BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Mac 29, 2016

Kisah Orang Gagal dengan Orang Berjaya

Kisah Gaga dan Jaja

Penulis Asal: Amiene Rev (C) 2016


Pada suatu hari, Gaga dan Jaja pergi memancing ikan. Kenapa Gaga memancing ikan? Gaga tidak tahu kenapa dia memancing ikan. Gaga cuma mengikut Jaja. Kenapa Jaja memancing ikan? Jaja ingin memancing ikan untuk dijual di pasar.

Cuaca panas terik. Gaga berasa rimas. Gaga ingin mengajak Jaja pulang, tetapi Jaja enggan. Jaja berasa seronok kerana dia memang suka memancing. Gaga tidak tahan dengan kepanasan matahari, lalu dia pun berhenti memancing dan duduk rehat di bawah pokok. Jaja dengan topi lebarnya, terus tekun menunggu ikan menangkap kailnya. Satu demi satu ikan dapat dipancing oleh Jaja.

Gaga perlu pulang ke rumah. Dia takut ibu bapanya marah. Jaja tidak mahu pulang kerana Jaja sudah pun memberitahu ibu bapanya dia akan balik lewat sedikit pada hari ini kerana mahu memancing dan menjual ikan.

Gaga berpendapat, ibu bapanya sudah ada wang, jadi dia tidak perlu bersusah payah mencari wang pada hari cuti. Jaja pula berpendapat, dia suka mempelajari cara-cara mencari wang. Dia ingin menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Apabila Jaja memberitahu impiannya kepada Gaga, Gaga menggeleng kepala. Ramai orang mahu berniaga tetapi sedikit sahaja yang berjaya, lagi pun dia masih kecil. Jaja berpendapat, kejayaan dan kekayaan tidak mengenal usia.

Jaja membawa banyak ikan. Jaja terus pergi ke kedai. Ikan yang dipancing oleh Jaja rupa-rupanya sangat bernilai kerana khasiat perubatan yang tinggi. Jaja mendapat untung yang banyak. Gaga gembira lalu meminta Jaja membelanjakan wang itu. Jaja tidak setuju dan berkata, dia mahu menyimpan wang ini dahulu sebagai aset. Apabila mendapat dividen daripada asetnya nanti, barulah dia akan gunakan untuk memenuhi keperluannya dan bukan kehendak. Gaga kecewa.

Jaja mengajak Gaga pergi ke sebuah kedai, dan mereka menikmati hidangan yang berhaga murah sahaja. Gaga tidak puas hati dengan Jaja dan mengatakan Jaja seorang yang kedekut. Jaja tidak ambil hati, sekurang-kurangnya Jaja ada membelanjakan kawannya makan untuk mengisi perut yang lapar. Bagi Jaja, masih ada ramai orang susah yang lebih memerlukan bantuan kewangan daripadanya berbanding Gaga.

Jaja meneruskan aktivitinya mencari duit dan kekayaan, manakala Gaga pula sering membelanjakan wang yang diperolehinya untuk memenuhi kehendaknya. Sepuluh tahun berlalu, Jaja kini berjaya membeli banyak hartanah, manakala Gaga pula cuma mampu berpuas hati dengan kerja makan gaji.

Suatu hari, Gaga melihat Jaja membeli beberapa kereta yang cantik, lalu Gaga menegur Jaja.

"Dahulu kamu sering melarang aku daripada membeli sesuatu yang mewah, atau makan sesuatu yang mahal. Kenapa kini kamu sendiri melanggar prinsip kamu?"

"Oh, maafkan aku. Kereta ini bukan untukku, kereta ini untuk ibu bapaku, untuk guru-guruku yang telah mengajarku pelbagai ilmu. Lagi pun duitku sudah terlalu banyak dan aku sendiri tidak tahu hendak buat apa, jadi aku mahu berikan kereta-kereta ini sebagai hadiah kepada mereka. Oh ya, jangan lupa untuk datang ke majlis perasmian pembukaan Pusat Latihan Keusahawan Belia Yayasan Jaja nanti ya? Kamu boleh mendaftar sebagai pelatih jika mahu. Aku mahu ramai belia di kampung kita ini belajar ilmu keusahawanan."

Gaga terdiam. Gaga malu. Dia tidak pernah menanam impian seperti Jaja semasa kecil dahulu. Kini baru dia sedar, betapa hebatnya kuasa yang tumbuh daripada impian yang pernah ditanam sejak kecil dahulu.

"Masih ada peluang untuk kamu berubah, Gaga."

Senyuman Jaja telah menyedarkan Gaga. Gaga mula sedar akan kesilapannya yang sering memandang serong kepada Jaja sebelum ini. Gaga meminta maaf kepada Jaja. Jaja dengan senang hati memaafkan Gaga.