BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Ogos 21, 2015

SURAT PEMBACA: Mengatasi Penyakit Rasa Dibenci Semua Orang

SURAT PEMBACA: Mengubati Penyakit Rasa Dibenci Oleh Semua Orang

"Tangkap, teliti dan tukar." - Amiene Rev

Saya mempunyai masalah rendah diri yang kompleks. Sehingga pada satu tahap, saya fikir semua orang di sekeliling membenci saya. Apa perlu saya lakukan?

J.o.h.n


MAKLUM BALAS AMIENE REV:

Salam bahagia buat John,

Masalah rendah diri dan rasa dibenci oleh orang lain adakalanya berkaitan dengan trauma semasa kecil. Ia menyebabkan rasa ingin menyalahkan diri sendiri.

Soalan saya kepada John: Jika diberi pilihan, antara menyalahkan diri sendiri dengan memperbaiki diri sendiri, mana lebih baik untuk diamalkan? Ya, sudah tentu memperbaiki diri sendiri itu lebih baik. John, berhenti menyalahkan diri sendiri dan tukarkan kepada sikap mahu memperbaiki diri sendiri. Tidak ada orang yang sempurna di dunia ini, John.

Di sini ada beberapa saranan atau cadangan yang boleh saya berikan untuk mengatasi penyakit rendah diri dan rasa dibenci oleh semua orang:

1. Apabila bercakap dengan diri sendiri, bayangkan bagaimana caranya kita mahu bercakap dengan orang yang kita sayang. Adakah kita berani menyakiti hatinya? Tidak. Sudah tentu kita mahu menjaga hatinya. Begitulah cara yang patut kita lakukan kepada diri sendiri.

2. Ada satu cara lagi untuk mengatasi masalah suka merendah-rendahkan diri sendiri atau menyalahkan diri sendiri. Cara ini dipanggil tangkap, teliti dan tukar. Kita tangkap mana-mana pemikiran negatif dalam minda kita yang suka bersangka buruk atau berfikir negatif terhadap diri kita sendiri. Kita teliti sama ada sangkaan itu benar atau salah. Jika benar, tukar kepada lebih baik. Sebagai contoh, orang kata kita malas. Kita teliti dan nilai diri sendiri sama ada kita ini benar-benar malas atau tidak. Jika benar kita tidak rajin, kita tukar pemikiran kita bahawa kita rajin dan kita akan buktikan bahawa kita benar-benar rajin. Buat!

3. Dekatkan diri dengan agama, dan fahami konsep ketuhanan. Tuhan itu sangat pemaaf walaupun dia memiliki kuasa untuk melakukan apa sahaja ke atas kita. Dia boleh sahaja menghapuskan kita jika dia membenci kita, tetapi kenapa kita dibiarkan terus hidup? Hidup itu peluang. Peluang untuk menebus apa-apa kesalahan dan memperbaiki apa-apa kekurangan dalam diri kita. Hargai peluang ini.

Ingat, John. Di dunia ini, sentiasa ada peluang dan kemaafan. Kita mesti memaafkan diri kita dan berjanji untuk memperbaiki diri kita. Sebab, kita semua manusia. Hanya Tuhan yang sempurna dalam semua segi. Kita cuma manusia, kita tidak sempurna, tetapi kita diberi peluang untuk memperbaiki kesilapan diri.

Kita adalah apa yang kita fikirkan. Tangkap, teliti dan tukar. Jadi lebih baik!

NOTA: Dalam novel IBRIM & TOWA, Towa digambarkan sebagai seorang remaja yang sering dianggap menyusahkan dan dibenci oleh beberapa orang rakan sekampungnya. Dia bagaimana pun tidak pernah berputus asa, dan sentiasa percaya dia boleh menyumbang sesuatu untuk masyarakatnya. Towa berubah daripada seorang yang dianggap menyusahkan, kepada seorang wira yang disanjung.