BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Ogos 22, 2013

Sakit Sendi Faset Boleh Melarat Ke Bahu

Sakit sendi faset boleh melarat ke bahu
Dr Nizar Abd Jalil
21 Mac 2012


Assalamualaikum Dr Nizar.

Saya sering mengalami kesakitan pada bahu, urat belikat dan tengkuk di bahagian kiri. Keadaan ini berlaku setiap kali bangun daripada tidur dan kesakitan yang teruk akan berterusan sehingga tiga ke lima jam.

Begitulah keadaan saya pada setiap hari sejak lapan bulan yang lalu. Kesakitan pernah hilang kira-kira dua bulan lalu, tetapi muncul semula sejak dua minggu lepas.

Kesakitan biasanya datang semasa saya tertidur di atas lantai di bahagian ruang tamu. Saya pernah mendapatkan suntikan tahan sakit namun tidak berkesan.

Saya juga pernah menjalani rawatan di hospital dan beberapa klinik swasta, namun doktor mengatakan terdapat tisu koyak dan kecederaan pada otot.

Antara rawatan yg telah saya lalui ialah bekam darah, bekam angin, akupunktur, urut dan pengambilan pil Neurobion namun tiada yang dapat melegakan kesakitan saya alami. Kini saya dalam keadaan yang sangat tertekan.

Apakah sebenarnya penyakit saya ini dan apakah rawatan yang boleh doktor syorkan?

Terima kasih.


Shamsul, Klang, Selangor.


JAWAPAN: Sakit tengkuk, bahu dan belikat merupakan gejala klasik bagi sakit sendi faset tengkuk (cervical facet syndrome). Penyakit ini sejenis keradangan sendi (artritis) yang boleh berlaku di sepanjang tulang belakang kita. Bahagian paling biasa terlibat adalah pinggang dan leher kerana kedua-dua bahagian inilah yang paling banyak melakukan pergerakan pada tulang belakang kita. Sakit pada tengkuk akan lebih ketara pada waktu pagi selain daripada rasa kejang. Pening atau rasa hanyut juga boleh menyusul.

Selain itu, otot-otot pada bahu dan leher juga menjadi sakit apabila dipicit. Pesakit juga berasa seperti kebas pada tangan atau jari. Jika sendi bahu sudah mula sakit dan susah digerakkan, ini menandakan anda mendapat penyakit susulan kesan daripada sakit sendi faset ini, iaitu kekakuan sendi bahu (frozen shoulder). Ini biasa berlaku pada pesakit yang mengidap sakit sendi faset tengkuk jika dibiarkan tanpa rawatan.

Rawatan perubatan alternatif banyak yang tidak terbukti keberkesanannya. Rawatan yang mujarab ialah suntikan radiofrekuensi pada saraf sendi faset tersebut. Suntikan ini akan melemahkan saraf yang membawa signal sakit pada sendi terlibat. Apabila saraf sudah ‘kebas’, maka tiada lagi rasa sakit atau pening.

Jika kita sudah tidak rasa sakit, leher boleh bergerak bebas dan lebih produktif. Kita tidak perlu risau proses artritis kerana penuaan jika ia tidak memberi rasa sakit. Ramai orang yang mengalami artritis pada sendi tapi penyakit ini tidak mengganggu mereka.

Majoriti daripada pesakit (80 peratus) telah sembuh sehari selepas rawatan radiofrekuensi. Pengambilan suplemen antioksidan dan vitamin sendi seperti chondrotin-glucosamine amat digalakkan untuk proses penyembuhan sendi dan memperlahankan proses penuaan.
Rawatan radiofrekuensi tidak terdapat di hospital kerajaan kecuali HUSM.

Tetapi rawatan ini boleh didapati di hospital swasta tertentu. Perlu diingatkan, hasil yang cemerlang daripada rawatan suntikan ini bukan disebabkan oleh teknologi atau suntikan semata-mata, tetapi ia banyak bergantung pada kepakaran doktor (yang terlatih) melakukan suntikan, diagnosis yang tepat dan masa yang betul (tidak terlalu serius). Sendi bahu yang sakit dan kaku boleh dirawat dengan suntikan ubat ke dalam sendi dan juga rawatan suntikan radiofrekuensi.

Sumber: Sinar Harian