BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, September 27, 2014

THE OTHERS 008

19 SEPTEMBER 2014: Hari ke-3, atau hari ke-4 tanpa sebarang makan. Kali terakhir adalah beberapa biji bertih jagung ketika menonton wayang bersama Ftr Hs. Aku berkesempatan lalu di beberapa tempat perniagaan makanan dan restoran. Bau dan rupa makanan-makanan itu memang sedap, tetapi aku tidak teringin untuk singgah beli dan makan. Aku cuma minum air dan berjalan melihat dunia manusia, seolah-olah aku ini bukan manusia. Tiba-tiba aku teringat kata-kata ustaz, "Kamu ini manusia."

Aku adalah manusia yang tidak makan. Aku berlapar sejak 3-4 hari lepas supaya badanku menjadi lemah. Jika badanku lemah, maka ada kemungkinan The Others juga menjadi lemah. Itu cuma teori yang belum pasti. Ini kerana aku sedar sekali-sekala ada perubahan dalam kedudukan benda-benda tertentu. Jika aku mati, maka The Others juga akan mati. Aku sudah lama ingin mati.

Sejak beberapa hari lepas, aku semakin berani memandu kereta dengan kelajuan yang tinggi. Mungkin aku patut ubah sikap ini. Ketaksuban untuk cepat mati membuatkan aku menjadi semakin berani. Sejak itu aku mula beranggapan, aku tidak boleh membawa sesiapa lagi menumpang keretaku, kerana aku dalam keadaan berani mati. Ini tidak baik untuk keselamatan orang lain. Yang hendak mati itu adalah aku.

Sesekali semasa memandu, air mata aku mengalir mengenangkan orang-orang yang aku ingin tinggalkan. Aku meyayangi mereka, aku juga akan merindui mereka. Namun, aku ini cuma manusia yang telah rosak jiwanya, orang gila yang masih hidup berbakti kepada manusia sedangkan kehidupan aku sendiri telah musnah.

Aku semakin redha dengan kesunyian dan melalui setiap hari ini dengan kesunyian. Aku tidak mahu melibatkan orang lain lagi. Aku mahu pergi mati dengan aman. Ini yang aku inginkan sejak dulu lagi. Sekarang aku sudah tidak perlu memberi jawapan lagi, kenapa aku suka bersendirian. Semakin kurang hubungan mesra atau rapat aku dengan orang lain, makin semakin senang untuk aku mendekati kematian.
Aku ingin jadi hantu yang menganggu semua orang yang jahat, orang yang suka mengambil kesempatan dalam kesusahan orang lain dan orang yang suka menganiayai orang lain. Jika aku menjadi hantu, aku akan buatkan mereka semua ini mati kerana serangan jantung, mati kemalangan dan sebagainya.