BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Julai 29, 2018

Ulasan Filem Mission Impossible – Fallout (2018)


Filem Mission: Impossible – Fallout yang dibintangi oleh Tom Cruise sebagai Ethan Hunt, yang bekerja di bawah IMF, sekali lagi muncul dengan pelbagai aksi yang mustahil dari segi logik akal tetapi diwaraskan dengan pelbagai penyelesaian yang kreatif. Musuh akan kelihatan sentiasa diperbodohkan biar betapa bijak pun mereka menipu penonton.

Disebabkan filem aksi Mission: Impossible – Fallout ini memerlukan protagonisnya menyelesaikan masalah secara di luar kotak pemikiran yang biasa, maka dengan berfikir secara di luar kotak, maka setiap plot atau jalan ceritanya sudah dapat diramalkan. Siapakah John Lark, apakah Hunt akan bertindak mengikut arahan antagonis dan sebagainya, semuanya sudah dapat dibaca. Filem Mission: Impossible – Fallout menggunakan plot yang bodoh dan jalan ceritanya juga serba mustahil tetapi hero seperti biasa mampu menangani hukum fizik dengan baik untuk melepasi cabaran dan rintangan.

Ethan Hunt memang orang yang bertuah, sentiasa sahaja bernasib baik dalam berdepan dengan sebarang masalah. Konsep kuasa luar biasa Ethan Hunt mirip John McClane lakonan Bruce Willis dalam Die Hard atau Domino dalam Deadpool 2, sentiasa dapat terlepas daripada maut biar pun berdepan dengan pelbagai risiko bahaya.

Disebabkan watak hero Ethan Hunt dalam filem Mission: Impossible – Fallout akan sentiasa bernasib baik, maka Christopher McQuarrie sudah pasti bertindak bijak dengan menulis dan mengarahkan jalan cerita Mission: Impossible – Fallout dalam bentuk separa komedi. Komedi merupakan taktik baru yang dibudayakan dalam filem-filem Barat sebagai cara menutup 'loop hole' atau kelemahan dalam merangka jalan ceritanya. Nampaknya, dunia semakin dilanda krisis karya-karya berkualiti.

Filem Mission: Impossible – Fallout biarpun adalah sebuah filem aksi yang memiliki unsur komedi, turut diadun dengan kesedihan, kematian dan keperwiraan. Watak Ethan Hunt diulas menerusi dialog watak-watak yang lain sebagai seseorang yang tidak sanggup memilih kehidupan yang bahagia jika beliau mengetahui masih ada bahaya atau orang lain yang akan ditimpa kesusahan.

Ethan Hunt tidak akan mengorbankan satu orang demi menyelamatkan berjuta-juta orang yang lain. Ethan Hunt akan memikirkan cara untuk menyelamat semua orang. Ini sifat perwira yang menjadikan cerita ini sebagai sebuah cerita yang menarik untuk ditonton.