BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Mac 09, 2015

Petikan Novel IBRIM DAN TOWA - Ular Raksasa Tasik Raga

Petikan novel fantasi sains fiksyen Kisah Dua Beradik IBRIM & TOWA - Ular Gergasi Tasik Raga

SEDUTAN Novel IBRIM & TOWA (DI PESTA BUKU ANTARABANGSA KL, APRIL 2015) - Terbitan Pekan Ilmu.

Kancil putih seolah-olah mengetahui niat budak-budak tersebut, lalu kancil putih itu pun berjalan ke satu arah. Ibrim tidak lupa untuk menanda pokok-pokok setiap kali berjalan.
Pada mulanya kancil putih itu berjalan seolah-olah tidak menyedari kehadiran mereka, namun tidak lama selepas itu, kancil itu pun mula melompat-lompat ke sana dan ke sini.
“Alamak, kancil itu sudah semakin pantas menjauhi kita, kita mesti mengejarnya!” kata Alad.
“Jangan, nanti kancil itu fikir kita mahu memburunya,” tegah Ibrim. “Kita berjalan dengan pantas sahaja.”
Maka, sekalian budak-budak itu pun berjalan dengan pantas mengekori kancil putih tersebut. Tidak lama kemudian, mereka pun mendengar bunyi yang menakutkan. Rupa-rupanya itulah bunyi beruang merah.
Badan beruang merah itu besar. Jika berdiri, ketinggiannya hampir sekali ganda ketinggian orang dewasa. Hampir tiga meter tingginya.
“Sekarang, kita berpura-pura mati,” arah Ibrim kepada rakan-rakannya.
“Apa? Kenapa mesti mahu berpura-pura mati, lebih baik kita lari!” kata Towa pula. Jantungnya berdegup-degup pantas. Kebimbangan mula menguasai dirinya.
“Jangan! Cepat, mari kita berbaring dan menahan nafas!” arah Ibrim sambil terus berbaring di atas tanah.
Beruang merah menyedari ada sesuatu berhampiran dengannya, lalu meronda di sekitar kawasan itu. Beruang merah mendapati sekumpulan budak sedang berbaring di atas tanah.
Dengan rasa curiga, beruang merah pun mendekati budak-budak yang sedang berbaring itu. Beruang merah pun merapati seorang demi seorang. Towa semakin berdebar-debar. Jantungnya berdegup semakin kencang. Peluh mula merembes keluar dari liang-liang romanya. Towa tidak yakin dia akan dapat menahan nafas dengan begitu lama.
Towa tidak berani mengambil risiko, Towa pun terus bangkit dari pembaringannya dan berlari menuju ke sebatang pokok berdekatan.
Beruang merah terkejut apabila mendapati Towa yang telah bangkit dan berlari meninggalkan tapak pembaringannya. Beruang merah pun mengejar Towa. Dengan sepantas kilat, Towa memanjat pokok dan terus berpaut pada sebatang dahan yang agak besar di atas pokok tersebut.
Beruang merah pun berpusing-pusing di bawah pokok tersebut. Sekali-sekala beruang merah mendengus. Sekali-sekala beruang merah itu berdiri dengan dua kakinya sambil memandang ke arah Towa.
Towa menarik nafas lega. Kedua-dua belah tangan dan kakinya masih menggeletar, tetapi Towa tetap menguatkan semangatnya untuk memaut dahan pokok tersebut.
Belum sempat Towa menarik nafas lega, tiba-tiba Towa terdengar bunyi berdesir. Bunyi itu semakin lama semakin menghampiri Towa. Towa berpaling ke kiri dan ke kanan, ke depan dan ke belakang. Alangkah terkejutnya Towa, apabila didapatinya ada seekor ular sawa batik sedang merenungnya sambil menjulur-julurkan lidah bercabangnya. Badan ular itu begitu kemas membelit dahan pokok tersebut. Mata ular itu berwarna jingga, kelihatan ganas dan seolah-olah mahu membahamnya. Ular sawa batik itu perlahan-lahan menjalar ke arah Towa, sambil melilit dahan pokok tersebut.
Towa tergamam. Dia hanya mampu menelan air liur. Kepantasan degup jantungnya yang baru hendak reda kembali meningkat. Towa hilang akal. Jika dia turun dari pokok itu, beruang merah di bawah akan menyerangnya. Jika Towa kekal di atas pokok itu, ular sawa batik itu pula yang beruntung mendapat makanan baru. Badan budak lelaki berusia 13 tahun seperti Towa, sudah tentu dapat mengenyangkan ular sawa tersebut selama sebulan, selepas menelannya.
Nafas Towa tidak keruan lagi. Badannya kuat menggigil. Sudah meremang bulu tengkuknya memikirkan bahawa dia bakal menjadi makanan ular sawa batik itu. Towa pun menjerit sekuat-kuat hatinya, “Ibrim, di atas pokok ini ada ular!!!!”
Hutan tebal itu yang sentiasa sunyi, kini mula dibingitkan dengan hiruk-pikuk kicauan burung-burung yang berterbangan. Kalut! Burung-burung itu terkejut mendengar jeritan seorang budak lelaki, yang telah menceroboh masuk ke dalam hutan tebal itu dengan lima lagi rakannya.