BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Jun 22, 2017

Kata-kata Positif Boleh Jadi Racun Terhadap Jiwa Anda

Kita semua dibesarkan dalam pelbagai budaya, cara, adat dan didikan yang berbeza. Namun ada satu persamaan yang kebanyakan daripada kita percaya adalah benar. Kata-kata boleh jadi satu bentuk doa yang mustajab. Istilah mulut masin, sumpahan dan sebagainya menghantui sesetengah daripada kita.
Kamu jadikan kata-kata positif sebagai motivasi untuk diri kamu. Kamu kata diri kamu rajin. Kamu bayangkan diri kamu hebat. Ada orang yang ingin jadi gagah perkasa, lalu dia kata kepada dirinya bertubuh tegap, berotot sasa, berketul-ketul dan mampu menumbangkan tiang letrik di depan rumahnya dengan sekali tolak. Namun dia tidak pernah pergi ke gimnasium, melakukan tekan tubi dan sebarang senaman yang dapat menjadikan otot-ototnya pejal dan sasa. Situasi ini menarik perhatian emosi negatifnya, lalu menafikan bahawa dia seorang yang perkasa.

Ada dua kesan buruk yang akan berlaku terhadap kamu, apabila kamu mengulang-ulang kata-kata positif terhadap diri kamu tetapi kamu tidak bertindak untuk melakukannya. Pertama, dalam kisah orang yang selalu mengatakan dirinya seorang yang gagah perkasa, dia hanya mengatakan sahaja tetapi dia tidak bertindak. Kata-kata itu umpama bisa yang telah ditawarkan, tidak lagi membawa kesan kepada dirinya. Dia tidak lagi terdorong dengan kata-kata tersebut. Tidak ada tindakan yang membawa kesan kata-kata tersebut ke atas dirinya.

Kedua, dia mungkin akan hidup dalam fantasinya sendiri. Termakan oleh kata-kata positif yang tidak kesampaian yang kerap diulang-ulang berbanding kekerapan melakukan usaha untuk merealisasikannya, minda orang itu akhirnya mencipta satu dunia yang unik dan sebenarnya menyeramkan untuk dirinya sendiri. Dia hidup dalam dunianya sendiri.

Kata-kata positif, kini menjadi racun buat dirinya. Kita mungkin sudah terbiasa dengan istilah Yin dan Yang, iaitu sesuatu yang berkenaan kuasa positif dan kuasa negatif. Dalam Islam kita diperkenalkan dengan istilah wasatiah atau kesederhanaan. Semua ini berkait rapat dengan konsep keseimbangan. Bukan alam sekitar sahaja yang memerlukan ekosistem yang seimbang. Bukan pemakanan sahaja yang perlu seimbang. Kita, manusia juga perlu makanan minda yang seimbang. Setiap harapan tersembunyi kebimbangan. Setiap keyakinan tersembunyi kewaspadaan.  Apa akan jadi jika kita terlebih yakin?

Setiap kata-kata positif perlu disusuli dengan perancangan yang realistik, dan usaha yang konsisten atau berterusan. Kuasa minda, minda positif dan sebagainya akan kekal sebagai sebuah bateri dalam sebuah kereta yang tidak ditekan pedal minyaknya jika tidak ada usaha yang berterusan untuk menggerakkannya sampai ke hala tuju yang diingini.

Sekian sahaja teguran daripada Amiene Rev untuk hari ini. Semoga pandangan ini membawa manfaat untuk anda semua.