BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Oktober 31, 2015

Vocal Range Exercise


Pitch Perfect

Isnin, Oktober 12, 2015

Projek Kekubah Air - Menjejaki Teknologi Air Bersih

12 OKTOBER 2015 (03:04AM): Beribu-ribu tahun dahulu, konsep ilmu pernafasan telah dipraktik sebagai satu cara untuk menguatkan tubuh badan secara semula jadi. Konsep ini wujud dalam pelbagai nama. Dalam Islam, penganutnya mengamalkan zikir dan lain-lain perbuatan mengingati Allah, termasuk solat. Tumbuhan mengamalkan respirasi. Penganut-penganut agama lain juga mempercayai tentang konsep ilmu pernafasan ini.

Dalam solat, manusia berjemaah menunaikan solat, lalu ada kajian mengatakan bahawa akan wujud satu pertukaran ion yang akan mengimbangi ion-ion di dalam badan setiap yang berjemaah. Kajian ini telah pun dilaporkan dilaksanakan oleh saintis-saintis tertentu.

Badan manusia berupaya menyaring toksik ini dengan sistem 'respirasi' atau pernafasan yang betul. Jika air mengangkut nutrien di dalam tumbuhan, tubuh badan manusia pula menggunakan darah untuk mengangkut oksigen dan nutrien. Tujuan yang sama.

Darah dipam melalui jantung, nadi berdenyut tanda kehidupan. Akupuntur merupakan titik urat yang menjadi pusat menyalurkan darah. Meridian.

Darah mengalir menerusi pembuluh darah. Proses penyembuhan berlaku apabila nutrien dan oksigen menyerap ke kawasan yang luka atau cedera. Pembaikan sel.

Dalam kes penyulingan air laut, air bersih diperolehi dengan menyingkirkan bendasing lain di dalam air laut termasuk garam. Dalam kes respirasi tumbuhan, wap air menjelma di udara selepas berlakunya proses penapisan di dalam jasad tumbuhan itu sendiri. Metabolisma manusia membantu penyembuhan.

Kuasa penyembuhan dan pembersihan ini merupakan sesuatu yang luar biasa hebat. Buat masa ini, aku kekurangan perkataan dan kamus untuk menerangkan kesemua dapatan ini. Ia hanya wujud dalam bentuk gambaran. Aku boleh melihat semuanya dan menciptanya, tetapi aku tidak boleh menerangkannya dengan lebih ringkas.

Proses penghasilan air bersih memanfaatkan teori yang sama dalam sekalian fungsi yang menjamin kelangsungan benda hidup. Manusia. Haiwan. Tumbuh-tumbuhan. Jantung berperanan untuk memberi kuasa pengangkutan kepada darah. Turbin menghasilkan kuasa elektrik daripada aliran air atau boleh juga angin atau.... boleh juga daya daripada manusia atau haiwan. 

Tenaga boleh menghasilkan haba, untuk mengewapkan air laut, lalu mengasingkan titis-titis air bersih yang boleh digunakan oleh manusia. Penyejatan boleh berlaku pada sebarang suhu, maka mesin yang mendidihkan air atau menyebabkan kepanasan melampau tidak begitu diperlukan. Apa yang diperlukan ialah tenaga yang cukup untuk menyejatkan air laut.

Untuk peringkat awal, aku menamakan ini sebagai Projek Kekubah Air.

Menjejaki Teknologi Menghasil Air Bersih Daripada Pelbagai Sumber

12 OKTOBER 2015 (02:23AM): Tenaga dan air bersih boleh saling berkait. Air mengalir menghasilkan tenaga (contohnya menerusi turbin) dan tenaga yang dihasilkan digunakan untuk menyuling air bersih. Solar adalah salah satu lagi tenaga bermanfaat untuk membantu proses penyulingan. Jika projek penghasilan air bersih ini mampu menghasilkan beribu-ribu gelen air dalam masa satu jam, maka tidak mustahil, negara yang kering-kontang seperti di pelbagai benua akan dapat disuburkan semula. 

Penyejatan boleh berlaku pada sebarang suhu di bawah takat didih. Ini adalah kunci bagi mencipta mesin penyulingan air. Turbin adalah tenaga tanpa pencemaran. Tenaga yang bersih. Solar juga merupakan tenaga yang bersih. Fokus utama adalah untuk menghasilkan air bersih dan sumber tenaga tanpa pencemaran alam sekitar. Bayangkan apabila tumbuh-tumbuhan, tanaman disiram dengan air suling. Pokok-pokok itu akan lebih sihat.

Respirasi tumbuh-tumbuhan juga menyumbang kepada 10% kelembapan udara. Bayangkan suatu hari nanti, pokok-pokok juga boleh menghasilkan hujan? Satu ciptaan dalam ilmu botani yang luar biasa hebat. Manusia sedar akan sistem ini, lalu mereka merekacipta alat penapis berdasarkan konsep penapisan yang ada di dalam tumbuh-tumbuhan.

Xylem mengangkut air dan nutrien di dalam tumbuhan. Stomata mengawal respirasi dengan mengawal tekanan gas yang dihasilkan. Gas. Sistem respirasi tumbuhan menggunakan gas untuk mengawal pelepasan wap air daripada tumbuh-tumbuhan.

Manusia tidak perlu mengubahsuai ciptaan Tuhan untuk menghasilkan wap air atau sumber air bersih. Manusia cuma perlu mencipta alat yang boleh melakukan proses respirasi seperti tumbuhan-tumbuhan tersebut dengan daya yang lebih kuat. Tenaga.

Air adalah sumber kehidupan. Negara yang dapat mengawal kualiti air bersih, akan mampu menjamin kehidupan yang lebih baik dari aspek kesihatan. Di mana-mana pun ada tanah. Di mana-mana pun ada mineral. Namun air bersih, sukar diperolehi kini. Air akan menjadi sesuatu yang sangat berharga pada masa akan datang.


12 OKTOBER 2015 (02:50AM): Ada satu persoalan terlintas di fikiran aku ketika ini. Air bersih, penyulingan, turbin, tenaga yang mampu dikitar daripada pengaliran air dan sistem respirasi pada tumbuhan. Semua ini bukankah merujuk kepada badan manusia itu sendiri. Badan manusia mampu menapis toksik pada kadar tertentu. Jika manusia boleh mencipta alat untuk menyuling air bersih, maka pada masa yang sama manusia boleh mencipta sesuatu untuk membersihkan toksik di dalam badan dengan konsep yang lebih kurang sama.


Apabila aku mencari teknologi untuk menghasilkan air bersih, aku menemui konsep tenaga abadi dan apabila aku menemui kedua-duanya ini, aku mungkin menemui konsep untuk menyelesaikan banyak punca penyakit kronik yang dihadapi oleh berjuta-juta manusia di muka bumi.


Semua ini kedengaran saling berkait rapat dan menjurus kepada penyatuan. Memperlihatkan sesuatu tentang kewujudan asal-usul satu kuasa yang mengawalnya. Ada sesuatu yang menghubungkan semua ini. Buat masa ini aku belum ada perkataan yang sesuai untuk menerangkan tentang konsep-konsep semua ini. Semua ini adalah pengetahuan-pengetahuan baharu.


Aku memerlukan lebih banyak pembacaan dan kajian, baru aku boleh menerangkan dalam bahasa manusia. Ya, bahasa manusia. Buat masa ini, semua ini adalah bahasa ilham atau bahasa inspirasi... atau mungkin juga 'wahyu'. Lebih selamat jika aku katakan... petunjuk.

Ahad, Oktober 11, 2015

Menjejaki Teknologi Mendapatkan Air Tawar Daripada Pelbagai Sumber Air

11 OKTOBER 2015: Hari ini aku agak kepenatan dengan 1/3 projek berkaitan subjek yang aku ajar. Bekalan air di daerah ini dicatu, jadi ia merupakan satu cabaran untuk melaksanakan projek. Esok bekalan air akan diputuskan lagi. 2/3 perjalanan projek akan dilaksanakan dalam keadaan air yang telah dicatu. Projek penyulingan air laut kini merupakan suatu perkara yang wajar dilaksanakan.

Terdapat tiga kaedah mendapatkan air tawar daripada air laut:

Kaedah pertama, penyulingan dengan memanaskan air laut, untuk mengasingkan garam dan lain-lain mineral berat di dalam air laut. Aku bercadang untuk pergi ke laut bagi mengambil sampel air laut. Sebenarnya boleh saja menggunakan air garam yang dibuat sendiri, tetapi, aku mahu cuba mencipta satu alat penyulingan berasaskan air laut untuk menyuling air laut. Itu lebih menarik. Jika kaedah ini berjaya, ada kemungkinan aku boleh mencipta alat penyulingan air laut untuk kegunaan masyarakat di sekitar pantai.

Wap air bersih tadi boleh dikumpulkan untuk menjadi air tawar untuk kegunaan manusia. Kelemahan kaedah ini ialah memerlukan bahan bakar yang banyak. Namun teknologi solar barangkali boleh digunakan untuk melaksanakan kaedah ini dengan baik.

Kaedah kedua ialah kaedah pertukaran ion, dan kaedah ini ditemui pada tahun 1852 oleh Thomas Way. Aku telah membaca satu tesis berkaitan dengan Asasi Kimia Persekitaran, oleh Stanley E. Manahan. Dari situ boleh dikatakan, penulenan air menggunakan kaedah ion barangkali akan memberi dua manfaat. Jika benar, selain menulenkan air, ia juga boleh menjana kuasa elektrik. Aku tidak berpeluang membaca lebih banyak tesis atau jurnal tentang ini disebabkan kekangan kerja, jadi hal ini masih wujud dalam fasa pengeraman idea.

Kaedah ketiga ialah kaedah yang biasa kita dengar sejak akhir-akhir ini. Osmosis berbalik atau Reverse Osmosis (RO). Namun begitu, aku agak kurang suka dengan teknologi ini.

Kaedah yang pertama adalah kaedah yang paling mudah walaupun memerlukan sumber tenaga yang tinggi untuk menghasilkan haba. Aku memerlukan makmal untuk melaksanakan projek ini. Jika dulu, semasa aku berusia sekitar 6-7 tahun, aku selalu memiliki tempat kajianku sendiri di tepi rumah. Kajianku adalah tentang botani dan juga zoologi, lebih kepada kajian tentang serangga.

Untuk memiliki makmal sendiri, aku perlu berpindah ke rumah yang lebih besar. Rumah sedia ada tidak sesuai untuk mengumpul tenaga solar. Jika kajian aku ini bermanfaat, maka aku boleh membantu lebih ramai penduduk di sekitar kawasan pantai, dan juga di sekitar kawasan paya atau di sekitar kawasan air tercemar, untuk mendapatkan sumber air bersih.

Jika kajian ini berjaya, maka saluran air dari empangan-empangan sedia ada boleh dipusatkan untuk memberi kemudahan kepada penduduk-penduduk di kawasan yang bermasalah bekalan air.

11 OKTOBER 2015: Kemarau, menyebabkan bekalan air di empangan merosot, tetapi pada masa yang sama, kemarau meningkatkan fungsi kuasa solar. Kuasa solar yang lebih tinggi pada musim kemarau membolehkan proses penyulingan air laut menjadi lebih berkesan. Aku meneliti fakta sains dan geografi ini, sebagai salah satu konsep penting dalam merekabentuk alat penyulingan air.

Penyejatan berlaku pada permukaan air sahaja. Ia konsep yang berbeza dengan pendidihan. Penyejatan boleh berlaku pada sebarang suhu di bawah takat didih.

Laut, tasik dan sungai menyumbang kepada 90% kelembapan di udara, manakala respirasi tumbuhan menyumbang 10%. Dalam erti kata lain, aku berpendapat tumbuhan juga boleh menyumbang kepada berlakunya proses penyulingan. Apakah pokok yang paling tinggi kadar respirasinya?

Apabila kelembapan relatif bagi udara ialah 100%, proses penyejatan tidak akan berlaku.

Penapisan air memerlukan kuasa graviti. Penyejatan memerlukan daya kinetik untuk memisahkan molekul gas daripada cecair. Tenaga solar boleh memainkan peranan ini.

Berapakah saiz permukaan atau lapangan yang diperlukan oleh satu-satu alat penyulingan untuk menapis air, dan berapa banyak mililiter atau liter air yang boleh dihasilkan oleh alat ini dalam masa seminit, sejam atau sehari?

Bolehkah kita bina terus alat ini di atas permukaan air laut? Bagaimana kesan ombak, tsunami, gempa bumi dan sebagainya boleh menjadi ancaman terhadap alat penyulingan air ini? Jika kesan ancaman tersebut tidak dapat diatasi maka proses pemindahan bekalan air perlu diwujudkan dengan lebih berkesan. Kita tidak mahu air yang telah disuling bercampur semula dengan air tawar atau dirosakkan oleh kesan ancaman tadi.

Berapakah kos untuk menghasilkan peralatan ini berserta dengan kiraan kos untuk menghadapi kesan ancaman tersebut?

Berapa cepat bekalan air seperti ini boleh sampai dan digunakan oleh penduduk tempatan?

Apakah persepsi penduduk apabila air tercemar, air paya dan sebagainya diproses semula menjadi air suling yang bersih? Adakah mereka sanggup menggunakannya? Air tercemar di sini merujuk kepada sumber air yang pelbagai yang ada di negara ini. Sebagai contoh, kesan tumpahan minyak, sampah-sarap atau sisa toksik yang mencemarkan air.

Bolehkah sistem penyulingan ini memastikan air yang ditapis selamat daripada kesan toksik. Adakah zarah-zarah toksik yang seringan atau lebih ringan daripada molekul air yang boleh turut terbawa masuk ke bahagian air yang telah disuling? Ini memerlukan penelitian terhadap carta jadual kimia. Tapi dikatakan, kaedah penyulingan dapat menghasilkan air tulen yang bersih. Melainkan, peralatan yang digunakan mempunyai kesan semasa mengalirkan air seperti sesetengah jenis plastik atau bahan berplumbum yang bereaksi terhadap molekul air yang melaluinya.

Terima kasih kepada Cikgu Norzihan, Cikgu Azlina, Cikgu Azimah, Cikgu Rohani, dan Cikgu Lim (sekarang Dr. Lim) sebab mengajar aku subjek sains, kimia, fizik dan biologi semasa di sekolah dahulu. Nasib baik aku belajar kimia, fizik dan biologi di sekolah dahulu, jadi aku boleh faham tentang konsep respirasi tumbuhan dan juga penyulingan.

11 OKTOBER 2015: Apabila alat penyulingan air dibina di laut, masalah gangguan ombak dan gegaran boleh berlaku. Untuk mengatasi ancaman ini, satu Kubah Air perlu dibina di tempat yang selamat dan jauh daripada ancaman ombak. Sudah pasti kawasan yang lebih pedalaman. Air laut ditarik boleh menyebabkan hakisan secara semula jadi, justeru satu saliran air laut menghala ke Kubah Air adalah penyelesaian yang lebih baik. Kubah air yang menghala ke pedalaman boleh jadi akan membantu dalam menjana kuasa elektrik, dan seterusnya memungkinkan proses penyulingan air berlaku dalam dua cara. Penyulingan air secara sejatan dan secara pertukaran ion. Kaedah ini membolehkan sumber air tawar dikumpul dengan lebih cepat.

Khamis, Oktober 01, 2015

Ulasan Berdasarkan Mesej Daripada Filem The Martian

Saya berpeluang menonton filem The Martian pada 30 September 2015 yang lalu, dan saya dapati filem ini sangat menarik. Bagaimana seorang angkasawan menggunakan pengetahuannya sebagai ahli botani dan juga beberapa cabang ilmu yang lain untuk bertahan dan terus hidup di Marikh sehingga pada akhirnya dia diselamatkan oleh rakan-rakan angkasawan yang lain.

1 OKTOBER 2015: Melihat filem The Martian, saya terfikir. Negara-negara seperti Jepun, Russia, Amerika dan China sudah mula berfikir untuk menakluk planet tandus dan membina penempatan di sana. Jika mereka mampu membina penempatan di sana, maka bumi ini bukan apa-apa bagi mereka.

Jika suatu negara itu berniat jahat, boleh sahaja melepaskan virus, atau menunggu musim kemarau untuk membakar hutan, meningkatkan kadar jerebu sehingga tahap maut sehingga rakyat di satu-satu kawasan jatuh sakit dan maut, atau memutuskan bekalan air bersih sehingga satu-satu kawasan menjadi bertoksik sehingga mati semua tanaman. Rakyat di negara sasaran menjadi mangsa, kerajaan terpaksa mengabdikan diri memohon bantuan dan pertolongan, lalu dengan mudah negara itu dijajah. Dengan teknologi yang ada, kuasa besar memurnikan balik negara yang tandus itu, sehingga wujudnya penempatan baru. Terlalu mudah bukan?

Sedangkan orang kita di negara ini masih terus bertelagah sesama sendiri, tidak memikirkan soal bekerjasama untuk memajukan negara dari aspek sikap dan teknologi. Bangsa Melayu kita cuma sejemput di bumi ini, bila-bila masa boleh dihapuskan dengan strategi dan teknologi. Mereka tidak perlu menghantar jet pejuang atau kapal tentera, cukup dengan secara teknikal untuk menghapuskan rakyat, sehingga kosong atau musnah negara itu. Kemudian, bertahun-tahun kemudian, mereka datang membina penempatan di negara yang musnah ini. Dan saki-baki rakyat yang masih ada, sama ada menjadi hamba atau gelandangan di negara sendiri. Semudah itu.

Pada ketika ini, kebolehan berdikari dengan ilmu dan sikap bekerjasama menentukan survival sesuatu bangsa di sesebuah negara. Kebanyakan negara maju sudah maju lebih 100 tahun ke hadapan, bukan sekadar dalam aspek teknologi tetapi juga cara berfikir dan sikap. Berapa ramai anak muda generasi sekarang yang mampu berdikari? Apabila kita memberikan soalan K-BAT? Berapa ramai yang dapat menyelesaikannya dengan cemerlang? Secara jujur, kebolehan menyelesaikan masalah di kalangan generasi muda, sangat membimbangkan.

Budaya hedonis semakin berleluasa. Tidak ramai anak muda dapat bertahan untuk memberi tumpuan dan berfikir dalam situasi yang sukar atau membosankan. Mereka mengharapkan suntikan keseronokan atau hiburan dalam setiap benda yang dibuat. Mereka mahu sesuatu itu menarik, baru mereka mahu belajar. Mereka tidak lagi mahu meneroka sendiri. Daya keprihatinan, simpati dan empati semakin lemah.

Pada saat ini, sistem pendidikan dilihat terlalu terdesak untuk menarik perhatian generasi muda untuk minat belajar. Sesetengahnya melangkau batas prinsip apa itu tujuan belajar? Tujuan belajar untuk menjadi manusia yang berguna. Doktor yang bertanggungjawab tidak akan mengatakan seseorang pesakit itu sihat, jika dia benar-benar sakit. Apabila aras soalan dianggap lebih sukar, gred diubah. Ibu bapa berpuas hati. Tanpa disedari, kita mengheret generasi muda ke satu perangkap. Kita juga hilang fokus, tidak lagi mengenal apa erti pembelajaran yang sebenar.

Belajar pada asasnya untuk menjadi seseorang itu manusia yang berguna, faham apa tujuan hidup, apa peranannya dalam masyarakat; tanggungjawab sebagai manusia. Kita belajar bukan untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi untuk menjadi seseorang yang berguna sepanjang kehidupannya sehinggalah ia mati.

Ada segelintir orang, beranggapan, berguna itu apabila dia dapat berjuang untuk bangsanya. Selepas mati, apakah bangsa itu akan berguna? Perjuangan seseorang itu dianggap selesai 100% selepas dia mencapai kejayaan di akhirat. Kehidupan ini barangkali cuma 0.0000000000001 peratus sahaja daripada kehidupan sebenar. Kita mungkin hidup 100 tahun di dunia, dan kemudian kekal abadi di akhirat. Namun, ramai antara kita, bertungkus-lumus berjuang untuk 0.0000000001 peratus itu (atau mungkin jauh lebih kecil nilainya). 0.00000000001 peratus, adakah itu markah yang hendak kita capai? Sedangkan kita sendiri selalu anggap 40 peratus itu baru lulus dalam peperiksaan.

Secara tidak sedar, kita banyak menghabiskan perbelanjaan untuk peralatan atau teknologi yang tidak begitu berkesan atau berguna. Kebanyakan sekolah tidak begitu memerlukannya. Pada masa yang sama, kita kurang perbelanjaan untuk aktiviti-aktiviti kemanusiaan. Terlalu banyak undang-undang yang didapati memanjakan anak-anak. Terlalu melindungi, sehingga anak-anak menjadi lemah. Lemah daya berfikir, tidak mampu berdikari, lemas dalam pujukan hedonisme, mudah terpengaruh dengan tarikan daripada pihak luar dan hilang jati diri.

Di dunia ini, mana pernah akan wujud keadilan. Apa yang ada, cuma perjuangan dan ujian. Pada masa kini, tidak ada seorang pun yang maksum. Tidak ada seorang pun yang dapat markah penuh, namun jika kita silap pilih perjuangan, sehebat mana pun kita, markah kita tetap lebih kecil daripada satu peratus. Jika ikut gred peperiksaan yang kita tetapkan, kita telah gagal, apabila kita lupa lebih sembilan puluh peratus (mungkin lebih tinggi) lagi adalah bahagian akhirat.

Kita selalu lupa. Sebab manusia memang mudah lupa.