan penonton pada kurun yang lepas, mempersonakan para peminatnya dengan pelbagai bakat dan sifat terbukanya dalam membintangi pelbagai genre filem. Salah seorang pelakon terkaya di dunia.

Apa lagi ulasan yang boleh membuatkan filem Skyscraper menarik? Keberanian seorang bapa dan seorang suami untuk menyelamatkan ahli keluarganya dengan mengharungi satu demi satu cabaran yang pada bila-bila masa sahaja boleh mencabut nyawanya biarpun dengan tiga anggota badan. Sebelah lagi, anggota badannya, iaitu kaki palsu juga banyak memberi faedah dalam cerita ini. Sebagai seorang bapa dan suami, sanggupkah anda melawan kepungan polis, memanjat bangunan yang beratus-ratus meter tinggi dan melompat dari langit dengan sebelah kaki palsu, merempuh api dan menggunakan kudrat kekuatan untuk bersedia mengorbankan diri pada bila-bila masa demi keluarga anda? Para penonton dan anggota polis sendiri bertukar dari lawan menjadi penyokong, selepas mereka mula menyedari keikhlasan dan kesucian hati Will Sawyer berjuang demi keluarganya.

Kebakaran rumah akan mampu memberi jawapan tentang siapa atau apa yang tuan rumah paling sayang adalah persoalan yang dibangkitkan dalam filem ini. Dwayne Johnson bijak memilik filem untuk dilakonkan. Kebanyakan filem lakonannya adalah filem aksi untuk keluarga. Disebabkan corak pemilihan filem yang dibuat oleh Dwayne Johnson telah jelas kelihatan, kita tahu apabila ada Dwayne Johnson dalam sesebuah filem PG13 maka kita juga tahu jenis hiburan dan hala tuju filem tersebut. Kesemua filem Dwayne Johnson berakhir dengan kegembiraan. Ia filem keluarga dan hiburan untuk ahli keluarga, tidak ada sebab untuk menjadikan filem itu berakhir dengan kesedihan. Orang baik akan menang menentang orang jahat.

Isnin, Julai 09, 2018

Ulasan Filem Inuyashiki (2018)


Filem Inuyashiki adalah filem fiksyen sains dari Jepun, mengisahkan dua orang individu yang diubahsuai menjadi cyborg. Individu pertama, watak utama adalah seorang tua yang baik hati tetapi sering dibuli oleh kehidupan dan dipandang rendah oleh orang-orang di sekitarnya, termasuk ahli keluarganya sendiri. Individu kedua adalah seorang remaja yang masih bersekolah, tetapi sentiasa merasa dunia ini tidak adil dan ramai manusia menzaliminya.

Orang tua yang matang apabila diberikan kuasa cyborg, dia menggunakan kuasanya untuk menyembuhkan pelbagai makhluk tidak kira manusia atau pun binatang. Si remaja yang memberontak dalam diam, menggunakan kuasanya untuk menyempurnakan segala kehendaknya yang tidak pernah tertunai sebelum ini dan menjadi jahat. Kebaikannya cuma pada ibunya dan juga pada sahabatnya.

Kejahatan yang dilakukan oleh si remaja semakin lama semakin meningkat selepas diburu oleh pihak berkuasa, sehingga mengundang campur tangan si tua, iaitu Inuyashiki, untuk menghalangnya.

Filem Inuyashiki mempunyai mesej yang mulia. Si tua biarpun dipandang hina dan lemah, apabila diberikan peluang menggunakan kuasa luar biasa, dia menjadi wira, menyelamatkan kehidupan ini.

Sifat setiakawan si remaja yang memberontak tetap kekal biarpun sahabatnya itu sendiri bertindak bergabung tenaga dengan Inuyashiki untuk menentangnya.

Ketabahan Inuyashiki mengundang motivasi dan inspirasi kepada para penonton untuk turut menyumbang tenaga dan pertolongan kepada kehidupan.

Teknologi atau kesan khas bukan perkara utama dalam cerita ini. Mesej dan penceritaannya berkenaan hasrat seorang tua yang ingin menjadi seorang yang berguna dan membuktikannya selepas diberikan peluang adalah sesuatu yang sangat bersifat keperwiraan dan patriotik.

Inuyashiki muncul sebagai wira Jepun apabila dia menyelamatkan ramai nyawa daripada dibunuh oleh remaja yang memberontak.

Sifat perwira itu wujud dalam hati setiap manusia yang berusaha untuk melakukan kebaikan dan memberi kemudahan kepada orang lain dan makhluk lain. Seorang yang lemah belum tentu akan mementingkan diri sendiri apabila diberikan kuasa, adakalanya ia menggunakan kuasa itu untuk menolong orang yang lebih lemah daripadanya. Semua orang tidak mengira usia, boleh menjadi wira.

Jumaat, Julai 06, 2018

Ulasan Filem Ant-Man and The Wasp


Filem Ant-Man and The Wasp adalah salah satu filem dalam rangkaian filem Adiwira Marvel seperti Avenger yang berkait-kait antara satu sama lain. Dari segi aksi, dialog dan jalan cerita, tidak dinafikan filem ini mempunyai tarikannya yang mampu menghiburkan penonton.

Biarpun begitu menarik, jalan ceritanya adalah biasa dilihat dalam kebanyakan filem. Watak utama yang menghadapi masalah dengan pihak berkuasa, terpaksa membantu orang dengan secara senyap-senyap, memiliki anak perempuan yang memahami, rakan-rakan setiawan yang sanggup berkorban melibatkan diri dalam risiko berdepan masalah dengan pihak berkuasa. Watak hero yang sanggup memaafkan dan menaruh belas kepada pihak lawan atau anti-hero, atau antagonis.

Siapakah musuh dalam cerita ini? Mungkin ketamakan seorang pedagang gelap yang menjual barang-barang teknologi atau seorang gadis yang terdesak untuk menyelamatkan nyawanya sendiri dengan merompak rakan-rakan kepada hero? Mungkin juga pihak FBI yang sentiasa memberi ancaman terhadap usaha hero dan rakan-rakannya untuk menyelesaikan misi menyelamat mereka. 

Kisah-kisah dalam Ant-Man and The Wasp boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian. Pertama Scott yang perlu bertahan untuk tidak keluar dari rumahnya kerana masih di dalam pengawasan pihak berkuasa namun baki tiga hari itu sangat mencabar apabila Hope meminta bantuannya dan untuk membantu Hope, Scott perlu melanggar syarat-syarat yang boleh menyebabkan dia dipenjara selama 20 tahun. Kedua, kisah Hope dan ayahnya yang ingin menyelamatkan ibunya dari alam kuantum tetapi menghadapi halangan daripada Ghost dan juga Sonny, seorang pedagang gelap yang ingin merampas dan melelong makmal berteknologi canggih mereka. Ketiga, kisah seorang profesor yang dipecat oleh Dr. Hank Pym, iaitu Bill Foster yang ingin menyelamatkan nyawa Ghost tetapi mereka perlu merampas makmal Dr. Hank Pym. Pada masa yang sama Sonny bekerjasama dengan seorang  pegawai FBI untuk menangkap Hope dan Dr. Hank Pym.

Persoalan kepada kisah-kisah di atas adalah seperti berikut. Pertama, berjayakah Scott atau Ant-Man membantu Dr. Hank dan Hope menyelamatkan ibu mereka tanpa dikesan oleh pihak FBI? Kedua, berjayakah Dr. Hank dan Hope menyelamatkan Janet selepas diganggu oleh Sonny, Ghost dan pihak FBI? Ketiga, berjayakah Bill Foster menyelamatkan nyawa Ghost yang terancam kerana bencana kuantum? Inilah tiga plot utama yang memberi nafas kepada filem Ant-Man and The Wasp ini.

Tidak ada sesuatu yang kelihatan baru dalam filem Ant-Man and The Wasp, tetapi ia adalah tetap sebuah filem yang boleh ditonton dan tidak merugikan wang membeli tiket. Ada beberapa kelemahan dalam cerita ini seperti jika Scott mendakwa dia kepenatan dan terpaksa tidur selama tiga hari selepas menjadi gergasi tetapi kali ini selepas beberapa kali menjadi gegasi dia masih kelihatan bertenaga. Mungkin ada penjelasan dari segi saintifik atau fiksyen-saintifik oleh para peminat tegar filem ini nanti untuk menyokong perbezaan fakta visual tersebut.

Jangan terkejut jika The Wasp kelihatan lebih handal berbanding Ant-Man disebabkan latar belakang The Wasp itu sendiri yang lebih rapat dengan situasi kehidupan adiwira berbanding Ant-Man yang merupakan mangsa bidang terjun dalam profesion adiwira.

Bagi pengikut-pengikut filem adiwira Marvel, anda akan didedahkan dengan jawapan kenapa Ant-Man tidak dapat membantu Avengers dan sekutunya yang lain dalam memerangi tindakan berasaskan falsafah perjuangan Thanos dalam filem Infinity War.

Jalan cerita Ant-Man adalah mudah dihadam dan plotnya memang ditulis dengan mudah. Namun plot yang mudah biasanya memerlukan keringat dan kreativiti yang tinggi untuk dijadikan skrip filem yang mampu menarik penonton ke panggung. Aksi-aksi pertempuran dan kesan khas yang menarik akan membuatkan para penonton terhibur selain aksi komedi yang sekali-sekala menjadi penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi. Ya, itu adalah kecenderungan yang menjadi tabiat dalam kebanyakan filem Marvel di mana aksi komedi merupakan jalan pintas untuk menyelesaikan masalah. Komedi, aksi lucu boleh mendatangkan situasi tidak terjangka yang menyebabkan gangguan tumpuan dan menyelamatkan keadaan.

Ahad, Julai 01, 2018

Ulasan Filem Incredibles 2 (2018)


Filem Animasi Incredibles 2 mempunyai plot yang menarik, watak Helen atau Elasticgirl dikembangkan dengan bijak. Kuasa Elasticgirl dimainkan dengan sangat kreatif dan bijaksana. Pada awal cerita, Incredibles mengisahkan tentang Violet, anak gadis keluarga adiwira Incredibles, yang mengalami masalah percintaan sebelum si suami, Bob memegang tanggungjawab penuh sebagai ibu bapa, menjaga ketiga-tiga orang anaknya. Dash yang masih kanak-kanak menyinggung perasaan Bob dalam Matematik yang semakin sukar peringkat pembelajarannya. Jack-Jack, anak yang bongsu dan masih bayi pula mula mampu menggunakan pelbagai kuasa adiwira dan terlampau aktif berkeliaran di serata rumah. Ini menambahkan tekanan buat si bapa.

Sejak aktiviti adiwira diharamkan, kebanyakan adiwira menyembunyikan diri daripada pihak berkuasa. Seorang hartawan yang bijak bersosial berpasukan dengan saudara perempuannya yang pintar dalam merekacipta peralatan teknologi, merancang strategi untuk membuka mata masyarakat tentang kepentingan adiwira, meneruskan legasi bapa mereka yang dibunuh oleh penjenayah. Konflik bermula dari sini, menyelit dalam diam menyembunyikan jawapan bagi misteri dan teka-teki untuk dibongkarkan oleh Helen. Brad Bird ternyata pintar mengatur plot.

Kedua-dua beradik hartawan bekerjasama dengan Elasticgirl untuk membina semula reputasi adiwira dan kepercayaan masyarakat. Mereka berjaya, tetapi pada masa yang sama seseorang merancang untuk menggunakan kepercayaan pemimpin masyarakat terhadap adiwira sebagai jerat untuk menjatuhkan terus adiwira dan menggagalkan impian legasi mendiang bapa hartawan tersebut. Brad Bird selaku pengarah dan penulis cerita ini, berjaya mewujudkan sekuel yang menarik. Ketangkasan dan aksi Elasticgirl dalam filem animasi ini dijangka mampu mencipta peminat-peminat tegar terhadap watak srikandi tersebut. Jika Alice dan Lara Croft memiliki peminatnya sendiri, begitu juga potensi daya tarikan yang dimiliki oleh watak Helen ini.

Incredible 2 adalah filem animasi aksi adiwira yang menarik dan seronok untuk ditonton. Ia berjaya menarik pesona penonton terhadap watak adiwiranya, aksi yang mendebarkan, selain simpati terhadap si bapa dan gelagat adiwira comel yang mencuit hati.

Sabtu, Jun 30, 2018

Cara Menjana Pendapatan Menerusi Facebook


Facebook pernah sekali merudum tetapi bangkit semula dengan kemudahan-kemudahan baru yang sesuai dengan kehendak netizen. Sudah berbelas tahun, Facebook masih sesuai dengan peredaran zaman. Fungsi sudah berubah. Bukan lagi sekadar laman sosial tetapi juga laman yang menempatkan tapak pengenalan dan aktiviti bagi beribu-ribu syarikat besar dan syarikat kecil. Sudah nyata Facebook memiliki kesesuaian untuk dijadikan sebagai tapak memulakan bisnes bagi netizen.

Netizen adalah seorang manusia yang menghabiskan kebanyakan masanya melayari internet. Aktiviti kehidupannya juga berkaitan dengan internet. Mencari pekerjaan dan upah menerusi internet. Membeli-belah menerusi internet. Jika satu hari tidak melayari internet, tidak sempurna hidupnya pada hari tersebut. Jadi apa salahnya, netizen berniaga menerusi internet? Satu idea yang sangat bijak.

1. Menjual Barang-barang Lama atau Terpakai Menerusi Facebook Marketplace

Sebelum ini ada Craiglist yang menyediakan perkhidmatan membantu orang menjual barang-barang terpakai tetapi caranya lebih sukar berbanding Facebook Marketplace. Terdapat banyak kumpulan di Facebook yang membantu para peniaga dalam talian untuk maju dalam bisnes menerusi internet. Mudah mencipta jaringan, mencari pelanggan dan rakan kerjasama.

2.  Bekerjasama mempromosi jualan menerusi Affiliate Marketing dan Dropship

Banyak syarikat perniagaan bekerjasama dengan pengguna Facebook untuk melaksanakan 'affiliate marketing' dan 'dropship'. Setakat ini dikesan ramai 'Independent Director' yang mewakili syarikat-syarikat tertentu untuk melariskan jualan. Fungsi asal Facebook untuk merapatkan hubungan teman-teman yang jauh, ditambah dengan kebolehan memuatkan foto dan video menjadikan Facebook sebagai salah satu tapak berkesan untuk mempromosikan sesuatu produk. Anda bantu syarikat-syarikat ini menjual produk-produk mereka, anda mendapat komisen.

3. Bekerja sebagai Pengurus Media Sosial

Anda boleh melabur dalam bidang pengurusan media sosial sebagai peluang untuk menjadi pengurus media sosial bagi profil-profil syarikat atau individu yang berpengaruh. Ia merupakan satu cara yang membolehkan anda bekerja secara terus dari skrin komputer anda di rumah, membantu meningkatkan hubungan dan jaringan syarikat atau individu tersebut dengan seluruh dunia.

Kebanyakan orang menganggap, duduk di depan komputer atau bercermin muka di depan telefon pintar atau tablet itu membuang masa. Masa itu emas. Gabungkan hobi dan kepakaran anda untuk menjana kewangan. Ia satu usaha yang sangat berguna pada masa akan datang. Kita tidak selamanya muda.

Cara-cara Mengembalikan Populariti Blogger - Zaman Gemilang Blogger

Suatu ketika dahulu, membina laman web adalah satu kerja sukar. Tidak ramai orang mahir dengan kod-kod HTML untuk membina laman web persendirian. Kemudian muncul Blogger, Blogdrive, Wordpress dan lain-lain perkhidmatan yang menawarkan peluang mewujudkan laman web sendiri. Mereka menjadi popular sebagai seorang blogger.

Era blog menyerlah pada awal abad ke-21 dan dikatakan semakin malap di beberapa negara selepas kewujudan Facebook, Instagram dan lain-lain aplikasi yang memudahkan manusia meluahkan perasaan dan pendapat mereka. Satu demi satu blogger hilang populariti.

Konsep blog sebagai laman informasi masih relevan. Apabila kita menulis blog, tidak semestinya orang akan datang ke blog kita. Kebanyakan orang berfikir begitu. Ini adalah kesilapan besar sebagai seorang blogger, melainkan anda menulis blog sebagai satu aktiviti suka-suka untuk meluahkan perasaan atau pendapat bagi tatapan rakan-rakan yang dekat dengan diri anda sahaja.

Bagaimana membina sebuah blog yang baik dan dikunjungi ramai?

1. Hasilkan sedikit isi kandungan blog yang berkualiti lebih baik daripada menghasilkan banyak isi kandungan yang sia-sia.

Orang tidak akan membuang masa datang ke blog anda untuk membaca apa yang anda tulis tetapi apa yang anda ingin sampaikan. Zaman sekarang zaman orang mengejar masa. Mereka datang ke blog anda bukan kerana anda tetapi kerana apa yang anda berikan.

Isi kandungan blog yang diminati ramai adalah berkenaan keperluan. Apa yang orang perlukan, anda sediakan maklumat untuk mereka. Apa yang orang lebih perlukan, anda nyatakan pandangan dan pendapat anda tentang pilihan yang terbaik bagi sesuatu keperluan untuk panduan mereka. Ada banyak telefon pintar, telefon pintar mana yang paling sesuai untuk mereka? Tuliskan pandangan anda berdasarkan pelbagai rujukan yang boleh dipercayai dan pengalaman sebenar sekiranya ada.

2. Pastikan blog anda mudah dicapai dan mudah dilayari. Mesra pengguna.

Blog yang lebih ringkas dan cepat dengan rekabentuk yang menenangkan lebih mudah untuk didekati pembaca. Kelajuan internet perlu diambil kira. Zaman kini, blog bukan lagi diakses menerusi komputer, tetapi juga menerusi telefon pintar. Ambil kira faktor fleksibiliti rekabentuk paparan supaya orang boleh mengakses blog anda dengan mudah dalam pelbagai jenis gajet.

3. Setiap blog memiliki identiti sendiri. Blog perlu ada jenama.

Blog yang ada jenama lebih mudah diingati. Blog yang ada identiti lebih mudah dipromosikan dan pengunjung tetap akan suka untuk menjadikan blog anda sebagai rujukan kepada orang lain. Pelanggan akan datang ke kedai yang sama untuk menikmati makanan yang sama. Jika ada makanan yang mereka suka, mereka mungkin akan beritahu kepada rakan-rakan yang lain atau ajak rakan-rakan mereka datang ke kedai itu. Perkara yang sama berlaku pada blog.

4. Set minda blog sebagai satu perniagaan dan penjana pendapatan.

Blog yang memiliki populariti memiliki matlamat dan misi. Ini bermaksud blog tersebut sentiasa diisi dengan tulisan-tulisan yang dihasilkan berdasarkan tugasan. Tugasan itu mungkin datang dari diri sendiri dengan tujuan menjana keuntungan menerusi pengiklanan di blog seperti surat khabar dan majalah, atau menerima tugasan daripada syarikat atau individu tertentu sebagai kerja sampingan. Apabila seorang blogger ada sifat serius sebagai blogger, mereka akan mula ada matlamat dan merancang tugasan. Apa yang akan anda tulis selepas ini di dalam blog?

Kebanyakan orang yang membaca tulisan ini tidak akan melakukan apa-apa tindakan. Ini amat menyedihkan. Cuma segelintir yang akan bertindak melakukan perubahan terhadap blog mereka. Jika anda ingin mengembalikan kegemilangan dan populariti blog anda, bermulalah dari sekarang. Ia bukan kerja mudah tetapi ia boleh dilaksanakan.




Jumaat, Jun 29, 2018

Ulasan Filem Sicario: Day of the Soldado


Apabila Amerika diserang, Amerika melatah. Lalu Pentagon bertindak membalas dendam, mengatur taktik dalam diam. Musuh dikesan, mereka mula mencari jalan untuk menghapuskan musuh. Musuh berada di negara jiran, Amerika harus berjaga-jaga kerana lebih 52 juta rakyat mereka berada di negara tersebut. Sekali lagi Amerika bermain kotor, begitu asyik karyawan Barat mengkritik kerajaan mereka secara terbuka.

Amerika mula merancang melaga-lagakan musuh dengan musuh yang lain, menjadi batu api dalam diam. Menculik puteri seorang maharaja kartel di Mexico, dan membiarkan kes berkenaan menjadi punca tercetusnya peperangan antara kartel. Seorang pembunuh upahan sedar dia mungkin menjadi mangsa kambing hitam. Langkah bijak diambil, mengatur seorang pemuda yang kelihatan mentah sebagai kunci penyelamat nyawa pada kemudian hari.

Saya pernah menonton Sicario yang pertama, dan saya sukakan jalan ceritanya yang gelap dan penuh dengan kelicikan. Dalam dunia di mana undang-undang dimanipulasikan oleh politik, watak-watak utama perlu bijak mencari jalan keluar daripada jerat dan perangkap makan tuan yang dirancang oleh para pengatur kehidupan. Sicario 2 mengulangi kesan kegelapan tersebut.

Cuma yang mahir dengan seni tembakan, mampu bermain dengan muslihat nyawa. Yang hidup kelihatan mati, kemudian bangkit semula dengan anak didik yang baru. Kawan boleh menjadi lawan, tuan boleh mengkhianati dan yang diupah boleh ditelan atau dibuang begitu sahaja. Watak-watak utama perlu bijak mengatur perkataan, menjangkakan senario paling buruk yang bakal dihadapi untuk terus hidup.

Sicario 2 adalah filem aksi pertempuran berkaitan dengan sediakan payung sebelum hujan. Dendam boleh dibalas dengan budi, segala-galanya adalah di luar jangkaan. Kepentingan dan prospektus harus dinilai dengan teliti, tidak ada keputusan boleh dibuat secara mentah, atau ajal menanti dengan mudah.

Filem aksi Sicario 2 sesuai untuk mereka yang suka berfikir, dengan pemutaran plot yang senang difahami. Dalam aksi masih ada pengajaran yang boleh diserap secara logik, tidak semua perkara boleh diselesaikan dengan karma, sesetengahnya memerlukan rasional dan mengutamakan pelaburan dalam kehidupan. Mari berbincang tentang masa depan, kemudian barulah mengatur perancangan.

Selasa, Jun 26, 2018

Ulasan Filem Adrift (2018)


Filem Adrift adalah berdasarkan kisah benar, seorang wanita yang bernama Tami Oldham yang merupakan seorang pelayar. Dalam satu tugasan menghantar sebuah kapal layar bernama Hazana balik ke San Diego dari Tahiti, dia dan kekasihnya, Richard Sharp ditimpa bencana, dan Tami hanyut di tengah lautan selama lebih satu bulan.

Apabila sebuah filem itu didasarkan daripada kisah benar, maka sukar untuk mengulas plotnya kerana ia adalah filem tentang sesuatu yang pernah benar-benar berlaku, tentang tragedi yang menimpa manusia yang tidak sepatutnya kita persoalkan.

Oleh itu, bagaimana anda yang membaca ulasan ini mampu mengharapkan sesuatu yang panas atau kontroversi, atau provokosi minda yang mampu membuatkan kita berkata penulis skrip dan pengarahnya perlu mampu menzahirkan jalan cerita yang lebih baik dan mengesankan?

Watak utamanya, Tami adalah seorang yang kuat semangat. Biarpun begitu, Tami tidak terlepas daripada ditakluki halusinasi. Namun halusinasi itu juga umpama satu motivasi menerusi harapan yang menyebabkan Tami berjaya selamat tiba ke daratan dengan bantuan pelayar-pelayar yang ditemuinya di tengah laut.

Ini bukan kali pertama saya menonton filem tentang wanita yang kuat mahu terus hidup biarpun sendirian di tengah laut. Sebelum ini ada filem The Shallows yang mengisahkan tentang seorang peluncur ombak yang diancam jerung gergasi.

Filem Adrift diselangi dengan emosi romantik menerusi babak-babak imbas semula tentang kisah cinta antara Tami dan Richard. Biarpun jarak usia mereka agak jauh tetapi Tami ternyata seorang insan yang memiliki cinta sejati. Minat yang sama menyebabkan mereka mampu mengharungi beribu-ribu batu, menerokai lautan luas membiru.

Sepanjang menonton filem ini anda akan dikesankan dengan kisah cinta, kesedihan dan rasa kasihan terhadap watak utama. Menonton filem ini ibarat satu penghormatan, menghargai kehidupan seseorang, menyelami secara empati visual tentang seseorang.

Filem ini dihasilkan pada tahun berlainan dengan Everest tetapi garapannya visualnya adalah hasil titik peluh penerbit yang sama dengan filem tersebut. Perjalanan filem ini diiringi dengan runut bunyi yang dihasilkan oleh Hauschka, calon penerima Anugerah Akademi.

Jika anda ingin menghayati sebuah filem tentang tragedi seorang pelayar wanita. Ini adalah antara filem yang anda ingin simpan di dalam koleksi. Anda mungkin dilanda sedikit perasaan murung selepas menonton filem ini, namun itu bagus untuk anda, menunjukkan anda memiliki perasaan sebagai seorang manusia.

Ulasan Filem Hereditary


Hereditary adalah filem seram. Sebuah filem seram yang penuh drama, mencungkil rasa simpati, murung dan empati dalam diri anda untuk berasa belas kasihan terhadap watak-wataknya. Sukar dipastikan siapa watak utama pada permulaan cerita jika anda bukan penonton filem yang mahir.

Pada permulaan cerita, watak anak gadis dipaparkan sebagai watak utama. Seorang manusia lemah yang alergik dengan kacang dan dilanda perasaan murung selepas kematian nenek kesayangan.

Kemudian, anda akan mula dirapatkan dengan watak si ibu dan anak lelakinya. Dua watak yang berkonflik kerana kisah silam, rahsia yang terbongkar kerana tekanan demi tekanan yang melanda kehidupan keluarga tersebut.

Pada akhirnya si anak lelaki dan si ibu mendominasi jalan cerita sebelum pada akhirnya anda menyangka filem ini akan kekal sebagai karya yang sangat menarik yang bakal menang anugerah sehinggalah ke babak terakhir.

Babak terakhir kurang dramatik, biarpun menjelaskan segala muslihat dan perangkap yang disengajakan pada pertengahan cerita. Tidak dapat dimaklumkan dengan lebih jelas di sini kerana dikhuatiri akan memusnahkan perasaan ingin tahu.

Filem ini diklasifikasikan sebagai untuk tonton 18 tahun ke atas kerana babak ngeri dan bogel yang dipaparkan secara nyata. Ia filem bertemakan kekeluargaan dengan watak-watak utamanya menjadi mangsa perbuatan generasi sebelumnya yang percaya kepada ajaran sesat. Ia adalah sebuah filem tentang pemujaan dan mangsa-mangsa yang khusus dijadikan korban demi menjayakan pemujaan tersebut. Pemujaan yang bertujuan membangkitkan salah satu Dewa Neraka yang dipanggil Paimon.

Filem ini mempunyai Hook yang cukup baik, dengan latar konflik yang kemas sehingga saya fikir ia mungkin berpotensi untuk memenangi anugerah, tetapi semua itu dimusnahkan dengan babak akhir yang kurang kemas. Namun begitu ini adalah filem yang sangat menyentuh emosi.

Sebuah filem seram yang mempunyai suasana seram dan dramatik, mampu membuatkan anda lupa seketika dunia nyata.