BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Ogos 12, 2018

Ulasan Filem Hantu Kak Limah (2018)


Bukan sekali dua pelakon yang pernah mengisi ruang dalam babak-babak filem Mamat Khalid meninggal dunia. Kali ini Yeh Sekupang (Khalid Samsuri atau Rab Khalid) pula meninggal sebelum filem ini ditayangkan. Al-Fatihah.

Seperti biasa, filem francais komedi seram Kampung Pisang akan sentiasa padat dengan teguran dan sindiran tersirat dalam kisah-kisahnya. Tema utama adalah tentang fitnah atau khabar angin, diselangi dengan dialog-dialog tersirat berkaitan situasi politik semasa di negara ini.

Filem Hantu Kak Limah masih mengekalkan kebanyakan watak seperti Husin, Kak Limah, Anak Si Mamat dan lain-lain watak. Setiap watak ada ceritanya. Setiap cerita akan kembali semula dengan kewujudan Hantu Kak Limah yang dikatakan mengganggu kampung. Adakah benar Kak Limah sudah meninggal dunia? Jika benar Kak Limah sudah meninggal dunia, siapa pula yang menjadi Hantu Kak Limah?

Bukan mudah untuk mendapatkan tiket Hantu Kak Limah. Panggung sentiasa penuh. Filem arahan Mamat Khalid ini sentiasa padat dengan lawak jenaka dalam setiap babaknya. Sememangnya pengarah filem telah memaklumkan bahawa tujuan filem Hantu Kak Limah ini dihasilkan adalah untuk menghiburkan penonton dengan lawak jenaka.

Penonton tidak berhenti-henti ketawa, termasuk anak kecil yang ketawa tidak berhenti-henti selepas menyaksikan beberapa babak dalam filem ini. Jika anda ingin ketawa, filem Hantu Kak Limah boleh membantu anda untuk ketawa.

Filem Hantu Kak Limah adalah filem yang rapat di hati rakyat Malaysia. Jenakanya adalah jenaka yang sesuai dengan jiwa tempatan. Permainan visual dan teknik perfileman untuk menggambarkan satu-satu suasana dimainkan dengan baik.

Nayan, lakonan Ropie, adalah antara watak yang paling disukai penonton. Setiap kata-katanya mampu menggeletek para penonton. Beliau juga ada datang ke TGV Cinema AEON Tebrau pada 11 Ogos 2018 lepas. Jika bukan beliau yang datang, siapakah pula yang datang? Suasana akan menjadi cukup seram jika itu bukan Ropie.

Ulasan Filem The Meg (2018)


Megalodon adalah haiwan prasejarah, mamalia laut yang sangat besar. Rahangnya sangat kuat sehingga mampu menggigit seekor ikan paus sehingga terputus dua. Dalam filem The Meg, haiwan raksasa ini mengganas selepas manusia menceroboh habitatnya. The Meg yang terkepung di dasar lautan dalamyang dipisahkan dengan lapisan sejuk, berjaya mencari jalan keluar selepas kapal selam ciptaan manusia sendiri yang menyebabkan lapisan itu bocor seketika.

Sedikit elemen Fast & Furious disuntik ke dalam babak-babak aksi dalam filem ini, perlumbaan antara Megalodon dengan manusia. Ramai orang suka menonton filem raksasa ganas. Barisan pelakon mahal yang membintangi filem ini menaikkan lagi daya tarikan filem The Meg ini.

Mesej yang disampaikan dalam filem ini adalah tentang manusia sebagai hidupan yang suka melakukan aktiviti teroka dan musnah (discovery and destroy). Berbaloikah manusia mencipta teknologi yang canggih untuk meneroka alam sekitar dan kemudian memusnahkannya kerana ancaman yang dihadapi selepas pertembungan dengan penghuni habitat tersebut?

Rabu, Ogos 08, 2018

Ulasan Filem The Presence (Thailand-2018)


Filem The Presence (2018) adalah filem seram romantik dari Thailand dengan sedikit suntikan komedi. Judul filem ini sama dengan sebuah filem seram Barat yang pernah ditayangkan di layar perak sekitar tahun 2010. Filem ini mengangkat satu budaya misteri tentang kewujudan hantu yang dianggap Tuhan, Phaya Than.

Filem ini adalah berdasarkan kisah benar, inspirasi daripada kisah penyembahan Tai Choi dan  Phaya Phaya Dun. Phaya bermaksud Tuhan. Setiap generasi akan ada satu anggota keluarganya, mewarisi sesuatu daripada generasi terdahulu. Konsep yang mirip pewarisan saka atau hantu raya dalam budaya Melayu di Malaysia.

Dalam konsep pewarisan hantu, selagi tidak ada pewaris, selagi itulah jasad perumah akan hidup. Disebabkan hal ini, watak utama, iaitu Om, sering diseru menerusi mimpi-mimpi ngeri supaya kembali menemui neneknya di Dong Luang Mukdahan. Ini adalah cara syaitan memancing dan menggoda mangsanya untuk dirasuk, menjadi perumah yang baru.

Mengapa Phaya Tan dianggap sebagai tuhan? Kisah yang dikatakan bermula dari Vietnam ini, mengubah konsep hantu kepada tuhan apabila hantu mampu mengubati orang sakit. Dahulunya roh nenek moyang, yang dipuja selama beberapa generasi sebagai tuhan kerana memberi kebaikan dan perlindungan kepada anak cucunya.

Dengan elemen-elemen lawak yang meredakan keseraman dan pengejut jantung dalam cerita ini, cerita The Presence cuba menimbulkan persoalan demi persoalan kepada para penonton. Tawa penonton bertukar menjadi hening, apabila penonton mula memikirkan cerita ini sebenarnya tentang apa dan tentang siapa?

Kejutan dalam filem ini sebenarnya adalah kisah yang biasa kita dengar, tetapi ia lebih kepada roh-roh yang menanti pewaris Phaya Than. Selama lebih belasan tahun, satu misteri yang berkaitan dengan tragedi sebuah keluarga akan dibongkar pada penghujung cerita.

Ia adalah filem tentang cinta sejati yang dilangsungkan dengan perpisahan sepasang kekasih. Lagu pada pengakhiran membayangkan tentang harapan bahawa cinta itu boleh dilanjutkan dalam kehidupan yang akan datang.

Babak tarian pemujaan yang dipaparkan pada pengakhiran cerita, menjelaskan tujuan sebenar filem ini dihasilkan. Filem yang juga bertujuan mempromosikan kebudayaan dan pelancongan di Thailand ini bermula dengan babak romantik antara dua kekasih yang akan memberi jawapan, dipulas seratus lapan puluh darjah daripada janji-janji yang diharapkan.

Ia bermula dengan babak romantik, seram dan komedi. Ia berakhir dengan tragedi.

Ahad, Ogos 05, 2018

Ulasan Filem The Spy Who Dumped Me (2018)


The Spy Who Dumped Me barangkali alternatif untuk filem The First Purge sekiranya anda tidak sempat membeli tiket pada hari tersebut. Ia sebuah filem aksi berdarah tetapi pada masa yang sama mengandungi unsur komedi yang boleh buat anda ketawa di sepanjang cerita. Barangkali boleh disamakan dengan filem Kingsman.

Dua orang wanita secara tidak sedar menjadi orang penting dalam perebutan antara beberapa pihak yang ingin merebut sebuah pemacu data yang disembunyikan di dalam trofi. Ada data penting di dalam trofi tersebut yang boleh menyebabkan keselamatan orang ramai terancam.

Disebabkan satu misi yang diarahkan oleh teman lelakinya, kedua-duanya semakin terjebak dan menjadi buruan beberapa pembunuh upahan. Maka bermulalah sebuah filem aksi dengan dua orang wanita menjadi hero.

Dilabelkan sebagai filem 18 tahun ke atas kerana unsur-unsur lucah yang ketara, yang disampaikan sebagai satu bentuk komedi di sepanjang cerita. Ya benar, ini filem lawak lucah dan lawak berdarah. Kate McKinnon, pernah beberapa kali menjadi pemenang anugerah pelakon komedi sememangnya berjaya mencuit hati para penonton.

Jika seorang pemenang anugerah komedi berlakon dalam filem komedi aksi, filem itu tentu filem yang menarik dan mencuit hati.

Sabtu, Ogos 04, 2018

Ulasan Filem The First Purge (2018)


The First Purge adalah satu lagi filem genre pembasmian dalam siri Purge. Filem tentang idealogi mengurangkan populasi manusia dengan cara membenarkan manusia membunuh sesama mereka. The Purge dianggap sebagai satu cara membasmi masalah pengangguran, kemiskinan dan kebuluran di dunia. Dalam filem The Purge, Amerika menjadikan pembasmian manusia ini sebagai satu budaya, satu aktiviti tahunan di mana manusia di satu-satu lokasi dibenarkan membunuh secara bebas dengan kelas-kelas senjata tertentu selama 12 jam.

Filem The First Purge berjaya menarik ramai penonton ke panggung. Biarpun dikategorikan sebagai filem 18 tahun ke atas, tempat duduk sentiasa hampir penuh. Apakah yang menyebabkan manusia berminat menyaksikan The First Purge? Sudah tentu kerana idea gilanya.

Berbanding filem-filem The Purge yang sebelumnya, The First Purge paling menarik perhatian saya apabila watak Raja Dadah menjadi wira masyarakat, pada ketika pemimpin mula menjadi syaitan. Persaudaraan antara Raja Dadah, Dmitri dengan pengikut-pengikutnya, dipaparkan dengan jelas dalam cerita ini.

Watak Skeletor tenggelam sebagai villain. Pertarungan sebenar adalah antara Dmitri dengan arch-villain, seseorang yang ditugaskan untuk melakukan provokasi secara senyap bagi menggalakkan semua penduduk yang terlibat sebagai peserta untuk melakukan pembasmian.

Sebuah filem yang menarik, dengan babak-babak di mana pada mulanya ada orang yang tidak percaya bahawa manusia sanggup membunuh tanpa sebab, bertukar menjadi huru-hara. Adakah anda sanggup membunuh jika anda diberikan peluang untuk membunuh sesiapa sahaja selama 12 jam? Itulah tarikan dalam filem-filem francais The Purge.

Ulasan Filem Mamma Mia 2 - Here We Go Again (2018)


Filem Mamma Mia! Here We Go Again adalah sebuah filem tentang seorang anak gadis, Sophie yang ingin menjadikan impian mendiang ibunya, Donna, sebagai satu kenyataan. Sarat dengan imbas kembali zaman muda Donna yang baru tamat pengajian dan mengambil langkah berani memulakan kehidupan sendiri di sebuah pulau dengan tiga lelaki tampan yang merupakan ayah kepada Sophie.

Seperti Mamma Mia! yang pertama, sekuelnya ini turut mengulangi lagu-lagu ABBA dan kali ini lebih banyak dinyanyikan oleh Donna yang masih muda. Jalan ceritanya agak menyentuh hati, berkisarkan tentang kesetiaan dalam percintaan dan hubungan antara anak dengan ibu bapanya. Filem Mamma Mia! Here We Go Again melihat penyatuan keluarga besar.

Kemunculan Cher atau Ruby yang merupakan nenek kepada Sophie meningkatkan lagi keseronokan muzikal apabila Ruby menyanyikan lagu Fernando. Nyanyian Cher dan Andy Garcia memang mempesonakan. Vokal yang sangat hebat.

Secara jujurnya, pada mulanya saya rasa filem Mamma Mia! Here We Go Again ini adalah sebuah filem parodi kerana aksi lakonan dan babak-babak yang agak saya rasa agak kelakar di sepanjang cerita. Namun pada pertengahan cerita, watak-watak mula kelihatan berlakon dengan bersungguh-sungguh. Sehinggalah ke babak Ruby dan Fernando, filem ini entah kenapa menjadi sangat kelakar bagi saya. Bagaikan sebuah filem spoof.

Filem Mamma Mia! Here We Go Again, kekuatannya adalah pada lagu-lagu ABBA. Setiap jalan ceritanya dibina untuk membangunkan lagu-lagu tersebut dalam bentuk visual. Boleh dikatakan filem ini adalah didedikasikan untuk mendiang Donna, dengan seluruh ahli keluarga dan sahabat baik Donna muncul menyokong kewujudan hotel tersebut.

Tidak ada konflik yang ketara di dalam filem ini. Semua masalah diselesaikan dengan mudah pada penghujung cerita. Ia adalah filem muzikal santai, dengan latar warna biru, kuning dan putih di sepanjang cerita. Dan ya, babak Ruby dan Fernando adalah babak paling diingati sepanjang cerita ini. Tahniah Cher dan Andy Garcia kerana mempersembahkan babak tersebut dengan sangat menarik!

Ulasan Filem Siberia 2018


Keanu Reeves adalah salah seorang penerbit bagi filem Siberia. Kisah seorang pedagang berlian yang terjebak dengan dunia penjenayahan yang serba gelap. Filem ini boleh dikategorikan sebagai filem thriller romantik dengan pengakhirnya yang tragis. Saya jangkakan ramai penonton tidak menyukai bagaimana filem ini berakhir tetapi bagi mereka yang pro tentang hak-hak seorang isteri, barangkali inilah antara pengakhiran yang paling disukai.

Filem Siberia yang juga dilakonkan oleh Keanu Reeves, mengandungi unsur lucah yang agak ketara. Daripada seorang pedagang berlian, selepas terperangkap dengan penipuan dan pengkhianatan, sempat pula menjalinkan hubungan dengan seorang gadis Russia bernama Katya. Lucas membawa masuk budaya kuning dari Amerika ke Russia. Anehnya, adik-beradik lelaki Katya, yang bersifat terbuka, dapat menerima kehadiran Lucas biarpun Lucas tanpa sengaja, menyakiti hati Katya. Dialog popular Lucas terhadap Katya, "Adakah kamu sudah mula membenci saya sekarang?"

Ternyata Lucas sudah bersedia untuk dibenci. Namun Katya tidak membenci Lucas. Adik-beradik Katya sanggup memaafkan Lucas. Kedegilan Katya telah menjebakkan dirinya dalam dunia gelap pasaran berlian yang dilalui oleh Lucas. Adegan lucah bermula lagi, diselit dengan penyesalan dan perasaan tersinggung. Lucas menyesal membawa Katya ke St. Peterburg.

Sifat Lucas yang bukan seorang suami yang setia kepada yang satu, dibalas pada penghujung cerita dengan satu babak mengejut. Apakah babak yang mengejut tersebut? Ia membuatkan penonton rasa kecewa, melihat mata Lucas terbeliak besar di penghujung cerita sebelum skrin gelap dengan tulisan putih memaparkan kredit, menandakan cerita sudah berakhir.

Filem Siberia, biarpun menjadikan Keanu Reeves sebagai bintangnya, tetapi ia tidak setanding dari segi aksi dengan filem John Wick. Pada permulaan cerita, barangkali ada penonton yang mengharapkan ada aksi atau kehandalan yang akan dipaparkan oleh watak Lucas, tetapi ternyata Lucas sekadar seorang manusia biasa yang lemah dan tidak begitu pandai bertempur. Kehebatan Lucas cuma pada wajahnya yang tampan dan mampu menarik perhatian wanita untuk jatuh hati dengannya, setia dengannya dan kekal setia biarpun disakiti.

Filem Siberia dianggap sebagai sebuah filem yang lemah tentang tujuan pengisahannya. Tidak ada kemahuan atau matlamat yang kuat. Apa yang dapat dilihat dalam filem ini secara kesimpulannya adalah tentang seorang pedagang berlian yang bermain kayu tiga, terjerat dengan janji-janji beberapa kumpulan penjenayah dan berakhir dengan musibah yang mengejutkan tetapi dirasakan bagus bagi sesetengah pihak. Padam muka kamu, Lucas!

Ulasan Filem The Cured 2018


The Cured adalah filem drama seram, tentang seorang adik ipar yang menyimpan rasa bersalah terhadap kakak iparnya. Atas dasar kepercayaan keluarga akan dapat menerimanya kerana apa yang dilakukan terhadap suami kakak iparnya berlaku dalam keadaan di mana dia tidak dapat mengawal dirinya, Senan (watak utama) memberanikan diri untuk kembali ke rumah, selepas berjaya dipulihkan daripada sejenis penyakit yang menyebabkan penghidapnya menjadi kanibal ganas, seperti zombi.

Masyarakta dunia ternyata tidak dapat menerima kehadiran golongan The Cured, kerana dendam atas apa yang dilakukan mereka terhadap ahli-ahli keluarga mereka. Komuniti The Cured yang rasa tersisih mula merusuh, membentuk satu kumpulan pengganas dan memberontak.

The Cured barangkali adalah satu lagi genre baru yang dilihat dalam filem-filem Barat selain Hotel Artemis. Genre tentang golongan bekas zombi yang berjaya dipulihkan yang ingin membela nasib mereka daripada kecaman dan penindasan masyarakat manusia yang normal.

Filem The Cured juga tidak sesuai untuk pesakit jantung, kerana unsur-unsur mengejut dalam keheningan jalan ceritanya yang penuh sayu. Ia sesekali membuatkan anda rasa tenang atau termenung, dan sesaat kemudian kejutan yang boleh menggegarkan jantung melanda. Filem The Cured boleh dikategorikan sebagai filem drama seram thriller, kerana unsur-unsur penjenayahan, pengganas dan juga unsur-unsur seram.

The Cured sarat dengan penyesalan dan kesedihan. Ia bermula dengan kesedihan dan ia juga berakhir dengan kesedihan. Disebabkan jalan ceritanya yang sebegitu, seperti tagline 'The Cure Is Just The Beginning', ada kemungkinan filem ini ada sekuelnya, seperti filem 28 Days Later, 28 Weeks Later dan seumpamanya.


Rabu, Ogos 01, 2018

Ulasan Filem PULANG (2018)


Pulang adalah sebuah filem Kabir Bhatia. Pengarah filem yang pernah menghidupkan drama Kekasihku Seru dan Nur Kasih, dua drama bersiri yang sangat popular. Nur Kasih menjadi drama paling cemerlang dalam sejarah Malaysia apabila berjaya menarik tontonan tertinggi. Filem Nur Kasih yang ditayangkan 8 tahun kemudian turut mencatat kejayaan yang sama.

Karya Kabir Bhatia mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Sinematografi yang sangat indah. Setiap babak memaparkan permainan kamera. Keindahan pantai, perkampungan nelayan dan lautan dipaparkan dengan sangat cantik dan menarik.

Kemudian, muncul para pelakon yang terpilih, dengan lakonan dan dialog yang penuh menyentuh emosi. Itulah apa yang sering dijangkakan daripada karya filem Kabir Bhatia.

Misteri. Ini antara elemen yang pasti. Jawapan disimpan dan dipendam, mencetuskan konflik sebelum akhirnya diurai pada detik yang sesuai. Kenapa Othman tidak mahu pulang selepas sekian lama belayar? Persoalan ini dimainkan sepanjang kisah, dan pembongkarannya menceritakan tentang dosa, salah faham dan penderhakaan yang mungkin langsung tidak dijangka oleh penonton. Siapakah yang menderhaka? Siapakah yang salah faham? Siapakah yang merahsiakan sesuatu?

Setiakawan, persaudaraan, kekeluargaan adalah antara elemen penting dalam setiap karya Kabir Bhatia. Kali ini dua manusia berbeza keturunan, Cina dan Melayu, ditemukan dengan takdir yang akhirnya menjadi kunci yang membuka peluang untuk menyatukan kedua-dua pasangan suami isteri tersebut tetapi adakah takdir membenarkannya?

Aksi. Babak pergelutan antara Othman dengan askar Jepun, dengan kelasi-kelasi asing di atas kapal dan bencana di lautan adalah antara elemen cemas yang cuba diadun dengan sinematografi bagi mempamerkan visual terindah.

Kesedihan, kesayuan dan jalan cerita yang mengharukan. Sebelumnya perlu diketahui bahawa filem ini adalah berlandaskan kisah benar sebuah keluarga nelayan Melayu. Isteri dan anak yang ditinggalkan suaminya selepas si suami bekerja di atas sebuah kapal, belayar mengelilingi dunia. Dapatkah si isteri menemui semula suaminya?

Filem Pulang memaparkan kelemahan manusia dalam pelbagai sisi kehidupan, biar sekuat mana pun cinta, sekuat mana pun kemahuan dan sekuat mana pun keazaman. Sudah naik pangkat, sudah naik gaji tetapi tidak mahu pulang?

Othman mampu pulang setiap kali ditimpa bencana tetapi kali ini, selepas jauh belayar dia tidak pulang-pulang. Menyedihkan. Ini adalah karya kisah benar, kesedihan yang dikongsikan oleh sebuah keluarga terhadap berjuta-juta keluarga yang lain. Ketika ulasan ini ditulis, barangkali filem Pulang sudah mencatat kutipan tiket sekitar tujuh angka. Filem ini mempunyai potensi ke arah itu. Sebuah karya yang cantik visual dan indah emosinya.





Ahad, Julai 29, 2018

Ulasan Filem Hotel Artemis (2018)


Hotel Artemis sebenarnya adalah sebuah hospital untuk penjenayah, dibiayai oleh seorang raja gangster yang menjadikannya sebagai satu bentuk pelaburan. Hotel Artemis ada peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi oleh ahli-ahlinya. Hotel Artemis bukan sebarangan hotel, ia tempat perlindungan untuk penjenayah-penjenayah yang telah membayar yuran keahliannya.

Dari mula hingga awal, berlatarkan tahun 2028, filem Hotel Artemis ini mengisahkan tentang kewujudan Hotel Artemis sejak 22 tahun lepas. Hotel Artemis dimulakan dengan kehadiran seorang jururawat yang bertugas sehingga kini (tahun semasa di dalam filem tersebut). Hotel Artemis membangun sebagai sebuah hospital untuk penjenayah yang berjaya, dengan benih dendam yang hanya bercambah 22 tahun kemudian.

Watak utama, Jean Thomas, dilakonkan oleh Jodie Foster, yang merupakan pelakon wanita yang sangat berpengalaman, dan dibantu oleh Everest, lakonan bekas ahli gusti Dave Bautista yang semakin menonjol wataknya menerusi filem-filem Marvel sebagai Drax. Jean Thomas adalah seorang wirawati dalam dunia perubatan, adalah bekas doktor. Pada mulanya beliau bertugas memberi perkhidmatan perubatan secara percuma kepada orang miskin sehinggalah anaknya ditemui mati di tepi laut, dikatakan terlebih mengambil dadah. Jean bertukar menjadi seorang yang murung dan pemabuk sehingga lesen perubatannya ditarik balik.

Tanpa masa depan, Jean ditemui dan dibentuk semula oleh Niagaria yang juga dikenali sebagai The Wolf King, yang merupakan ketua kumpulan penjenayah yang sangat kaya dan berkuasa sebagai jururawat penjenayah. Jika dunia orang baik tidak lagi menghargai bakat Jean sebagai doktor, maka biarlah Jean merawat penjenayah sahaja. Menolong orang dalam kesakitan adalah cita-cita suci Jean Thomas. Selama 22 tahun, Jean Thomas sentiasa menghidupkan harinya dengan lagu dan kata-kata positif.

Pada suatu hari Rabu, ketika California dilanda bencana rusuhan dan pertempuran, Jean Thomas tetap mengatakan ia adalah hari Rabu yang biasa. Bilangan penjenayah yang tercedera kerana mengambil kesempatan merompak meningkat. Hari Rabu tersebut mungkin bukan lagi hari Rabu yang biasa.

Apabila staf hotel melanggar peraturan, pelanggan hotel melanggar peraturan, pemilik hotel juga melanggar peraturan, maka Hotel Artemis menjadi huru-hara. Filem Artemis Hotel ini mempamerkan kehebatan Hotel Artemis sebagai sebuah kubu yang kuat untuk melindungi penjenayah tetapi kerana sifat penjenayah itu sendiri yang suka melanggar peraturan, akhirnya menenggelamkan kegemilangan Hotel Artemis.

Apakah yang akan dilakukan oleh Jean Thomas apabila mengetahui tentang pembunuh anaknya? Apakah niat-niat tersembunyi yang ada di kalangan tetamu-tetamu di Hotel Artemis? Jodie Foster menghidupkan watak Jean Thomas dengan baik.

Filem Hotel Artemis adalah sebuah filem penuh dengan aksi berdarah dan babak pembedahan. Ramai orang akan mati dibunuh termasuk pihak polis. Suasana suram di Hotel Artemis menjadikan cuaca yang cerah itu suatu perkara yang mustahil melainkan ingatan imbas kembali Jean Thomas terhadap anaknya yang telah meninggal dunia.

Filem Hotel Artemis adalah sebuah karya asli dengan tema sebegini, tema tentang hotel yang menjadi tempat perlindungan dan perubatan bagi para penjenayah dengan keahlian dan peraturan-peraturan tertentu. Filem lain yang mempunyai unsur penciptaan seperti Hotel Artemis, adalah Hotel Continental dalam filem John Wick.

Ada kemungkinan konsep Hotel Artemis dalam filem ini boleh dikembangkan lagi, mewujudkan sekuel atau prekuel, atau francais bagi filem-filem berkonsepkan pusat perlindungan dan perubatan bagi penjenayah.