BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, September 26, 2014

THE OTHERS 007

16 SEPTEMBER 2014: Aku telah hilang keupayaan untuk tidur. Aku takut hendak tidur. Aku takut aku dirampas lagi. Mungkin aku telah dirampas semalam? Sedangkan ketika jaga pun aku boleh dirampas tiba-tiba. Aku tidak tahu. Aku terbaca tentang perkhidmatan bunuh diri di Switzerland beberapa hari lepas. Aku teringat artikel itu sehingga kini. Orang yang ingin membunuh diri akan tidur dengan selesa di satu tempat, dan disuntik dengan bahan kimia tertentu untuk mati. Adakah bahan kimia itu ada dijual di negara ini? 

Sejak dua tiga hari lepas, aku terbayangkan aku menggantungkan tali pada tangga atas rumahku, dan meletakkan leherku pada jerutan di bawahnya. Itu, tempat yang paling sesuai untuk menjerut diri. Apabila leher terjerut, nafas akan tercekik, mata putih dan anak mata akan dipenuhi dengan liang-liang darah. Tiba-tiba aku teringat, aku pernah mengalami keadaan seperti itu beberapa tahun lepas. Amien... cuma ada satu Amien. Kamu mesti lawan. Jangan biarkan yang lain rampas Amien daripada Amien. Apabila kamu baca semula tulisan ini, cuma tanya diri kamu, siapa kamu yang telah menulis semua ini, kemudian padamkan. 

Cuma ada satu Amien. Amien mesti yakin Amien ada kekuatan untuk melawan yang lain daripada merampas atau mengawal Amien. Hari ini, sekali lagi, aku rasa aku patut tidak makan. Badan aku perlu dibiarkan lemah, kurang pergerakan seperti yang pernah aku buat sebelum ini, supaya The Others pun akan jadi lemah juga. The Others pun tidak mampu bergerak juga. Betulkah? 

Tapi semalam tukang gunting rambut kata rambutku banyak gugur. Kekurangan zat. Kamu mesti lawan. Kalau kamu mati melawan The Others, bukankah itu satu jihad? Aku tak perlu makan apa-apa lagi. 

Tunggu! Kamu mesti siapkan kerja-kerja kamu juga! Markah ujian anak-anak murid kamu mesti diselesaikan juga. Selepas itu, mati pun tak apa. Kerja kamu sudah selesai. Cuba siapkan kerja-kerja itu.